Apabila suami meninggal dunia, isteri bercadang hendak menuntut wang KWSP sebagai harta sepencarian. Seperti yang kita ketahui selepas kematian suami, semua harta yang dimiliki atas nama suami tersebut adalah dikira sebagai harta pusaka.
Bahagian faraid bagi seorang isteri adalah 1/8 sahaja sekiranya suami mempunyai anak. Bahagian tersebut sangat kecil bagi seorang ibu yang akan membesarkan anak-anak kecil yang ditinggalkan simati atau arwah suami. Jika arwah suami tinggalkan banyak jutaan Ringgit Malaysia, mungkin tak lah terasa sangat dengan nilai 1/8 tersebut.
Kalau duit simpanan pun tak banyak, yang ada hanyalah KWSP arwah suami sahaja, maka itu sahajalah duit ‘survival’ selepas kematian yang isteri tersebut akan terima dengan bahagian kecil 1/8.
Berikut perkongsian daripada Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor, Fahmi Ramli
Pernah ada seorang wanita bertanya, “Tuan Fahmi, kalau lah suami saya mati, bahagian Faraid saya kecil, boleh ke kalau saya tuntut KWSP tu sebagai harta sepencarian untuk dapat lebih?”
Boleh ke?
✅ Adakah KWSP dikategorikan sebagai harta sepencarian?
Ada yang ingat KWSP itu harta sepencarian dengan menganggap hasil pendapatan suami terdapat sumbangan tidak langsung isteri yang menjaga hal ehwal anak dan rumahtangga.
Namun, ini salah. Ia kerana KWSP telah diputuskan oleh keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000:
👉🏻 Wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut Hukum Faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP, maka wang itu adalah milik si mati.
✅ Kalau tak tuntut Harta Sepencarian, boleh ke isteri sebagai Penama menerima semua?
Penama bukanlah penerima Hibah atau pemilik penuh selepas kematian seseorang. Penama yang dinamakan di dalam KWSP pencarum itu hanyalah sebagai Pentadbir Harta atau pemegang amanah simati sahaja.
Ini bertujuan untuk memudahkan urusan waris menerima wang KWSP simati dengan mudah dan cepat sahaja. Sebabnya, untuk mendapatkan perintah Pusaka itu bukanlah satu urusan yang boleh selesai dalam tempoh satu hari, satu minggu atau satu bulan.
✅ Apa tugas Penama KWSP?
Menurut keputusan Muzakarah tersebut, Penama KWSP hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut Faraid.
Ini bermakna, bagi sesiapa yang telah dinamakan sebagai Penama KWSP, ia perlu memegang amanah untuk bahagikan duit peninggalan simati tersebut mengikut bahagian faraid. Bukan miliknya seorang sahaja.
✅ Bolehkah dibuat Hibah duit KWSP?
Pada pandangan saya, KWSP ini tidak boleh dibuat Hibah kerana ia belum dikira milikan penuh sehingga mencapai tempoh matang untuk seseorang pekerja itu menerima.
Namun, sekiranya ia berada dalam milikan penuh, contohnya dikeluarkan duit sewaktu PKP, maka ketika itu jika nak dihibahkan kepada sesiapa pun itu hak anda. Namun, untuk membuat Hibah Bersyarat sekiranya kematian pencarum akan diterima oleh penerima hibah adalah tidak boleh.
Ini sama sekali akan bertentangan dengan keputusan Muzakarah tersebut. Bahkan, ada kes diputuskan Re Ismail Bin Rentah (simati) [1939] FMSLR, Hakim memutuskan:
“Penama di dalam kes tersebut tidak boleh dianggap sebagai penerima Hibah oleh sebab tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya ia dianggap Hibah semasa Mard al-mawt (sakit yang hampir kematian) yang tertakluk kepada Undang-undang Wasiat. Oleh sebab itu, ikut Undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris.”
Kesimpulannya:
Sekiranya seorang isteri hendak bahagian lebih daripada tinggalan KWSP suami, ia tak boleh dituntut melalui Harta Sepencarian. Tak sama macam bahagian harta lain seperti rumah misalnya.
Sekiranya isteri menerima sebagai Penama selepas kematian suami, WAJIB bagi isteri tersebut membahagikan bahagian sebagaimana bahagian faraid. Memang sikitlah bahagian isteri jika ada ramai anak dari simati dan juga ramai isteri. Inilah cabaran yang akan diterima oleh isteri untuk ‘survive’ selepas kematian mengejut suami.
Kalau suami meninggalkan banyak duit KWSP beratus-ratus ribu, ada la juga bahagian ribu-ribunya. Kalau ada hanya sekitar RM10,000 sahaja sewaktu kematian tersebut, bank simpanan pun sedang ‘stuck’ sebelum ada perintah pusaka, berapa agaknya tempoh untuk isteri tersebut bertahan jika dia pun bergantung penuh pada suaminya semasa hidup?
Oleh itu para suami digalakkan untuk membuat hibah kepada isteri untuk ‘survive’ membesarkan anak-anak. Jangan ada rasa ‘biarlah mereka urus sendiri’ sedang kita menagih doa mereka sewaktu di alam sana.
Sumber: Fahmi Ramli