Orang cakap, kalu isteri mengidam ni sebab mengada-ngada. Sedangkan, tanyalah mana-mana isteri, perasaan itu datang tidak di duga. Pernah dengar, ada isteri yang tak pernah makan ikan keli selama ini, tiba-tiba teringin untuk makan.
Bukankah itu lari dari kebiasaan isteri. Inilah yang dikatakan mengidam. Mujurlah mengidam makanan atau perkara yang mudah untuk diperolehi, bayangkan kalau itu susah untuk diperolehi, berpeluh jugaklah suami.
Ini pula pendapat daripada Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy.
Apabila isteri mula meragam dengan macam-macam permintaan, kalau tidak diendahkan nanti kesian pula bawakan budak, kalau dilayan nanti jenuh suami bagai nak rak berkejar merata hanya nak mencari roti canai sekeping pada jam 3.00 pagi, sudahnya apabila dah dapat, ada la secubit je dirasanya. Heii geram hati jadinya namun dek kerana sayang pendam je la.
Soalnya, apa yang patut suami buat. Ada 8 tip yang boleh dikongsikan buat semua suami yang penat melayan karenah isteri mengidam.
M.E.N.G.I.D.A.M
M – Mentarbiyah hati sendiri bahawa permintaan isteri ini adalah dengan izin-Nya dan ujian untuk si suami agar lebih mudah untuk menerima permintaan isteri dengan baik dan redha penuh kasih sayang
E – Empati dengan keadaan isteri, yang akan rosak emosinya, koyak hatinya jika tidak dipenuhi. Permintaan kecil isteri ini juga adalah untuk menilai sejauh mana cinta suami kepadanya sebagaimana suami ingin tahu cinta isteri kepadanya.
N – Naif kan diri, tidak usah ada rasa prasangka atau negatif terhadap permintaan isteri, pandang dengan rasa kasihan dan bertanggungjawab.
G – Gambarkan bagaimana keadaan isteri jika permintaannya tidak dipenuhi, dengan cara ini suami akan ada lebih usaha dan kesudian untuk memenuhi permintaan isteri
I – Ingatkan diri tentang kenapa kita kahwin dan kini memilikinya, betapa isteri telah banyak berkorban dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga dan kini adalah giliran kita untuk menghargai isteri dengan memenuhi permintaannya.
D – Dengarkan kata-kata dan permintaan isteri dalam nilai pengharapan dan syahdu lemahnya dirinya mengharapkan suami memenuhi permintaannya.
A – Anak yang bakal lahir ini adalah tanda cinta dalam rumah tangga. Atasi rasa ego diri seorang suami dan gantikan dengan rasa ingin melengkapi keperluan isteri agar keharmonian dalam keluarga dan emosi isteri tetap stabil dan baik untuk anak.
M – Meletakkan rasa percaya dan meninggikan keyakinan isteri terhadap suami yang sudi dan sanggup memenuhi karenahnya ketika mengidam. Ini akan membina ikatan cinta yang lebih teguh dalam diri isteri.
Ini yang sebenarnya nilai yang tanpa disedari sangat meninggalkan kesan mendalam buat isteri dan anak. Namun tentu saja biar pun suami telah sudi dan sanggup berenjis peluh, berpenat fikir mencari dan berusaha memenuhi permintaan si isteri, tentu saja sebagai seorang isteri mithali akan ada rasa kasihan dan bimbangkan diri si suami.
Isteri juga perlu bijak mengawal diri dan rasa agar tidak semudah lembutnya lidah menuturkan kata minta kepada suami hanya kerana mengidam.
Ada lima kaedah yang boleh isteri tarbiyah dan teguhkan rasa hati ketika mengidam.
S.U.A.M.I
S – Soal hati sendiri, apakah yang bakal kita minta ini akan menyusahkan suami hingga sesak dadanya mencari cendawan susu harimau yang tentu saja amat payah nak ditemui. Berihsan lah dengan suami dan gantilah dengan permintaan lain.
U – Usah ikutkan sangat rasa dan keinginan yang lebih dinaungi nafsu daripada keperluan, pujuk hati dan berikan rasa yang lebih baik kepada diri agar tidak terus tenggelam dalam permintaan yang melampau-lampau.
A – Amalkan rasa bahawa suami juga ada kekangan, ada kelemahan dan ada waktunya mungkin tidak akan mampu memenuhi permintaan isteri. Ini penting agar isteri tidak ada rasa kecewa dan berputus asa hanya kerana permintaan tidak dan gagal dipenuhi. Rasa mengidam perlu dianggap hanya sebagai bonus buat diri sekiranya dapat dipenuhi.
M – Mengingatkan diri sendiri untuk sentiasa mengutamakan keharmonian dalam rumah tangga. Tarbiyahkan diri untuk tidak meneruskan rasa atas permintaan yang di luar batasan dan kemampuan suami. Bukanlah satu kejayaan untuk isteri jika permintaannya dapat dipenuhi oleh suami yang hingga mencabar diri untuk memenuhi permintaan.
I – Ingat Allah, tidak semua apa yang kita mahu itu baik dan Allah suka begitu juga sebaliknya, jadi berpada-padalah dan limpahkan rasa ehsan dan empati untuk suami sebelum permintaan dibuat.
Budaya yang baik ini boleh dan wajar diteruskan, hanya perlu dihalusi dengan nilai cinta, empati dan ehsan agar suami tidak terseksa dan isteri tidak kempunan.