Suami Meninggal Sujud, Selang 8 Hari Anak Sulung PERGI Selepas 2 Kali Kemalangan

Ibu anak 2 bernama Ummu Umairah Azahari (Ismee Umairah), 30 tahun baru saja melalui episod paling tragis dalam hidupnya. Menghadapi kehilangan dua orang insan yang paling dekat dalam jiwa; suami dan anak sulung.

Sekitar 30 Ogos 2017, suami dan anak saya keluar rumah kira-kira jam 8.30 ke 8.40 malam. Suami membonceng anak saya dengan motosikal. Mahu membeli makanan bagi meraikan hari lahir anak sulung kami.”

Siang itu, Umairah dan suami membawa anak-anaknya ke klinik desa untuk pemeriksaan anak 4 tahun dan 7 bulan. “Sebaik pemeriksaan sempat kami membawa anak-anak mencari hadiah sempena ulang tahun kelahiran anak sulung ke-4 tahun.”

Rupanya itulah malam terakhir buat Umairah bertemu suami,Mohammad Khalil Abdul Gani, 32 Kerana malam itu, suaminya terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Myvi yang dikhabarkan pemandunya memandu dalam keadaan mabuk.

Pemandu itu melanggar motosikal yang dinaiki suami saya bersama anak sulung kira-kira jam 9.15 malam.”

 

Suami Tercampak Dalam Keadaan Sujud

Malam itu malam Hari Arafah. Ketika perlanggaran, saksi kejadian memaklumkan guru J-Qaf (Jawi, Quran, Arab, Fardhu Ain di bawah KPM) ini tercampak dalam keadaan sujud menyembah bumi.

Akibat hentakan yang kuat di bahagian kepala itulah, suaminya meninggal di tempat kejadian. Tangan kanan dan kirinya patah, kaki kanan dan kirinya patah. Begitu juga tulang belakangnya patah.

Sementara itu, anak sulungnya,Muhammad ‘Aseem, 4 yang dalam keadaan kritikal dikejarkan ke Hospital. “Kepala anak saya terbelah dua, mulut terbelah dua, kaki luka diseret jalan, dahi luka dan dijahit, gigi patah 4.

Anak saya dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan kecemasan di bahagian kepala. Kemudian, anak saya dibawa pula ke Hospital Besar Penang bagi pembedahan lanjutan.

Sepanjang anaknya di hospital Umairahlah yang menemankan anaknya di hospital. Rakan-rakannya juga ada disampingnya memberi sokongan.

Sementara jenazah suami diuruskan oleh pihak hospital, ahli keluarga dan sahabat-sahabat terdekatnya.

IKLAN

Sebaik selesai menguruskan anak, Umairah berkejar pulang ke kampung suami dengan ditemani keluarganya untuk menguruskan pengebumian jenazah suaminya.

 

Kemalangan Kali Ke-2, Anak Sulung Saya Pergi Buat Selamanya

Selesai urusan pengebumian suami, dia ke hospital semula menjaga anak sulungnya yang ditempatkan di wad ICU Kanak-kanak.

Akhirnya pada 5 September, anak saya dibenarkan pulang. Dengan syarat anak saya perlu dibawa ke klinik atau hospital berdekatan untuk cuci luka dan jumpa pakar. Bagi memantau sebarang perkembangan kesihatannya.

Pesan doktor, anak saya tak boleh stress, terhantuk, terjatuh atau terhentak walaupun sedikit kerana luka kepala anak saya sangat teruk.”

Sampailah tarikh 7 September, dia perlu ke klinik untuk mencuci luka anaknya, Sebagaimana yang doktor nasihatkan, dia pun ke klinik mencuci luka anaknya.

Dia bawa anak sulungnya dan anak kedua. Kerana bayinya itu masih menyusu badan. Waktu itu, dia minta bantuan adiknya untuk menghantar ke klinik.

Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang. Ketika dalam perjalanan pulang setelah mencuci luka anak, kenderaan yang mereka naiki telah terbabas.

IKLAN

Kemalangan itu membuatkan saya tak sedarkan diri. Alami pendarahan otak, pendarahan perut, tangan retak, kepala retak depan dan belakang, hati berdarah, kaki lebam, bonjolan tulang belakang patah 1.

Kejadian itu juga menyebabkan anak sulungnya meninggal di tempat kejadian dan tangan adiknya patah. Sementara bayinya cuma cedera ringan.

Sampai hari ini, saya masih perlu dapatkan rawatan pakar kesan dari kemalangan kedua tempoh hari.” Cerita Pegawai Tadbir & Diplomatik ini yang masih diberikan cuti sakit oleh doktor pakar.

 

 

Suami Sangat Menjaga Amalan Harian

Cara suami meninggal dalam keadaan sujud telah membuatkan kisah itu viral tak lama dulu. Kata Umairah, dia juga seperti orang lain “Sedih dengan kehilangan 2 orang insan yang amat disayanginya”.

Suamilah tempat saya meluahkan dan menceritakan segalanya tentang hidup saya. Suami saya setia mendengar dan membimbing saya dan anak-anak. Tak pernah pun arwah suami saya lokek senyuman.”

Ketika hayatnya, suaminya itu seorang yang sangat menjaga amalan hariannya.

IKLAN

Suami saya bangun awal sebelum Subuh. Banyak perkara suami saya tolong. Ambil anak-anak di Taska setiap hari. Kemas rumah, cuci tingkap, mop lantai. Tolong saya masak jika saya penat.

Saya juga bekerja dan biasanya tiba di rumah jam 6.30 petang ke 7 malam. Setiap hari, kami akan sama-sama keluar rumah jam 6.30 pagi untuk bekerja.

Anak sulung saya pula pandai bercerita. Suka menolong. Bijak menjaga dan sayang adiknya.

 

Si Comel Syafi Inilah Penawar

Ujian ini memang saya rasakan berat kerana saya juga manusia biasa. Namun, saya didik diri saya untuk redha. Saya yakin percaturan Allah sangat cantik.

Allah amanahkan saya seorang anak untuk saya didik dan bimbing jadi manusia berguna kelak. Anak kedua saya inilah penawar saya sekarang. Seindah namanya Muhammad Syafi yang bermaksud penawar.

Syafi yang berusia 11 bulan itu katanya saling tak tumpah seperti suami dan anak sulungnya.

Sampai ke hari ini, Umairah masih mengumpul kekuatan diri. Dia juga dalam proses rawatan fisioterapi dan pemulihan cara kerja di hospital.

Saya terima kehilangan 2 insan yang amat saya sayangi. Saya juga telah merancang pelbagai perkara untuk arwah supaya pahala mereka akan terus mengalir walaupun mereka telah tiada di dunia.” Ujar Humairah yang berkongsi kisah hidupnya dalam blog maisukakongsi.blogspot.my

Sumber/ Foto : Ismee Umairah

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI