Suami yang mengaku curang pasti akan melunturkan kepercayaan isteri. Namun sayang masih menebal. Apakah sebaiknya isteri memafkan suami dan berikan peluang untuk suami berubah?
Puan Suzana Ghazali yang merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Gumana Syarie berkongsi antara kes yang banyak ditanganinya. Ikuti perkongsiannya http://bersamasuzana.blogspot.com.
Seorang wanita pernah inbox saya, mengadu tentang suaminya kantoi curang buat pertama kali. Dia bertanya, apakah dia wajar memaafkan suaminya itu?
Realitinya, hidup bererti memberi peluang. Koreksi diri, setiap hari kita melakukan pelbagai perkara dan sama ada sedar atau tidak, ada perkara yang menyebabkan kita berdosa kepada manusia malah kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Malah ada manusia yang berulang kali melakukan dosa saban hari hingga ke malam. Tika rasa mengantuk mendatang, kita di’mati’kan sementara dan di’hidup’kan semula awal pagi esoknya.
Walau ada yang tidur terus kerana tidak dikembalikan-Nya nyawa, kita yang mampu terus bernafas di muka bumi ini adalah antara yang terpilih dan diberikan peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik – sebagai isteri atau suami, sebagai ibu atau bapa atau anak, malah menjadi lebih baik untuk diri sendiri khususnya sebagai hamba yang mengaku beriman kepada-Nya. Andai Allah SWT masih kekal memberikan kita peluang saban hari dan masa, kenapa kita sebagai hamba tidak berusaha memberikan peluang yang sama?
Perkara yang paling sukar untuk diberi peluang ialah apabila diri dikhianati pasangan. Dalam banyak keadaan, suami atau isteri terlalu sukar untuk memberi peluang untuk pasangan membuktikannya telah berubah.
Walaupun hubungan masih diteruskan tetapi kesilapan silam digunakan sebagai senjata untuk menjerat diri agar tidak percayakan pasangan lagi. Sama juga dengan hubungan persahabatan atau persaudaraan, sekali tersalah seperti dipersalahkan sepanjang hayatnya.
Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan. Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan.
Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama? Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya?
Akuilah kebenaran, hidup kita ibarat roda, ada tikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Maafkan lah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.
Namun, sejauh mana peluang boleh diberi? Sekali? Dua kali? Tiga kali? Kalau mengikutkan hukum perceraian, peluang boleh diberi melebihi tiga kali. Sebenarnya, berapa jumlah peluang yang boleh diberi tidak ditentukan had minima malah tidak juga ditetapkan had maksima.
Paling utama, selagi anda berdaya menjadi hamba yang adil dan redha dengan kesan daripada tindakan anda memberikan peluang, anda bebas untuk terus memberikan peluang kepada sesiapa sahaja. Reda bermaksud anda berlapang dada dan adil bererti anda tidak menganiayai diri anda sendiri.
Lantas, berikan peluang selagi daya dan kepada manusia yang diberikan peluang, ambillah teladan dan pengajaran dan mengertilah, manusia yang penuh kesabaran akan mengambil keputusan nekad dan muktamad, jauh dari segala sangkaan anda. Jangan sampai anda merana kerana dia tidak lagi percaya…!
https://www.mingguanwanita.my/suami-lepas-tangan-isteri-menangis-penat-urus-semua-sendiri/