Pengalaman melancong dan menikmati keindahan disetiap negara yang dikunjungi merupakan pengalaman terindah. Jika masih bujang atau baru berkahwin mungkin tidak menjadi masalah.Ia lebih ringkas. Namun jika membawa anak-anak untuk bersama-sama menggembara menjelajah dunia, amatlah memerlukan kegigihan. Lebih-lebih lagi jika mereka masih kecil, pasti banyak ragamnya yang kena dikendalikan.
Namun, impian dan minat melancong ini tidak seharusnya hilang begitu sahaja.Pasangan suami isteri dari London, United Kingdom ini telah membuktikannya, tiada yang mustahil.
Karen Edwards, 34, dan Shaun Bayes, 33, telah membawa dua anak mereka mengembara ke berpuluh-puluh buah negara di seluruh dunia bermula pada tahun 2015.
Karen memaklumkan dua anaknya Esme Bayes, 4, dan Quinn Bayes, 12 bulan, masing-masing telah melawat 40 dan 28 buah negara sejak mereka lahir.
“Semuanya bermula pada cuti berpantang selepas melahirkan Esme. Apabila dia baru berusia enam bulan, kami membuat keputusan untuk ke Singapura dan terus mengembara selama 10 bulan sebelum pulang ke Britain,”
kata Karen yang berasal dari Crystal Palace, London.“Quinn dan Esme suka menaiki penerbangan. Mereka telah pergi ke Hong Kong, Bali, Kemboja, Panama, Taiwan dan Bolivia. Kami boleh melakukan semua ini kerana Shaun bekerja sendiri sebagai jurubina, jadi mudah untuk kami bercuti bersama,” tambahnya.
Menurut pasangan itu, pengembaraan kali kedua memerlukan ‘tempoh percubaan’ bersama Esme dan Quinn yang ketika itu baru berusia tujuh bulan kerana ketika pengembaraan pertama, mereka hanya perlu fokus kepada seorang bayi.
Dalam pada itu, keluarga empat beranak itu kini merancang untuk menjual rumah mereka di London bagi membeli hartanah untuk disewakan di kawasan pinggir bandar seterusnya menampung perbelanjaan mengelilingi dunia.
MW: Kagum dengan pasangan ini gigih bawa anak-anak yang masih kecil untuk kembara melihat dunia. Tiada yang mustahil menghalang minat dan impian mereka untuk mengelilingi dunia walaupun ada anak kecil.
Sumber: Kosmo, Daily Mail