Kalau dah suka, apa saja sanggup diredah dan berkorban apa saja. Tapi, kalau dah tak suka, cepat sangat lafaz talak, walaupun hanya kesalahan kecil. Lebih teruk bukan cara yang betul.
Lafaz talak tak boleh sewenang-wenangnya dilakukan di luar mahkamah. Mungkin ia satu kesalahan jenayah syariah. Kena faham betul-betul apa yang dikongsikan oleh tuan Khairul Fahmi Ramli, peguam syarie dalam perkongsiannya.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Tak Semua Nafkah Boleh Dituntut Isteri Dalam Iddah, Kena Tahu Jenis Lafaz Talak
Lafaz Cerai Secara KINAYAH Perlu Dibuat Pengesahan Bila TIMBUL Was-was
Info Lebih Menarik DI SINI
Baru-baru ini viral seorang DJ melafazkan talak 3 secara langsung melalui Facebook (FB) dan ramai followers yang tanya saya “Sah ke lafaz talak itu Puan?”
Jawapannya “SAH” jika rukun dan syarat talak dipenuhi.
Apabila suami melafazkan talak di luar mahkamah sama ada di rumah atau di mana-mana selain di Mahkamah, ia adalah merupakan satu kesalahan jenayah syariah. Perlu diingat, talak tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di luar mahkamah.
Walau apa pun keadaan, contohnya suami didesak oleh isteri atau suami berkehendak sangat untuk melepaskan isteri, suami tetap perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu untuk melafazkan talak.
Tapi, jika suami telahpun melafazkan talak di luar mahkamah apa yang perlu suami isteri ini lakukan?
Lafaz talak yang dibuat luar Mahkamah adalah kesalahan jenayah syariah. Jadi, apakah hukuman bagi kesalahan ini?
Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri menyatakan, “Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, maka dia adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”
Oleh itu, bagi pasangan yang telah bercerai di luar Mahkamah dan ada kemudiannya yang rujuk kembali sebagai suami isteri, mereka perlu segera membuat pengesahan cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah.
Perlu diingat, walaupun anda ada mendapatkan nasihat daripada peguam-peguam syarie atau ustaz-ustaz, anda tetap perlu ke Mahkamah untuk mengesahkan lafaz talak. Ini kerana undang-undang menyatakan hanya Hakim Mahkamah Syariah sahaja yang boleh mengesahkan lafaz talak itu sama ada sah ataupun tidak.
Janganlah dipandang ringan hukum hakam perkahwinan. Sebagai seorang suami pula, janganlah sewenang-wenangnya melafazkan talak tanpa memikirkan kesannya. Ingat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.
Suami, janganlah mudahnya melafazkan talak seperti mudahnya melafazkan janji-janji.
Semoga Allah sentiasa memudahkan urusan dan melindungi kita dalam mengemudikan rumahtangga.
Mingguan Wanita : Kalau dah tak suka, senang-senang hati lafaz talak. Jangan dibuat main-main.
Sumber: Fahmi Ramli
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita