Suami Kena Peka Bila Isteri Berduka

Share

Hubungan di antara suami isteri cukup erat sehinggakan segala baik buruk pasangan akan diketahui. Sebagai suami, sejauh mana anda benar-benar ‘kenal’ dan dapat menyelami perasaan isteri anda? Apakah cukup dengan bahasa tubuh yang ditunjukkan itu?

Suka Pendam

Wanita sering kali dikaitkan dengan sikap yang suka memendam perasaan. Walau pun mereka sedang berduka, tapi jarang ditunjukkan kepada suami. Mungkin disebabkan tidak ingin menyusahkan suami. Tapi, sebagai suami yang prihatin, anda perlu ambil peduli dan peka dengan perubahan emosi isteri.

Tanda-tanda

Antara tanda yang menunjukkan isteri sedang dalam keadaan berduka, dia banyak mendiamkan diri dan kurang berkomunikasi dengan anda. Walau pun mungkin dia cuba tersenyum, tapi perhatikan betul-betul, pasti anda dapat kesan rasa duka di wajahnya.
Atau bila pulang dari kerja, tiba-tiba lihat matanya merah seperti baru menangis, sudah pasti ada yang tak kena. Sebagai suami, jangan buat tak tahu sedangkan anda dapat kesan signal yang telah diberikan oleh isteri.

Tanya

Kemudian, bertanya dengan lembut, apa yang membuat dirinya berduka. Apakah ada kegusaran atau masalah yang sedang melanda hatinya kala itu? Entah-entah, dia terluka dengan sikap anda yang tanpa sedar membuatkan dia bersedih. Jika ya, minta maaf andai itu memang salah anda.

Jangan bersikap ego dan tak bertanya apa yang sedang dialami oleh isteri. Walau pun mungkin pada mulanya isteri tak nak berkongsi atas sebab tertentu, tapi percayalah, jika anda tunjukkan sikap prihatin pasti mereka akan luahkan pada anda.

Cuba Hiburkan Hati Isteri

Setelah diketahui punca yang menyebabkan duka si isteri, cubalah hiburkan hatinya dengan melakukan sesuatu yang disukai. Atau yang paling mudah, berikan pelukan sayang sambil luahkan kata-kata pujukan.

Bantu Jika Mampu

Sekiranya ia melibatkan soal kerja dan di luar hubungan suami isteri, anda boleh cadangkan jalan penyelesaian buat isteri. Pasti si isteri akan menghargai pendapat anda itu walau pun mungkin tidak diikutinya. Yang penting, ia menunjukkan rasa prihatin dan peduli anda terhadap dirinya. Itu lebih bermakna buat isteri. Dengan cara itu juga, isteri akan rasa selesa untuk meluahkan dan berkongsi perasaannya dengan anda kelak. Ia adalah satu hal yang positif dalam hubungan anda suami isteri.

Published by
Nurul Azwa