Adat berumahtangga saling membantu antara suami dan isteri. Tak dinafikan melunaskan nafkah adalah di bawah tanggungjawab suami, namun adakalanya pendapatan suami tidak mencukupi seterusnya memerlukan bantuan isteri yang turut sama bekerja.
Perkara ini memerlukan perbincangan bersama dan sebaiknya suami dapatkan izin serta redha seorang isteri sebelum meminta bantuan pasangan itu dan ini.
Di samping itu, apabila suami kurang berkemampuan, ini caranya berterima kasih pada isteri yang sanggup membantu. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin dan ingat betul-betul pesanannya:
Ini Caranya Berterima Kasih Pada Isteri
Kalau pendapatan seorang itu tak mampu untuk sara keluarga, kemudian nak isteri tolong topupkan mana yang terkurang. Maka jaga tujuh perkara ini:
Jangan terus suruh isteri bayar apa yang kita tak mampu bayar.
Duduk berbincang, senaraikan komitmen bulanan… Jujur dengan pendapatan, berapa yang kita dapat tanpa ada extra income, berapa yang kita dapat dengan extra income.
Selepas itu tunjuk berapa baki setelah pendapatan itu ditolak dengan komitmen serta ansuran bulanan.
Kalau negatif, negatiflah… Kita nak isteri tengok unjuran kewangan keluarga kita jika hanya kita seorang saja yang cover bayar semua walaupun isteri ada pendapatan…
Suami Kurang Berkemampuan, Minta Izin Isteri Bantu
Mintak izin dan redha isteri kalau hendak dia bantu.
Bila kita ada plan kewangan kita, kita buat bajet dan isteri pun nampak semua perancangan itu, insyallah, dia akan bantu. Cumanya kita sebagai suami kena mintak izin dan redha isteri untuk dia bagi bantuan tersebut.
Dia kena redha dan rela hati untuk bantu, jangan paksa, jangan suruh… Minta elok-elok…
Bantuan Isteri Tak Boleh Lebih
Bantuan isteri tak boleh lebih 50 peratus.
Bila isteri nak bantu, maka jangan minta isteri bantu lebih dari 50 peratus, meaning that isteri itu pula kena keluarkan duit lebih daripada kita. Kita pula yang kurang keluarkan duit.
Maka itu bukanlah namanya kita menggunakan bantuan isteri, tapi kita mengalihkan atau memindahkan bebanan kita, tanggungan kita kepada isteri.
Ads
Bantuan isteri itu hanya untuk top up mana yang tak cukup, bukan ambik alih atau tanggung semua…
Jangan tambah komitmen tanpa pengetahuan isteri.
Kalau rasa lapang bila dibantu, kalau rasa ada duit lebih bila dibantu, maka jangan sewenang-wenangnya menambah komitmen dan ansuran bulanan tanpa pengetahuan isteri.
Jangan upgrade lifestyle, jangan tambah hutang, jangan bermewahan sebab kita itu nothing tanpa dibantu isteri dan jika isteri tarik balik bantuan, maka kita tak akan ada duit lebih atau rasa lapang…
Kekalkan atau habiskan komitmen yang ada…
Bila Berkemampuan, Suami Ambil Semula Tanggungan
Ambil semula tanggungan apabila mampu.
Bila pendapatan kita sebagai suami sudah ada lebihan, macam ada ot(over time) ke, bonus ke, extra income ke, maka ambil semula apa yang dibayar isteri…
Kita bayar guna pendapatan kita. Jangan biarkan isteri terus bantu di kala kita sudah mampu untuk bayar sendiri…
Ads
Bersyukur bila dibantu, jangan buat perangai.
Kesedaran diri itu sangat penting. Kalau tak mampu, buat cara tak mampu. Kalau dibantu, buat cara dibantu.
Tak payah nak buat perangai, tak payah nak curang bagai. Jangan berat tulang, jangan buat perkara yang boleh menyakiti hati pasangan.
Pasangan bantu kita, kita bantu dia balik dalam cara yang kita boleh seperti mengurangkan bebanan kerja-kerja rumah dia. Beneficial for each other…
Berterima Kasih Pada Isteri Yang Sanggup Membantu
Hargai bantuan yang dihulurkan isteri.
Hargai isteri, sesekali itu bawalah dia makan di luar. Kemudian bagi dia kejutan, kumpul duit dan bawa dia berjalan.
Tambah kasih sayang dan cinta terhadap isteri sebagai salah satu cara kita berterima kasih kepada dia kerana sanggup bantu kita, keluar duit untuk kita asbab kita kurang berupaya dan berkemampuan untuk tanggung dan bayar semua…
Sekian, semoga bermanfaat…
MW: Dalam rumah tangga beginilah resamnya, saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain barulah bahagia. Tidak semua pasangan hidupnya senang selepas berkahwin namun carilah bahagia dengan cara tersendiri dan binalah hidup mengikut kemampuan.
Sedihnya bila dengar pasangan yang sudah berpuluh tahun kahwin di ambang penceraian. Sedangkan makin lama kahwin mestilah makin sayang dan bahagia. Sebab pasangan inilah yang sentiasa bersama saat susah dan senang.
Tapi, pelik pula, makin lama kahwin tiada lagi keserasian dan merasakan pasangan dah tak cantik seperti dulu. Janganlah pandang pada keindahan fizikal pasangan tapi pandanglah pengorbanannya selama ini.
Tiada pasangan yang tak diuji, cuma kuat atau tidak ujian itu, hanya suami isteri yang mampu menyelesaikan sebaikn mungkin. Bukannya ambil jalan pintas dengan meleraikan ikatan perkahwinan.
Sepatutnya, makin lama kahwin kita dah tahu luar dalam pasangan. Jangan terus mencari kesalahan dan kekurangan pasangan. Sebaliknya kita lengkapi dan ingat kembali pengorbanan dan baktinya.
Antara pesanan Ustazah Asma’ Harun ini adalah jangan terburu-buru ambil keputusan berpisah. Pengganti yang bakal lengkapi hidup kita itu belum tentu tandingi pasangan kita sebelum ini.
1. Apabila pasangan melakukan sesuatu perbuatan yang salah, dosa, maksiat atau menyakitkan hati, maka saat itu jangan hanya meletakkan kesalahan atas pasangan semata.
Walau dalam perit, tetap merenung ke dalam diri, kemungkinan apa yang berlaku ada kaitan dengan kesilapan, maksiat dan dosa diri sendiri.
Kesannya, kita tidak terlalu ego atau emo hingga terburu mahu berpisah. Tetap ada ruang kemaafan bagi yang berjiwa besar. Jadikan talak sebagai jalan yang akhir selepas akhir.
2. Makin lama dalam pernikahan, keindahan fizikal keduanya makin berkurang, bahkan terlihat keindahan itu pada orang lain.
Maka saat ini carilah keindahan dalam diri pasangan pada besarnya pengorbanan dan bakti yang begitu banyak, ia tidak akan mampu ditandingi oleh mana-mana pengganti.
3. Makin lama dalam hubungan, bertambah pula kenangan, maka usahakan untuk melupakan kenangan yang perit dan pahit. Kerana syaitan dan hawa nafsu tidak akan berhenti membisik dan mengulang tayang moment sedih dan pahit itu dalam fikiran. Banyakkan ucapan istia’zah ( A’uzubillahi mina Syaitanirrajim) setiap kali lintasan itu datang.
Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (QS. An-Nisaa’: 19)
Moga semua terus kuat hadapi Ujian Badai Rumahtangga, moga bahagia sampai Syurga.
Mingguan Wanita : Setiap suami isteri ada pasang surutnya. Jangan terlalu ikut nafsu. Bila kenangkan yang baik-baik tentang pasangan, pasti amarah dan geram pasti lenyap.
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
Tak semua wanita bertuah dapat jadi suri rumah sepenuh masa tanpa ada kerja sampingan lain di rumah. Dengan kata lain, fokus kerja rumah dan jaga anak. Realitinya ramai yang masih cari duit sendiri untuk wujudkan duit poket sendiri. Malah ada sesetengah wanita rindu zaman bekerja di ofis. Namun sebenarnya anda mampu hapus perasaan dilema itu dengan 5 tip yang dikongsikan oleh Puan Nooreen Firdaus Mohd Yahaya ini..
“Bestlah kau lepas berhenti kerja, boleh focus kat anak-anak aje kan. Tak payah fikir lagi pasal kerja.”
Saya tersenyum. Ya, memang best berhenti kerja boleh fokus pada keluarga. Keluarga bahagia yang ada bersama kita pada setiap masa juga adalah satu nikmat yang tidak ternilai. Masa tidak bekerja juga adalah kesempatan yang diberi oleh Allah untuk kita mendekatkan diri dengannya dan mencorak masa depan anak-anak dan keluarga mengikut citarasa kita sendiri.
Namun ada juga terselit perasaan rindu pada kehidupan masa lampau. Semasa berkerjaya, kita mempunyai misi untuk menyumbang intelek dan tenaga di luar dari aspek keluarga dan pada masa yang sama ada sumber kewangan yang kukuh.
Ada orang yang berhenti kerana kerja yang dilakukan tidak memberi ‘meaning’ pada hidup mereka. Ada yang diberhentikan kerja, mendapat pampasan dan memulakan bisnes dengan modal yang ada. Dilema saya pula adalah kerana saya cintakan kerjaya saya. Saya tahu kerjaya saya memberi impak pada hidup saya dan organisasi saya. Namun saya tahu tempat isteri adalah di sisi suami dan denagn itu saya mengambil keputusan untuk mengorbankan kerjaya saya demi suami dan keluarga.
Inilah antara dilema isteri-isteri yang berhenti kerja kerana mengikut suami. Ada diantara kami yang mempunyai dilema rindukan Malaysia, ada yang dilema menguruskan anak-anak dalam cuaca dan kondisi yang tidak sama dengan tanahair. Ada juga yang mencari aktiviti yang ‘meaningful’ untuk mengisi masa lapang. Pendek kata, pelbagai dilemma yang dialami disebalik senyuman isteri-isteri yang berhenti kerja mengikut suami.
Saya ingin kongsikan 5 tip untuk isteri dan suami yang telah atau akan berhenti kerja untuk mengikut suami:
1. Belajar untuk redha dan menerima keadaan
Salah satu cabaran utama isteri yang meninggalkan kerjaya adalah ‘low self esteem’. Manakan tidak, suatu masa dulu kita ada kerjaya, rakan sekerja dan gaji bulanan yang boleh dibelanjakan tanpa meminta izin sesiapa. Setelah meninggalkan kerjaya, kita harus menerima keadaan yang kita tidak boleh berbelanja seperti dulu, cari rakan-rakan baru di kalangan isteri yang tidak bekerja dan bina hidup baru. Dekatkan diri dengan Allah agar diberi kekuatan untuk membina hidup baru bersama keluarga.
2. Cari minat dan erti hidup yang baru
Inilah peluang anda untuk ubah dan memperbaharui hidup anda! Saranan saya adalah keluar dan berjumpa dengan seberapa ramai orang dan cari minat baru. Cuba perkara yang anda tak sempat lakukan semasa berkerjaya dulu, atau mingkin impian anda suatu masa dahulu; contohnya belajar Bahasa asing (sangat penting terutamanya jika anda berada di luar negara), belajar menjahit, online marketing, bela haiwan atau zumba. Inshallah, anda akan lebih gembira dan dapat menukarkan impian anda menjadi realiti!
3. Ukur tahap pencapaian
Dalam dunia kerjaya, semua usaha diukur dengan target dan Key Performance Indicator (KPI). Apabila kita mencapai progress yang kita kehendaki, kita kan mencapai sense of accomplishment dan ini akan meningkatkan self esteem dalam diri kita. Oleh itu, walaupun tanpa kerjaya dalam organisasi, kita perlu adakan target dan KPI untuk dunia baru kita. Misalnya, kalau kita memilih untuk belajar Bahasa asing, mungkin KPI kita adalah untuk lulus Kelas 2 dalam masa 6 bulan. Inshallah kita akan tampil lebih yakin dengan pencapaian kita walaupun orang lain tak tahu.
4. Nafkah bulanan dari suami
Adakan perjanjian dengan suami untuk nafkah bulanan mengikut kemampuan suami. Ada sesetengah suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri sewaktu isteri bekerja. Maklumlah, isteri tidak perlu meminta pada suami untuk keperluan diri sendiri walaupun suami wajib memberi. Apabila isteri tidak bekerja, maka suami wajib memberi nafkah mengikut kemampuan suami untuk digunakan mengikut kehendak isteri sendiri, sama ada untuk perbelanjaan diri, sedekah atau simpanan. Pesan saya untuk semua suami, ingat pengorbanan isteri meninggalkan kerjaya kerana suami dan keluarga. Jangan sampai isteri perlu menagih untuk minta apa yang wajib untuknya.
5. Life Guarantee Letter
Apabila isteri tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada suami, terselit kegusaran sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini seperti suami meninggal/menceraikan kita. KIta tidak boleh buat loan bank kerana tiada income tetap. Oleh itu perlu ada harta yang boleh kita sandarkan sekiranya perkara itu berlaku. Misalnya, suami boleh memberi ‘Life Guarantee Letter’ dalam bentuk hibah, rumah atau apa-apa juga harta yang boleh memberi jaminan hidup yang selesa bagi keluarga sekurang-kurangnya dalam masa 3 tahun.
Semoga perkongsian ini ada manfaatnya. Wallahu a’lam bissawab.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Walau pun ramai yang tuduh saya mandul tapi saya tak kisah asal bukan suami yang kata begitu.
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir? Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah sangat kerana memikirkan mungkin dia ingin rasa seperti anak sendiri. Tapi saya dapat rasakan sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.
.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya. Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangan-Nya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, senantiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini, pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solat malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan hati ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...