suami terlanjur dengan wanita lain

Mungkin ada isteri yang dalam diam pernah dalam situasi ini; suami mengaku telah terlanjur dengan perempuan lain dan meminta izin untuk poligami. Namun, dalam Islam, apakah wajib perkahwinan itu? Bersama Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie dan juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup Dalam Majalah Mingguan Wanita mengupas persoalan ini.

Tiada Nas Syarak

“Puan, suami minta nak kahwin lagi sebab dah terlanjur dengan perempuan tu. Masalahnya suami tak mampu. Dia kerja tak tetap, duit selalu tak ada, saya yang tanggung kami sekeluarga anak lima. Suami kata dia wajib kahwin sebab sudah terlanjur. Betul ke puan?”

Merujuk kepada penyataan si suami di dalam kes ini menyatakan; “dia wajib kahwin sebab sudah terlanjur”. Sebenarnya adalah satu penyataan yang salah. Tiada nas syarak sama ada ayat al-Quran atau hadis Rasulullah s.a.w atau fatwa ulama malah tidak juga peruntukan undang-undang yang menyatakan secara sahih bahawa pasangan yang berzina perlu berkahwin.

Sememangnya diakui, dalam kebanyakan kes tangkapan zina atau khalwat atau hamil sebelum nikah, pasangan yang terlanjur ini mengambil keputusan untuk berkahwin. Ada juga kes perkahwinan tidak berlaku, yang mewujudkan pula kes bayi yang dibuang. Namun, fakta yang penting dan ingin saya tegaskan di sini ialah tidak wajib berkahwin jika telah terlanjur. Bermaksud pasangan yang telah terlanjur boleh untuk tidak berkahwin dan boleh juga untuk berkahwin.

Suami Gunakan Alasan Terlanjur Dengan Wanita Lain Untuk Poligami

IKLAN

Tuntut Hak

Untuk makluman juga, tidak salah sekiranya si lelaki enggan berkahwin dengan si gadis atau si wanita yang ditidurinya biarpun hubungan seksual antara mereka berlaku secara rela atau suka sama suka.

Dalam situasi ini, si gadis atau si wanita tidak mempunyai sebarang hak yang boleh dituntut sama ada menggunakan hukum syarak dan undang-undang.

Realitinya, tindakan berkahwin selepas berzina adalah amalan masyarakat bagi menutup malu keluarga. Malah jika berlaku tangkapan oleh pihak penguatkuasa agama, biasanya pesalah akan dinasihatkan oleh peguam pembela atau bertindak sendiri dengan mengambil keputusan untuk berkahwin sebagai satu alasan sesungguhnya mereka yang disabitkan bersalah ini telah benar-benar insaf bagi mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan. Syukurlah jika benar-benar insaf dan bertaubat namun ada juga kes, perkahwinan sekadar mengaburi mata Yang Arif Tuan Hakim dan selepas keputusan ditetapkan, pasangan ini kembali bertindak liar.

IKLAN

Keturunan

Mungkin ada yang berpendapat, lebih baiklah kahwin, dapat juga selamatkan keturunan anak yang bakal lahir. Tak perlu risau isu keturunan sebab jika perzinaan menyebabkan adanya anak dalam kandungan si wanita, anak tersebut sememangnya tidak boleh dibin atau dibintikan kepada si lelaki. Namun, ketetapan undang-undang berdasarkan fatwa ulama yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ini menyebut; anak yang lahir selepas usia perkahwinan enam bulan qamariah hanya boleh dibin atau dibintikan kepada lelaki yang membuntingkan si ibu jika kecelaruan yang berlaku yakni hamil dulu sebelum nikah tidak diketahui umum.

Lantaran itu, jika si anak lahir selepas usia perkahwinan enam bulan, secara automatik si anak akan dibin atau dibintikan dengan si ayah yang wujud dalam daftar perkahwinan yang dibekalkan ketika proses mendaftarkan nama bayi. Sebaliknya jika anak tersebut lahir sebelum genap usia perkahwinan ibu bapanya enam bulan, maklumat si bapa akan diletakkan sebagai “tidak berkenaan”.

IKLAN

Fakta utama yang perlu difahami juga, walau nama si ayah diterima dalam daftar surat lahir tetapi sememangnya anda sebagai ibu dan bapa memaklumi si anak tadi adalah anak yang terhasil daripada hubungan sebelum nikah, si anak tetap tidak boleh dibin atau dibintikan kepada si ayah tersebut dalam urusan nikah anak itu pula satu masa nanti. Si anak hanya boleh dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Si lelaki yang membuntingkan juga tidak wajib menanggung nafkah si anak malah andai tidak berlaku perkahwinan antara si lelaki dengan si ibu, si anak jika perempuan, halal berkahwin dengan si lelaki yang menyebabkan dia lahir ke dunia kerana Islam tidak mengiktiraf si lelaki sebagai ayahnya.

Hukuman menganiayai wanita? Jika itu yang bermain di fikiran anda, beristighfar dan bertaubatlah kerana Islam tidak zalim sebaliknya anda si pelaku jenayah yang menzalimi diri anda sendiri. Firman Allah SWT dalam al-Isra’ ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang hina.”

Ayat ini bukan saja melarang melakukan zina tetapi melarang agar tidak mendekati perkara-perkara yang boleh menjebakkan kita kepada zina. Sebabnya kesan daripada zina ini amat besar dan apabila anda telah termasuk perangkapnya, natijah yang berlaku dan anda perlu terima adalah pilihan anda sendiri, bukan kesilapan hukum lagi.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI