Suami isteri mana yang tidak mahu rezeki masuk dan mengalir tanpa henti, kan? Namun begitu pernahkah kalian terfikir apa cara dan amalan yang boleh dilakukan bagi mendapatkannya?
Mungkin 7 Tip Untuk Suami Supaya Rezeki Masuk Tanpa Henti dan 7 Tip Untuk Isteri Supaya Rezeki Mengalir Tanpa Henti yang ditulis oleh LUA NLP Master Trainer, Zuhairi Nopiah boleh dicuba bermula hari ini.
Sila baca perkongsiannya ini. Moga bermanfaat untuk dijadikan sebagai panduan dalam membahagiakan hubungan rumah tangga.
Zuhairi Nopiah
7 TIP UNTUK SUAMI SUPAYA REZEKI MASUK TANPA HENTI.
1. Bangun lebih awal dari isteri. Kesian isteri. Dia mungkin tidur lewat untuk uruskan keluarga kita sendiri.
2. Kejutkan isteri dengan penuh kasih sayang untuk tahajud bersama. Bukan kejut untuk ‘bersama’ jer! Percikkan air di wajahnya yang jelita jika isteri terasa berat nak bangun.
3. Solat Taubat setiap hari. Khuatir ada perbuatan kita tidak menjadi contoh yang baik buat isteri dan anak-anak selama ini.
Ads
4. Solat berjemaah Subuh di surau. Ia menjemput keberkatan datang bertamu di rumah sendiri.
5. Solat berjemaah dengan isteri dan anak-anak setiap kali berpeluang. Jadilah imam yang baik di dunia supaya kita mampu menjadi imam yang baik ke Syurga.
6. Pergi mencari rezeki dengan senyuman, balik kerja pun dengan senyuman dan kasih sayang. Antara rezeki yang paling mahal ialah keharmonian rumahtangga.
7. Solat Hajat setiap kali selepas solat Maghrib. Mudah untuk istiqamah bila buat waktu ini.
7 TIP UNTUK ISTERI SUPAYA REZEKI MENGALIR TANPA HENTI
1. Pandang wajah suami dengan senyuman. Ketika balik kerja, makan, lepas mandi, lepas solat, lepas bangun tidur, semuanya. Kunci rezeki suami pada ibunya. Kunci rezeki isteri pada redha suaminya.
2. Bila nak berbelanja, minta izin atau pandangan suami dulu baru beli. Memanglah itu duit kita. Tapi redha Allah itu ada pada suami yang baik.
Ads
3. Bila suami bagi pandangan, diam dulu baru respon. Elakkan bercakap tanpa berfikir panjang. Kena ingat kita wanita adalah makhluk emosi. Kita bercakap dengan suami bukan untuk menang, tapi untuk memahami dan difahami.
4. Maafkan suami bila dia melakukan kesilapan. Usah panjang-panjangkan konflik. Lagi cepat kita berdamai dengan diri sendiri, lagi cepat rezeki masuk dalam famili.
5. Bila suami buat baik selepas berlakunya konflik, usah ungkit lagi kesilapannya. Itu cara suami minta maaf. Kita pun selalunya begitu juga. Berlapang dada dengan segera akan membahagiakan suami dan diri kita sendiri.
6. Doakan suami dan keluarga sungguh-sungguh selepas solat. Memang ramai suami yang tak guna, namun ramai lagi suami yang berjasa. Buruk-buruk macamana pun suami kita, tentu ada kebaikan dia dalam hidup kita.
7. Ingat formula ini. Isteri ingin disayangi, suami ingin dihormati. Bila suami dan isteri saling memahami dan mengasihi, baru melimpah ruah rezeki.
Ramai suami-suami hari ini walaupun tidak semua merasakan mereka adalah majikan kepada isteri. Mereka menganggap isteri sebagai orang gaji. Pada mereka semua kerja-kerja rumah itu tugas isteri.
Sudahlah isteri penat keluar bekerja, balik pula ke rumah perlu uruskan rumah tangga. Sang suami pula tidak mahu membantu dengan alasan bukan tugas suami membuat kerja-kerja rumah. Memang menyedihkan!
Ramai isteri yang terkilan dengan sikap suami yang goyang kaki di rumah. Balik rumah tonton tv, layan telefon. Yang dia tahu balik rumah makanan sudah siap. Biarpun suami adalah ketua keluarga, itu tidak bermaksud yang isteri itu pekerja suami.
Tugas isteri adalah penasihat pada suami, yang salah diperbetulkan. Tak semua apa yang ketua keluarga buat itu betul sebab suami adalah manusia, bukan Malaikat yang tak ada dosa!
Banyak rintihan para isteri mengadu perkara ini. Tambahan pula yang tinggal di bandar, isteri juga bekerja. Isteri juga penat. Balik rumah dia nak menguruskan keluarga. Sebenarnya kalau diikutkan isteri tak perlu bekerja sebab nafkah wajib atas suami. Tapi memandangkan faktor ekonomi keluarga, isteri berkorban untuk ringankan beban suami.
Suami jangan pula ambil kesempatan atas kebaikan isteri. Ayuh kita lihat bagaimana kehidupan rumahtangga Nabi SAW. Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama al Aswad bin Yazid tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya?
🌷Aisyah r.a menjawab: Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat. (Bukhari & Muslim)
Isteri Pula Bukan Orang Gaji Suami
TIGA TIP UNTUK SUAMI:
✅ Bantu isteri dalam membuat kerja rumah. Kerja rumah yang dimaksudkan adalah kerja yang dilakukan bersama untuk meringankan tugas isteri. Ini termasuklah mengemop lantai, menyapu sampah, buang sampah, sidai kain.
✅ Berikan surprise pada isteri dengan kerja-kerja yang suami tak pernah buat. Contoh, sepanjang perkahwinan, suami tak pernah lipat baju, apa kata suami cuba sekali lipat baju. Pasti berbunga-bunga hati isteri.
✅ Mudahkan perkara yang susah bagi seorang isteri. Waktu isteri tidur, suami pergilah tolong isi minyak kereta isteri, tolong basuhkan kereta dia. Isi minyak ni perkara yang kurang digemari kaum wanita tambahan pula bawa anak-anak kecil dalam kereta, ia memang merumitkan bagi isteri. Kasihan kat isteri kita.
Perhatian bagi isteri, janganlah pula diperli dan mengkritik apa yang suami buat, sebaliknya ucap terima kasih dan puji hasil kerjanya. Hormon Dopamine suami akan meningkat, hormon Oxytocin isteri pula akan melonjak tinggi.
Kebanyakan anak-anak lelaki pastinya sukakan watak superhero seperti Superman, Ultraman, Batman, Spiderman dan sebagainya. Sebagai mak ayah, layankan sahaja imaginasi anak-anak yang sukakan watak superhero ini dan jangan disekat minat dan imaginasi mereka.
Ini kerana perkembangan anak-anak memang unik dan istimewa.Daripada imaginasi tersebut ia mampu membentuk kreativiti yang mampu merangsang perkembangan dan cara mereka berfikir untuk mencapai cita-cita secara realiti.
Bila kita tanya anak kita, “Dah besar nak jadi apa?”, dan mereka menjawab “Ultraman” atau “Superman”, apa reaksi kebiasaan kita sebagai ibubapa?
Biasanya kita akan menjawab, “Tak best lah jadi Ultraman… Jadi doktor lah…” atau yang seumpamanya. Yelah, Ultraman bukannya betul pun… Buat apa nak layan imaginasi budak kan?
Saya ingin berkongsi kisah dua anak saudara saya, Azmir dan Izwan. Saya agak rapat dengan mereka kerana saya tinggal bersama mereka semasa belajar dan sebelum kahwin. Mereka amat meminati Ultraman dan Superman, sehinggakan semasa konsert tadika dan ada pertandingan kostum, mereka memilih untuk menjadi Ultraman dan Superman. Kostum yang direka khas dari Kuching oleh sedara mara di sana menjadi kebanggaan mereka.
Sebab Kanak-Kanak Suka Superhero
Kenapa kanak-kanak suka dengan “superhero” sebegini dan kenapa perlunya ada imaginasi sedemikian dalam seorang kanak-kanak?
Bagi mereka, superhero melambangkan kebaikan, seseorang yang membantu menegakkan kebenaran dan menghapuskan kejahatan. Mereka juga melihat melalui superhero tersebut, sebuah dunia di mana “anything is possible”, tiada batasan imaginasi. Oleh itu apabila kita menidakkan imaginasi mereka dengan cuba menggantikan dengan “realiti” (contoh – baik jadi doktor daripada Ultraman), kita menghadkan daya imaginasi dan kreativiti mereka.
Alhamdulillah, lebih 20 tahun setelah mereka berdiri di atas pentas sebagai Ultraman dan Superman, mereka sekarang adalah seorang juruterbang. Azmir,30 bersama Emirates dan Izwan,28 dengan Malaysia Airlines.
Ya, seperti Ultraman dan Superman, mereka pun boleh terbang.
Biarkan anak berimaginasi.
-Lily Maznah Muas
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, jangan sekat imaginasi anak-anak. Semoga dengan imaginasi tersebut, ia mendorong ke arah mencapai cita-cita yang lebih tinggi.
Mak ayah mana yang tak sedih andai anak-anak tidak ada matlamat dalam hidup. Suruh belajar malas. Bila tanya cita-cita, katanya lepas belajar nak kerja sebagai penghantar makanan saja. Bukan merendahkan sebarang kerja, asalkan halal tak mengapa. Tapi, sebagai mak ayah pasti ingin yang terbaik untuk anak. Lebih-lebih lagi mereka sedar anak itu berpotensi besar untuk berjaya dalam pelajaran. Ikuti luahan hati seorang ibu ini.
Assalamualaikum Puan. Saya ibu kepada tiga orang cahaya mata. Dua perempuan dan seorang lelaki. Saya seorang guru dan begitu juga suami.
Saya mengalami dilema yang mungkin ada ibu bapa yang bergelar pendidik turut mengalaminya. Orang kata, didik anak orang jauh lebih mudah daripada didik anak sendiri.
Dua Anak Perempuan Cemerlang
Dua anak perempuan saya iaitu yang sulung dan nombor dua sangat mendengar kata dan cemerlang dalam akademik. Keduanya kini sedang mengikuti pengajian di dua buah universiti tempatan. Saya tak ada masalah dengan mereka. Tapi, berbeza dengan anal lelaki.
Ketika UPSR, dia mendapat keputusan yang cemerlang, semua mata pelajaran A. Tentu saya dan suami sangat gembira. Tapi semakin meningkat remaja, dia menunjukkan penurunan prestasi yang teruk dalam bidang akademik. Keputusan PT3 dulu sangat mengecewakan walau pun semua kredit.
Ada Lebih Masa
Kini dia bakal menduduki SPM dan bila dianjakkan ke tahun hadapan, saya dan suami menarik nafas lega kerana ada ruang untuk anak kami itu membuat persediaan. Tapi yang merungsingkan kami bila anak itu tak menunjukkan langsung minat belajar. Puas disuruh baru belajar. Hantar tuisyen tapi keputusan tetap tak memberangsangkan.
Saya dan suami tak tahu lagi apa yang patut dilakukan. Rasa gagal dan kecewa bila anak sendiri tak mampu dididik. Risau dengan masa depannya kelak. Pernah kami tanya apa dia nak jadi kalau tak minat belajar. Katanya, ulat dalam batu pun boleh hidup asal usaha. Katanya dia tak kisah nak kerja sebagai penghantar makanan asal tak perlu masuk kolej.
Puan, sedih saya dibuatnya. Bukan pandang rendah pada orang yang cari rezeki sebagai penghantar makanan. Tapi, harapan saya tinggi, nak juga lihat dia macam kakak-kakaknya. Saya tak kisah, kalau dah ada ijazah, kerjalah apa saja. Nak jadi petani sekali pun saya okay. Asalkan jadi petani yang berilmu. Baru boleh maju dan bukan di takuk yang sama saja.
Bagaimana saya nak sedarkan dia betapa pentingkan pendidikan…Saya dah habis cara. Dia umpama tak fikir panjang soal masa depannya.
Ibu risau. Melaka.
Jawapan Kaunselor
Foto: Pexels
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah..
Setiap ibu bapa mahukan kejayaan untuk anak-anaknya. Kejayaan dunia dan kejayaan di akhirat. Lazimnya, kejayaan dalam akademik adalah kayu pengukur yang menjadi kebanggaan ibu bapa.
Ibu bapa yang mementingkan pendidikan lazimnya sanggup bersusah payah menyediakan segala keperluan anak demi mencapai kejayaan pencapaian akademik hingga mendapat ijazah. Majoriti Ibu bapa memang meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak. Harapan agar anak berjaya dalam akademik, hingga mampu mengharumkan nama sama ada di sekolah, di peringkat daerah , malah negeri akan menjadi kebanggaan ibu bapa yang tiada nilainya. Seboleh mungkin jika ada anak tujuh orang contohnya, mereka mahu ke tujuh-tujuh mencapai kecemerlangan yang lebih kurang sama.
Ikut Penilaian Umum
Perpektif kita sebagai ibu bapa tentang kejayaan adalah dalam penilaian yang diterima umum. Namun kini ramai ibu bapa agak kecewa kerana anak tidak mengikut cara dan perspektif yang ibu bapa tentukan. Bagi anak, kejayaan bukan dengan mencapai kecemerlangan dalam akademik hingga dapat melengkapkan pengajian ke peringkat ijazah.
Bagi mereka, tugas atau kerja yang menyeronokkan itulah kejayaan dan kebahagiaan. Perkara yang membebankan bagi mereka seperti berhempas pulas belajar adalah seperti menyiksa diri. Walhal kefahaman kita, kehidupan sememangnya begitu, perlu kekuatan minda, kekentalan jiwa dan ketahanan fizikal.
Mak Ayah Terlebih Beri Tumpuan
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada anak yang tidak mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pertama, ini banyak berlaku kepada anak bongsu. Kadang-kadang kita (termasuk saya) terlupa, kita beri terlebih tumpuan dari segi material, masa, dan kasih sayang dan layanan kepada anak bongsu.
Bagi kita, layanan terhadap semua anak adalah sama, namun kita tidak perasan bahawa secara tidak langsung layanan kita terlebih kepada anak bongsu. Ketegasan dalam mendisiplinkan anak bongsu lazimnya kurang berbanding dengan adik beradiknya yang lebih tua daripadanya.
Perkara ini hanya disedari oleh anak-anak yang lain, bukan dari pandangan kita. Mungkin benar, mungkin sebaliknya. Namun itulah hakikat yang dapat dilihat pada kebanyakan ibu bapa cara layanan dan tumpuan kita terhadap anak bongsu ada perbezaan jika dibandingkan terhadap anak-anak lain.
Justeru, kelebihan layanan dan tumpuan ini boleh diambil kesempatan oleh anak. Kedua, faktor jantina juga boleh mempengaruhi. Anak lelaki memang kurang tumpuan dan kurang ketaatan kepada pelajaran berbanding anak perempuan. Mereka cepat bosan, tidak suka kerja-kerja rutin yang tertumpu kepada satu tugas (seperti belajar) dan sukakan sesuatu yang “adventure”, suka melakukan tugas yang menggunakan kemahiran dan kekuatan fizikal serta pengalaman luar yang mencabar.
Puan seorang guru, puan tahukan perbezaan pelajar lelaki dan pelajar perempuan.
Ketiga, pengaruh sosial media, penggunaan gajet, kemudahan internet menjadikan mereka terbuai dan lalai dengan tugas hakiki mereka iaitu belajar. Keseronokan yang dirasai dengan kehadiran “dunia fantasi” boleh mempengaruhi minda mereka ke arah yang leka dan tidak berjejak di bumi nyata.
Faktor lain pula ialah mempunyai anak sebegini adalah ujian untuk kita. Anak adalah ujian. Jika apa yang kita mahu dan kita rancang itu menjadi realiti, maka tidak adalah ujian dalam hidup. Selalu ingat, Allah beri kita anak yang sihat dan baik, itu juga adalah kejayaan kepada ibu bapa.
Mak Ayah Letak Jangkaan Tinggi
Sebagai ibu bapa kita sering meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap anak. Seolah-olah kita mahu memenuhi impian kita, bukan impian mereka. Mungkin kita tidak dapat semasa kecil atau dalam hidup kita, tetapi kita mahu ianya dilaksanakan oleh anak agar impian tercapai.
Logiknya apa yang kita mahu daripada anak itu betul, sebab kita tahu bagaimana mencorakkan kehidupan yang lebih untuknya, kita tahu bahawa ilmu perlu dalam hidup, kita tahu cabaran dalam kehidupan. Namun sebaliknya ia tidak dapat ditafsir dan dinilai oleh anak kerana faktor luaran yang lebih menarik. Kita hanya mampu berdoa agar anak kita menjadi anak yang soleh.
Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin anak yang sebeginilah yang akan bersama kita hingga ke hari tua. Kita mungkin kata dia dan kita akan bahagia jika dia punya ilmu yang tinggi dan pekerjaan yang baik. Itu belum tentu menjadikan dia anak yang baik yang boleh mendoakan untuk kita. Mana tahu jika dia tidak menjawat jawatan yang tinggi, tidak punya ilmu yang tinggi, tetapi mampu membahagiakan kita di hari tua.
Mak Ayah Berdoalah Untuk Anak
Justeru, sebagai ibu bapa, seringlah berdoa untuk anak. Berdoalah agar anak jadi anak yang soleh, jika hajat kita tidak ditunaikannya ketika ini. Pada masa yang sama cuba dekatinya tanya apa perancangan yang ingin dibuat.
Tanya dia soalan adakah dengan perancangannya itu boleh memberi jaminan hidupnya. Juga bawa cerita tentang bagaimana berjaya dan sukanya Allah jika seorang anak mampu membahagiakan ibu bapanya. Beritahu juga apa yang puan mahu itu sebenarnya untuk kebaikan dia juga.
Sebaliknya, jika puan mahukan dia ikut perancangan daripada puan dan suami, puan masih boleh mencuba. Sebagai guru, puan tahukan sistem ganjaran dan dendaan? Berilah ganjaran jika dia buat apa yang puan suruh. Dendalah atau tarik balik keistimewaan yang puan berikan kepadanya jika dia tidak lakukan.Puan lebih tahu membentuk disiplinnya.
Lihat Hikmah Di Sebaliknya
Akhir kata jika apa yang puan lakukan itu tidak berjaya, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Dalam hidup kita, Allah selalu beri apa yang kita perlu, cuma Allah tidak beri apa yang kita nak.
Allah beri anak buat teman di kala kita tua nanti. Kejayaan di dunia yang kita harapkan dari anak mungkin tidak dapat, namun berkat doa dan kesabaran kita mungkin anak inilah yang mampu membahagiakan kita di hari tua dan mendoakan kesekahteraan kita di alam kubur.
Justeru, teruskan berdoa setiap kali sujud agar dia menjadi anak yang soleh. Seringlah berdoa khusus di waktu tahajud yang baik-baik untuk anak, kerana doa ibu khususnya amat mustajab. Moga anak puan menjadi anak yang soleh. Aamiin. Wallahualam.
Soalan Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor