Awal berkahwin, semuanya indah belaka. Tetapi setelah bertahun-tahun mendirikan perkahwinan, mungkin ada sesetengah pasangan merasa bosan dalam  rumah tangga yang dibina. Kenapa boleh berlaku begitu dalam rumah tangga?

Suami Isteri Kena Saling Goda-Menggoda Elak Rasa Bosan Dalam Rumahtangga
Pendakwah Bebas, Ustaz Hj Mohd Riza Hj Kamaruddin

Menurut Pendakwah Bebas, Ustaz Hj Mohd Riza Hj Kamaruddin, kehidupan manusia ini ada pasang surutnya. Namun begitu segala-galanya bermula dengan emosi dan kemudiannya ada ego.

“ Apa yang paling penting, Allah menghumban syaitan ke neraka sebab sombong. Sifat sombong menolak kebenaran dan meremehkan orang lain. Itu puncanya. Dalam rumah tangga ini, di awal alam perkahwinan, semuanya berada dalam pentas lakonan semata-mata. Semuanya sebab mahu memikat hati dan mengambil hati.

“ Tetapi setelah berumah tangga, kita sudah berada di atas ‘real life’ masing-masing. Jadi, akan terbongkar semua isi hati masing-masing. Lambat laun akan ada perasaan tertipu pada diri masing-masing.

“ Kemudian apabila Allah izinkan mereka ada anak, masing-masing merentasi kehidupan itu beragam-ragam. Mereka hidup dalam kegembiraan. Tetapi apabila ada sikit punya hal yang telah dipendam agak lama, bila meletup ia tidak terkawal.

“ Oleh itu kita mesti berpada-pada dalam rumahtangga supaya apa sahaja kekusutan itu akan cari punca untuk melerainya. Itu yang terbaik. Kalau kekusutan itu terus disimpul dan disimpul. Suami dengan ego suami, isteri dengan ego isteri. Tidak akan terjumpalah titik pertemuan untuk menyelesaikan masalah. Akhirnya berantakan.”

Suami Perlu Ikut Sunnah Nabi SAW Cara Layan Isteri

Pasangan suami-isteri boleh ikut sunnah Nabi SAW bagi melayari rumah tangga yang Bahagia. Jelas Ustaz Hj Mohd Riza, sunnah Nabi SAW itu amat indah kalau kita fahami.

“ Nabi dengan isterinya memang very true love. Saya ambil satu contoh yang ringan. Dalam hadis Riwayat Muslim, ada isteri namanya Sofiyah, isterinya mungkin tidak tinggi. Hendak naik unta itu tinggi. Apa yang Nabi SAW buat?

Nabi SAW berdiri dan kemudiannya membongkok. Nabi minta isterinya pijak paha dan naik ke atas untanya.”

IKLAN

Kesimpulan daripada hadis ini bermaksud seseorang suami itu perlukan turunkan ego dan membantu isteri apabila diperlukan.

Pesan pertama Ustaz Hj Mohd Riza kepada semua suami adalah antara sunnah yang mereka perlu hidupkan adalah tolong bukakan pintu kenderaan isteri sebagaimana Nabi SAW sanggup letakkan lututnya agar isterinya dapat pijak paha untuk naik ke atas unta.

Pesan keduanya kepada suami agar membaca cara atau tip Nabi SAW menguruskan rumah tangga.

“ Tip ini amat indah dan seronok untuk dibaca. Sesekali bawalah isteri keluar makan, bawa isteri bercuti. Itu semua sunnah Nabi SAW. Satu lagi yang paling penting adalah , bagi pasangan yang berusia, suami-isteri perlu saling goda-menggoda antara satu sama lain.”

Tahu Jenis Bosan Negatif Bosan Positif

Menurut Ahli Akademik Prof Madya Dr Rusinah Siron, setiap pasangan kena kenal pasti jenis bosan apa yang mereka sedang hadapi.

Suami Isteri Kena Saling Goda-Menggoda Elak Rasa Bosan Dalam Rumahtangga
Ahli Akademik Prof Madya Dr Rusinah Siron

“ Punca utamanya datang sebab objektif hidup tidak jelas. Sejak kita bertekad mendirikan rumah tangga, kita bertekad untuk hidup seia sekata, seiring sejalan. Sehidup semati dengan pasangan itu.  Jadi objektif kena jelas dan ikhlas.

IKLAN

“ Apabila objektif itu jelas, tahap-tahap kebosanan yang ada dalam rumah tangga itu akan diatasi ‘bit by bit’. Ada bosan yang negatif dan ada bosan yang positif.

“ Bosan tengok muka pasangan itu adalah contoh bosan negatif. Ini akan membawa kepada pertelingkahan dan akhirnya perpisahan dan perceraian.

“ Kalau bosan yang positif ini, kita hendak perbaiki usaha untuk lebih kepada pemulihan. Jangan ucapkan balik sahaja tengok muka You, I bosan. Ini satu yang pasif. Bosan yang positif ini contohnya bosan dengan perangai pasangan.”

Atasi Kebosanan Dengan Minda Dan Mental

Menurut Prof Madya Dr Rusinah lagi, dalam perkahwinan juga ada fasa atau tahapnya. Fasa-fasanya adalah fasa pengenalan, fasa pertumbuhan dan fasa kematangan.

Fasa pengenalan ini berlaku selepas berkahwin. Masa ini masing-masing telah menunjukkan reaksi-reaksi kebosanan sebab jangkaan dan ekpektasi terhadap pasangan tidak sama seperti mana ketika bercinta. Bosan itu ditunjukkan dengan rungutan, sakit hati dan rajuk hati.

Fasa pertumbuhan ini lagi berat sekiranya perkara yang kecil dalam fasa pengenalan itu tidak diatasi. Sebagai contohnya masing-masing semakin sibuk dengan kerjaya dan urusan masing.

IKLAN

Fasa kematangan adalah apabila pasangan semua sudah matang.

“ Fasa-fasa inilah yang akan membawa kepada usaha sama, kerja sama, komitmen, komunikasi setiap pasangan untuk mengatasi kebosanan. Samada kebosanan itu rendah, sederhana atau tinggi. Semua kita atasi sedikit demi sedikit mengikut fasa itu.

” Jika sesuatu perkara yang dilakukan oleh pasangan itu menimbulkan kebosanan kita perlu atas dengan fasa-fasa yang disebutkan tadi.

” Untuk atasi kebosanan, semuanya bermula dengan minda dan mental. Minda yang positif membuatkan tindakan kita proaktif. Persoalannya adakah kita mahu mempertahankan perkahwinan atau mahu melonggarkan perkahwinan?

” Semuanya bergantung pada objektif kita. Tindakan yang proaktif membawa kepada produktif dalam perkahwinan.”

Program Talkshow Mingguan Wanita yang ke udara pada pukul 12. 00 tengah hari ini turut menjemput pasangan suami-isteri selebriti Fatimah Abu Bakar dan Syed Zainal Rashid Al-Yahya sebagai tetamu jemputan bagi membincangkan topik Kebosanan Dalam Rumah Tangga.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI