Suka merajuk, kalu bukan isteri siapa lagi kan? Jarang kita dengar suami yang merajuk. Kalau ada pun boleh kira berapa ramai. Tapi kebiasaannya, mesti perempuan dan isteri yang kuat merajuk.
Awal-awal perkahwinan, merajuk bolehlah dipujuk oleh suami tetapi kalau terlalu kerap, boleh naik jemu suami nak memujuknya.
Kadang-kadang isteri merajuk bukanlah perkara yang besar pun, sekadar ingin menarik perhatian suami. Mana suami yang faham dan tak mahu berpanjangan terpaksalah mengalah dan memujuk. Kalau suami yang sama-sama keras kepala, mahunya boleh bertambah besar konfliknya.
Ikuti ulasan lanjut tentang konflik suami isteri atau merajuk atau masam muka boleh memberi peluang kepada pasangan untuk lebih romantik bersama Diyana Tahir, Pakar Hubungan & Keintiman.
Sebenarnya, konflik yang terjadi antara suami isteri adalah peluang untuk menjadikan hubungan itu lebih romantik dan bahagia. Apabila berbicara soal hati, ramai yang sebenarnya terlepas pandang perkara yang boleh buat kita kunci hati suami kita.
Kadang-kadang, sikap ‘cepat sentap’ menjadi pencetus kepada perasaan tidak puas hati ini jika tidak di bendung akan menjadi racun dalam hubungan. Bila pasangan trigger, anda sebenarnya perlu memahami bahawa dia sedang terluka dan reaksinya itu adalah cara pasangan anda menzahirkan kelukaannya.
Bagaimanapun, jika anda tidak menyedarinya ketahuilah anda sebenarnya terlepas peluang untuk kunci hati si dia. Disebabkan itu amat penting untuk anda menguasai teknik komunikasi yang betul supaya pasangan boleh menerima dengan hati terbuka dan seterusnya dapat berubah menjadi lebih baik.
1. MENGUNGKIT
Kemarahan seorang suami mudah tercetus bila isteri mengungkit-ungkit. Contohnya, mengungkit kebaikan yang pernah dilakukan atau mengungkit kesalahan suami. Ini adalah cara komunikasi yang trigger keegoan suami yang paling utama. Ramai para isteri kerap melakukannya tanpa sedar.
Tujuan isteri mengungkit adalah bertujuan untuk memberi kesedaran dan menegur. Tapi sedarkah anda bahawa perkara tersebut sebenarnya tidak disenangi suami? Sebab itu amat penting untuk tahu bahasa cinta suami anda, supaya anda tahu cara nak menghargai suami mengikut apa yang suami anda perlukan. Bahasa cinta setiap orang berbeza-beza. Jadi anda perlu ketahui apakah bahasa cinta suami anda dan juga diri anda sendiri. Jaga-jaga mungkin dengan memilih untuk mengungkit mereka mahu rasa dihargai.
2. MENGAJAR-AJAR
Ramai para isteri rajin menimba pelbagai ilmu dan tanpa sedar mereka mengajar-ajar pula si suami. Seorang suami akan merasa hina, rendah diri, kecewa dan malu bila diri mereka diajar-ajar oleh isteri sedangkan seorang lelaki ingin rasa dihormati dan menjadi HERO dalam hubungan. Ramai yang tanpa sedar menggunakan media sosial sebagai platform untuk mengajar-ajar suami dengan tag suami posting yang sensitif dan kurang menenangkan.
Niat dah betul kerana ingin suami menjadi versi yang lebih baik, sayangnya cara anda pula yang salah. Mulai harini dari anda mengajar-ajar suami mungkin anda boleh menggunakan konsep yang lebih mesra iaitu berkongsi. Kongsikan ilmu yang anda perolehi dengan suami, konsep berkongsi adalah lebih mesra dan lebih mudah untuk suami terbuka hati menerimanya dan seterusnya melakukan perubahan. Ingat, seorang suami ingin menjadi HERO dalam hubungan jadi elakkan tindakan yang mencalarkan keegoannya.
3. MEMBANDINGKAN
Percaya tak anda semua mesti pernah membuat perbandingan suami anda dengan orang lain. Contohnya, membandingkan apa yang orang lain ada dan anda tak ada, mengapa orang lain boleh tapi suami tak boleh, bila anda membuat perbandingan secara tidak langsung suami akan merasa kecil hati dan rendah diri. Baik suami mahupun isteri elakkan budaya membanding-bandingkan kerana ia akan membuatkan hubungan semakin buruk. Bila anda ataupun suami membanding-bandingkan pasangan ia adalah tanda bahawa diri merasa tidak disayangi.
4. TINGGI DIRI
Bila suami meninggi diri, isteri merasakan diri mereka seperti meminta-minta dengan setiap pemberian suami. Bila suami meninggi diri sebenarnya ada sesuatu yang mereka inginkan dari anda.
Suami sebenarnya sedang memberitahu anda yang diri mereka rasa tidak dihargai sebab itu mereka meninggi diri.
5. MERENDAHKAN PASANGAN
Ramai suami yang tanpa sedar telah melakukan perkara yang sebenarnya trigger isteri iaitu merendah-rendahkan mereka dengan mengkritik contohnya “awak ni gemuk, tak cantik, membangkitkan kekurangan isteri, mengherdik dan mengutuk. Tapi terdapat juga yang sebaliknya di mana para isteri yang merendah-rendahkan suami mereka.
Contohnya pangkat atau pendapatan isteri lebih tinggi berbanding suami, jadi suami tertrigger. Bila suami melihat yang isteri mereka sama level seperti mereka, keegoan seorang suami akan tercabar dan isteri pula tanpa sedar akan merendah-rendahkan dan hilang hormat pada suami. Seorang suami akan rasa HERO bila diri mereka dihormati.
6. MEMBISU
Membisu atau memberi silent treatment pada pasangan. Boleh jadi pasangan selalu membisu atau memberi silent treatment atau anda sendiri yang melakukan demikian. Contohnya, bila suami sedang menyatakan ketidakpuasan hati, anda tidak respon malah diam seribu bahasa.
Ramai tak sedar silent treatment sebenarnya pencetus pada kemarahan pasangan. Apabila tiada respon, pasangan merasakan anda tidak berminat dan diri mereka tidak penting. Terdapat juga di antara anda memilih untuk membatu kerana tidak mahu membesar-besarkan sesuatu isu.
Jadi, sejujurnya, berhenti menjadi pencetus kepada masalah seperti di atas dan wujudkan hubungan yang lebih romantik dengan pasangan anda.