Dalam perkahwinan peranan suami isteri amatlah penting dan saling melengkapi.Namun demikian, perkara yang rumit seperti kerja-kerja rumah dan hal anak-anak selalunya hanya isteri sahaja yang dapat uruskannya dengan sempurna.
Seringkali terjadi, apabila ‘hilangnya’ seorang isteri dan ibu, membuatkan rumahtangga jadi kucar kacir dan tak terurus.Ini kerana perlu diakui kaum lelaki tak pandai menguuruskan benda rumit sebegini. Perempuan sahaja punya ketelitian dan kesabaran untuk lakukan tugas begitu.
Jika ada suami yang mampu menguruskan anak-anak kecil dengan sempurna selepas kematian isteri, amatlah istimewa dan luarbiasa.Kerana tugas ini ternyata bukan mudah buat mereka.
“Abah tak pandai masak”
Budak ni datang ke klinik dengan abahnya, mengadu sakit perut dan cirit birit. Budak ni salahkan masakan abah dia. Aku pun periksalah budak tu, sambil-sambil berborak dengan budak tu.
“Siapa yang pandai masak?” soal aku.
“Mama. Mama pandai masak. Mama masak, kita tak sakit perut pun. Hari-hari kita makan sedap,” jawab budak tu. Petah bukan main. Umurnya sekitar 5-6 tahun.
Masa aku periksa perut dia, aku perasan di pinggang hingga ke perut ada jangkitan kulat, ada bekas garu, luka-luka. Setelah itu aku lihat kukunya sedikit panjang dan hitam dibawahnya. Aku pun tanya abahnya.
“Abah, dah lama ke dia gatal-gatal ni?”
Abah dia kelihatan blur.
“Abah tak perasan eh? Ni, tengok ni. Ada panau ni. Banyak juga ni,” beritahu aku.
Abah budak tu pun, bangun dari kerusi dan mencangkung di sebelah anaknya yang sedang duduk di kerusi. Dia lihat perut anaknya.
“Kuku dia pun panjang. Kotor dah tu. Mungkin sebab tu dia sakit perut,” sambung aku lagi, dan ketika itu aku perasan kuku budak tu ada bekas digigit.
Si Abah ambil tangan anaknya dan lihat dan kemudian dia angguk-angguk.
“Jangan gigit kuku tau. Tak elok,” nasihat aku pada budak tu.
“Dulu Mama yang selalu potongkan. Mama— ”
“Along! Please. Dah dah lah tu!” tegas si abah menyeka kata-kata anaknya tu lalu berdiri.
Aku yang sedang duduk di kerusi aku pun menengadah muka dan lihat pada si Abah. Tengah elok dia lihat anaknya, kenapa tiba-tiba dia kata begitu? Aku lihat dia lihat pada anaknya. Di wajahnya terpamer wajah seorang ayah yang hampa.
“Mama dah tak ada… dan abah tahu… abah tak pandai masak. Abah kena belajar,” dia berhenti seketika, aku kira menyeka air mata, kemudian dia sambung “tapi along pun kena belajar. Belajar hidup tanpa Mama.”
“I’m sorry… “ gumam budak tu.
Budak tu bangun dari kerusi, lalu abahnya tunduk dan peluk budak tu sebelum didukungnya rapat ke di dada. Aku dengar budak tu mula menangis tersedu.
“I love you too.” Aku dengar suara si abah kata begitu, mungkin membalas apa yang dibisik oleh anaknya ke telinga.
Sebak pula. Aku baru je periksa isteri dia dua minggu lepas. Datang sebab pening kepala. Masa tu dia tanya pasal ubat kurus. Aku cakap tak payahlah ambil.
“Sorry doktor…” kata si Abah tadi lalu bercerita berkenaan isterinya.
Rupanya masa datang jumpa aku tu isterinya dah ambil pun ubat kurus. Lepas aku tegah tu, isterinya masih ambil lagi. Tiba-tiba satu hari tu rebah masa memasak. Bawa hospital, tapi tak dapat diselamatkan. Doktor kata serangan jantung.
Ada sesetengah pil kurus ada bahan terlarang, dan bahan tersebut boleh akibatkan serangan jantung, sudden cardiac arrest. Namun, aku tak tahulah dalam kes ni berkaitan atau tak.
Apapun, baik elakkan.
Sebenarnya masa lelaki itu bercerita, aku cuba meletakkan diri aku pada situasi dia. Aku dapat bayangkan aku pun akan terkapai-kapai. Hilang arah.
Entah bila kali terakhir aku periksa kuku anak aku. Potong kuku anak mungkin tak pernah. Bila kali terakhir aku mandikan anak aku? Aku tak ingat.
Kalau isteri aku suruh aku pakaikan baju untuk anak aku yang umur 5 tahun tu, mesti aku ambil baju dan hulur pada anak dan suruh dia pakai sendiri.
Kalau tanya aku, kulit anak aku ada jangkitan kulat ke, ruam ke, parut ke, pasti aku pun tak tahu/perasan. Entah bersih tak jika aku yang jaga kebersihan anak aku.
Suruh masak sedap setiap hari? Entahlah…
Tak usah nafi. Lelaki ni tak pandai urus benda rumit sebegini. Perempuan sahaja punya ketelitian dan kesabaran untuk lakukan tugas begitu. Sebab itu lelaki perlukan perempuan dalam hidupnya.
Isteri kematian suami, biasanya boleh besarkan anak-anak. Suami kematian isteri, jika mampu besarkan anak kecilnya sendirian, itu istimewa. Sangat istimewa. Terutama jika lebih satu anak.
Oleh itu, para isteri kena jaga kesihatan baik-baik. Tak perlu buat sesuatu yang mudaratkan kesihatan. Lagipun, kesihatan keluarga biasanya isteri yang uruskan. Suami tak pernah tahu pun dos ubat deman untuk anak.
Para suami, jika isteri minta tolong cuci pinggan, letak baju kotor dalam bakul, buang sampah di luar, siram mangkuk tandas, maka buatlah dengan hati tenang. Sebab, suatu hari nanti bila kalian terpaksa buat benda tu tanpa disuruh, tak mungkin kau boleh buat dengan hati tenang.
Kita pun akan jadi macam abah tadi jika tak sedia. Maka, bersedialah. Aku, kau, kita, semua lelaki kena bersedia.
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Lelaki/Suami/Ayah.
Nota: setiap pesakit bawa pengajaran hidup buat aku, dan aku akan sentiasa kongsi dengan kalian yang follow. Sama-sama memperingati.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Buat para suami hargailah pengorbanan dan kepayahan isteri.Jika dapat memahami, mendengar luahan isteri dan membantu sedikit sebanyak urusan rumahtangga itu sudah memadai. Janganlah terlalu bergantung banyak perkara pada isteri dalam uruskan anak-anak dan rumahtangga, agar kelak bila isteri tiada, suami tak hilang arah!
Sumber:Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan