Bila hidup berumahtangga, tentulah ingin susah senang bersama. Tak kira apa jua keadaan. Lebih-lebih lagi, tentunya isteri tak sanggup melihat suami yang menanggung beban seorang diri.
Isteri sebagai tulang belakang suami tentunya akan sentiasa berada di sisi dan sedia memberi pertolongan dan sanggup bersusah payah bersama. Itulah jiwa isteri, macam mana sekali pun, dia tak sanggup melihat suami susah dan membantu apa yang boleh.
Tapi, suami jangan pula ambil kesempatan. Kenang budi apa yang telah isteri korbankan, terutamanya bagi isteri yang bekerja, sedikit sebanyak dia tidak akan berkira untuk keluarkan duitnya bagi membantu suami.
Perkongsian daripada Marlia Ramli turut menekankan tentang suami perlu kenang budi apa yang isteri sanggup susah senang bersama. Inilah dikatakan memberi pada yang layak. Menarik perkongsiannya.
Ini betul. Kalau tanya ustaz, duit suami adalah duit isteri. Duit isteri? Adalah duit isteri.
Yang wajib tunaikan nafkah? Suami. Isteri? Duitnya berhak jika dia nak peram sendiri.
Cuma di awal perkahwinan, gaji suami masih kecil. Sebagai isteri, kita tak sanggup pun nak tengok suami susah sorang-sorang. Jiwa isteri memang begitulah.
Akak sendiri jenis yang sangat melindungi orang yang akak sayang. Bila suami nampak susah, akak tak boleh duduk diam. Mesti bantu. Akak sekalipun tak akan abaikan.
Itulah kelebihan isteri bekerja tak kira di pejabat atau di rumah. Isteri dapat bantu suami yang sesak. Isteri niatkan sedekah. Daripada sedekah kat orang luar, kita sedekah pada pasangan dan anak-anak kita.
Perlahan-lahan isteri transfer balik kos perbelanjaan keluarga ke atas suami. Gaji isteri? Mula menabung.
Hingga simpanan keluarga capai 12 bulan gaji.
50% wang tunai
50% emas (dah ada akaun GAP ke belum?)
Keluarga yang ada simpanan 12 bulan, nak miskin tu susah.
Ads
Lepas tu?
Gaji suami meningkat lagi.
Jangan tingkatkan perbelanjaan.
Kekalkan gaya hidup yang sama.
Sekurangnya 10 tahun perkahwinan, kumpul emas 999 dan belilah beberapa rumah pelaburan.
Gaji suami meningkat lagi?
Isteri perlahan-lahan transfer lagi tanggungjawab lain-lain. Akhirnya? Gaji isteri dah boleh fokus melabur. Kekayaan keluarga bertambah.
Begitulah…
Syaratnya?
Taat mesti bersyarat.
Suami tu mesti jenis yang bertanggungjawab.
Yang jujur dalam kewangan.
Miskin tak pe, janji rajin bekerja.
Setia dalam rumahtangga.
Ads
Jika lepas syarat begini, isteri bantulah.
Atur Kewangan Keluarga
Ini pengalaman camne akak dan suami atur kewangan keluarga kami sejak 16 tahun lepas. Hari ni? Suami isteri tak kerja pun boleh je lepak rumah tak buat apa-apa.
Alhamdullilah passive income kami melebihi hard earned income. Bahasa mudahnya? Nak pencen pun boleh. Tak de la kaya raya, tapi sederhana dan tak menyusahkan sesiapa.
Tapi kami dah terbiasa kerja. Maka, dua-dua masih sibuk dengan urusan di pejabat.
Cumanya? Gaji suami dah berganda berbanding awal perkahwinan. Maka, gaji isteri fokus pelaburan. Gaji suami? Fokus menyara keluarga. Kita nak suami masuk syurga bukan?
Akak memang biar suami take over semua bila dia dah mampu. Akak? Buat bodo-bodo… Sampai masa, tambahkan aset hartanah dan emas sebagai kekayaan keluarga. Hadiahkan suami apa yang dia add di cart shopping. Dah tak de apa kami nak. Cuma jaga kesetiaan dan fokus persaraan selesa.
Secara realiti, bila suami sentiasa ada usaha sediakan kelengkapan semua, kita nampak rezeki suami berganda tak tahu dari mana. Pelik tetapi benar. Ini berlaku banyak kali dalam keluarga kami.
Bila masa susah dengan isteri ini, maka kekal je la dengan isteri yang sama pada waktu senangnya. Solat jemaah sama-sama, dinner mahal sama-sama, bercuti sama-sama dan bersara sama-sama. Jalan berpegang tangan, tadah salji kat luar negara.
Cinta itu sifatnya memberi. Cuma pastikan beri hanya pada yang MENGENANG BUDI. Memberi hanya pada yang layak dicintai.
Begitulah…
Salam Sayang.
Mingguan Wanita : Betul apa yang diperkatakan ini. Boleh ikut caranya. Menarik, pencen awal.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Suami isteri berebut balik raya sampai ada yang nak bercerai berai. Setiap kali menjelang Aidilfitri, satu topik yang sering mencetuskan perbincangan malah kadang-kadang pertelingkahan dalam kalangan pasangan suami isteri adalah soal giliran balik kampung.
Suami Isteri Berebut Balik Raya Sampai Ada Yang Nak Bercerai Berai
Tidak kira sama ada pasangan baru mendirikan rumah tangga atau yang sudah sekian lama bersama, topik ini tetap menjadi isu yang perlu dihadapi. Ya, menentukan destinasi hari raya bukanlah perkara mudah. Malah, ia boleh mencetuskan ketegangan yang tidak dijangka dalam hubungan suami isteri.
Pertelingkahan: Ujian Emosi Dan Kesabaran
Walaupun menyakitkan, pertelingkahan sebenarnya boleh menjadi ruang untuk pasangan saling mengenal hati budi dan memperkukuh kematangan dalam perhubungan.
Namun, jika tidak dikawal, konflik kecil boleh menjadi besar sehingga membawa kepada perpisahan. Emosi yang tidak terkawal, perasaan kecewa yang memuncak, boleh mengakibatkan isteri meminta cerai, atau suami mengucapkan lafaz talak dalam keadaan marah.
Semuanya berpunca apabila kedua-dua pihak enggan bertolak ansur dan terlalu mengikut ego masing-masing. Dalam situasi lebih buruk, ada juga kes melibatkan kekerasan fizikal.
Bagaimana Mengurus Pertelingkahan Dengan Bijak
Untuk mengelakkan konflik berpanjangan, berikut beberapa panduan berguna:
1. Elakkan Buat Keputusan Tergesa-gesa
Apabila bertengkar, jauhi tindakan drastik seperti meninggalkan rumah atau menjauhkan diri tanpa berbincang. Perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan dan membuat pasangan rasa terabai. Jika anda mempunyai anak, keadaan ini turut akan menjejaskan mereka.
2. Cari Tempat Luahan Yang Sesuai
Jika emosi terasa membuak dan tidak dapat dipendam, carilah seseorang yang dipercayai seperti ibu, sahabat rapat atau ahli keluarga terdekat untuk berkongsi perasaan. Yang paling baik, luahkan terus kepada pasangan dengan cara berhemah.
Jangan sesekali mencari orang asing atau rakan berlainan jantina sebagai tempat bergantung, kerana dari situlah sering tercetusnya hubungan sulit yang tidak diingini.
3. Ambil Masa Untuk Tenangkan Diri
Usai bergaduh, emosi pasti bercelaru. Dalam keadaan ini, jangan terlalu memikirkan masalah secara terus-menerus. Berehat seketika dan beri ruang kepada diri untuk bertenang sebelum cuba menyelesaikan isu yang berlaku. Keputusan yang dibuat ketika marah selalunya tidak rasional.
4. Dekatkan Diri Kepada Allah
Islam mengajar kita agar mendekatkan diri kepada Allah ketika sedang berdepan dengan ujian emosi. Ambillah wuduk dan lakukan solat sunat agar hati menjadi lebih tenang. Doakan kesejahteraan rumah tangga dan mohon agar pasangan turut berubah ke arah yang lebih baik.
5. Jangan Panjangkan Isu
Ingat, keluarga pasangan adalah juga keluarga kita. Jangan biarkan isu kecil seperti giliran beraya menjadi punca perpecahan. Jika tidak dapat pulang beraya ke kampung salah satu pihak, berlapang dada dan terima keadaan seadanya.
Jadikan cabaran ini sebagai ujian yang mendewasakan. Jangan menuding jari, sebaliknya muhasabah diri dan cuba perbaiki kelemahan masing-masing.
Tolak Ansur Kunci Keharmonian
Dalam rumah tangga, sikap bertolak ansur amat penting, termasuk dalam soal balik kampung. Mungkin ada masanya kita perlu beralah, dan ada ketika pasangan pula yang memberi laluan. Apa yang penting ialah saling memahami dan menjaga keharmonian bersama.
Jangan biarkan emosi yang tidak stabil merosakkan kebahagiaan rumahtangga hingga memberi kesan buruk kepada anak-anak. Hadapilah setiap cabaran dengan tenang dan rasional. Setiap pertelingkahan pasti mengandungi hikmah, jika kita bijak mengambil pelajaran daripadanya.
Rumah mak ayah jadikan tempat berkumpul adik beradik, bukan harta pusaka yang nak direbut. Rumah mak ayah bukan sekadar sebuah bangunan dengan dinding dan bumbung. Ia adalah tempat penuh nostalgia, tempat di mana kita membesar, ketawa, menangis, dan berkongsi kenangan bersama.
Rumah Mak Ayah Jadikan Tempat Berkumpul Adik Beradik, Bukan Harta Pusaka Yang Nak Direbut
Apabila masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk dengan kehidupan sendiri, rumah mak ayah semakin sepi. Sebab itulah, kita sebagai anak-anak perlu berusaha menjadikan rumah mak ayah sebagai tempat adik-beradik berkumpul. Bukan sahaja untuk menggembirakan hati mereka, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Rumah mak ayah bukan sekadar bangunan dengan empat dinding dan bumbung. Ia adalah lambang kasih sayang, tempat penuh kenangan, dan saksi perjalanan hidup kita sejak kecil hingga dewasa. Namun, yang menyedihkan, setelah mak ayah tiada, rumah ini sering menjadi punca perbalahan antara adik-beradik.
Berbalah kerana harta yang tidak seberapa, bertelagah kerana tanah sekangkang kera, dan akhirnya hubungan keluarga yang dulunya erat menjadi retak, bermasam muka, malah ada yang sampai putus saudara. Apakah itu yang mak ayah kita mahu? Sudah tentu tidak.
1. Rumah Mak Ayah Adalah Warisan Kenangan, Bukan Harta Untuk Direbut
Bila mak ayah sudah tiada, rumah mereka sepatutnya menjadi tempat adik-beradik berkumpul, bukan medan perebutan. Rumah itulah yang akan mengingatkan kita kepada mereka, kepada kasih sayang yang pernah mereka curahkan.
Jangan sesekali biarkan rumah ini dijual, digadai, atau dipertikaikan hak miliknya. Biarkan ia kekal sebagai tempat untuk kita semua pulang, tempat untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Kalau kita sudah bekerja, sudah berpendapatan, sudah mampu, carilah harta sendiri. Beli rumah sendiri, beli tanah sendiri, kumpul aset sendiri. Itu semua tiada siapa yang akan marah, tiada siapa yang akan cemburu. Tetapi rumah mak ayah biarkan di situ. Jangan diusik. Jangan digadai. Itu bukan sekadar rumah biasa. Itu rumah kita semua.
2. Jangan Biarkan Harta Yang Tidak Seberapa Memusnahkan Hubungan Darah Daging
Betapa ramai adik-beradik yang akhirnya bermusuhan hanya kerana tanah sekangkang kera di kampung? Berapa banyak keluarga yang berpecah kerana perebutan pusaka? Harta yang kita pertahankan dengan penuh kerakusan itu tidak akan kita bawa ke kubur pun.
Orang luar akan bertepuk tangan melihat kita berbalah. Orang dekat akan bersorak di belakang, menyokong pergaduhan kita. Malah, ada yang akan menghasut dan menambah api dalam persengketaan.
Hasilnya? Kita adik-beradik yang dulu rapat akhirnya pecah tiga, pecah empat, malah ada yang terus putus hubungan. Apa gunanya semua itu? Tiada. Langsung tiada.
3. Jangan Tamak, Jangan Dengki, Jangan Terlalu Berkira
Tidak kira kita anak sulung, anak lelaki, atau merasa berhak atas bahagian yang lebih, jangan sesekali bersikap tamak. Mak ayah tidak pernah mengajar kita untuk berebut harta. Mereka mengajar kita untuk saling menyayangi, bertolak ansur, dan menjaga hubungan kekeluargaan.
Jangan hanya kerana kita melihat ada adik-beradik lain yang masih tinggal di rumah mak ayah, hati kita membuak dengan perasaan dengki. Jangan sakit hati hanya kerana kita lihat orang lain menjaga rumah itu, sedangkan dulu semasa mak ayah masih hidup, kita jarang sekali pulang menjenguk mereka.
Masa mereka sakit, siapa yang menjaga? Masa mereka perlukan perhatian, siapa yang selalu ada? Kalau kita bukan salah seorang yang berada di sisi mereka saat mereka memerlukan, mengapa sekarang kita menjadi orang pertama yang menuntut hak? Hak apa yang kita perjuangkan kalau selama ini kita tidak peduli?
4. Kalau Berebut Menjaga Mak Ayah Seperti Berebut Harta, Pasti Mereka Rasa Bertuah
Cuba bayangkan, kalau semua anak berlumba-lumba menjaga mak ayah ketika mereka masih hidup seperti mana kita berebutkan harta pusaka, betapa bertuahnya mereka. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Ketika mereka masih ada, ramai yang tidak peduli. Bila mereka tiada, tiba-tiba semua muncul menuntut hak.
Masa mak ayah sakit, tidak mahu menjaga. Masa mereka sudah pergi, sibuk berebut rumah, tanah, dan kebun. Di mana kewarasan kita? Di mana nilai kemanusiaan kita?
Jangan jadi manusia yang hilang akal hanya kerana harta. Jangan jadi anak yang lupa asal-usul hanya kerana sebidang tanah atau sebuah rumah pusaka.
Rumah mak ayah adalah lambang kasih sayang mereka. Jangan biarkan ia menjadi punca perpecahan antara kita adik-beradik. Jangan biarkan sifat tamak dan dengki merosakkan hubungan yang sudah terjalin sejak kecil.
Kalau kita sudah ada pendapatan, carilah harta sendiri. Tetapi rumah mak ayah biarlah kekal sebagai rumah keluarga, tempat kita berkumpul, tempat kita mengenang kasih sayang mereka.
Harta boleh dicari, tetapi keluarga yang telah retak sukar untuk dipulihkan. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari.
Kisah yang ingin dikongsi ini bukan masalah rumah tangga saya sebaliknya terjadi kepada emak. Sebagai anak, saya berasa kasihan melihat keadaan dirinya yang selalu bermuram dengan sikap ayah.
Saya anak ketiga dari lima beradik. Kakak sudah berumah tangga manakala abang pula menjadi anggota tentera. Saya masih menuntut di pusat pengajian tinggi sementara dua lagi adik masih bersekolah.
Jadi Satu Masalah Bila Ada Pandangan Orang Luar Pada Ayah
Luarannya, orang sering memandang tinggi kepada ayah kerana sikapnya yang ramah dan sering ringan tulang membantu masyarakat sekitar. Peribadi ayah nampak baik kerana itu paparan luaran yang sering ayah tunjukkan tetapi sebagai anak yang memerhati, saya memang tahu emak sering makan hati dengan sikap mata keranjang ayah.
Pantang melihat wanita lain yang jauh lebih cantik daripada emak, mulalah mulutnya memuji-muji sehingga ayah sedikit pun tidak pernah mempedulikan perasaan emak dan bolehkah emak menerima sikapnya itu. Lebih teruk lagi, dulu pernah ayah sampai ke satu tahap ingin berkahwin tetapi emak dapat menghidunya lebih awal.
Untuk pengetahuan semua, ayah memang ada rupa paras yang menarik. Kerjanya pula sebagai pegawai kerajaan dan ayah memang ada banyak kenalan kerana sikap ramahnya itu. Emak hanyalah seorang suri rumah tangga dan dari dulu menguruskan kami anak beranak.
Emak banyak menguruskan rumah tangga dan hanya bergantung duit dari ayah sahaja untuk belanja seharian. Satu yang saya sedihkan ayah tak kisah berbelanja untuk anak-anaknya tetapi ayah seperti berkira untuk membelikan emak hadiah dan sebagainya. Jarang saya lihat emak tersenyum kerana saya lihat emak lebih banyak makan hati dengan cara ayah.
Bayangkan bila ke majlis kenduri kahwin saudara mara, ayah menjadi tumpuan dan usikan. Kata mereka depan mak, mak beruntung sebab ayah masih kelihatan kacak dan tak nampak tua berbanding usia. Emak hanya tersenyum kelat. Hatinya menderita tetapi tidak ramai yang tahu derita dialaminya. Sesekali bila saya balik, emak seperti mengajak saya berbual dan ketika itulah dia luahkan isi hatinya. Bagaimana ayah melayannya dan sikap ayah yang kerap memandang perempuan.
Sampailah Satu Tahap…
Mulanya saya tidak faham semua ini tetapi bila saya semakin matang, saya faham dengan apa yang emak maksudnya. Saya ingin bertanya, adakah semua lelaki memang begitu? Adakah lelaki memang gatal dan suka memandang wanita lain selain isterinya? Tidak pernahkah ayah melihat kami yang mungkin menerima nasib yang sama kalau semua lelaki sepertinya? Di universiti, saya ada mengenali seorang lelaki dan kami satu pengajian tetapi saya tidak berani mendekati biarpun dia beria-ia menghulurkan salam perkenalan. Saya seakan takut kerana saya tak mahu saya senasib seperti emak!
Baru-baru ini emak menelefon saya, menangis bercerita. Emak dapat tahu bapa ada kenalan wanita dan mereka sudah seperti di peringkat serius untuk berkahwin untuk beberapa bulan lagi. Saya menzahirkan rasa terkejut dengan penerangan emak. Kata emak lagi hubungan bapa sudah benar-benar serius dan bapa pun seperti sudah tidak mempedulikan apa pandangan emak dan sebagainya.
Apa yang saya harus buat dalam hal ini? Biar emak menyuruh saya berjanji tak akan bercerita pada abang dan kakak tetapi saya memang tak boleh bersabar kerana bagi saya ini semua sudah melampau. Kakak memang marah, abang juga begitu. Semuanya tak boleh menerima perangai bapa kerana kami anak-anaknya sudah besar. Bagi kami, bapa hanya pentingkan dirinya sahaja tanpa memikirkan perasaan kami dan emak.
Sejak kisah bapa nak kahwin itu, saya lihat muka emak semakin suram. Emak sudah tak banyak bercakap lagi, mungkin emak terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa dan hanya berserah kepada nasibnya sahaja.
Saya juga tengok ayah seperti tidak senang duduk bila semua orang membangkang hasrat hatinya itu kerana kami merasakan ayah tidak adil pada emak dan anak-anak. Suasana dalam rumah juga semakin sepi, semua adik-adik pun seperti tidak suka kepadanya. Masa berlalu, saya tak pasti adakah ayah akan berkahwin seperti keinginannya? Apa yang harus saya buat? Adakah semua lelaki begitu? Bagaimana untuk saya tenangkan hati emak? Bantulah saya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...