
Isi Kandungan
ToggleSebenarnya tak susah pun suami nak bahagiakan isteri. Hanya dengan menghargai penat lelah si dia, cukup membuatkan hati isteri berbunga-bunga. Biasanya kalau cakap nak hargai penat pasangan kena beli hadiah atau barangan mewah sebagai tanda kasih sayang. Kononnya, itulah untuk menghargai pasangan.
Suami Kalau Nak Bahagiakan Isteri Tak Susah Mana Pun
Memang tak salah pun nak hargai penat pasangan dengan memberi barangan atau hadiah. Tapi bagaimana dengan keadaan fizikalnya yang penat uruskan rumahtangga. Adakah suami layan emosi penat lelah isteri selama ini.
Jangan fikir, nak hargai pasangan dengan memberi hadiah semata-mata. Malah tak perlu pun nak habiskan duit dengan cara ini. Bagaimana pula dengan pasangan yang hidup sederhana, sanggupkah berhutang untuk membeli hadiah, semata-mata nak hargai pasangan.
Sebenarnya, hidup serba serbi sederhana pun boleh membuatkan pasangan bahagia. Caranya, cukup mudah dengan hanya membantu pasangan di rumah pun buat dia bahagia.
Hargai Penat Lelah Si Dia
Inilah yang dikongsikan oleh Syahirah Omar tentang mudahnya nak bahagia dan hargai isteri. Tak susah pun caranya.
Hargai Penat Isteri, Ringankan Tulang
Saya ada seorang kawan yang sudah berumahtangga. Hidupnya sangat bahagia. Anak-anak yang baik dan mendengar kata. Sejuk hati bila tengok keluarga kecil mereka.
Setiap pagi suami pergi kerja naik motor. Isteri tadi uruskan 4 orang anak lelaki mereka, hantar dan jemput anak di sekolah naik kereta wira lama warna biru.
Saya suka lihat cara mereka suami isteri. Saya rasa saya tahu kenapa kawan saya ni nampak sangat bahagia. Mungkin ada gaduh sesama mereka biasalah suami isteri, tapi saya tertarik nak kongsikan di sini kenapa kawan saya bahagia.
Saya perhatikan,
1. Setiap kali isteri dia bercakap, suami pandang tepat pada mata isteri. Setiap kali isteri panggil, suami terus bangun tinggalkan urusan suami dan fokus pada isteri. Sebab itu juga anak-anak mereka sangat mendengar kata bila melihat ayah mereka juga begitu. Mata bukan di handphone, di laptop atau di TV.
2. Hidup kawan saya sangat sederhana. Tapi mereka tenang saja. Setiap petang kalau suami dia balik kerja, kawan saya cerita suami mesti beli makanan untuk keluarga. Kuih muih, biskut atau apa saja. Tak pernah pulang dengan tangan kosong. Kata suami dia, rezeki murah bila bahagiakan anak isteri walaupun dengan bawa pulang sebungkus biskut cicah teh O.
3. Suaminya sangat ringan tulang. Isteri tak perlu suruh itu ini. Bukan senang uruskan 4 anak lelaki tetapi bila seorang ayah sangat rajin menolong si ibu, anak mereka pun jadi rajin juga. Yes, children are great imitators. So give them something great to imitate.
4. Kawan saya cerita setiap Maghrib dan Isyak pasti mereka solat berjemaah. Bila hari cuti, suami akan bawa anak yang besar sikit ke surau. Bila jaga solat, Insya Allah semua urusan Allah pasti jaga.
5. Bila hari cuti, suami dia bawa pusing naik kereta. Bila dah gaji, suami pasti bawa dia pergi kedai Eco. Tak mahal, tapi memang itupun dah buat isteri bahagia.
Benarlah, tak susah nak bahagiakan isteri. Isteri cuma mahu dihargai. Bila terlalu penat uruskan keluarga isteri cuma mahu suami peduli emosi isteri.
Kadang bila isteri mengadu penat uruskan anak bukan bermaksud dia terbeban dengan anak dan tidak bersyukur. Hakikatnya dia terlalu sayang anak-anak. Dia cuma mahu bercerita. Dia cuma mahu meluah rasa. Dia cuma penat emosi, mental walaupun fizikal masih bertahan lagi.

Sabda Nabi yang bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Ahmad)
Saya doakan semoga rumahtangga kalian bahagia sampai Syurga dan sentiasa dalam Rahmat Allah.
Isteri tak minta lebih pun sebab dia tahu setakat mana kemampuan suami. Cuma nak hargai untuk dia hilangkan penat emosi bila uruskan keluarga.
Sumber: Syahirah Omar
Artikel berkaitan: Neelofa Berterima Kasih Suami Hadiahkan Gelang Tangan “MasyaAllah, Selalu Cuba Untuk Bahagiakan Isterinya”
Bahagiakan Isteri Sedekah Terbaik Seorang Suami, Yang Paling Besar Pahalanya!
Wahai Suami Bila Dah Senang, Yang Lama Jangan Di Buang! Tolonglah Bahagiakanlah Isteri Tersayang
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Adab Datang Rumah Orang, Jangan Mengata, Mengutuk, Kita Tak Tahu Susah Senang Hidupnya

Isi Kandungan
ToggleKalau nak datang rumah orang baik rumah saudara mara, kawan-kawan, apatah lagi jiran, mesti kita akan beritahu terlebih dahulu. Bukan untuk mereka siapkan hidangan sedap-sedap tetapi sebagai persediaan terutamanya keadaan rumah.
Namun, ada juga yang datang rumah orang dengan ‘terjah’. Bukan niat untuk tidak mahu beritahu tapi mungkin ada alasan lain, tuan rumah beria-ia sediakan makanan pula.
Tak kurang juga dengan kurang sedia tuan rumah dengan keadaan rumah yang mungkin tak berapa sedap mata memandang. Maklum saja dengan anak yang masih kecil atau ramai. Semuanya ini bergantung pada diri kita.
Apa yang lebih penting, tak kiralah nak ‘terjah’ datang rumah orang atau beritahu, kita sebagai tetamu kena jaga mata dan jaga mulut, sebab kita tak tahu cara dia kendalikan keadaan rumah itu.
Seperti apa yang dikongsikan oleh Farizal Radzali ini ada benarnya teutamanya bila nampak rumah orang itu yang mungkin tidak kena dengan mata kita. Jangan mengata dan mengutuk ye…
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Adab Jemur ‘Anak Baju’, Sidailah Tempat Tertutup, Bukan Dilihat Jiran Atau Orang Luar
Jaga Adab Elakkan Makan Bersama Suami Atau Isteri Orang Lain Satu Meja
Info Lebih Menarik DI SINI
Datang Rumah Orang, Jaga Semuanya
MANA KITA TAU
Kita ini, kalau pergi ke rumah orang, mata tu tapis sikit, mulut pun jaga sikit.
Bila nampak rumah orang berselerak, jangan cebikkan bibir, mana kita tau dia dah kemas banyak kali tapi anaknya masih selerakkan.
Kalau nampak rumah orang tak berkilat meghelip macam rumah kita, jangan jeling semacam, mana kita tau dia tak sempat sebab anaknya ramai & suaminya tak membantu kerja rumahnya.
Bila nampak anak orang tak terurus kat rumah sendiri, jangan suka-suka nak perli, mana kita tau maknya tak sihat dah berapa hari.
Kalau nampak isteri bercakap nada tinggi kat suaminya, jangan terus menghukum isteri itu jahat suami itu dayus, mana kita tau itu cara mereka sejak berkahwin berbelas tahun yang lalu.
Bila nampak suami buat kerja rumah, jangan kata suami takut isteri, mana kita tau itu memang rutin dalam rumahtangga mereka.
Kalau nampak semua yang buruk di rumah orang, jangan terus bandingkan dengan rumah kita….
Mana kita tau, orang yang rumahnya tak sekemas rumah kita, tapi dia rajin memasak berbanding kita.
Kita tak tahu, suami dia tak serajin suami kita membantu kita, mungkin anak dia lebih ramai dari anak kita. Anak kita 1 anak dia 5, lepas tu nak bandingkan rumah kita lebih kemas.
Jangan Mengata
Jangan cepat kata orang pemalas kita rajin, mana kita tau rumah dia buruk tapi hati dia cantik.
Rasulullah saw, bila dia memberi salam mahupun memanggil orang di rumah orang lain, baginda akan berdiri di tepi dinding, bukan di tengah pintu yang akan dibuka oleh tuan rumah. Dengan cara itu, baginda takkan terus nampak keadaan dalam rumah orang tu setelah pintu dibuka.
Lagi, andai terlihat orang lain yang dirundung masalah, jangan terus ajar dia untuk ikut cakap kita.
“Dah tau laki tu jahat, kawin buat apa?”
“Kalau aku la, aku terus minta fasakh”
“Jika aku, aku tak buat mcm kau”…
Kalau aku itu, ini… Itu kalau kita. Cara hidup kita, keluarga kita, cara membesar kita, hati kita, segalanya, konfem ke sama dengan dia? Kita tak duduk kat tempat dia.
Jadi jangan kata ‘kalau aku’ sebab sekarang ni bukan pasal kita tapi pasal dia.

Cerita Berbeza
Setiap kehidupan ada cerita yang berlainan. Jangan sesekali bandingkan kehidupan orang dengan kita. Mungkin dia kurang di satu bahagian tapi dia lebih satu bahagian lain.
Begitu juga kita. Tak ada yang sempurna. Selagi mereka bahagia, biarkan. Tak perlu canang ke seluruh kampung pasal keluarga orang lain. Kita nampak sama tapi sebenarnya tak serupa.
MANA KITA TAU.
Kalau rumah yang kita selalu pergi, memang tak pernahnya kemas & bersih, tegurlah cara baik. Kalau menegur pun tak tau nak cara baik, biarkan je la. Bukan rumah kita yang dia selerakkan.
Jadi, jangan stres dengan seleraknya rumah orang. Sebab kita tak tau mungkin ada orang lain pun sedang memperkatakan tentang kita.. MANA KITA TAU.
manusia tak maksum.
MW: Begitulah, kita tak tahu cara kehidupan dia, tak perlu nak mengata atau mengutuk, masing-masing ada kehidupan tersendiri.
Sumber: Farizal Radzali
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Salah Picit Ubat Gigi Pun Gaduh, Awas! Mungkin Pasangan Sedang Sakit

Isi Kandungan
TogglePerkongsian Cik Puan Ammy ini akan bahaya gangguan kejiwaan yang dikenali sebagai ‘narcissistic Personality Disorder’ benar-benar terjadi dalam hubungan suami isteri. Salah satunya seperti yang dinyatakan itulah, salah picit ubat gigi yang boleh buat gaduh.
“Baru-baru ini saya terbaca sebuah kisah yang di shared oleh satu page di media sosial yang mana sepasang suami isteri terpaksa kemeja kaunseling. Kerana bergaduh gara-gara cara picit ubat gigi yang salah.”
“Si suami amalkan memicit daripada bahagian bawah manakala si isteri akan memicit di mana-mana bahagian asalkan ubat gigi itu keluar. Si isteri menganggap ini adalah pekara kecil. Manakala si suami menganggap ia sebaliknya kerana ianya melibatkan disiplin, sikap, cara pemikiran dan sebagainya.”
Pada mata kasar ianya mungkin adalah pekara biasa hanya satu pertengkaran suami dan isteri. Tetapi sedarkah kita di dalam diri salah seorang itu wujudnya #NARSISTIK!!
Boleh Jadi Orang Yang Anda Kenal
Narsistik atau dikenali sebagai ‘Narcissistic Personality Disorder’ adalah satu gangguan mental atau jiwa yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar kerana penghidapnya adalah di kalangan orang-orang yang sihat, mungkin juga ada pada saya, kamu, dia atau sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita.
Dan narsistik adalah keadaan di mana seseorang itu mempunyai keyakinan diri yang melampau, menganggap dirinya jauh lebih bijak dari orang lain. Penghidapnya juga memiliki keinginan yang tinggi untuk dipuji atau dibanggakan, sentiasa menganggap dirinya sebagai orang terpenting dan sentiasa memandang rendah terhadap orang lain.
Narsistik juga sentiasa menganggap setiap keputusan atau pandangannya dalam sesuatu perkara adalah betul dan tepat. Sentiasa memandang rendah terhadap keputusan atau pendapat orang lain sehingga kadangkala akan berlakunya pergaduhan walaupun puncanya daripada perkara yang kecil dan remeh. Bahayanya jika memiliki narsistik di dalam rumah lebih-lebih lagi jika si narsistik itu pasangan kita sendiri.
Namun dibalik keyakinan diri yang begitu tinggi, narsistik akan mula terganggu sekiranya ada yang cuba mengkritik, mempertikaikan atau memperlekehkan setiap pandangan dan pendapat darinya. Ianya sering terjadi d itempat kerja.
Narsistik akan mula menjadikan orang yang mengkritik, mempertikaikan atau memperlekehkan setiap pandangan dan pendapatnya tadi sebagai musuh dan akan sentiasa menganggap mereka sebagai satu ancaman keatasnya sedangkan bagi manusia normal ianya hanya perbincangan di meja mesyuarat dan akan tamat apabila bersurai. Makanya disebabkan itu narsistik tidak pernah kekal disatu tempat kerja dan akan sentiasa bertukar-tukar tempat kerja.
Salah Yang Kecil Isteri, Dilihat Terlalu Besar
Begitu juga jika berlakunya di rumah. Contohnya apabila si isteri tertinggal ‘pampers’. Anak di rumah, si suami pasti akan membebel sepanjang jalan dan jika si isteri menjawab pasti akan berlakunya pergaduhan, sekiranya keadaan tidak terkawal si suami akan mula memukul si isteri dan menggunakan kuasa mutlaknya supaya si isteri diam dan tidak melawan.
Sedangkan bagi kita yang normal ianya adalah satu perkara kecil di mana ‘pampers’ boleh dibeli di mana-mana kedai di sepanjang jalan. Tidak salah rasanya jika si suami membantu si isteri memasukkan barang yang hendak dibawa ke dalam kereta dan saling ingat mengingati satu sama lain bimbang ada barang yang tertinggal sebelum memulakan perjalanan.
Namun malangnya, apabila telah meletakkan dirinya sebagai ‘leader’ dalam keluarga, semua itu diserahkan kepada isteri. Apabila si isteri minta sedikit pertolongan dia akan menjawab,
“Itukan kerja awak… Saya penat lah...”
Atau…
“Saya penat, nak tidur sekejap. Nanti nak ‘drive’. Dah siap masuk barang, kejutkan saya…”
Ciri-ciri Narsistik
Banyak lagi ciri-ciri narsistik yang boleh kita lihat contohnya,
– Menilai diri sendiri terlalu hebat berbanding orang lain secara berlebihan.
– Melebih-lebihkan pencapaian dan bakat diri walaupun ianya hanyalah perkara yang biasa dan mampu dibuat oleh orang lain.
– Memiliki keinginan yang tinggi untuk selalu dipuji atau dikagumi sekiranya melakukan sesuatu perkara atau tugasan yang kecil.
– Memanfaatkan orang lain untuk mendapatkan apa yang diinginkan.
– Merasa cemburu terhadap orang lain dan sentiasa merasa diri dicemburui oleh orang lain.
– Tidak mahu mengalah walaupun tahu dirinya yang salah dan sentiasa mahu menang dalam setiap perkara.
– Suka menonjolkan diri atau menyampuk di setiap perbualan orang lain. Lebih banyak menceritakan tentang diri sendiri berbanding mendengar cerita orang lain.
– Sukar untuk menerima pendapat atau pendangan orang lain. Jika ada yang menasihati ianya akan dianggap sebagai satu ancaman kepada dirinya sendiri.
– Suka memberi arahan daripada melakukannya sendiri kerana berasa dirinya itu hebat dan tidak layak melakukan kerja itu. Biasanya ia berlaku di majlis-majlis kenduri kendara. Narsistik akan duduk tempat yang selesa sambil minum kopi dan akan menyuruh orang lain angkat itu dan ini sedangkan itu adalah majlis keluarganya sendiri.
Mengapa Seseorang Menghidap Gangguan Ini
Pembaca boleh google dan ketahui lebih lanjut apa itu narsistik sebelum ianya menular ke dalam diri sendiri tanpa kita sedar.
Tidak kiralah siapa yang mengidapnya ianya harus segera ditangani sebelum menjadi salah satu penyumbang keruntuhan rumah tangga dan pemutus ikatan silaturahim di dalam keluarga kerana gangguan ini mempengaruhi berbagai aspek dalam kehidupan apabila tidak ditangani secara tepat.
Sampai sekarang, punca narsistik ini belum diketahui. Meskipun begitu, kaunseling yang pernah merawat narsistik berpendapat ianya berpunca daripada ibu bapa yang sering melakukan kekerasan ketika menghukum kesalahan si anak, anak yang selalu ditinggalkan, dimanjakan dan sering memuji anak secara berlebihan ataupun yang sering merendah-rendahkan kebolehan anak.
Ibu bapa yang suka membanding-bandingkan kelebihan anak mereka dengan anak orang lain juga boleh menjadi satu sebab lahirnya narsistik di dalam diri si anak kerana menganggap dirinya hebat dan punyai keinginan yang tinggi untuk menjadi ‘leader’ di dalam setiap kumpulan walaupun dirinya tidak layak.

Jadi… Adakah kita si narsistik? Jika ada salah satu daripada di atas, sebelum terlambat… Segeralah berjumpa dengan pihak yang sepatutnya untuk mendapat rawatan. Tetapi jika ada di kalangan ahli keluarga atau sahabat kita punyai ciri-ciri narsistik, kita kena bijak menguruskannya.
Jangan sesekali berterus terang kepadanya tentang masalah yang sedang dia hadapi kerana narsistik tidak akan akui dia sedang diganggu oleh gangguan jiwa. Kelak dia akan menganggap kita sebagai ancaman terhadap dirinya. Sebaliknya cuba terima kelemahan mereka dengan hati yang terbuka.
Jika Pasangan Anda Seorang Narsistik..
Biasanya narsistik akan melakukan perkara yang kita tidak suka contohnya sentiasa memuji diri sendiri ataupun melakukan sesuatu pekerjaan semata-mata untuk mendapat pujian dan perhatian. Kita sebagai orang normal seharusnya tahu tentang masalah yang sedang dia alami. Jadi… Abaikan selagi tidak memudaratkan.
Narsistik akan cuba memintas percakapan kita dengan cerita-cerita hebat tentang dirinya, jadi biarkan dia sehingga dia habis bercerita walaupun rasa kurang selesa.
Tetapkan pendirian kita jika tidak bersalah kerana narsistik ini bijak bermain peranan seolah-olah dia yang betul dan kita yang bersalah.
Untuk yang mempunyai pasangan narsistik dinasihatkan supaya banyak bersabar dengan kerenahnya kerana di sebalik narsistik itu, dia merupakan pasangan yang setia kerana si narsistik ini tidak mudah percayakan orang lain kecuali orang yang sudah terbiasa dengan dirinya.
Sesungguhnya tahap kesabaran manusia tetap ada hadnya, jika rasa berpisah adalah pilihan yang tepat pastikan ianya adalah pilihan terakhir setelah penat berusaha untuk terus hidup bersama si narsistik.
Smber/Foto : Cik Puan Ammy
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Perkara Bagus Dibuat Dan PATUT ELAKKAN Dalam Group Whatsapp Kelas

Isi Kandungan
ToggleMemandangkan ramai yang buat group whatsapp sekolah di zaman teknologi serba canggih ini, mak ayah patut tahu ‘undang-undang’ cara terbaik untuk berhubung di antara satu sama lain.
Tak dinafikan apabila menggunakan WhastApp, ini memudahkan mak-mak nak buat perbincangan yang dilihat mata kasar dan menerima maklum balas dengan pantas tentang perkembangan anak atau hal berkaitan dengan sekolah.
Namun ada juga yang tersalah guna dengan kemudahan Whatsapp sampai mak ayah lain rasa rimas untuk join dalam group kelas, jadi sebelum ‘macam-macam’ eloklah baca nota daripada Ammar Kamilin ini…
Rutin Harian Mak Ayah Dalam Group Whatsapp
Esok pagi, kita boleh menjangkakan ramai ibu bapa yang akan turun menghantar anak masing-masing ke sekolah.
Kereta akan penuh diletakkan di kiri dan kanan jalan raya. Motor dan kereta bersimpang siur dalam kawasan sekolah. Kita akan jumpa segelintir manusia yang jika boleh mahu meletak kereta dalam kotak parkir guru besar.
Akan kelihatan di mana-mana sekolah, ibu bapa dan anak berpimpinan tangan melintas jalan, bapa-bapa menjinjing beg sekolah anak dan ibu-ibu memegang tupperware (baru beli) masing-masing penuh sabar di kantin menunggu waktu rehat.
Ada antara kita, esok merupakan pengalaman pertama anak sulung memasuki kelas Tahun 1 di sekolah. Tahniah!
Baik, saya mahu berkongsi satu perkara. Jika saya beritahu ini, jangan terkejut!
Duduk saja anak kita di bangku sekolah, kemungkinan besar akan diwujudkan ‘group whatsapp’ untuk kelas mereka. Lalu, sayugia dimaklumkan, bertambahlah 1 lagi group dari puluhan ‘group’ yang sudah sedia ada dalam whatsapp kita.
Ini adalah amalan biasa, terutamanya untuk anak-anak Tahun 1. Maklum saja, anak-anak ini baru ‘berpindah alam’ dan ibu bapa akan sentiasa tertanya-tanya keadaan anak mereka.
Jika tidak diwujudkan group, kita beruntung. Tidak perlu pening kepala mendengar notifikasi ‘ting, ting, ting!’ tak kira masa.
Jika tiba-tiba kita dijemput masuk (invite), maka, bersiap sedialah.
Dari pengalaman 7 tahun bergelumang dalam group whatsapp, saya kongsikan,
Bahagian 1 : 10 perkara bagus dibuat dalam group whatsapp kelas, dan
Dan bahagian 2 : 10 perkara perlu dielakkan dalam group whatsapp kelas.
BAHAGIAN 1
| 10 Perkara Bagus Dibuat Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Sebaik-baiknya, ibu dan bapa, kedua-duanya dimasukkan di dalam group ini. Bukan apa, bagi suami isteri yang bekerja, ada masa, kesibukan akan menyebabkan ada mesej dari guru yang tidak sempat dibaca.
Sekurang-kurangnya, salah seorang dari kita boleh maklum dan mendapat informasi sekiranya pasangan masing-masing sibuk.
Saya faham, kita mungkin terganggu dengan bunyi mesej bertalu-talu, terutamanya orang lelaki (saya memang rimas, tak pasti lelaki lain).
Apa yang boleh dibuat, letakkan notifikasi untuk group ini dalam tetapan (mode) ‘mute’. Jadi segala-galanya akan sunyi sepi. Kita hanya akan baca, apabila bersedia untuk membaca. Yang penting, maklumat sampai.
2. Kita tidak mahu cikgu-cikgu dalam group keliru, sama ada ini group ibu bapa atau group ‘Taman Haiwan’. Tengok foto profil masing-masing, ada gambar kucing, gambar arnab, gambar bunga ros, eh, macam-macamlah.
Jadi, elok ditukar foto profil whatsapp dengan wajah sebenar kita. Letak foto yang paling kredibel, bukan yang bibir juih ikat tepi. Nama yang ‘appear’ di whatsapp juga, gunakan nama sebenar yang sama dengan bin atau binti anak kita tu.
Apa-apa kecemasan berlaku di sekolah, senang cikgu nak skrol dan cari. Takdelah sampai terpaksa buat pengumuman, ‘Siapa bapa Qistina Pavlova?, Siapa ibu Syafiq Kyle?’ Kan susah tu.
Sudah-sudahlah bubuh nama seperti ‘Jejaka Korea’. Buat malu saja masa ambil ‘result’ anak nanti. Buat cikgu tertanya-tanya, ‘celah mana Koreanya?!’
3. Apabila cikgu dah buat group khas untuk maklum apa-apa tentang anak kita, itu menunjukkan cikgu tu sangat prihatin. Mana ada cikgu yang ‘serah tengkuk’ untuk diganggu 24 jam? Jadi, dah dapat cikgu kelas yang begini, kita berbudi bahasa dan berkenalanlah.
Pendek pun tak mengapa, “Assalamualaikum cikgu, saya Ammar Kamilin, bapa Zulfa, terima kasih invite.” Cukup. Cikgu pun boleh ‘save’ nombor henfon kita dengan tepat. Jangan sibuk-sibuk nak tanya, cikgu available ke tidak? Lupa ke bini kita pun dah ‘add’ dalam group tadi.
4. Ada anak kita yang jenis teliti dengar arahan. Ada kawan sekelas anak kita yang susah nak beri tumpuan. Jadi, apabila ada ibu bapa lain yang bertanya tentang tugasan sekolah dan sebagainya, bantulah mereka. Bantu jawabkan bagi pihak cikgu.
Cikgu pun tak terlarat nak jawab setiap masa. Kadang tu saya perhati, “Esok pakai baju sukan ke baju sekolah?.” Soalan macam tu pun, 10 kali orang tanya sejak pukul 7 malam sehinggalah subuh esok pagi. Sian cikgu.
Ada sesetengah parents ni pun satu hal, nak skrol pun berkira. Risau ‘thumb print’ terkikis agaknya. Susah nak ‘punch card’.
5. Dah nama pun ibu bapa, mesti lebih pandai dari anak-anak (banding anak Tahun 1). Jadi, menaip mesej di group, sebaiknya ejaan penuh, tidak kontot-kontot macam bahasa ‘Alien’.
Bukan apa, mengeja penuh boleh elak salah faham. Bukan semua orang mahir teka teki. “Ckg, esk pki bj pe?” Aduh, boleh sewel nak tafsir. ‘pki’ tu apa? macam mencarut pun ya. Eja penuh ya. Tolong.
6. Pagi-pagi sebelum 7.30, biasanya cikgu perlukan maklumat pelajar tidak hadir sekolah. Jika anak kita tidak hadir atas alasan apa sekalipun, maklumkan cikgu.
Lebih bagus, kita boleh tulis whatsapp seperti senarai, dengan tajuk, ‘Murid Tidak Hadir Hari Ini’. Jadi, mudah ibu bapa lain menyambung senarai itu (copy, paste, edit). Cikgu pun senang kerja. Sama-sama gembira.
7. Tiada siapa yang boleh mengelak sakit, begitu juga anak kita. Boleh jika mahu berkongsi berita tersebut dengan group whatsapp kelas. Sekurang-kurangnya, berita kesihatan anak kita, dapat disampaikan oleh ibu bapa lain kepada anak-anak mereka.
Ini mendidik empati pada rakan sekelas. Sebagai ibu bapa, kita doakan kesembuhan buat anak rakan kita. Rakan anak kita, anak kita juga. Begitulah semangat kekeluargaan.
8. Dalam kalangan anak-anak kita, akan ada yang terpilih mewakili sekolah dalam aktiviti luar. Kebiasaannya akan ada guru pengiring atau ibu bapa mereka yang terlibat akan ikut bersama. Tiada masalah untuk berkongsi foto aktiviti tersebut dalam group.
Kita dapat mengetahui wujudnya aktiviti luar yang disertai pihak sekolah. Ada rezeki, kita boleh sediakan anak-anak kita untuk aktiviti atau pertandingan yang sama.
9. Ada masanya, cikgu akan menampal pengumuman dari pihak sekolah dalam group whatsapp, terutamanya yang berbentuk ad hoc.
Sekiranya maklumat tersebut naik, naik, dan naik sehingga tenggelam disebabkan masuk mesej-mesej baharu, ada baiknya ibu bapa yang prihatin mengambil inisiatif menampal semula informasi tersebut untuk mengelakkan ada ibu bapa yang terlepas pengumuman itu.
10. Sekali sekala, apabila cikgu menghantar mesej atau foto aktiviti yang dijalankan di dalam kelas melibatkan anak-anak kita, sebaiknya ibu bapa dapat memberi respon dan penghargaan kepada guru tersebut. Salah seorang, sama ada ibu atau bapa pun sudah memadai.
Sekurang-kurangnya, cikgu merasai sentiasa mendapat sokongan padu dari ibu bapa anak-anak murid mereka.
BAHAGIAN II.
| 10 Perkara Perlu Dielakkan Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Nama pun group whatsapp kelas, jadi, kita elakkan bersembang hal politik negara dalam group ini. 2018 ni tahun pilihanraya, saya yakin, memang ada yang akan buat perangai ‘terlajak perahu’ nanti.
Kekalkan keharmonian group ini. Perkara terakhir kita mahu elakkan, ibu bapa ‘left group’ beramai-ramai kerana bergaduh hal yang tiada kena mengena dengan anak dan sekolah.
2. Elakkan menampal iklan bisnes atau cerita-cerita viral yang tiada kena mengena dengan hal ehwal persekolahan anak-anak. Saya tahu, ramai yang ada ‘part-time business’, tetapi group whatsapp ni bukan saluran yang sesuai.
Kecuali ada yang bertanya, “Mana eh nak cari tudung macamni?” Jika kita boleh membantu, boleh saja PM tepi. Lebih profesional. Cerita-cerita viral artis, politik, perkauman, jauhkan dari group ini. Tak larat nak baca, ‘dari group sebelah’. Entah sebelah mana pun kita tak tahu.
3. Whatsapp group bukan tempat ‘arah-arah’ cikgu. Ini adalah tempat kita ‘minta tolong’ dengan cikgu. Jadi, sewajarnya, ayatnya juga lebih lembut dan tidak mendesak.
“Maaf cikgu, saya terlupa beri duit belanja pada Asyraf Muslim. Mohon jasa baik cikgu pinjamkan duit dulu ya, saya pulangkan kemudian. Terima kasih cikgu.”
Sedap dibaca kan? Mohon maaf, nyatakan tujuan, akhiri dengan terima kasih. Lengkap. Cikgu pun takde rasa tertekan dan ikhlas membantu.

4. Saya selalu perasan perkara ni. Ibu bapa mesej tak kira masa. Apabila cikgu tak sempat menjawab whatsapp, mula meradang. “Eh, mana cikgu ni ek? Tak respon pun.”
Sabar ya. Cikgu pun ada kehidupan dia sendiri. Jika di sekolah, mereka ada jadual mengajar masing-masing. Mana sempat untuk buka whatsapp apabila sedang mengajar.
Jika di rumah, mereka pun ada anak seperti kita. Entah anak dia lebih ramai dari kita. Jika kita mesej jam 7.00 petang, mungkin dia sedang mandikan anak. Kita mesej jam 8.00 malam, mungkin sedang ajar anak mengaji. Mesej jam 9.00 malam, mungkin dia sedang teman suami makan. Mereka pun perlu masa.
Jika tak berjawab juga, percayalah, mereka memang benar-benar tidak sempat menjawab. Jika memang sangat kecemasan, cuba pula hubungi ibu bapa kawan anak kita. Mereka mungkin tahu.
5. “Siapa ibu Aiman Danial dalam group ni? Anak saya kata, dia curi ‘pencil box’.”
Hah, sudah! Tanda-tanda perang akan bermula. Memang ada ibu bapa yang serang ibu bapa lain dalam group whatsapp. Kalau boleh, mahu satu kelas tahu mereka sedang berkonfrontasi. Relaks ya, abah, mama. Perkara begini, elok PM tepi dan selesaikan ‘face to face’. Tidak perlu amuk dalam group.
Tunggu keesokan hari, lapor pada guru kelas di sekolah. Insya Allah, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Sebolehnya, keharmonian group kekal terpelihara. Elok 2 famili saja terlibat, habis 1 sekolah tahu. Kool ya!
6. “Cikgu, macamana ya subjek Bahasa Inggeris anak saya ni? Dapat D.” Mengadu hal anak dalam group. Ini mungkin kurang sesuai. Ya, mungkin ada orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Tetapi, jika dibincang dalam group, akan jadi panjang lebar dan mengganggu ibu bapa lain yang melihat notifikasi tanpa henti.
Sebaiknya perbincangan tentang anak kita, dibuat dengan berjumpa guru tersebut. Apabila guru menawarkan solusi, contohnya mengadakan kelas tambahan, barulah sesuai kita iklankan dalam group whatsapp kelas supaya anak-anak lain dapat ‘join’ bersama.
7. Cikgu baru saja tampal pengumuman dan info terkini tentang apa yang anak-anak perlu sediakan esok. Tak sempat dibaca, dah ada ibu bapa yang kecoh bersembang sampai pengumuman tadi akhirnya hilang naik ke atas.
Memang boleh skrol, tapi macam saya tulis awal tadi, bukan semua rajin untuk skrol. Sebaik-baiknya ketika cikgu sedang menaip pengumuman, elak mencelah! Biarkan informasi lengkap sepenuhnya, baru diajukan pertanyaan.
8. Ibu bapa zaman moden ni, memang ramai yang positif! Rajin ‘forward’ foto dan video motivasi ke dalam group. Baguslah jadi orang positif, tetapi group whatsapp kelas ni untuk komunikasi guru dan ibu bapa, jadi kekalkanlah begitu. Hanya hal ehwal sekolah dan anak-anak.
Bab positif ni, biar kekal dalam group positif kita saja. Lagipun, foto dan video menelan ‘data’ yang banyak. Bukan semua ibu bapa ada ‘plan internet tanpa henti’ macam kita. Mereka pun mesti dah tengok foto dan video tu dalam group lain, jadi, cukuplah.
9. Anak-anak kita memang aktif di rumah. Macam-macam aktiviti mereka buat. Melukis, mewarna, menulis, dan banyak lagi. Bagi saya, cukuplah ambil foto dan simpan sebagai kenangan keluarga saja. Tidak perlu tampal dalam group whatsapp kelas.
“Cikgu, tengok, anak saya dah pandai lukis dinasour.” Ya, kami pun tumpang gembira. Tetapi bayangkan jika semua ibu bapa buat perkara sama. Berapa banyak foto kita nak tengok. Entah sempat atau tidak cikgu nak menengoknya. Tah, tah, cikgu pun sedang jadi ‘dinasour’ di rumah. Jika mahu juga, hantar ‘personal’ pada cikgu. Boleh ya.
10. Disebabkan bertukar tempat kerja, anak kita mungkin berpindah dari sekolah itu. Sebaiknya, ceritakan sedikit tentang perpindahan tersebut dalam group dan mohon izin untuk ‘left group’. Sekurang-kurangnya, ibu bapa lain yang sudah lama mengenali anak dan diri kita akan maklum dan memberikan ucapan tanda ‘selamat tinggal’. Suasananya lebih muhibbah.
Meninggalkan group tanpa memaklumkan apa-apa, seolah-olah kita ‘memutuskan’ silaturrahim yang telah diwujudkan dengan ibu bapa lain sebelum ini dan terus menghilang.
Mungkin ada perkara lain yang tidak disebut, saya buka kepada ibu bapa berpengalaman lain untuk menambah dalam ruang komen.
Sebelum ada yang bertanya, anda bebas dan digalakkan untuk SHARE dalam group whatsapp sekolah.
~Ammar Kamilin~
Certified Consultant, Group Whatsapp Kelas Anak
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI