“Akak tak pernah terfikir untuk curang Su, tapi akak juga ada keinginan. Suami akak lepaskan keinginan dia saja, tak pernah ambik tau kehendak akak. Akak tak pernah rasai nikmat berhubungan sampai la akak kenal dengan kekasih akak ni. Tapi sekarang akak dah taubat Su. Akak insaf tak nak buat maksiat lagi.”

Banyak Kes

Klien berusia lebih tiga tahun saja daripada saya itu kemudiannya menangis teresak-esak. Bukan kes pertama, tapi dah banyak kes saya jumpa. Tapi masih ramai juga suami yang tak ambil berat isu ini. Masih pandang ringan kehendak batin isteri.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala?

Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” – hadis riwayat Muslim.

Suami Gagal Penuhi Kehendak Batin, Boleh Jadi Penyebab Isteri Curang!

Hak Batin Isteri

Realitinya, Islam tidak menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak ayat yang memberikan maksud, isteri juga mempunyai hak yang sama dengan suami di dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya;

firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19. Ayat ini membawa pengertian yang maha luas.

Gauli isteri secara baik bererti suami perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minumnya, menjaga perasaannya. Gauli isteri secara baik juga memberi erti bahawa isteri perlu dilayani kehendak batin mereka menepati selera mereka.

Lagi artikel menarik di sini:

Ads

Biarlah Isteri Bukan Persis Ratu Cantik, Asal Sihat Dan Membahagiakan Hati Suami

Isteri Merungut PENAT Buat Kerja Rumah Bukan TIDAK IKHLAS, Suami Kenalah Toleransi

Beza Kehendak Batin Suami Dan Isteri

Saya yakin, ramai yang sedia maklum, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi.

Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka. Biarpun mempunyai mood tertentu, kehendak batin isteri tetap perlu dipenuhi ketika si isteri membutuhkan anda berbuat demikian.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” – hadis riwayat al-Suyuthi.

Ads

Hadis ini meminta agar para suami menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai kepuasan.

Kegagalan Suami

Perkara ini amat penting dan tidak boleh dipandang ringan. Kegagalan suami memenuhi kehendak batin isteri boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati.

Paling ditakuti, isteri  ‘makan luar’. Kes-kes sebegini bukan lagi kes yang pelik atau luar biasa, nauzubillah!!

Perlu diingat, tahap kepuasan sesuatu hubungan intimasi antara suami dan isteri juga berbeza. Suami lebih cepat sampai ke destinasi berbanding isteri. Masalahnya berapa ramai suami yang endahkan perkara ini? Berapa ramai suami yang mengambil berat dan peduli tentang persoalan: Sudahkah aku memenuhi selera batin isteriku? Mungkin ada suami yang bertanya: Bagaimana nak tahu selera isteri dah dipenuhi atau belum?

Suami Kena Tanya Isteri!

Jawapannya mudah sahaja. Selesai hubungan, tanyalah isteri anda. Isteri juga perlu bertanya kepada suami, bagaimana layanan anda tadi? Ramai yang ambil mudah perkara ini. Dah selesai …. dah laaa… Anda jangan lupa, kejayaan intimasi anda adalah penentu kebahagian rumah tangga anda.

Ads

Jangan Lupa Berkomunikasi

Di sinilah pentingnya komunikasi. Bagaimana? Bersenda gurau sebelum intimasi dan mengambil berat kepuasan pasangan anda selepas intimasi; itulah antara bentuk komunikasi yang perlu anda praktikkan.

Paling penting, anda… pasangan perlu bersikap terbuka. Berbincanglah dengan pasangan untuk menjadikan hubungan intimasi anda sesuatu yang paling indah. Jangan jadikan intimasi sebagai satu alasan untuk anda keluar dari gerbang perkahwinan.

Namun, jika masalah intimasi ini menganggu emosi anda, jangan makan luar tetapi carilah penyelesaian terbaik. Islam meletakkan jalan keluar bagi perkahwinan yang menghadapi masalah seperti ini.

Sumber: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie. Beliau juga merupakan penulis tetap ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita.

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI