Suami Isteri Jalani Rawatan IVF Bakal Dipertimbangkan Pelepasan Cukai

Share

Bukan semua pasangan suami isteri mudah untuk mendapat cahaya mata.Macam-macam cara diusahakan, salah satunya dengan menjalani kaedah IVF. Namun melakukan rawatan ini memerlukan kos yang banyak dan agak membebankan kewangan.

Berita baik buat pasangan yang sedang berusaha mendapatkan cahaya mata menerusi kaedah IVF, kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan memberi pelepasan cukai kepada pasangan suami isteri yang mendapatkan perkhidmatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

Kos Rawatan Banyak

Menerusi persidangan di Parlimen hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan memahami usaha pasangan suami isteri termasuk membelanjakan wang yang banyak bagi rawatan untuk mendapat zuriat.

“Ia merupakan cadangan yang baik, mungkin saya boleh angkat agenda ini untuk dipertimbangkan kerana bagi sebuah rumah tangga untuk mendapatkan zuriat adalah hampir segala-galanya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berhubung sama ada Kementerian Kesihatan bercadang mengusulkan kepada Kementerian Kewangan untuk memberi pelepasan cukai terhadap pasangan suami isteri yang menjalani rawatan IVF.

Menjawab soalan asal Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai kos rawatan IVF di hospital kerajaan, Dzulkefly berkata, jumlah caj yang dikenakan untuk satu kitar IVF atau suntikan intrasitoplasmik sperma adalah sekitar RM4,500 hingga RM5,000.

Beliau bagaimanapun berkata ia tidak termasuk ubat kerana ia ditanggung melalui subsidi penuh oleh kerajaan.

Tambahnya, sebanyak 976 pesakit telah menjalani rawatan IVF di empat hospital kerajaan pada tahun lepas, dengan 189 orang berjaya hamil.

MW: Alhamdulilah, semoga cadangan ini dapat dilaksanakan agar dapat meringankan beban pasangan suami isteri yang berusaha mendapatkan cahaya mata menerusi kaeda IVF ini.

Sumber: kosmo

Published by
Suhaidah Abd Wahab