Suami Meninggal Kemalangan, Dalam Perjalanan Hantar Isteri Jaga SPM

Share

Sebaknya, pengawas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini, Nur Fadzihan Qmir, 31 diuji suami meninggal kemalangan ketika menghantarnya untuk bertugas menjaga peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jana.

Suaminya, Zahairul Azwan Zainudin, 32 yang juga seorang anggota tentera gagal mengawal kereta pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dipandunya bersama isteri pagi khamis semalam.

Kegagalan itu menyebabkan kenderaannya terbabas ke arah kiri dan melanggar sebatang pokok. Kejadian kemalangan berlaku di kilometer 2.5 Air Kuning Selatan – Sungai Dua.

Suami Meninggal Ketika Terima Rawatan Awal

Kemalangan kira-kira 7.30 pagi semalam mengakibatkan isterinya cedera parah, manakala Zahairul meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan. Manakala Isterinya, dihantar ke Hospital Tampin.

Pengawas SPM ini difahamkan bertugas sebagai guru di SMK Dato’ Taha Gemencheh. Manakala arwah suaminya betugas di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

 

 

Sebaik Sedar Dari Koma, Ini Yang Pengawas SPM Buat..

Perkhabaran duka ini turut mendapat simpati Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malek. Kongsi beliau,

“Belasungkawa atas pemergian suami salah seorang guru kita yang amat berdedikasi, Cikgu Nur Fadzihan. Semoga Allah swt mengampunkan kesemua dosa suaminya dan merahmatinya.

Beliau dan arwah suami terlibat dalam kemalangan di Sungai Dua, Tampin semalam.

Meskipun Cikgu Nur Fadzihan mengalami kecederaan yang agak parah di dada, tulang rusuk dan pendarahan dalam perut, beliau masih lagi mengambil tahu kerja-kerja di sekolah setelah sedar dari koma.

Sama-sama kita doakan kekuatan jiwa dan kesembuhan untuk Cikgu Nur Fadzihan sekeluarga. KPM akan memberikan segala jenis bantuan yang diperlukan beliau dari masa ke masa.”

MW : Al Fatihah.. semoga Allahyarham Zahairul Azwan Zainudin ditempat di kalangan orang-orang yang beriman. Dan guru ini diberikan ketabahan hati menghadapi ujian hebat ini.

Baca sini : ‘Wawa amat menjaga solat’ Di sebalik tragedi murid maut terjerut baju hujan

Sumber/Foto : Sinar Harian, Dr Maszlee Malek

Published by
NETTY AH HIYER