Lebih sebulan kehilangan suami, ibu muda segera bangkit fokus teruskan kehidupan dengan anak! Bukan mudah untuk bangkit meneruskan kehidupan dan membesarkan anak selepas kehilangan suami. Apatah lagi suami ‘pergi’ secara tiba-tiba, meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang pesan. Namun ketabahan ibu muda anak satu ini wajar dicontohi.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan kehilangannya dan fokus meneruskan kehidupan bersama anak,” kata bekas pekerja kilang elektronik, Nadzirah Kamaruzzaman, 29, yang kematian suami lebih sebulan lalu.
Suami Meninggal Mati Mengejut
Nadzirah mengambil keputusan berhenti kerja di Shah Alam, Selangor dan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Kuar di sini untuk menjual kasut terpakai selepas suaminya, Allahyarham Mohamad Hafiz Sohani meninggal dunia akibat mati mengejut.
Berkongsi kisahnya, Nadzirah memberitahu, pada malam 31 November, dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan Mohamad Hafiz mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun katanya, ada rakan yang membantu dan suaminya boleh bercakap seperti biasa sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Saya berada di rumah bersama anak kami, Mohd Faeq Mikael Mohd Hafiz, yang ketika itu berusia tiga bulan kerana bekerja shif pagi.
“Kira-kira jam 1 pagi, adik lelaki saya datang ke rumah dan memaklumkan suami saya meninggal dunia. Luruh jantung mendengarnya kerana dia tiada penyakit selama kami saling mengenali,” katanya.
Modal Dari Sedekah Kawan-Kawan & Keluarga
Nadzirah tidak mengambil masa panjang kerana memikirkan anak yang masih kecil dengan terus berhenti kerja dan pulang ke kampung.
“Alhamdulillah, ALLAH SWT permudahkan kehidupan kami dua beranak selepas adik saya, Mohd Baharizi Kamaruzzaman mencadangkan menjual kasut berjenama terpakai,” katanya ketika lawatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumah keluarganya pada Rabu.
Lebih mengharukan katanya, modal untuk membeli kasut hasil daripada sedekah rakan-rakan dan keluarga yang tidak pernah putus.
Nadzirah yang berpengalaman menjual beberapa produk lain sebelum ini memberitahu, jualannya kini sudah dikenali penduduk setempat dan ada yang singgah untuk membeli dan mencadangkan supaya menambah jenis kasut.
Dia juga berhasrat menjualnya melalui dalam talian dibantu adik.
Layak Terima Pencen Penakat
Ibu muda itu juga memberitahu, tiada yang dimahukan dalam hidup selain membesarkan anaknya dengan sokongan dan kasih sayang keluarga.
Sementara itu Timbalan Pengarah Perkeso negeri, Wan Izani Wan Isa berkata, Nadzirah layak menerima pencen penakat sebanyak RM1,746 sebulan seumur hidup.
“Anak Nadzirah turut layak menerima syer pencen itu sehingga berusia 21 tahun.
Menurut beliau, sebelum itu Skuad Perkeso Prihatin mengunjungi Nadzirah selepas menerima maklumat daripada orang awam dan memaklumkan layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.
Mesti Baca:35 Tahun Hidup Sendirian, Jodoh Salamiah Hassan Hanya Dua Bulan. Suami Meninggal Mengejut
Baca Lagi Di Sini:Suami Meninggal Sudah 8 Tahun, Pengorbanan Abang Ipar, Kawan Arwah Tak Putus Hulur Bantuan
Artikel Menarik:Laila Nasir Kuat Demi Anak “Menjadi Ibu Tunggal Sekelip Mata Selepas Suami Meninggal Dunia Merubah Segalanya”
Mingguan Wanita: Memang bukan mudah untuk membesarkan anak yang masih kecil dan meneruskan kehidupan selepas kematian suami secara tiba-tiba. Namun ketabahan ibu muda ini segera bangkit dari kesedihan dan fokus dalam kehidupan wajar dicontohi.
Sumber: Sinar Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI