Suami kena jadi sombong kalau nak rumah tangga bahagia. Kehidupan bujang dan sudah berkahwin memang berbeza. Bukan sahaja soal perbelanjaan tetapi pergaulan juga terhad.
Bukan bermakna, pasangan tidak boleh bersosial dengan kawan-kawan tetapi ada batasan disitu. Bimbang ada pihak ketiga yang nak menyondol dan merentap kebahagiaan yang dibina.
Perkongsian lelaki ini, Najmi Nawawi penuh inspirasi buat suami agar menjaga kebahagiaan keluarga.
BILA DAH JADI SUAMI KAU KENA ‘SOMBONG’
Kau kena tahu ‘limit’ kau, dan kau kena tahu yang kau sudah mempunyai isteri. Hidup zaman bujang dan hidup selepas kahwin jangan disamakan. Kawan dekat tempat kerja cukup sekadar kawan, dan bercakap sekadar apa yang perlu.
Jika hidup di zaman bujang dulu kita boleh ‘haha’, ‘hihi’ dan ‘huhu’ sana sini, takkanlah selepas kahwin pun kau mahu teruskan benda yang sama. Lebih-lebih lagi dengan kawan-kawan perempuan kau. Kau kena ingat juga isteri yang sanggup bertahan segala ‘busuk’ kau dekat rumah.
Ads
Dengan isteri dekat rumah, suka untuk bergaduh, tetapi kawan-kawan diangkat jadi dewa, dipuji dan disanjung. Bermasam muka dengan pasangan, namun boleh tersenyum lebar berjam-jam dengan kawan-kawan.
Ini tidak adil. Jangan kita terlalu utamakan kawan-kawan sehingga lupa pada pasangan. Ini ialah perkara yang tidak patut berlaku. ‘Sense of judgment’ yang sudah tersasar.
p/s : Jangan risau, kawan-kawan kau tidak akan cakap kau ‘sombong’ tetapi mereka akan ‘respect’ kau sebab kau matang dan tahu mana prioriti.
Lagipun apa kau kisah. Kita hidup bukan dibawah kata-kata dan prasangka orang lain. Kita lebih tinggi dari itu, takkan begitu mudah kita kalah dengan persepsi orang lain.
Sampai masanya nanti, mak ayah akan tinggal sendiri! Semua yang anak buat hari ini hanya akan tinggal kenangan di ingatan. Memang perit bila mak, ayah semakin menua kemudian anak-anak jauh di mata.
Oleh itu, selagi anak-anak perlukan mak ayah, lakukan yang terbaik buat mereka. Walaupun lelah dabn penat melayan karenah anak-anak, hargailah setiap saat yang ada.
Sesungguhnya suatu hari nanti, kenangan-kenangan yang dicipta hari ini akan subur dalam ingatan.
Sampai Masanya Nanti
Kongsi Ustaz Firdaus Mokthar, hari inilah anak-anak hendak panjat badan kita pun. Sesugguhnya, hari ini lah anak-anak nak minta kita buatkan susu. Dan hari ini lah anak-anak nak minta kita masakkan nasi dan suapkan makan.
Hari ini lah anak-anak nak seronok menari-nari tengok kita balik kerja. Juga hari ini lah anak-anak nak berlari ke pintu bila kita sampai ke rumah. Hari ini lah anak-anak nak kita main kejar-kejar dengan dia.
Malah, hari ini juga mereka akan percaya semua kata-kata kita tanpa sikit pun ragu. Hari inilah mereka nak bertanya soalan yang tak putus, itu dan ini, biar pun soalan berulang-ulang kali.
Mak Ayah Tinggal Sendiri!
Iya, semuanya hari ini. Saat mereka masih lagi kecil dan meletak sepenuhnya kehidupan dengan kita.
Sampai masanya nanti, kita tinggal sendiri. Semua yang anak-anak buat hari ini cuma tinggal kenangan.
Suara, ketawa, pergerakan, menangis, berkejar-kejar dan segalanya tentang mereka hanya bermain di ingatan kita.
Semua Yang Anak Buat Hanya Tinggal Kenangan
Kawan-kawan,
Hiduplah kita dengan kehidupan hari ini. Cari bahagia yang kita ada saat ini. Selagi boleh bermain dengan anak-anak, mainlah. Luangkan masa bermain bersama anak-anak, belikan apa yang anak suka seperti Upin Ipin (Hand Puppet Ehsan). Mesti anak-anak teruja bila mak ayah layani anak-anak bercerita dengan Upin Ipin (Hand Puppet Ehsan).
Diajak berlari dan berlumba, buatlah. Diminta dimanja sekejap, layanlah. Anak-anak minta dimandikan, buatlah. Entah sampai bila kita punya peluang nak buat semua tu.
Mingguan Wanita: Anak adalah anugerah dan amanah Allah SWT kepada setiap mak, ayah. Hargailah dan sayangilah mereka selagi mereka memerlukan mak, ayah.
Selepas lebih 30 jam ghaib, syukur remaja hilang dalam semak selamat ditemui. Mujur tiada perkara yang buruk menimpa remaja ini kerana tempoh 30 jam bukan satu tempoh yang singkat.
Tentu saja ahli keluarga remaja ini bersyukur tidak terhingga apabila anak yang dicari ditemui selamat. Alhamdulillah.
Selepas Lebih 30 Jam “Ghaib”
Seorang remaja lelaki yang dipercayai ‘ghaib’ selepas membuang air kecil dalam semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi ditemui selamat petang tadi selepas lebih 30 jam hilang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Muhammad Iznun Al Azim Mahadi, 13, ditemui pada pukul 5.30 petang dalam keadaan lemah kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
Katanya, penduduk kampung menemui mangsa berhampiran sebuah jambatan di kampung itu selepas usaha mencari dilakukan pagi tadi.
“Mangsa ditemui lengkap memakai baju kemeja-t lengan pendek berwarna merah berlogo Mickey Mouse dan berseluar pendek warna hitam.
“Mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarga. Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus ditamatkan,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang remaja lelaki tingkatan satu dilaporkan hilang selepas membuang air kecil di sebalik kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi di sini kelmarin.
Choon Foo berkata, mangsa, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Kuala Krai dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam sebelum ibunya menyedari remaja itu tidak pulang kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Katanya, sebelum itu mangsa dikatakan melepak bersama dua rakan baiknya di hadapan rumah sambil bermain telefon bimbit.
Mingguan Wanita : Remaja ini ditemui kebingungan selepas lebih 30 jam hilang. Entah ke manalah dia menghilang.
Nampak urus rumah sangat mudah dan senang. Tak penat otak pun, cuma tangan dan kaki bergerak, berbanding dengan kerja di pejabat, memang berbeza.
Jangan ingat urus rumah senang dan mudah. Selesai kerja rumah, mak-mak boleh rilek tengok tv dan ‘me time’.
Sebenarnya, urus rumah tak akan habis. Bermula seawal pagi sampailah ke malam. Memang tak pernah habis. Ada saja yang perlu mak-mak lakukan. Ini belum lagi fikirkan tentang hidangan apa untuk keluarga, basuh baju, jemur dan lipat.
Boleh dikatakan dari perkara kecil sampailah perkara besar dalam urus rumah, semuanya di bahu isteri. Suami? Nampak macam pulang kerja hanya goyang kaki di kerusi sambil menonton tv.
Ingat, urus rumah bukan hanya di bahu isteri sahaja, suami pun memainkan peranan penting. Seperti yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini, ada benarnya. Baik isteri atau suami, masing-masing ada tanggungjawab tersendiri.
Tahu, kan? Isteri kamu penat. Setiap hari fikirannya tertumpu untuk keselesaan suami dan anak-anak. Setiap perincian, walau sekecil mana pun dia akan fikir.
Pasal makan, dia tahu sangat makanan apa yang suami suka, apa yang anak-anak suka. Jika ada bercanggah kemahuan, dua-dua pun dia masak. Tak apa penat sikit, asalkan semua makan berselera. Di sebalik itu semua, kemahuan dirinya sendiri tak tertunai, kerana makanan yang dia suka, suami dan anak-anak tak suka.
Cuba buka almari dan lihat. Semua baju dia dah susun elok. Ikut jenis, kegunaan dan pasangan pakaian yang sesuai. Baju suami digosok rapi. Panas atau hujan, jarang baju kerja tak tergantung elok bergosok dalam almari di pagi hari. Baju sekolah anak-anak bersih, walaupun setiap kali pulang sekolah comotnya bukan main. Kalau koyak, dia baiki.
Tandas – Bersih. Shampoo untuk rambut. Sabun cecair untuk basuh tangan dan badan, begitu juga sabun bau badan untuk ketiak. Pencuci mangkuk tandas. Sabun muka. Ubat gigi.
Dapur – bersih. Sabun cuci baju. Peluntur. Pewangi. Sabun cuci pinggan. Pencuci untuk lantai. Semua benda ni, siapa uruskan? Siapa periksa habis atau tidak? Semuanya tentulah kalau bukan isteri.
Alat-alat penjagaan diri dan kesihatan, isteri juga yang uruskan. Dia beli termometer, nasal aspirator, nasal irrigator, minyak panas, ubat demam, plaster luka, bandage, pengetip kuku, sikat, dental floss, pencuci luka dan ubat-ubatan. Lepas itu, dia simpan teratur. Anak-anak tak sihat, mesti dia perasan dahulu.
Sekali pun ada pembantu rumah, siapa yang ambil tahu semua perkara ni? Isteri juga. Balik kerja, dia periksa sendiri semua perkara ini. Paling tidak dia tanya pada pembantu rumah. Dia pesan pembantu rumah itu dan ini agar semuanya elok.
Jangan Jadi Cerewet
Banyak yang perlu difikir dan dikerjakan oleh si isteri. Jadi tak usahlah jadi suami yang terlalu cerewet. Hargai semua benda-benda kecil yang isteri fikir dan lakukan untuk suami dan anak-anak. Uruskan rumah bukan mudah. Kalau ada yang baik, maka puji, jika tak baik, diam-diam dahulu. Kalau nak tegur, pastikan anak-anak tak dengar. Apatah lagi orang lain.
Begitu juga suami, tentunya dia pun penat.
Pagi, bangun tidur, walaupun lebih lambat dari isteri, perkara pertama dalam fikiran dia adalah kemandirian keluarga.
Bil air dah bayar atau bil eletrik? Ansuran rumah, kereta, bil pembentungan, bil internet, telefon, cukai pintu dan sebagainya dah bayar? Gaji pembantu rumah? Kalau tak bayar semua utiliti ini, maka terganggulah urusan harian. Bayangkan tak ada eletrik, air, pembentungan tak dibersihkan. Serabut kepala.
Kereta, ada minyak tak? Air radiator dan wiper cukup ke? Minyak stereng, enjin, kotak gear dan minyak brek semua masih ada? Alignment dan balancing roda dah dibuat? Tekanan angin tanya optimum tak? Insuran kereta dan cukai jalan dah bayar? Kereta isteri sekali dia selalu periksa. Suami fikir benda-benda ini untuk keselamatan keluarga.
Dia kerja hari-hari, fikir pasal perancangan kewangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Simpanan KWSP untuk simpanan masa tua, kecemasan. Caruman PERKESO untuk perlindungan di tempat kerja. Insuran/takaful kesihatan dan nyawa isteri dan anak-anak. Duit simpanan untuk anak-anak belajar. Kena rancang baik-baik.
Tanggungjawab Bersama
Lelaki, nampak sahaja macam dia tak kisah pasal keluarga, balik kerja dia suka-suka baring depan televisyen, meminta air itu, makanan ini, minta nak keluar jumpa kawan. Sebenarnya suami kisah pasal kebajikan dan keselamatan keluarga. Cuma fitrah lelaki tidak suka tunjukkan keprihatinan.
Banyak perkara yang difikirkan dan diuruskan oleh suami. Jadi tak usahlah sambut suami pulang kerja dengan leteran. Lagi-lagi depan anak-anak. Tak elok aibkan suami depan anak-anak. Jika nak tegur, elakkan biarlah ketika tiada orang lain dan ketika suami dalam mood yang baik.
Lelaki ni egonya tinggi, kalau di aibkan, memang dia akan melenting.
Dalam institusi keluarga, masing-masing ada peranan dan tak ada istilah ini kerja kau, ini kerja aku. Isteri kena buat kerja suami dan suami kena buat kerja isteri. Barulah sama-sama memahami kepayahan perkara-perkara yang diuruskan oleh pasangan masing-masing.
Ajar juga anak-anak ambil tahu tentang hal-hal pengurusan rumah dan pengurusan kewangan.
Akhir sekali, jangan pernah membanding pasangan kita dengan pasangan keluarga lain. Ia sesuatu yang sangat menyinggung pasangan. Setiap keluarga ada kekuatan dan kelemahan sendiri.
Jika ada kelemahan, sama-sama baiki. Jika ada kekuatan, sama-sama suburkan.
MW: Betul tu, masing-masing ada peranan dan tanggungjawab dalam memastikan kelancaran dalam hidup berumah tangga.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan