Suami Isteri Selalu Bertegang Urat, Mula Dengan ‘Perli-perli’ Akhirnya Bergaduh

Share

Bagi mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga untuk tempoh yang lama, pasangan suami isteri perlulah  mengelakkan daripada melakukan tabiat yang toksik dalam perhubungan. ‘Toxic relationship’ boleh menyebabkan hubungan suami isteri itu akhirnya pudar, rosak, binasa dan menuju kehancuran.

Berikut antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan pergaduhan dan seterusnya menghancurkan perhubungan.

Suami Isteri Selalu Bertegang Urat

1. Berlagak seperti masih bujang

Nama pun perhubungan, kenalah babitkan dua orang. Tapi, jika anda masih berlagak seperti hidup sendirian, tanpa ambil kira perasaan pasangan, bermakna anda tidak betul-betul komited pada si dia. Bila anda dalam perhubungan, anda kena beringat sama akan perasaan suami. Adakah anda buat rancangan tanpa memberitahu padanya?

Adakah anda suka berahsia daripada pengetahuan si dia? Tak bolehlah masih hidup seperti bujang tetapi masih mahukan manfaat berteman seranjang. Jika anda mahu hidup bujang, hiduplah bujang. Jika anda mahu komited dalam perkahwinan, kenalah komited pada setiap perbuatan anda, secara bersama-sama.

2. Hanya bertanggungjawab pada kewangan sendiri

Isu duit memang antara cabaran terbesar dalam perkahwinan. Jika anda atau suami berterusan berbelanja tanpa memikirkan ianya adalah sebahagian daripada keperluan keluarga, mulalah institusi perkahwinan akan mula retak dan berantakan. Ini sama kes seperti di atas, berlagak bujang..

3. Tiada minat atau hobi lain

Kesannya sama seperti berlagak bujang, apabila anda hanya melakukan apa yang pasangan anda minati. Anda masih perlukan hidup, teman, minat, hobi dan masa sendiri. Malah, pakar perhubungan turut berkata, dalam usaha untuk ‘bersatu’ dengan suami atau isteri, ramai yang lupa minat, hobi dan cita-cita sendiri – padahal impian anda yang itulah buat pasangan minat pada anda.

Anda perlu cuba untuk menghargai waktu untuk diri sendiri, sebab tiada peraturan mengatakan anda hanya perlu berkepit dengan pasangan 24/7. Jika anda sudah lama tidak berjumpa dengan kawan-kawan, minta izinnya dan keluarlah berjumpa mereka.

4. Terlalu sensitif dan kurang keyakinan

Tiada yang lebih melukakan daripada terasa tidak bernilai dalam hubungan cinta dan perkahwinan. Rasa kurang yakin ini lama kelamaan boleh membibit cemburu. Sukar untuk mempercayai pasangan jika dia hanya buat anda rasa tidak berharga. Jika keadaan ini berterusan, anda kena tanya pada diri sendiri, adakah ianya berbaloi untuk diteruskan?

Mula Dengan ‘Perli-perli’ Akhirnya Bergaduh

5. Bersikap sinikal dan kuat memerli pasangan

Bila ada rasa tidak puas hati, kamu tidak cuba untuk berterus-terang kepada pasangan. Sebaliknya, kamu menggunakan ayat-ayat ‘pedas’ untuk menyakitkan hati si dia. Mungkin dengan berbuat demikian, kamu akan berasa puas untuk seketika. Namun, jika pasangan kamu buat tak faham, kamu sendiri yang akan makan hati akhirnya. Kamu perlu faham bahawa sesetengah orang, terutamanya golongan lelaki adalah ‘kalis’ perli. Daripada kamu berkias-kias, lebih baik kamu berterus terang dan cari penyelesaian bersama.

Sekali-sekala sudah tentu tidak mengapa untuk bergurau nakal, tetapi bila asyik memerli dan memperlekeh, itu sudah jatuh status tidak menghormati. Perbuatan sebegini akan buat pasangan terluka dan defensif. Pastikan pasangan tahu jika ‘gurauannya’ melampaui batas.

6. Kurang kasih sayang

Asyik berkepit pun tak bagus, tapi kurang perhatian juga boleh merosak hubungan cinta. Sentuhan dalam perkahwinan amat perlu, jadikan tabiat bercumbu sebelum keluar rumah satu rutin harian. Jika anda mahu selamatkan keadaan, mulakan terlebih dulu. Berpegang tangan, berpeluk adalah antara cara untuk kembalikan cinta dalam perhubungan.

7. Semua perkara disampaikan menerusi teks

Teknologi dan media sosial sudah menjadi aset harian dalam masyarakat. Namun, ia juga adalah punca ‘kematian’ banyak perhubungan. Dua orang yang tinggal serumah langsung tidak bercakap, matinya komunikasi. Letak telefon ke tepi, tutup komputer dan duduk bersama bila makan malam atau bersiar di kawasan kejiranan. Luangkan masa untuk kongsikan aktiviti harian anda. Status sosial anda boleh buat kemudian, ia takkan ke mana-mana pun. Tapi pasangan anda boleh kosongkan rumah jika anda tidak beri perhatian kepadanya.

8. Kuat bebel

Ini adalah pemusnah keseronokan dalam hubungan cinta dan perkahwinan. Malah, satu laporan Wall Street Journal pernah mengatakan yang bebelan dalam interaksi di mana seorang asyik buat permintaan dan seorang lagi hanya ‘buat bodoh’ dan kedua-duanya jadi sakit hati adalah isu yang pasangan perlu lalui. Pakar berkenaan berkata, ia adalah sejenis toksik komunikasi yang boleh menenggelamkan perhubungan. Cara terbaik menamatkan bebelan adalah menyelesaikan isu berkenaan.

9. Perangai kompulsif

Bila anda tidak gembira, anda cuba salurkan pada sesuatu atau seseorang. Ini adalah bendera merah dalam perkahwinan. Jika anda suka habiskan masa membeli-belah, makan banyak atau sehingga sanggup membuka laman pornografi setiap hari, anda telah mencapai tahap mengetepikan pasangan. Anda perlu berterus-terang kepada pasangan supaya dia tahu apa dilema yang bermain dalam fikiran.

10. Tidak jujur

Ini adalah ‘punca kematian’ dalam perkahwinan. Jika anda tidak dapat percaya si dia, anda tidak lagi layak berada dalam perhubungan ini. Bila anda rasa tidak dihargai, tidak dipercayai, tidak dicintai, anda sebenarnya tidak lagi didahului dalam perhubungan ini. Jika anda rasa tidak lagi percayakan si dia, tanya diri: “Kenapa? Adakah si dia buat anda tertanya akan nilai diri? Adakah si dia sedang curang?” Atau, adakah anda yang tidak jujur dalam perhubungan ini. Adakah anda yang curang? Jika ya, cari cara untuk tamatkan kitaran ini. Lepaskannya pergi. Pilih untuk jadi jujur.

Baca artikel yang berkaitan di sini: Suami Isteri Bila Sudah Terlalu Berkira & Materialistik, Rumah Tangga Jadi Hambar

Suami Isteri Yang Tiada Anak, Ini Tip Bila Disoal Tentang Zuriat

Suami Isteri Bergaduh Itu Biasa, Limitnya Cukup Sehari, Jika Lebih Itu EGO

 

Published by
Has