Pening kepala melihatkan rumah yang bersepah dengan keadaan dapur yang juga berselerak. Penat bekerja juga masih tidak terlerai, inikan pula melihat rumah yang kacau bilau. Itulah situasi yang sering melanda mak-mak dengan anak yang lebih daripada dua. Tambahan pula tiada pembantu di rumah, semuanya perlu dilakukan sendiri. Jangan panik dan jangan putus asa, cubalah tips di bawah untuk urusan rumah tangga yang lancar dan menggembirakan.
1. Sentiasa tersenyum dan bersikap positif.
Tetaplah tersenyum baik pada pasangan juga pada anak-anak anda. Si kecil akan lebih mudah diajak bekerja sama dan gembira mendengarkan perkataan yang baik-baik daripada mulut ibu mereka. Jangan panik dan jangan mula membebel. Membebel akan buat anda tambah stress!
2. Berkongsi tugasan
Tiada pembantu di rumah kedengaran agak mustahil untuk ibu seorang melakukan tugas rumah tangga. Kalau dapat suami yang tak perlu suruh dah buat, bonus untuk anda, tapi kalau yang perlu diketuk baru buat, jangan segan silu nak minta tolong. Buang sampah, masukkan kain dalam mesin basuh dan ampaikan, basuh bilik air dan sebagainya mungkin boleh diberikan tugas tersebut kepada suami. Selain melibatkan pasangan jangan lupa untuk libatkan juga anak-anak kecil anda.
3. membuat jadual harian
Menguruskan rumah tangga tanpa pembantu sebenarnya ada kebaikan juga. Ia membantu si kecil anda supaya lebih berdisiplin, teratur, pandai membahagikan masa di samping menggalakkan perkembangan motor mereka. Cuba buatkan jadual harian untuk si kecil anda bagi tempoh seminggu. Misalnya buat si kecil yang berusia 2-4 tahun, antara kerja rumah yang boleh anda bagi untuk mereka adalah seperti mengemas permainan mereka, memasukkan pakaian bersih yang telah dilipat ke dalam almari dan juga membantu menyiapkan meja makan. Setiap tugasan yang dibuat dengan baik selama seminggu berturut-turut wajar untuk anda memberikan mereka ganjaran yang bersesuain. Dengan cara tersebut, anak-anak tentu lebih teruja untuk terus membantu anda.
4. libatkan anak sesuai dengan umur mereka
Si kecil anda pasti gembira dapat membantu mama di rumah. Untuk anak yang lebih besar latihlah mereka untuk mengemas tempat tidur sendiri, meletakkan pakaian kotor di dalam bakul yang disediakan, menyidai tuala yang telah digunakan dan sebagainya. Ia sedikit sebanyak mengajar mereka untuk lebih berdisiplin dan teratur dalam kehidupan seharian dan juga sebagai persediaan untuk mereka meningkat dewasa.
5. Jangan menaruh harapan yang tinggi
Meminta bantuan si kecil di bawah umur 6 tahun. Jadi tak perlulah anda menaruh harapan yang terlalu tinggi buat mereka. Walaupun rumah masih lagi berselerak sekurang-kurangnya si kecil anda sudah boleh membantu. Mungkin tidak sesempurna anda tugasan yang diberikan kepada mereka tetapi ia sedikit sebanyak membuatkan anda rileks kerana si kecil boleh menguruskan urusan kecil mereka sendiri.
6. Tiada yang sempurna
Walaupun anda telah melakukan yang terbaik untuk mengatur rumah dengan anak-anak kecil, namun percayalah tiada seorang pun yang sempurna. Ada ketikanya apa yang direncanakan tidak berlaku seperti yang kita harapkan. Yang penting anda jangan panic dan lakukan apa sahaja yang anda buat dalam kemampuan anda, bukan untuk menunjuk-nunjuk atau merasa hebat. Paling penting anda punya keluarga yang harmoni dan bahagia. Itu pastinya melengkapi kehidupan anda.