Suami yang pemalu, pendiam tidak disangka-sangka menambah ‘cawangan.’ Dalam senyap-senyap, tup-tup si dia pasang seorang lagi tanpa pengetahuan isteri. Kadang-kadang kita tidak tahu apa sebenarnya yang tersirat dalam hati seorang suami.
Suami Kahwin ‘Senyap-senyap’
Bagaimanakah untuk seorang isteri mengetahui bahawa suaminya benar-benar setia pada dirinya. Menjawab persoalan ini, Dr. Ben Fadzil Mohd Salleh, GrandMaster Hypnotherapist ada jawapan yang boleh merungkaikan tentang perkara ini.
Punca Suami Kahwin Diam Diam
Ada banyak kemungkinan suami kahwin diam-diam. Berikut adalah sebabnya:
i. Telah berjanji untuk mengahwini seseorang tetapi rasa susah untuk mendapat kelulusan dari isteri pertama.
ii. Ingin memenuhi keinginan tapi takut untuk berterus terang.
iii. Kemungkinan disebabkan keterlanjuran dan suami tersebut mengambil tanggungjawab.
iv. Betul betul inginkan isteri kedua disebab inginkan zuriat.
v. Nafsu suami yang terlebih atau tidak boleh dikawal.
vi. Menyambut cabaran atau dicabar oleh rakan rakan.
vii. Memang dia sudah mencintai wanita tersebut.
Sampai Bila Suami Sorok Perkahwinan
Selagi boleh disorok, ianya akan disorok, tetapi tidak ada isteri kedua yang inginkan perkahwinannya disorok. Begitu juga isteri pertama ingin mengetahui kedudukannya. Adakalanya keadaan sekeliling tidak mengizinkan untuk pengetahuan awam. Ianya akan diketahui juga jika suami dan isteri kedua rasa selamat untuk memberitahu isteri pertama.
Kalau Dah Terlajak Kahwin Lagi, Suami Hadam Nasihat Ini
√ Tidak semua isteri pertama boleh menerima kenyataan ini. Suami tidaklah boleh merasa berbangga diri dalam memperolehi isteri kedua, kerana nafsu seorang suami tidak akan berhenti sehingga isteri kedua sahaja. Sekiranya suami lemah dan senang tergugat kepada kecantikan dan godaan wanita, dia akan kecundang akhirnya.
Ads
√ Penjagaan kedua-dua keluarga adalah penting terutama sekali bab kasih sayang, perhatian, pemberian, masa dan waktu dan juga kewangan. Perlu berhati hati supaya ianya tidak diungkitkan di masa akan datang.
√ Elak dari bercerita tentang isteri pertama kepada isteri kedua. Ini akan menambahkan stress lagi.
√ Kesemua isteri hendak memberi suami mereka layanan yang baik, layan lah mereka dengan sebaik mungkin
Untuk Isteri-Isteri Ini Nasihat Kena Hadam
Isteri Bertenanglah Bila Suami Kahwin Diam-diam. Hadapi Ujian Tuhan Dengan Sabar
Bak kata pepatah Melayu: Nasi telah menjadi bubur. Jika perkara begini berlaku, si isteri jangan lah terburu buru untuk mengambil keputusan. Seringkali isteri pertama akan melepaskan geram, marah marah serta bergaduh tak kira tempat jika mengetahui perkara yang sebenar.
Isteri hendaklah bersabar dan memahami keadaan suami kenapa dia berkahwin satu lagi. Perkara telah berlaku dan isteri pertama harus menerima kehadiran isteri kedua serta memberitahunya tentang berlaku adil.
Ads
Empat Tip Untuk Isteri Pertama:
1. Perlu banyak bersabar dalam menghadapi kehidupan bermadu.
2. Menerima hakikat berkongsi setiap perkara termasuk kasih sayang suami.
3. Merelakan suami ke rumah isteri muda walaupun ianya menyakitkan hatinya.
4. Sering meningatkan suami tentang masa dan perkongsian yang adil dan saksama.
Bila Dah Berkongsi Suami, Isteri Kedua Jangan Tamak
Ads
1.Tidak berasa berbangga, riak atau sombong setelah memiliki suaminya.
2. Tidak menyakitkan hati isteri pertama.
3. Mengetahui adat berkongsi suami:
i. Melepaskan Suami balik ke pangkuan isteri pertama serta keluarganya pada masa yang dipersetujui.
ii. Tidak membanding bandingkan layanannya kepada suami dengan isteri pertama.
iii. Tidak menunujuk-nunjuk kepada isteri pertama tentang apa yang dia terima dari suami
Walau Pun Sukar, Suami Kena Usaha Bagi
a. Seboleh bolehnya berlaku adil dalam apa segi pun.
b. Bersikap berterus terang kepada kedua isteri dan anak anak.
c. Jangan menyakitkan hati kedua dua isteri.
d. Tidak melebih lebihkan layanan diantarakedua dua isteri.
e. Tidak melaporkan dan membeza-bezakan perangai di antara kedua dua isteri dan sebaliknya apabila bersama.
Isteri mana yang tak risau kalau suami berperangai ‘pelik’, suka menghilangkan diri tanpa dapat dikesan jejaknya. Pantang bergaduh, berhari-hari malah berbulan-bulan dia ‘hilang’ dan akhirnya akan muncul secara tiba-tiba.
Terasa diri tak dihargai selayaknya sebagai seorang isteri, ditinggalkan umpama tiada perasaan. Malah lebih malang, nafkah pun tak diberikan.
Ikuti luahan rasa seorang isteri yang dijawab oleh kaunselor & penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, yang juga merupakan kolumnis ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang isteri yang telah menjalani hidup berumah tangga selama 13 tahun lamanya. Suami itu adalah pilihan hati saya sendiri.
Sempat Bermadu
Sebenarnya pada awal perkahwinan, saya merupakan isteri kedua dan selama setahun saya sempat hidup bermadu. Ketika itu suami adil bergilir-gilir di antara rumah saya dan isteri pertama. Namun jodoh suami dan isteri pertamanya tidak panjang dan mereka bercerai. Akhirnya saya satu-satunya isteri suami.
Puan, terus terang, lebih banyak air mata yang tumpah sepanjang perkahwinan kami, berbanding gelak ketawa. Namun, demi sayang, saya tetap cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta ini. Suami bekerja sendiri tapi saya tak pernah merungut dan sedia hidup bersederhana.
Perangai Pelik
Puan, suami saya ada satu perangai pelik, suka menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sepanjang itu dia takkan akan jawab telefon atau SMS/whatsapp saya. Kami tak pernah bertengkar teruk. Bila saya menasihatinya tentang sesuatu perkara, andai dia terasa, dia secara tiba-tiba saja akan menghilangkan diri selama berhari-hari.
Keadaan ini berlaku sejak tujuh tahun lalu. Puas saya fikirkan kenapa tapi saya tak dapat cari jawapannya. Paling lama, tahun lalu, selama tiga bulan dia menghilang tanpa berita. Sepanjang tempoh itu, segala perbelanjaan ditanggung oleh saya sendiri.
Suami juga tidak pernah ambil endah tentang hal lain sehingga abang saya meninggal dunia pun dia tidak muncul. Bila saya whatsapp, tak dibalas walau pun saya tahu dia sudah membacanya. Selang beberapa hari, hanya dibalas dengan ‘ok’. Agaknya kalau saya meninggal pun dia takkan ambil kisah.
Pejabat Agama
Akibat ditinggalkan selama tiga bulan, saya merujuk kepada pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat dan mereka minta saya membawa suami bersama untuk sesi kaunseling tapi sudah pasti tidak dihiraukan oleh suami. Saya juga pernah ke mahkamah syariah tapi melihatkan proses yang rumit, membuatkan saya putus harapan untuk menegakkan hak saya.
Kini, ketika saya menulis kepada puan, suami sudah sebulan menghilang. Puas saya cuba hubungi tapi tidak diendahkannya.
Saya amat tertekan dengan keadaan ini dan saya inginkan nasihat untuk saya keluar daripada masalah ini. Sabar saya sudah hilang kerana selama ini saya sudah terlalu banyak memendam rasa. Air mata menjadi teman setia. Tapi sampai bila harus saya bersabar andai dia tidak juga berubah?
Sebenarnya sikapnya yang suka menghilang itu pernah dilakukan ketika bersama isteri pertama sehingga bekas isterinya menuntut cerai secara fasakh kerana dia tidak pernah hadir ke mahkamah. Apakah itu juga yang patut saya lakukan?
Keluarga saya tidak tahu akan masalah saya ini kerana saya tidak suka berkongsi kisah rumah tangga hingga boleh memburukkan suami pula. Dengan ibu mentua pula, pernah saya mengadu tapi saya pula dipersalahkan kerana dia terlalu percayakan anaknya itu.
Puan, selama ini saya banyak bersabar dan tak putus-putus berdoa agar saya diberikan pertunjuk terhadap kemelut yang saya sedang alami ini. Namun saya semakin tertekan. Apakah tindakan sewajarnya yang boleh saya ambil? Bantulah berikan saya nasihat.
Isteri Tertekan, Kuala Langat Selangor.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assaalamualaikum puan yang dirahmati Allah….
Perjalanan hidup dalam alam berumah tangga pasti ada pelbagai ujian dan rintangan. Ada orang dikurniakan pasangan yang punya tanggungjawab, penyayang dan mengambil berat hal isteri dan anak-anak. Makan, pakai , tempat tinggal dan kenderaan disediakan mengikut kemampuan yang ada. Kebanyakan isteri bukan sangat mengharapkan suami menyediakan pakaian, makan, tempat tinggal dan wang yang mewah untuknya. Memadai punya tanggungjawab, ambil berat, dan menyayangi anak isteri pada setiap waktu. Ikatan kasih yang ditunjukkan akan menjadikan isteri semakin setia dan kasih.
Setia
Mengikut teori, majoriti isteri lebih setia terhadap suami berbanding suami terhadap isteri (namun ini bukan satu yang tepat seratus peratus). Hatta hingga suami sakit, isteri akan setia menjaganya hingga ke akhir hayat. Setia walaupun suami mengabaikannya dan anak-anak atau mengambil kesempatan terhadap kesenangan isteri. Asalkan dia tidak ditinggalkan, demi anak-anak khususnya.
Bukan mudah untuk menangani suami yang ada sejarah hidupnya sendiri. Sekadar nasihat dan bimbing dia belum pasti berjaya..kerana situasi itu telah sebati dalam hidupnya, malah sifat keegoan mereka yang kuat. Kehilangan suami untuk beberapa tempoh masa mesti ada sebabnya kenapa dia menghilang. Sudahkah puan mengetahui punca dia menghilang? Sebagai seorang isteri, saya rasa puan pasti tahu ke mana dan apa yang dia buat. Jika tidak diketahui, cuba cari maklumat dari rakan-rakannya, saudaranya, malah boleh juga bertanya daripada bekas isterinya. Biasanya orang yang sebegini ada aktiviti yang dia lakukan. Mungkin juga berkaitan dengan dadah (maaf), aktiviti santai bersama rakan-rakan (mungkin judi, lepak-lepak, clubbing), atau aktiviti yang tidak langsung memberi faedah kepada diri, malah yang memberi kemudharatan pada dirinya. Mungkin juga ada wanita lain.
Puan tidak perlu membuat penafian pada diri sendiri terhadap apa aktivitinya yang dibuatnya. Mungkin ia memudaratkan diri dan keluarga. Lihat pada kewangannya, adakah digunakan secara yang betul dan diberi kepada keluarga atau lebih banyak dihamburkan kepada aktiviti yang tidak berfaedah? Perceraiannya dengan isteri pertama dahulu, adakah disebabkan dia tidak mahu dimadukan atau kerana keterlibatan suami dia dengan aktiviti yang memudaratkan?
Ubat Jiwa
Dalam kemelut menghadapi ujian dalam hidup, dalam Quran surah al-Baqarah ada menyebut…hadapilah ujian hidup yang kamu hadapi dengan SABAR DAN SOLAT. Mungkin saya atau orang lain senang berkata. Tapi itulah ubat untuk merawat jiwa. Banyakkan zikir mohon pertolongan Allah. Bangun setiap malam mohon bantuan Allah. Banyakkan solat..membaca al-Quran…kerana dari sini puan akan ketemu ketenangan. Ianya memerlukan usaha yang istiqamah (berterusan) dan membina kekuatan dalam. Kata alim ulama, kekuatan dalaman diperolehi dengan membanyakkan solat malam. Ini adalah makanan rohani, inilah ubat “kuat” kepada ujian hidup….. vitamin kepada kekuatan dalaman untuk menghadapi kemelut dalam ujian hidup. Jika kuat di dalam, maka apa jua ujian dalam hidup dapat dihadapi dengan tabah.
Cuba dapatkan jawapan kepada ‘misteri’ kehilangan suami daripada sumber yang saya sebutkan. Apabila puan telah mendapat jawapan kepada persolan ini, puan boleh beri kata dua kepadanya adakah dia mahu hidup dengan puan atau meneruskan aktivitinya? Beri dia pilihan. Pilihan ini diberikan setelah puan menasihatinya dan membimbingnya, malah telah sekian lama mendoakan perangainya untuk berubah. Jangan takut kepada “kehilangan”.
Mungkin pilihan yang minta dibuat ini menjadikan dia sedikit gentar. ( Namun mungkin tidak). Lihat kepada “jaraknya”. Sejauh mana tindakan puan memberi kata dua itu memberi kesan kepadanya, hanya puan yang tahu. Lagi puan tunjukkan sifat takut terhadap kehilangannya, maka selagi itu dia berani dengan aktivitinya yang suka menghilangkan diri. Jika puan sudah tidak mampu menanggung kerenahnya, maka puan boleh cuba – katakan kepadanya jika awak (abang) pergi kali ini, maka awak tidak perlu balik lagi selepas ini. Ini mungkin gertakan yang mungkin dia tidak kisah atau boleh jadi juga dia rasa terancam.
Kuat
Apa jua reaksinya puan mesti kuat. Kuat menghadapi ujian hidup. Seperti yang saya katakan, jangan takut kepada kehilangan jika itu yang ditakdirkan (itu pun setelah puan menasihati, membimbing dan bersabar dengan karenahnya). Saya pernah mempunyai klien yang mempunyai suami yang baran dan ego yang tinggi. . Alhamdulillah dengan kebijaksanaannya “mengurus keadaan”, membina kekuatan dalamannya selama beberapa tahun, bersabar dan melakukan aktivitinya sendiri dengan tidak menumpukan perasaan dan emosinya terhadap suami, kini dia sudah mampu menjalani kehidupannya dengan agak baik, walaupun dia masih tidak mendapat apa yang dia harapkan daripada suami.
Puan juga boleh menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika tidak sangat menumpu kepada suami, kurangkan pergantungan emosi dan perasaan terhadap suami, pelbagaikan aktiviti yang bermakna dalam kehidupan, sibukkan diri dengan aktiviti yang diminati atau yang menambah pendapatan, seperti berniaga secara kecil-kecilan, mencari peluang berniaga atau aktiviti riadah, kemasyarakatan yang akan menjadikan puan lebih sibuk sehingga puan tidak sangat memikirkan tentang dirinya. Cuba cipta keadaan “bukan puan yang mencarinya…tetapi dia sendiri yang akan kembali ke pangkuan puan”, semuanya bergantung kepada bagaimana puan menangani kerenahnya, mengurus emosi puan, dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baik aktiviti. Bergantung harap kepada Allah..bukan kepada manusia.. Insya Allah puan akan mendapat ketenangan. Wallahualam…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kanak-kanak bawah 4 tahun, kadang kala lebih usianya ada sejenis habit suka memasukkan benda-benda kecil (apa saja miniature permainannya) ke dalam lubang hidung ataupun telinga. Tak semua kanak-kanak tapi rata-ratanya begitu.
Jika benda asing yang dimasukkan itu terlalu lama, kawasan telinga mahupun hidup akan terdedah dengan kuman dan bakteria. Bahaya sebenarnya untuk kanak-kanak.
Dr Hairin Anisa Tajuddin, Dr Pakar Kanak-kanak (Paediatrik) yang juga pengasas Pusat Rawatan Pakar Kanak-kanak Adda berpengalaman mengendalikan 4 kes berkaitan kanak-kanak yang memasukkan benda kecil dalam lubang hidung.
Salah satunya termasuklah kes anak beliau sendiri. Dari perkongsian ini, beliau memberi nasihat kepada mak ayah agar sentiasa berjaga-jaga dan selalu selalulah perhatikan perlakuan anak-anak kecil kita. Ini kerana imaginasi anak-anak memang tak terjangka!
“Cuba teka apakah benda dalam gambar ini? Dan di manakah saya jumpa benda ni? Nak tahu jawapannya jom teruskan membaca kisah-kisah benar yang saya nak ceritakan di sini.”
Kes 1
Kejadian berlaku semasa saya masih bertugas di PPUM.
Ada seorang kanak-kanak Indian lingkungan usia 4 tahun datang dengan masalah hidung yang berhingus terlalu lama. Kalau tak silap hampir sebulan & nafasnya berbau busuk.
Sambil berbual dengan si comel ini, dia bagitau kami “I got horse chasing the mouse,” sambil menunjuk-nunjuk dalam hidungnya.
Bila diperiksa dalam hidungnya, seperti ada foreign body dalam kedua hidungnya.
Setelah dirujuk kepada ENT. Mereka berjaya mengeluarkan miniature permainan yang sangat kecil iaitu ‘kuda dan tikus’.
Kami yang dapat tahu hal ini memang tak habis gelak ketawa sebab rasa lucu dengan imaginasi kanak-kanak yang pelik-pelik hingga masukkan miniature kuda di sebelah hidung dan sedang mengejar tikus di sebelah lagi…LOL.
Kes 2
Anak saya Imran ketika berumur 3 tahun tiba-tiba dia kata sakit dalam hidung dan mula bersin-bersin.
Kejadian berlaku tahun lepas di mana kami pulang ke rumah daripada bercuti. Waktu malam tu anak-anak saya sedang bermain-main di ruang tamu.
Bila Imran mengadu sakit dalam hidung, abangnya Muhammad mengadu yang adiknya ada masukkan Lego “kepala patung Lego” warna oren dalam hidungnya.
Astaghfirullah… saya bergegas ambil torchlight dan mendapati ada Lego warna oren dalam hidungnya. Saya suruh dia hembus keluar tapi tak berjaya.
Akhirnya saya terpaksa bergegas bawa ke klinik saya (5 minit sahaja daripada rumah), untuk melakukan prosedure menarik Legi tersebut keluar daripada hidungnya dengan menggunakan forcep dan nasal wash.
Akhirnya kepala Lego itu keluarlah dengan selamatnya. Aduh anak-anak ni…selalu bikin jantung Ummi nak jatuh saja.
Kes 3
Ada satu anak berusia hampir 4 tahun juga datang dengan selesema yang kronik dan bila diperiksa hidungnya didapati ada manik putih dalam hidungnya.
Saya dah cuba sedaya upaya untuk tarik keluar tapi ia agak dalam dan tersekat. Akhirnya saya mengalah dan refer kepada ENT untuk prosedur lanjut.
Ia adalah manik daripada tudung ibunya yang terjatuh… Allahuakbar. Macam-macam budak-budak ni kan?
Kes 4
Baru-baru ni parents bawa anaknya demam selesema dan seperti biasa, saya akan check hidungnya dan saya agak pelik sebab seperti ada sesuatu yang berwarna seperti selaput putih.
Seperti bubble yang block hidungnya. Then saya tanya dia ada masukkan apa-apa dalam hidungnya. Dengan pantas dia angguk dan jawab dia masukkan tisu.
Saya tak rasa ia adalah tisu sebab structurenya macam ‘foam’.
Sekali lagi terpaksa buat procedure mengeluarkan benda tu dengan nasal wash. Paling best experience sebab pesakit cilik comel ini pandai sangat menghembus hingus dengan kuat hingga terpancut-pancut ke muka saya…huhuhu.
Ibu ayahnya pula dengan penuh semangat menjerit-jerit suruh dia hembus dan hembus lagi. Kami rasa seolah-olah dalam labor room pulak menyuruh ibu push-push untuk keluarkan baby…hahaha.
Lucu betul dengan situasi cemas tapi agak lucu ini. Akhirnya berjaya dikeluarkan dengan menggunakan forcep bila ia telah dekat dengan lubang hidung.
Tahu tak kalian barang tersebut adalah sponge yang agak besar lebih kurang duit 20 sen yang baru. Sebab ia sponge yang boleh dipenyekkan maka ia sangat mudah dimasukkan dan tersekat dalam hidung.
Jangkitan kuman berlaku dan menyebabkan dia demam.
Elakkan Beri Permainan Kecil Pada Anak Bawah 4 Tahun..
Daripada kes-kes semua ini, parents semua perlu ambil iktibar termasuk saya sendiri untuk perhatikan anak-anak kalian. Elakkan memberikan permainan yang kecil-kecil untuk kanak-kanak di bawah 4 tahun.
Dan jika anak-anak alami hidung berair busuk dan berhingus, samada baru atau lama (acute or chronic), pastikan bawa jumpa doktor untuk check dengan teliti. Samada terdapat barang-barang yang tak sepatutnya dalam hidung anak-anak.
Selain daripada hidung, barangan-barangan kecil seperti mata pensel yang patah dan tisu dan lain lainl juga boleh dimasukkan ke dalam telinga mereka sendiri.
Selalunya jika telinga ada jangkitan, bawalah berjumpa dengan doktor or pakar ENT untuk check dengan lebih teliti.
Ini dilema dan perasaaan normal kebanyakan kaum perempuan, bila belajar tinggi-tinggi dan kerja gaji yang besar tetiba terpaksa jadi suri rumah. Allah… macam-amacam ‘bunyi’ yang nak kena hadap, malah kadang sebab mulut orang hati jadi sedih. Rasa rendah diri sebab tak kerja. Padahal itulah nikmat dan rezeki yang Allah bagi yang mungkin orang lain tak akan dapat.
Buat renungan dan suntik semangat kaum mak-mak suri rumah, baca perkongsian Shiera Firhat ini…
Sebenarnya semua ni Allah dah atur. Allah dah catatkan dah dalam buku kehidupan kita tanpa kita sedar. Rezeki orang lain-lain. Kan?
Dulu, banyak kali cakap nak resign tapi selalu je tak jadi. Sebab takda kekuatan. Tapi, bila kekuatan tu muncul, on the spot terus buat resign letter submit kat boss. Maka dengan rasminya jadilah suri rumah sepenuh masa.
Nak tahu apa/siapa kekuatan tu? Tu haaaa budak kecik sebelah tu. Niat nak jaga dia, nak tengok die membesar depan mata. Alhamdulillah Allah makbul sampai sekarang. Si bujang tu pun dah masuk 1 tahun 5 bulan.
Sendiri pun tak tahu nak jangka, nak agak sampai bila boleh tengok dia besar depan mata, jaga sendiri makan minum dia. Sebab manusia biasa ni tak dapat nak expect apa yang akan berlaku akan datangkan? Tapi yang penting, doa untuk dimurahkan rezeki untuk menjaga dia tak pernah tinggal seusai solat. Dan doa untuk dimurahkan rezeki untuk membantu suami dan mama juga tak pernah lekang dek bibir walaupun hanya suri rumah.
Banyak mulut bercakap, sayaaaaaangnya belajar tinggi-tinggi, tapi dok rumah. Sayaaaangnya gaji besar-besar tapi resign. Sayaaaangnya duit mak ayah hantar belajar dulu tapi tak gunakan apa yang dah ada (degree). Ini paling terkesan. Sungguh, memang ada rasa serba salah dalam hati bila ada yang cakap camtu.
Tapi, ini jalan hidup saya. Allah dah tentukan takdir saya ke sini. Buat masa ni saya terima, saya redha dan saya gembira dengan apa yang saya buat. Ini bukan bermakna saya tak kenang jasa ibu ayah saya. Saya sedang usaha nak buat terbaik untuk diri saya sendiri, untuk keluarga kecil saya, untuk Mama, untuk adik saya dan in laws saya. Walaupun bukan seorang Peguam yang berjaya buat masa ini, saya akan cuba usaha untuk mereka dengan cara saya sendiri, Inshaallah.
Apa yang saya minta, bercakap baiklah selalu. Doakan saya dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki. Berhenti cakap yang tak elok. Untuk suami dan mama, terima kasih sentiasa bantu dan restui apa yang saya pilih.
Untuk suri rumah seperjuangan, tahniah! Anda diberi kekuatan luar biasa untuk membuat keputusan ini. Nyahkan kata-kata negatif, pekakkan telinga. Dan saya juga doakan anda dimurahkan rezeki sentiasa dalam berkhidmat sebagai SUPERMOM!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu tiga anak digilis lori simen ketika berhenti di lampu isyarat, kegagalan brek jadi punca. Seorang anggota penjara yang juga ibu kepada tiga anak,...