Tanggungjawab suami adalah lebih berat daripada tanggungjawab isteri. Suami dipertanggungjawabkan atas segala yang berlaku ke atas isteri dan keluarganya.
Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’: 34)
Perkara itu dijelaskan oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menerusi sesi ceramah yang disampaikannya ketika menjawab soalan salah seorang pengguna media sosial.
Katanya, seorang suami itu dianggap derhaka kepada Allah atas tindakannya mengabaikan tanggungjawab ke atas isterinya itu.
“Hukumnya, dianggap derhaka pada Allah kerana tiada istilah lelaki derhaka kepada isteri.
“Kalau suami, dia wajib menjaga anak dan isterinya, tiba-tiba dia abaikan dan maka dengan itu dia dianggap melanggar perintah Allah,” katanya.
Tambah Ustaz Azhar, selain menjaga keperluan keluarga, tugas suami juga perlu memastikan isteri dan anak-anaknya terhindar daripada seksaan api neraka.
“Suami kena ajar mana-mana perkara yang haram dilakukan, supaya isteri dan anak-anak tidak buat bagi menghindari mereka dari masuk api neraka.
“Setiap orang yang ada anak dan isteri, akan disoal tentang anak dan isteri mereka pada hari kiamat, jadi wajib jaga semuanya jangan abaikan,” jelasnya.
Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakan secara khusus.
Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk -pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu.
Sumber: Mingguan Wanita via Kosmo Online
Baca artikel lain yang berkaitan: Suami Jangan Berkira, Kedekut Nak Belanja Isteri Walau Ada Pendapatan Sendiri
Suami Isteri Selalu Bertegang Urat, Mula Dengan ‘Perli-perli’ Akhirnya Bergaduh
Suami Jangan Biar Mak/Mak Mentua Jaga Isteri Dalam Pantang, Sebenarnya Itu Tugas Anda