Bila suami main drama dan cari orang baru dengan alasan jiwa kosong ini bermakna si suami sudah mula buat perangai. Bukan sebab kononnya isteri sibuk tetapi sebab sudah pandai mencari alasan untuk berselingkuh.
Suami Mula Main Drama, Cari Orang Baru
Nak-nak kalau si suami biasa meluah pada orang yang salah, berlainan jantina. Inilah yang boleh mengundang kes curang dalam hubungan suami isteri. Bagi mengelakkan situasi seperti ini jadi lebih keruh, jemput baca perkongsian saudara Amir Syahir ini.
“ISTERI SAYA KERJA SAMPAI KE MALAM. SELALU TAKDE MASA UNTUK SAYA. SIBUK BETUL. HUJUNG MINGGU PUN MASIH KERJA.”
“ISTERI SAYA SELALU JE OUTSTATION. ASYIK TINGGALKAN SAYA DAN ANAK-ANAK DI RUMAH. TAK PERNAH ADA MASA UNTUK KAMI.”
Alasan Sebab Jiwa Kosong
Kalau suami itu kerja jenis banyak masa di rumah misalnya buat bisnes ke atau cikgu mesti dia rasa ada ruang kosong kalau isteri dia asyik kerja saja. Contohnya jika isterinya seorang doktor, selalu sibuk dengan jadual yang tidak tentu.
Mulalah si suami nak mengisi ruang kosong ini dengan perempuan lain. Berchat di FB, main TikTok dan sebagainya. Mula-mula nak kenal, selepas itu bertukar nombor telefon dan akhir sekali jatuh cinta.
Rumah tangga mula tidak lagi bahagia macam dulu. Si suami salahkan isteri tidak ada masa untuk dia. Si isteri pula tertekan sebab suami tidak memahami. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak.
Ads
Siapa Yang Salah
Kenapa perkara macam ini boleh berlaku? Siapa yang harus dipersalahkan? Tak perlu saling menuding jari. Lebih baik duduk bersama dan berbincang bagaimana untuk mengembalikan kebahagiaan dalam rumah tangga seperti dahulu.
Sebelum berkahwin, mesti sudah saling mengenali. Sudah tahu bakal isteri atau suami kerja apa. Jadi, tak perlu timbul soal macam ini. Si suami sudah tahu isteri dia doktor. Kerja yang tidak tentu masa. Jadi, dia perlu faham dan bertolak ansur. Kalau tak dapat terima, kenapa kahwin dengan dia?
Alasan mencari perempuan lain untuk mengisi ruang kosong itu tidak akan wujud jika perkahwinan yang dibina atas dasar kerana Allah. Pokok pangkalnya adalah hati sendiri.
Ads
Kalau ruang kosong itu diisi dengan buat perkara yang diminati seperti memancing, memasak, bersukan, main game atau tanam pokok, ada faedahnya. Banyak lagi cara nak isi ruang kosong itu. Bukan dengan cara cari perempuan lain. Itu cari pasal namanya.
Para isteri jangan halang suami jika mereka banyak menghabiskan masa dengan sesuatu yang mereka suka. Mungkin itu cara mereka mengatasi ruang kosong itu.
Jangan Lupa Tanggungjawab Hakiki
Si isteri pun kena main peranan juga. Jangan nak berharap supaya suami saja faham diri kau. Sesibuk mana pun dengan kerja, jangan lupa tanggungjawab sebagai isteri. Luangkan masa dengan suami dan anak-anak. Kerja sampai bila-bila pun tak akan habis.
Sekali-sekala ambil cuti. Pergi bercuti bersama-sama suami dan anak-anak. Lupakan sekejap kerja. Pasti suami dan anak-anak akan rasa dihargai dan disayangi. Mereka pun akan faham dan terima cara anda bekerja yang tak tentu masa itu.
Ads
Lepaskan, Jangan Pendam
Jadi, kalau ada masalah bincang. Jangan nak salahkan isteri atau suami. Jangan pendam ketidakpuasan hati. Lama-lama memakan diri. Kalau tak puas hati dengan isteri yang tiada masa, beri tahu isteri. Bukan mengadu dengn perempuan lain yang kononnya memahami. Fikirkan juga nasib anak-anak. Tidak ada masalah yang tiada jalan penyelesaian.
Buat para suami, jangan mencipta alasan untuk mencari perempuan lain kerana isteri anda sibuk bekerja. Fikirlah, dia bekerja pun sebab nak membantu anda. Buat para isteri, sesibuk mana pun bekerja, jangan abaikan tanggungjawab dengan suami dan anak-anak. Semoga kita semua dapat membina keluarga yang bahagia hingga ke syurga.
Sesungguhnya dalam mendidik anak-anak, mak,ayah perlu jadi raja berpendirian, barulah anak jadi rakyat yang taat. Sebagai mak,ayah rasanya tidak perlu untuk mengikut segala kemahuan anak.
Tidak salah jika mak, ayah mahu berbincang dengan anak-anak tentang sesuatu perkara namun jangan keterlaluan. Sehingga membuatkan anak-anak merasakan mereka “raja”.
Ikuti perkongsian Mohd Yazid Ismaildan jadikan inspirasi buat mak,ayah dalam mendidik anak-anak yang semakin membesar:
Jangan selalu tanya soalan approval kepada anak-anak. Terutamanya yang masih bersekolah. Mereka akan rasa semua benda perlu ikut citarasa mereka, nanti mereka akan jadi raja di rumah.
Contoh soalan approval:
Nak ummi masak spaghetti hari ni?
Along nak hadiah apa untuk birthday?
Nak tak kita pergi pantai esok?
Soalan approval bunyi macam comel dan mesra, tapi jika diulang bertahun-tahun ia akan menyemai sifat bos pada anak-anak, suka ikut kepala sendiri.
Nasib baik di sekolah cikgu tak amalkan tanya soalan approval. Cikgu terus bagi kerja tanpa tanya persetujuan. Sebab tu anak-anak lebih mudah taat di sekolah berbanding di rumah.
Ibu bapa perlu jadi raja yang berpendirian, barulah anak akan jadi rakyat yang taat. Nak buat sesuatu tak perlu dapatkan persetujuan anak-anak.
Nak masak apa pun masaklah. Anak akan makan sebab dah tak ada pilihan lain. Mereka akan suka. Jangan sampai terpaksa buat menu khas untuk setiap anak-anak. Seksa hidup nanti.
Biarlah Anak Jadi Rakyat Yang Taat
Didiklah anak-anak supaya ikut saja aktiviti yang kita rancangkan. Sekali-sekala anak-anak boleh bagi cadangan tapi tak semestinya kita ikut mereka.
Bertanya untuk berbincang tak ada masalah, tapi bukan tanya untuk dapatkan approval.
Mak ayah kita dulu-dulu mana ada tanya approval dari kita. Kita gembira saja ikut semua yang mak ayah tetapkan.
Jangan merajakan anak-anak.
-Mohd Yazid Ismail
Yang suka memerhati dan suka menulis di fb.
MW: Dalam mendidik anak-anak ini bergantung kepada mak,ayah untuk mengikut acuan yang selesa kerana setiap anak tak sama. Semuanya berbalik kepada pilihan dan setiap pilihan pasti ada impaknya.
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Berikut merupakan ulasan dan pandangan oleh Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan isu ini.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Nyawa Lebih Penting
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Rujukan Hadis
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi Kaedah iqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Menyelamatkan Dari Mudharat WAJIB
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Masalah kewangan merupakan faktor utama yang mendorong kepada kes-kes perceraian yang berlaku di negara ini. Kebanyakan kes perceraian didorong oleh pelbagai masalah kewangan termasuk melibatkan pemberian nafkah, kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang kecil sehingga tidak dapat menampung keperluan isi rumah.
Masalah Kewangan Punca Pasangan Bercerai
Masalah kewangan dalam kehidupan berumah tangga menjadi antara punca utama perceraian berlaku. Berdasarkan undian di laman sosial X Sinar Harian dalam tempoh 24 jam bermula jam 1 petang Jumaat, mendapati 50 peratus daripada 319 yang mengundi bersetuju bahawa masalah kewangan menjadi punca utama perceraian.
Penganalisis ekonomi dan muamalat di Universiti Sains Islam, Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata tekanan masalah kewangan antara penyebab utama perceraian.
“Gaji sekadar cukup makan juga menyebabkan pasangan bergaduh kerana tidak mampu menyara kehidupan seharian.
“Mereka perlu bekerjasama dan bertoleransi dengan cara berkomunikasi bagi mencapai persefahaman dalam mengatasi masalah kewangan.
“Sememangnya sukar merealisasikan impian hidup berkeluarga tanpa menghadapi krisis kewangan. Namun, mereka perlu bersabar dan tidak cepat melatah dengan apa jua cabaran akan datang.”
Beliau mencadangkan kursus pra-perkahwinan ditambah baik, antaranya membantu peserta merancang perbelanjaan sejajar pendapatan mereka, menggalakkan simpanan wang selepas majlis perkahwinan dan penerangan mengenai perancangan serta pengurusan kewangan.
Kos sara hidup tinggi menjadi antara penyumbang kepada jumlah perceraian di Selangor
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup ini mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.
Sibuk Cari Rezeki Sampai Tak Ada Masa Dengan Famili
“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.
“Disebabkan kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mu’izzudden Mahyuddin (PN – Hulu Bernam) mengenai faktor mendorong Selangor mencatatkan jumlah penceraian tertinggi berbanding negeri-negeri lain pada tahun lalu.
Tambah beliau, peningkatan jumlah cerai juga adalah disebabkan akses kepada perkhidmatan peguam syarie sama ada disediakan oleh agensi-agensi kerajaan atau swasta.
“Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi supaya hasil kajian tersebut boleh diguna pakai untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor,” katanya.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.