Suami isteri yang suka merajuk jadikan rumah tangga lebih ‘hangat.’ Dalam hubungan suami isteri, merajuk sering dianggap sebagai sikap yang kurang matang atau sesuatu yang boleh membawa kepada pergaduhan.
Suami Isteri Yang Suka Merajuk Jadikan Rumah Tangga
Namun, jika ditangani dengan baik, merajuk sebenarnya boleh menjadi “rempah ratus” yang menjadikan hubungan lebih romantik dan mesra. Merajuk yang dilakukan dalam batasan tertentu mampu menyemai kasih sayang dan mempereratkan hubungan antara suami dan isteri.
Mengapa Merajuk Penting dalam Hubungan?
Tanda Perhatian dan Kepedulian:
Merajuk sering timbul apabila seseorang merasa diabaikan atau kurang mendapat perhatian. Ini sebenarnya adalah tanda bahawa mereka menghargai pasangan dan ingin dilayan dengan lebih istimewa. Apabila pasangan menyedari hal ini, mereka cenderung untuk lebih peka terhadap keperluan emosi pasangannya.
Mencipta Detik Manis:
Proses memujuk pasangan yang sedang merajuk sering menghasilkan detik-detik manis yang tidak dapat dilupakan. Usaha untuk memujuk, seperti memberikan kata-kata lembut, hadiah kecil, atau melakukan sesuatu yang istimewa, boleh menjadi kenangan indah yang mengukuhkan hubungan.
Meningkatkan Komunikasi:
Merajuk boleh menjadi peluang untuk pasangan berbincang tentang perasaan mereka secara terbuka. Ia mendorong komunikasi yang lebih jujur dan membantu suami isteri memahami apa yang diinginkan dan diharapkan oleh pasangan mereka.
Meningkatkan Rasa Kasih Sayang:
Proses memujuk selepas merajuk memerlukan usaha dan perhatian. Ini menunjukkan betapa pentingnya pasangan itu dalam kehidupan mereka, sekaligus meningkatkan rasa kasih sayang dan kepercayaan antara satu sama lain.
Cara Merajuk Yang Positif
Merajuk yang membawa kebaikan dalam hubungan memerlukan beberapa panduan agar tidak menjadi punca pergaduhan.
Elakkan Merajuk Berlebihan:
Merajuk yang terlalu kerap atau berpanjangan boleh membuat pasangan merasa letih dan mengganggu keharmonian hubungan. Gunakan pendekatan ini dengan sederhana agar tidak menimbulkan tekanan.
Nyatakan Sebab Merajuk Dengan Lembut:
Elakkan bersikap dingin atau membisu terlalu lama. Sebaliknya, nyatakan apa yang anda rasa dengan nada yang tenang agar pasangan memahami perasaan anda.
Berikan Peluang Untuk Memperbaiki:
Selepas merajuk, berikan peluang kepada pasangan untuk memujuk dan memperbaiki keadaan. Jangan terus menolak usaha mereka kerana ini boleh membuatkan mereka merasa tidak dihargai.
Gunakan Merajuk Sebagai Peluang Untuk Mempererat Hubungan:
Lihat merajuk sebagai peluang untuk mencipta detik romantik, bukan sebagai alat untuk menghukum pasangan.
Ads
Bagaimana Memujuk Pasangan Yang Merajuk?
Gunakan Sentuhan Fizikal:
Pelukan, ciuman, atau sekadar memegang tangan boleh membantu melembutkan hati pasangan yang sedang merajuk.
Gunakan Kata-Kata Manis:
Luahkan kata-kata seperti, “Saya minta maaf,” atau “Saya faham perasaan awak,” dengan nada yang ikhlas dan mesra.
Berikan Perhatian Lebih:
Kadangkala, pasangan hanya ingin merasa dihargai. Luangkan masa untuk mendengar perasaan mereka atau lakukan sesuatu yang istimewa, seperti memasak makanan kegemaran mereka atau memberi hadiah kecil sebagai tanda sayang.
Sabar dan Tidak Memaksa:
Jangan tergesa-gesa atau memaksa pasangan untuk berhenti merajuk. Berikan masa yang mereka perlukan untuk bertenang sebelum memujuk.
Berikut ulasan lanjut tentang konflik suami isteri atau merajuk atau masam muka boleh memberi peluang kepada pasangan untuk lebih romantik bersama Diyana Tahir, Pakar Hubungan & Keintiman.
Kunci Hati Suami
Sebenarnya, konflik yang terjadi antara suami isteri adalah peluang untuk menjadikan hubungan itu lebih romantik dan bahagia. Apabila berbicara soal hati, ramai yang sebenarnya terlepas pandang perkara yang boleh buat kita kunci hati suami kita.
Kadang-kadang, sikap ‘cepat sentap’ menjadi pencetus kepada perasaan tidak puas hati ini jika tidak di bendung akan menjadi racun dalam hubungan. Bila pasangan trigger, anda sebenarnya perlu memahami bahawa dia sedang terluka dan reaksinya itu adalah cara pasangan anda menzahirkan kelukaannya.
Bagaimanapun, jika anda tidak menyedarinya ketahuilah anda sebenarnya terlepas peluang untuk kunci hati si dia. Disebabkan itu amat penting untuk anda menguasai teknik komunikasi yang betul supaya pasangan boleh menerima dengan hati terbuka dan seterusnya dapat berubah menjadi lebih baik.
Faktor Penyebab Pasangan ‘Kecil Hati’
1. Mengungkit
Ads
Kemarahan seorang suami mudah tercetus bila isteri mengungkit-ungkit. Contohnya, mengungkit kebaikan yang pernah dilakukan atau mengungkit kesalahan suami. Ini adalah cara komunikasi yang trigger keegoan suami yang paling utama. Ramai para isteri kerap melakukannya tanpa sedar.
Tujuan isteri mengungkit adalah bertujuan untuk memberi kesedaran dan menegur. Tapi sedarkah anda bahawa perkara tersebut sebenarnya tidak disenangi suami? Sebab itu amat penting untuk tahu bahasa cinta suami anda, supaya anda tahu cara nak menghargai suami mengikut apa yang suami anda perlukan. Bahasa cinta setiap orang berbeza-beza. Jadi anda perlu ketahui apakah bahasa cinta suami anda dan juga diri anda sendiri. Jaga-jaga mungkin dengan memilih untuk mengungkit mereka mahu rasa dihargai.
2. Mengajar-ngajar
Ramai para isteri rajin menimba pelbagai ilmu dan tanpa sedar mereka mengajar-ajar pula si suami. Seorang suami akan merasa hina, rendah diri, kecewa dan malu bila diri mereka diajar-ajar oleh isteri sedangkan seorang lelaki ingin rasa dihormati dan menjadi HERO dalam hubungan. Ramai yang tanpa sedar menggunakan media sosial sebagai platform untuk mengajar-ajar suami dengan tag suami posting yang sensitif dan kurang menenangkan.
Niat dah betul kerana ingin suami menjadi versi yang lebih baik, sayangnya cara anda pula yang salah. Mulai harini dari anda mengajar-ajar suami mungkin anda boleh menggunakan konsep yang lebih mesra iaitu berkongsi. Kongsikan ilmu yang anda perolehi dengan suami, konsep berkongsi adalah lebih mesra dan lebih mudah untuk suami terbuka hati menerimanya dan seterusnya melakukan perubahan. Ingat, seorang suami ingin menjadi HERO dalam hubungan jadi elakkan tindakan yang mencalarkan keegoannya.
3. Membandingkan
Percaya tak anda semua mesti pernah membuat perbandingan suami anda dengan orang lain. Contohnya, membandingkan apa yang orang lain ada dan anda tak ada, mengapa orang lain boleh tapi suami tak boleh, bila anda membuat perbandingan secara tidak langsung suami akan merasa kecil hati dan rendah diri.
Baik suami mahupun isteri elakkan budaya membanding-bandingkan kerana ia akan membuatkan hubungan semakin buruk. Bila anda ataupun suami membanding-bandingkan pasangan ia adalah tanda bahawa diri merasa tidak disayangi.
4. Tinggi Diri
Bila suami meninggi diri, isteri merasakan diri mereka seperti meminta-minta dengan setiap pemberian suami. Bila suami meninggi diri sebenarnya ada sesuatu yang mereka inginkan dari anda.
Suami sebenarnya sedang memberitahu anda yang diri mereka rasa tidak dihargai sebab itu mereka meninggi diri.
5. Merendahkan Pasangan
Ramai suami yang tanpa sedar telah melakukan perkara yang sebenarnya trigger isteri iaitu merendah-rendahkan mereka dengan mengkritik contohnya “awak ni gemuk, tak cantik, membangkitkan kekurangan isteri, mengherdik dan mengutuk. Tapi terdapat juga yang sebaliknya di mana para isteri yang merendah-rendahkan suami mereka.
Ads
Contohnya pangkat atau pendapatan isteri lebih tinggi berbanding suami, jadi suami tertrigger. Bila suami melihat yang isteri mereka sama level seperti mereka, keegoan seorang suami akan tercabar dan isteri pula tanpa sedar akan merendah-rendahkan dan hilang hormat pada suami. Seorang suami akan rasa HERO bila diri mereka dihormati.
6. Membisu
Membisu atau memberi silent treatment pada pasangan. Boleh jadi pasangan selalu membisu atau memberi silent treatment atau anda sendiri yang melakukan demikian. Contohnya, bila suami sedang menyatakan ketidakpuasan hati, anda tidak respon malah diam seribu bahasa.
Ramai tak sedar silent treatment sebenarnya pencetus pada kemarahan pasangan. Apabila tiada respon, pasangan merasakan anda tidak berminat dan diri mereka tidak penting. Terdapat juga di antara anda memilih untuk membatu kerana tidak mahu membesar-besarkan sesuatu isu.
Kesimpulannya merajuk dalam hubungan suami isteri bukanlah sesuatu yang negatif, selagi ia dilakukan dengan cara yang positif dan dalam batasan yang wajar. Sikap ini sebenarnya menunjukkan betapa pentingnya pasangan itu dalam hidup kita. Dengan cara memujuk yang betul, merajuk boleh menjadi alat untuk meningkatkan kasih sayang, mencipta detik-detik romantik, dan mempereratkan hubungan.
Jadi, jangan takut jika pasangan anda merajuk sesekali. Lihatlah ia sebagai peluang untuk menunjukkan cinta dan perhatian, serta menjadikan hubungan anda lebih bermakna dan bahagia.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila anak buat perangai, call suami mengadu. ‘Bukan minta selesaikan, sekadar nak meluah rasa bila terpaksa uruskan anak seorang diri.
Begitulah wanita bila bergelar mak-mak, bila berjauhan dengan suami, akan ada satu habit suka share dan mengadu dengan suami. Pasti mak-mak pernah melaluinya juga kan?
Ikuti perkongsian Puan Izzatul Akmal ini dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan:
Bila Anak Buat Perangai
Isteri ini bila sudah jadi mama, dia ada satu habit pelik.
Bila anak-anak buat perangai, mengamuk, bergaduh atau sudah tak terkawal dan suami pula keluar, kerja, atau berjauhan.
Dia akan ada habit nak call mengadu tentang anak-anak seolah-olah minta tolong si suami untuk selesaikan.
Call Suami Mengadu
“Haa buat perangai, buat perangai. Sekejap nak call babah..”
“Abi… tengokk anak awak nih. Dia pecahkan pinggan lepas tu terpijak berdarah kaki menangis-nangis”.(dalam video call)
“Abang, anak buaih (duduk tak diam) sangat hari ini. Marah sat dia. Penat sangat dah nih.” (padahal suami berada di London tengah sibuk uruskan konvensyen dunia).
‘Waled… anak demam tapi tak mahu makan ubat. Tiuplah pujuk sat.’ (selalunya suami pjj atau kena pergi kursus mana-mana selalu jadi hal macam ini)
“Awak, balik sekarang. Budak-budak ni seorang pun tak nak lena lagi. Mai tengok sat depa jadi macam mana malam ni”. (selalunya call macam ni akan masuk bila suami terlajak lepak dekat luar, anak-anak buat perangai, combo.
Kalau suami itu balik lewat, sekali dengan suami itu kena rasa perasaan isteri yang huru hara uruskan anak di rumah.
Sebenarnya sang isteri tahu. Apa sangat yang mampu dilakukan oleh seorang suami atau pun ayah hanya melalui panggilan telefon.
Tapi percayalah, ianya bukan sekadar cuma panggilan telefon. Malah, ianya bukan sekadar untuk memujuk si anak atau seolah-olah ingin membiarkan si ayah tadi menghulurkan rotan cuma dari panggilan video.
Tetapi ianya adalah tentang rasa kebersamaan. Rasa ingin ditenangkan dan dipujuk bukan hanya pada si anak, tetapi juga pada ibunya.
Sungguh. bila seorang diri menguruskan anak dan semua benda lama-lama boleh jadi ‘burn out’. Jadi pada aku langsung tiada istilah sikit-sikat nak call mengadu dan sikit-sikit hendak call telefon.
Sekadar Nak Meluah
Biarlah si isteri tadi merasakan bahawa mereka sedang sama-sama membesarkan anak-anak walaupun dari kejauhan, biarlah si isteri tadi ditenangkan walaupun hanya dengan hanya satu panggilan.
Dan juga biarlah si isteri tadi merasakan bahawa dia masih punya suami untuk dia menceritakan tiap satu kejadian.
Walaupun benda itu kecil, tapi percayalah apabila emosi seorang ibu dalam keadaan baik, rumah akan menjadi sangat tenang dan penuh gelak tawa.
Kurangkan Beban Isteri
Panggilan telefon tadi bukan hanya mampu mendiamkan si anak, bahkan sekaligus menghilangkan segala rasa beban ibu di pundak.
“Takpa, nanti abang balik kita cakap dengan dia baik-baik ya.”
“Sudah-sudah, awak jangan marah lagi ya. Nanti saya dah tak cantik isteri abang sorang ni.”
“Anak waleed… tak baik buat perangai macam itu. Kasihan mama, tidur cepat nanti waled balik belanja aiskrim.”
Simple kan.
Kadang-kadang ada suami yang rimas bila sikit-sikit panggilan call masuk dari isteri sendiri.
Percayalah jika isteri terdidik dengan baik, sedayanya dia pun akan mencuba untuk tidak menambah beban dan memudahkan hal suami.
Cuma kadang sebab dia isteri, perlukan sang suami untuk melengkapi.
Angkatlah call dari yang tersayang, kalau dalam urusan penting, titipkan pesanan melalui mesej atau pun whatsapp. Mana tahu, itu adalah panggilan kecemasan yang terakhir. Jangan hidup diakhiri dengan rasa sesalan.
Mingguan Wanita : Sebagai suami, bila isteri call jawablah. Kalau busy sekali pun, cuba text dan selalu tanya keadaan di rumah bersama anak-anak.
Anak lelakinya gagal bayar nafkah anak, bapa mertua boleh disaman! Isteri take note!
Jika selama ini ramai bapa mertua atau datuk kepada anak anak ibu tunggal lepas tangan bila anak lelaki mereka bercerai.
Jangan ambil mudah iya, bekas bapa mertua juga boleh diseret ke mahkamah jika anaknya gagal melunaskan nafkah cucu cucunya. Ikuti perkongsian Dr Karya Kayra ini dan hadam baik baik iya:
Bapa Mertua Boleh DiSaman!
Penulisan ini bagi ibu-ibu yang tidak tahu bahawa bapa-mertua boleh disaman dan diheret ke mahkamah syariah dan diarahkan hakim membayar nafkah cucu jika anak lelakinya gagal memberi nafkah anak.
Anda tidak perlukan slip gaji bapa mertua atau slip gaji bekas suami itu. Anda hanya perlu buat aduan ke mahkamah syariah dan “pastikan” sepanjang anda berkahwin, anda dapatkan salinan IC bekas suami dan salinan IC bapanya untuk “langkah persediaan” sekiranya anda diceraikan suami.
Lakukan tindakan berikut selepas sah bercerai…
Bila Anak Lelakinya Gagal Bayar Nafkah Anak
PERTAMA:
a) Tuntut nafkah anak di mahkamah syariah.
b) Kira semua yang berkaitan sebagai nafkah anak. Makan minum, persekolahan, hari raya.
c) Jika anak anda sakit, kira kos perubatan anak.
d) Jika anda tiada wang untuk upah peguam, Majlis Agama Islam Persekutuan (MAIWP) dan Biro Bantuan Guaman Kerajaan Malaysia ada menyediakan Perkhidmatan Peguam Percuma untuk ibu-ibu tunggal mendapatkan hak nafkah anak.
KEDUA:
a)Tunggu 3 bulan bekas suami gagal beri nafkah anak.
b) Buat aduan ke mahkamah syariah.
c) Mohon mahkamah masukkan nama bapa mertua sebagai pemberi nafkah anak.
d) Di dalam Islam, datuk sebagai wali wajib memberi nafkah kepada cucunya jika anak kandung lelakinya gagal memberi nafkah kepada cucunya itu.
Isteri Take Note!
KETIGA:
a) Bekas suami dan bapa mertua masih gagal beri nafkah anak, mohon waran tangkap dikeluarkan mahkamah syariah.
b) Waran tangkap keluar, surat makluman berkenaan waran tangkap akan diberikan kepada anda sebagai plaintif oleh mahkamah syariah.
c) Maklumkan ustaz pegawai Penguatkuasa Jabatan Islam Negeri lokasi bekas suami tinggal, lokasi bekas suami bekerja dan semua nombor handphone berkaitan bekas suami dan bapa mertua.
KEEMPAT:
a) Bekas suami dan bapa mertua buat bodoh tak beri nafkah anak, mohon Waran Tangkap dikeluarkan atas mereka berdua kerana kedua mereka ingkar arahan mahkamah dalam memberi nafkah anak.
KELIMA:
a) Mahkamah panggil keduanya bicara untuk bayar hutang nafkah tertunggak dan arahan potongan gaji terus ke akaun bank ibu sepertimana dokumen mahkamah di bawah ini.
b) Mereka berdua datang atau tidak, hakim akan putuskan hukuman dan arahkan pihak Penguatkuasa Jabatan Agama Islam buat tangkapan kerana Waran Tangkap sudah keluar.
c) Selagi bekas-suami ingkar arahan mahkamah, ibu boleh minta nafkah anak dinaikkan kerana kos kehidupan yang semakin tinggi.
KEENAM:
a) Sejak tahun lepas, kami biasa jumpa bapa kandung yang sudah ditangkap dan ditahan di lokap, nafkah tertunggak anak itu dibayar kesemuanya. Ada kes bapa itu bayar lumpsum nafkah anak tertunggak berjumlah RM175,000.00 kerana si bapa tidak mahu dipenjarakan jika gagal bayar hutang nafkah tertunggak. Ada pun duit kan, yang susah sangat nak beri nafkah anak selama ini dah kenapa??
b) Bapa Kandung bertugas sebagai penjawat awam jika dipenjarakan walau sehari kerana tidak beri nafkah anak boleh dibuang kerja. Jadi mereka akan bayar lumpsum semua nafkah tertunggak anak untuk mengelak dari dipenjarakan.
Tiada Pilihan Jika Gagal
Pilihan bapa yang gagal beri nafkah anak ini cuma ada dua setelah waran tangkap dikeluarkan dan mereka diheret ke lokap:
1) Bayar lumpsum semua hutang nafkah tertunggak sebelumnya dan sign borang persetujuan nafkah anak pada masa akan datang dibuat secara potongan gaji oleh jabatan atau syarikat bekas-suami bekerja.
2) Masuk penjara jika tak bayar hutang nafkah tertunggak.
Kes di bawah ini adalah satu dari beratus kes waran tangkap sudah dikeluarkan sejak dua tahun lepas ke atas lelaki-lelaki di Malaysia yang gagal memberi nafkah anak.
Ramai antara lelaki itu yang bekerja sebagai pegawai kerajaan, ada yang bekerja swasta tetapi kami dapat bukti hitam putih gaji lelaki itu lebih RM50 ribu sebulan. Kami akan pastikan kesemua lelaki-lelaki ini dibawa ke lokap polis atau dipenjarakan jika gagal beri nafkah anak seperti mana arahan mahkamah.
We began this battle five years ago and we want to see the result this year!
Kayra, Putrajaya.
Mingguan Wanita : Bab nafkah ini jangan dibuat main. Biarpun suami, isteri telah bercerai, hubungan ayah dan anaknya tidak akan terputus sampai bila bila.
Setiap alam rumah tangga ada pasang surutnya. Hanya yang mampu bertahan dapat meneruskan kehidupan suami isteri dan kekal. Namun, jika tidak mampu bertahan, buatlah macam mana sekali pun, ia tetap tidak bahagia.
Pernah tak kita tengok, pasangan itu sangat baik dan kelihatan cukup serasi. Tetapi, tiada siapa sangka dan jangka, kehidupan mereka itu belum tentu bahagia. Luaran nampak bahagia tapi di dalamnya hanya mereka yang tahu.
Perkongsian oleh Fadzli Aziz boleh merungkaikan kenapa keadaan ini berlaku. Hayati dan fahami apa yang diperkatakan itu.
Ramai yang mengimpikan rumah tangga yang bahagia dan harmoni. Penuh dengan emosi cinta dan adegan romantik. Setiap gurau senda yang mengeratkan lagi hubungan antara suami dan isteri.
“Sebab tu kita kena cari pasangan yang baik kan” kata salah seorang penganjur program.
Saya pun tersenyum sambil mengutarakan satu soalan.
“Awak pasti ke kalau pasangan dua dua baik akan bahagia?”
“Ye kut. Entahlah. Tapi kita mesti nak cari yang baik kan.” Jawab penganjur tu.
“Betul. Itulah rumah tangga. Tiada siapa yang akan dapat jangka apa yang akan berlaku walaupun kita dah bersedia. Terkadang sama-sama baik pun belum tentu bahagia”.
“Eh, biar betul En Fadzli”.
“Yup. Ibarat macam ni. Kerja kat syarikat petronas bagus tak?”
“Bagus. Gaji besar, company stabil, kemudahan banyak” jawabnya.
“Ok, ada seorang engineer dapat kerja di Petronas. Ada pengalaman dalam 5 tahun, pekerja cemerlang sewaktu di syarikat lama. Bagus tak dia ni?”
“Baguslah. Mesti petronas nak punya”.
“Betul. Maknanya dua dua bagus kan. Syarikat bagus, pekerja pun bagus. Tapi pastikah kita pekerja tu tak akan berhenti dari petronas? Tak pasti kan.
Kenapa? Baik tak semestinya serasi.
Terkadang ada orang berhenti kerja kerana suasana kerja tak best, ada cita-cita lain, layanan pihak atasan teruk dan macam-macam lagi.
Karakter Berbeza
Sama juga dalam rumah tangga. Sama-sama baik tak semstinya serasi. Budaya berbeza, suasana berbeza. Walaupun kedua-duanya berakhlak baik, tapi disebabkan karakter berbeza juga membawa kepada konflik”.
“Habis tu En Fadzli, nak cari yang macam mana lagi? Macam mana nak tau serasi ke tidak?”
“Tulah kan. Tiada siapa yang tahu. Isunya bukan pada siapa baik dan siapa lebih baik, tapi sejauh mana suami isteri berusaha bersama untuk membaiki diri dan melengkapi pasangan sepanjang perkahwinan. Berbeza tak salah, yang salah adalah membeza-beza”.
Menerima perbezaan ni perlu kepada merendahkan ego, berlapang dada dan menyintai pasangan tanpa syarat”
“Sebab tu dalam rumah tangga mengenali pasangan bukan terhad oleh masa, bahkan mengenali dan memahami pasangan adalah proses sepanjang hayat. Kenapa? Kerana manusia berubah. Apa yang kita tahu sebelum kita kahwin belum tentu akan valid selepas 5 tahun kahwin.
Pasang Surut
Dalam rumah tangga mesti ada cabarannya, ujiannya, naik turunnya. Mesti ada.
Jadi fokus dalam rumah tangga adalah bagaimana masing-masing boleh menyumbang dalam menjaga keharmonian. Bagaimana masing-masing boleh berfungsi dan main peranan dalam rumah tangga bila berdepan dengan cabaran.
“Risau pula saya nak kahwin bila dengar macam ni”.
“Baguslah kalau risau. Tu tandanya awak seorang yang amanah, bertanggungjawab. Yang saya risaukan adalah orang yang takde risau, Yang dia nampak bab seronok je. Bila nampak seronok je jadi tak bersedia. Tu yang ilmu entah ke mana, tanggungjawab pun huru-hara.
Hikmahnya apa? Allah nak kita sentiasa bergantung dan berharap padaNYA, bukan pada pasangan kita semata”.
Satu Perjalanan
Rumah tangga bukan destinasi tetapi ianya adalah satu perjalanan sebelum tiba ke destinasi. Matlamatnya adalah hendakkan ALLAH redha sepanjang perjalanan.
Jadi dalam perjalanan, ada orang yang sentiasa belajar dan berusaha sepanjang perjalanan. Tetapi dalam masa yang sama ada orang masih sibuk dengan kisah silam, berjalan tanpa tujuan dan hanya mengikut keadaan.
MW: Belajarlah untuk memahami pasangan supaya kerukunan rumah tangga sentiasa berkekalan.
Artikel ini telah disunting dan mendapat kebenaran daripada penulis
Sumber: Fadzli Aziz
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!