Sebaknya, pengawas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini, Nur Fadzihan Qmir, 31 diuji suami meninggal kemalangan ketika menghantarnya untuk bertugas menjaga peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jana.
Suaminya, Zahairul Azwan Zainudin, 32 yang juga seorang anggota tentera gagal mengawal kereta pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dipandunya bersama isteri pagi khamis semalam.
Kegagalan itu menyebabkan kenderaannya terbabas ke arah kiri dan melanggar sebatang pokok. Kejadian kemalangan berlaku di kilometer 2.5 Air Kuning Selatan – Sungai Dua.
Suami Meninggal Ketika Terima Rawatan Awal
Kemalangan kira-kira 7.30 pagi semalam mengakibatkan isterinya cedera parah, manakala Zahairul meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan. Manakala Isterinya, dihantar ke Hospital Tampin.
Pengawas SPM ini difahamkan bertugas sebagai guru di SMK Dato’ Taha Gemencheh. Manakala arwah suaminya betugas di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Ads
Sebaik Sedar Dari Koma, Ini Yang Pengawas SPM Buat..
Perkhabaran duka ini turut mendapat simpati Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malek. Kongsi beliau,
Ads
“Belasungkawa atas pemergian suami salah seorang guru kita yang amat berdedikasi, Cikgu Nur Fadzihan. Semoga Allah swt mengampunkan kesemua dosa suaminya dan merahmatinya.
Beliau dan arwah suami terlibat dalam kemalangan di Sungai Dua, Tampin semalam.
Meskipun Cikgu Nur Fadzihan mengalami kecederaan yang agak parah di dada, tulang rusuk dan pendarahan dalam perut, beliau masih lagi mengambil tahu kerja-kerja di sekolah setelah sedar dari koma.
Sama-sama kita doakan kekuatan jiwa dan kesembuhan untuk Cikgu Nur Fadzihan sekeluarga. KPM akan memberikan segala jenis bantuan yang diperlukan beliau dari masa ke masa.”
MW : Al Fatihah.. semoga Allahyarham Zahairul Azwan Zainudin ditempat di kalangan orang-orang yang beriman. Dan guru ini diberikan ketabahan hati menghadapi ujian hebat ini.
Siapa sangka idea memendekkan waktu bekerja dalam seminggu sebenarnya mempunyai kelebihan yang tersendiri.Berbanding tempoh waktu kerja standard 5 hari waktu bekerja, cubaan berani Microsoft Jepun, memperkenalkan waktu kerja pendek kepada empat hari seminggu bermula Ogos lalu ternyata terbukti berkesan dalam meningkatkan jualan dan penjimatan.
Idea radikal itu dilaksanakan gergasi IT Amerika Syarikat (AS) Microsoft di Jepun, yang terkenal kuat bekerja dengan menutup perniagaan pada setiap Jumaat sejak Ogos lalu, sempena eksperimentasi projek baru yang dinamakan ‘Work-Life Choice Challenge Summer 2019’, sekali gus memberikan 2,300 pekerjanya cuti istimewa tanpa memotong gaji.
Bukan itu sahaja, pihak syarikat juga memberikan subsidi percutian keluarga kepada para pekerja dengan bayaran sehingga hampir RM3,800.
Perlaksanaan bekerja empat hari seminggu di Microsoft,Jepun ternyata membuatkan para pekerja berasa lebih gembira dan bekerja dengan lebih produktif.
“Kerja waktu yang pendek, banyakkan rehat dan pelajari pelbagai perkara,”
“Saya mahu para pekerja berfikir merasai pengalaman yang dia tetap boleh perolehi keputusan yang sama dengan hasil pengurangan 20 peratus waktu bekerja,” kata Takuya Hirano, Presiden dan CEO Microsoft,Jepun dalam kenyataannya di website Microsoft Jepun.
Hasil yang diperoleh sangat positif, apabila jualan bagi setiap kakitangan meningkat kepada sehingga 40 peratus pada Ogos sejak setahun lalu. Penggunaan elektrik juga dikurangkan kepada suku selain penggunaan kertas yang berjaya dikurangkan sehingga separuh.
Firma itu berkata, cubaan itu menunjukkan pekerja mahukan pelbagai pilihan untuk melaksanakan tugas dan dengan mengamalkan model yang lebih meluas mampu meningkatkan kecekapan.
Microsoft merancang untuk melancarkan program yang sama musim sejuk ini, tetapi tidak akan menawarkan cuti khas. Sebaliknya, pekerja akan digalakkan untuk menggunakan cuti sedia ada, katanya.
Program ini diperkenalkan ketika kerajaan Jepun menyasar kepada amalan gaya kerja yang lebih pelbagai dan fleksibel, sekali gus menggesa perusahaan untuk menerima telekomunikasi, jadual kerja sambilan yang berbeza dan berulang-alik di luar waktu puncak.
Ia turut mengehadkan waktu mesyuarat kepada maksimum 30 minit dan menggalakkan perbualan dalam talian sebagai alternatif berbanding komunikasi secara bersemuka.
Penyertaan dalam setiap mesyuarat pula dihadkan kepada hanya lima orang sahaja dan pekerja turut digalakkan menggunakan komunikasi dalam talian berbanding emel.
Usaha ini adalah sebahagian daripada percubaan untuk menangani isu ‘karoshi’ atau kematian akibat terlalu kuat bekerja dan menggalakkan pasangan untuk mempunyai anak di negara yang bergelut dengan populasi yang semakin mengecil. – AFP
MW: Menarik juga langkah pendekkan waktu bekerja yang dilakukan oleh syarikat Microsoft di Jepun ini. Jualan lebih produktif, meningkat dan kurangkan tekanan pekerja. Terbaik!
Suka ‘shopping’ atau membeli belah cukup sinonim dengan golongan wanita dan para isteri. Namun, pastikan ukur baju dibadan sendiri. Berbelanja biarlah ikut keperluan dan kemampuan diri.Berpada-padalah dan janganlah membazir mengikut nafsu ‘bershopping’ sehingga tahap membebankan kemampuan suami.
Gara-gara penangan ‘jualan harga runtuh’ pada 11.11 yang berlangsung baru-baru ini, seorang suami mahu membunuh diri kerana isteri membelanjakan lebih dari RMB300,000 yuan (RM177,559) membeli-belah beg tangan berjenama, minyak wangi mahal, pakaian dan banyak lagi secara dalam talian.
Kejadian yang berlaku di Luzhou, wilayah Sichuan selepas Wang, 29, begitu tertekan kerana isterinya Zhan terlalu boros berbelanja besar membeli pelbagai barangan.Zhan, 29, tertarik dengan diskaun hebat yang ditawarkan peniaga pada jualan harga runtuh 11.11.
Pasangan itu dilaporkan bertengkar sebelum Wang ke bumbung sebuah apartmen 33 tingkat dan mahu terjun dari bangunan itu.
Menurut China Press, polis menerima satu laporan mengenai seorang lelaki mahu terjun dari tingkat 33 bangunan jam 10 malam.Pasukan penyelamat berjaya memujuk dan menenangkan lelaki itu dalam tempoh 30 minit kerana dia terlalu beremosi sebelum menyelamatkannya dari terus terjun bangunan.
Hasil siasatan juga mendapati, Wang hanya menerima bayaran gaji beberapa ribu sebulan sebagai Jurujual. Lelaki terlalu emosi kerana tidak mampu bayar hutang selepas isterinya baru sahaja menambah jumlah hutang semasa promosi ‘sale 11.11’.
Dia berkata, perkara itu bukan kali pertama kerana tahun lalu isterinya juga pernah berbuat sedemikian.Si isteri telah membelanjakan lebih daripada 200,000 yuan (RM118,374) dalam talian membeli beg mewah, minyak wangi dan pakaian menggunakan kad kredit atau pinjaman bank. Si suami telah membayar segala kos perbelanjaan itu.
Malah si isteri telah berjanji untuk mengawal perbelanjaan namun ia hanya tinggal janji.Kata Wang, dia sendirian mencari nafkah selepas isterinya berhenti bekerja kerana perlu menjaga anak mereka.Ketagihan wanita itu membeli-belah bertambah teruk setelah berhenti kerja selepas melahirkan anak pada tahun lalu.
MW: Macam-macam hal penangan sale 11.11 baru-baru ini. Pesanan buat wanita dan isteri yang gemar bershopping, berpada-padalah mengawal nafsu bershopping, jangan sampai terjerat sehingga berhutang. Beli ikut keperluan dan bukannya kehendak sehingga tahap membebankan suami. Beli guna duit sendiri, lain ceritanya.
Di usia 35 tahun, sudah pasti saya juga ingin bergelar isteri dan ibu. Namun hasrat saya itu belum diizinkan Tuhan.
Terus terang, saya seorang wanita yang sangat mementingkan pendidikan dan karier. Saya tak kisah bila zaman remaja saya ‘habis’ dengan mengejar pelajaran dan cita-cita. Kini saya memiliki firma guaman saya sendiri, bersama seorang rakan baik.
Tak nafikan, kerjaya membuatkan ramai lelaki takut untuk menghampiri. Apatah lagi usia saya bukan lagi muda belia. Kalau ada pun, sudah bergelar suami orang dan pasti saya tolak mentah-mentah. Saya tak kisah kalau bertemu jodoh dengan duda, asalkan bukan suami orang. Bekerja sebagai peguam syariah, saya banyak uruskan kes perceraian dan banyak kes melibatkan isteri teraniaya bila suami ingin berkahwin lain. Lelaki muda? Lagi saya tolak!
Pertemuan
Kata orang, kadangkala apa yang kita nak elak, itu yang dapat. Baru-baru ini saya mengendalikan satu kes perceraian. Setiap kali datang berjumpa saya, dia akan ditemani adik lelakinya. Saya dapat rasa dia lelaki yang baik kerana sentiasa di sisi kakaknya dalam saat getir begitu.
Selepas kes itu selesai, saya terima panggilan telefon daripada lelaki itu (saya kenalkan sebagai M), mengucapkan terima kasih kerana telah membantu melancarkan kes perceraian kakaknya.
Makin Rapat
Sejak itu, sering kali juga dia whatsapp dan bila free, akan saya balas. Saya suka dengan sikapnya yang kelakar dan pandai hiburkan hati saya bila tengah tertekan. Lama-kelamaan tanpa sedar saban hari kami berhubung dan akhirnya mula keluar bersama.
Saya tak pernah simpan perasaan terhadapnya memandangkan umurnya enam tahun lebih muda. Saya membahasakan diri ‘kakak’ tapi dia enggan panggil saya begitu, katanya tak nampak pun saya lebih tua. Akhirnya saya biarkan saja.
Luah Perasaan
Dia bekerja sebagai pensyarah muda di sebuah IPTS. Satu hari saya tanya, takkan tak ada pelajar yang mengoratnya kerana orangnya boleh tahan segak juga. Tapi katanya hatinya sudah terpikat pada saya dan dia sukakan wanita yang lebih matang. Penat layan perempuan yang manja dan mengada-ada.
Mulanya saya tak ambil perhatian sebab ingatkan dia bergurau. Tapi bila dia luahkan perasaannya dengan serius, saya sedar dia tak main-main.
Dalam masa yang sama, pernah saya mengelakkan diri daripadanya selama tiga minggu namun dia tak henti-henti whatsapp walau pun saya tak balas. Akhirnya saya akur dengan perasaan sendiri, saya juga sukakan dia dan cuba beri peluang untuk kami berdua.
Kini sudah hampir setahun perhubungan kami dan rasanya ini saat tepat untuk bawa ke peringkat seterusnya kerana saya juga bukan muda lagi.
Masalahnya sekarang, saya tak tahu macam mana nak beritahu keluarga bila M mendesak saya bawa dia jumpa keluarga. Pernah saya cuba bagi ‘hint’ pada keluarga saya, apakah mereka akan terima kalau saya pilih lelaki muda tapi awal-awal lagi mak tak izinkan. Katanya jangan percaya dengan lelaki muda. Pasti nak kejar duit saya saja.
Saya serba salah, saya tahu M bukan begitu. Saya tak kisah kalau adik-beradik saya tak setuju, tapi kalau mak dan ayah, sebagai anak tentu saya kena fikir masak-masak. Saya tak nak jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta. Dalam masa yang sama, saya juga sangat sayangkan M dan saya yakin dia dapat jadi suami yang baik untuk saya.
Miss K, Bangi.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah. Kita merancang..Allah yang menentukan. Merancang dan berusaha serta bertawakal adalah ajaran yang Allah suruh kita ikut untuk mencapai apa yang dihasratkan. Bercakap soal jodoh, kadang-kadang pertemuan tidak dijangka menjalinkan hubungan erat yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan.
Ramai wanita kini yang tidak berkahwin. Antara alasan yang kita sering dengar adalah wanita ramai, lelaki sedikit, susah untuk berjumpa lelaki yang baik, pendidikan lelaki jauh lebih rendah dari wanita, lelaki tidak bekerja atau pendapatan yang rendah (tidak setaraf), keluarga tidak terima berkawan dengan suami orang, dan ada juga faktor umur lelaki yang jauh beza.
Selidik Dulu Soalan Ini
Sebelum kita berbincang tentang penerimaan keluarga terhadap pilihan puan, cuba puan tanya keluarga solan-soalan ini.
i) Apakah kriteria calon yang mereka mahu?
ii) Dalam keadaan usia puan yang telah mencecah 35 tahun, adakah boleh dapat lelaki ikut kriteria yang mereka tetapkan?
Jika keluarga kata mereka boleh carikan, maka puan pula berikan satu tempoh yang bersesuaian yang boleh mereka carikan. Contoh dalam tempoh 3 bulan. Jika mereka berjumpa dengan calon pilihan mereka, mohon masa untuk berkenalan dahulu. Dan jika dalam tempoh tersebut mereka tidak dapat calon yang mereka mahukan, maka puan minta agar jodoh puan mereka terima.
Dalam masa yang sama, puan cuba kenali M dengan lebih mendalam…dari segi perwatakan, ilmu dan amalan keagamaan, kebiasaan aktivitinya, hubungan keluarga dan kerjaya melalui ahli keluarganya, rakan-rakannya dan di tempat kerjanya. Dari sini puan boleh membuat penilaian tentang latar belakang M. Namun, tidaklah perlu untuk mencari fakta kesempurnaannya kerana tidak ada manusia yang sempurna.
Maklumat ini puan simpan dan boleh dikongsikan dengan ahli keluarga terdekat yang boleh memberi kerjasama dengan puan. Dengan M yang selalu mendesak minta sedikit masa, katakan padanya keluarga agak berat menerima lelaki yang jauh lebih muda daripada puan. Atau boleh gunakan alasan lain yang bersesuaian. Beritahu dia solat istikharah sama ada pilihannya itu baik buatnya dan agamanya. Minta dia bersabar dengan tempoh masa itu. Jika dia benar mahukan puan, dia akan sanggup menunggu, kerana 3 bulan bukan tempoh masa yang lama.
Setelah sampai tempoh masa yang puan berikan kepada famili, jika tiada calon yang mereka bawa, maka puan boleh menyuarakan hasrat hati bahawa puan ada berkawan dengan M dan M ingin berkenalan dengan ahli keluarga. Jika puan sukar untuk memberitahu ahli keluarga dan meyakinkan mereka, maka puan boleh gunakan ahli keluarga yang memahami puan dan menyokong puan. Lihat respons keluarga sama ada mereka terima atau tidak. Jika responsnya negatif, maka puan bolehlah mengemukakan hujah dan maklumat yang puan tahu mengenai M. Puan seorang peguam, saya yakin tiada masalah untuk puan meyakinkan mereka dengan pilihan puan.
Ramai saja wanita yang lebih umur daripada lelaki antara 5 hingga 7 tahun mereka berkahwin dan kekal dengan perkahwinan. Pun jika ahli keluarga menyatakan bahawa lelaki itu hanya mahukan harta puan, maka puan juga boleh katakan bahawa bahagia bukan letak kepada banyaknya harta. Adakah puan rasa ahli keluarga bimbang jika puan berkahwin dengan orang muda yang tidak sebanyak harta yang puan miliki , maka mereka tidak dapat berkongsi harta puan?
Puan yang dirahmati Allah
Akhir kata, apa jua masalah, kehendak dan pilihan kita, carilah Allah mohon pertolongan. Seperti yang puan minta dia solat istikhrah, puan juga untuk beberapa malam atau dalam tempoh beri masa yang ditetapkan itu, buatlah solat istikhrah, mohon petunjuk dari Allah…apakah pilihan yang terbaik buat puan dan buat agama.
Jika apa yang puan harapkan tidak menjadi kenyataan, maka kita perlu bersyukur kerana perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Wallahualam.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!