Isi Kandungan
ToggleTanggungjawab suami adalah lebih berat daripada tanggungjawab isteri. Suami dipertanggungjawabkan atas segala yang berlaku ke atas isteri dan keluarganya.
Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’: 34)
Bagaimanapun suami yang mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dengan melebih-lebihkan ibu dan adik-beradiknya dianggap derhaka pada Allah SWT.
Perkara itu dijelaskan oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menerusi sesi ceramah yang disampaikannya ketika menjawab soalan salah seorang pengguna media sosial.
Suami Derhaka Kepada Allah Bila Abaikan Isteri
Katanya, seorang suami itu dianggap derhaka kepada Allah atas tindakannya mengabaikan tanggungjawab ke atas isterinya itu.
“Hukumnya, dianggap derhaka pada Allah kerana tiada istilah lelaki derhaka kepada isteri.
Lebihkan Ibu & Adik Beradik
“Kalau suami, dia wajib menjaga anak dan isterinya, tiba-tiba dia abaikan dan maka dengan itu dia dianggap melanggar perintah Allah,” katanya.
Tambah Ustaz Azhar, selain menjaga keperluan keluarga, tugas suami juga perlu memastikan isteri dan anak-anaknya terhindar daripada seksaan api neraka.
“Suami kena ajar mana-mana perkara yang haram dilakukan, supaya isteri dan anak-anak tidak buat bagi menghindari mereka dari masuk api neraka.
“Setiap orang yang ada anak dan isteri, akan disoal tentang anak dan isteri mereka pada hari kiamat, jadi wajib jaga semuanya jangan abaikan,” jelasnya.
Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakan secara khusus.
Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk -pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu.
Sumber: Mingguan Wanita via Kosmo Online
Baca artikel lain yang berkaitan: Suami Jangan Berkira, Kedekut Nak Belanja Isteri Walau Ada Pendapatan Sendiri
Suami Isteri Selalu Bertegang Urat, Mula Dengan ‘Perli-perli’ Akhirnya Bergaduh
Suami Jangan Biar Mak/Mak Mentua Jaga Isteri Dalam Pantang, Sebenarnya Itu Tugas Anda
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tidak SEMUA Bernasib Baik Dikurniakan PASANGAN, Bersyukurlah, Hargailah Selagi ADA
Isi Kandungan
ToggleJodoh di tangan Tuhan, tidak semua bernasib baik. Setengah orang dikurniakan pasangan di usia yang begitu muda, namun di pertengahan jalan rumah tangga yang dibina kacau-bilau.
Kemudiannya ada juga sampai ke usia lanjut masih membujang, benarlah tidak semua bernasib baik dalam soal jodoh.
Jika ada di kalangan yang bertuah dan bernasib baik dikurniakan pasangan, bersyukurlah dan hargailah pasangan kurniaan daripada Allah SWT.
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslida ini dan hadam baik-baik :
Dalam dunia ini tidak semua orang berpeluang mempunyai pasangan hidup. Kita patut bersyukur kerana dalam ramai-ramai tu kita antara insan yang dipilih untuk mempunyai pasangan hidup.
Walaupun pasangan kita tidak sehebat pasangan orang lain, tidak secantik atau sekacak pasangan orang lain namun bersyukurlah kerana hidup kita tidak keseorangan. Allah hadirkan seseorang untuk menemani hidup kita.
Bersyukurlah juga jika kita mendapat pasangan yang sanggup sama-sama susah dan senang dengan kita. Malah tidak kisah pun macamana keadaan kita, tidak memilih dan cerewet. Jangan lepaskan, kelak kita sukar nak temui lagi insan seperti itu.
Kerana ada juga yang dapat pasangan yang bila mana kita senang dia bersama kita tetapi bila kita susah dia tinggalkan kita.
Tak Semua Bernasib Baik
Setiap orang rezeki dia berbeza dan pengalaman juga tak sama. Bagi yang mendapat pasangan yang baik, itu adalah satu anugerah yang tidak ternilai.
Cuba kita perhatikan tingkah laku dan gerak geri pasangan kita, mesti kita akan sayu kerana kita tak tahu entah berapa lama Allah pinjamkan dia untuk kita. Dan lagi satu bila kita lihat pasangan kita ketika dia sedang tidur, renunglah mata dia.
Lihatlah keseluruhan anggota badannya betapa dia berusaha keras untuk menjadi yang terbaik buat kita dan keluarga. Walaupun tak sama dengan orang lain namun ia cukup bermakna dalam hidup kita.
Baca Juga Di Sini:
Sekali Pun BENCI Dengan Pasangan, TETAPLAH Doakan Yang Baik Untuk DIA
Jodoh Tidak Panjang Tapi Sebenarnya Allah Nak Ganti Pasangan Yang Lebih Baik Dengan SYARAT
Dapatkan info menarik dengan klik di sini.
Belum Tahu Untung Nasib Rumah Tangga
Pada sang suami pula, janganlah mudah memaki-hamun isteri anda sesuka hati. Kerana hati dan jiwa wanita ini sangat lembut dan sensitif. Jika ada perkara yang anda tidak suka, tegurlah secara berhemah dan lemah lembut.
Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata yang kesat dan tidak elok kepada mereka, kelak mereka akan hilang rasa hormat kepada anda. Dan kehidupan rumah tangga kita pun akan suram dan tak seronok. Betul tak?
Walaupun Nasib Berbeza, Jaga Pasangan Sebaiknya
Satu lagi, ini selalu berlaku dalam kehidupan kita. Jika kita diuji dengan menjaga pasangan kita yang sakit. Lebih-lebih lagi sakit yang kronik dan sukar diubati. Maka tenang dan sabarlah.
Jagalah mereka dengan seikhlas hati anda. Kerana Allah dah pilih kita untuk menjaga mereka. Ada sebab Allah pilih kita. Jangan sesekali kita mengeluh dan memarahi mereka dengan mengatakan mereka menyusahkan hidup kita kerana ayat tersebut boleh membuatkan hati mereka terluka.
Ingatlah satu perkara mungkin masa dia bersama dengan kita sudah tidak lama, jadi manfaatkan masa bersama dengan meninggalkan suatu kenangan yang indah. Bukan untuk dia sahaja bahkan untuk diri kita juga.
Bernasib Baik, Itu Suratan Ilahi
Sesungguhnya apa yang berlaku dalam hidup kita adalah satu suratan yang telah Allah tetapkan. Ikhlaskanlah hati untuk menerima takdir hidup kita ini. Semua yang diberi dan berlaku ada hikmahnya yang kita tidak tahu dan jangkakan.
Makanya bersangka baiklah. Semoga Kita semua terpilih menjadi salah seorang penghuni syurga yang tertinggi dan kuat serta sabar dalam melalui liku-liku kehidupan kita.
#kisahCikguLinda
#catatankupengalamanku
#akupejuangkanser
MW: Jika mak,ayah dikurniakan pasangan yang baik, hargailah sebaiknya. Jika tidak, berdoalah selagi mampu. Jika sudah tidak mampu bertahan, pilih langkah terbaik agar kedua-duanya merasa bahagia.
Sumber: Nurul Haslida
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Sudah Berkahwin, Pandai-Pandailah Bawa Diri Bukan Senang Jadi MENANTU
Isi Kandungan
TogglePerkahwinan adalah tanda penyatuan dua hati. Selain daripada hati pasangan, kita turut menjaga hati seluruh ahli keluarga mertua. Di samping pasangan, kita juga seharusnya menerima keluarga mertua dengan hati terbuka. Oleh itu bila sudah berkahwin, pandai-pandailah bawa diri kerana bukan senang jadi menantu.
Tidak mudah menjadi menantu yang sempurna di mata keluarga mertua. Sokongan pasangan adalah yang terpenting dalam mengeratkan hubungan menantu dan mertua. Jika mak, ayah dikurniakan mertua yang baik, syukur pada Allah. Tetapi tidak semua bernasib baik dan beruntung.
Ikuti perkongsian, Firdaus Shakirin :
Menantu tidak akan rasa dia “ORANG LUAR” kalau…
Keluarga mertua dapat menerima dia seadanya diri dia… Keluarga mertua dapat menegur dan menasihati dia dengan berhemah sekiranya dia ada buat salah… Keluarga mertua dapat memberi tunjuk ajar dan bimbingan untuk dia menjadi sebahagian daripada keluarga tersebut.
Bila berkahwin, kita kena anggap keluarga pasangan kita itu sebagai keluarga kita sendiri…
Baca ini:
Biar Menantu Garang Depan Mata, Daripada Diam-diam Di Belakang Mengata Mertua
Nak Bahagia, Menantu Kena Letak Ibu Mertua Sebaris Dengan Ibu Sendiri
Meskipun Bukan Menantu Pilihan, Ini 7 Cara Pikat Hati & Tawan Jiwa Ibu Mertua!
Tuntutan Dari Mertua & Menantu
Tapi bagaimana sekiranya keluarga tersebut tidak mahu menganggap menantu itu sebagai sebahagian daripada keluarga mereka? Sebenarnya, tuntutan ini perlu datang daripada dua pihak, pihak menantu dan pihak keluarga mertua…
Tidak boleh hanya satu pihak sahaja yang berusaha memenangi atau memuaskan hati pihak yang satu lagi…
Siapapun menantu, apa asal-usulnya, latar belakang keluarganya, status pelajaran serta pekerjaannya, tidak perlu dijadikan pertikaian atau perbandingan…
Ada menantu yang bekerjaya, ada menantu yang suri rumah sepenuh masa… Ada menantu yang mampu menghulurkan wang ringgit, ada menantu yang mampu bagi tenaga…
Tiada keperluan untuk double standard kan layanan terhadap menantu atau mengata menantu yang tidak sama seperti expectation mertua…
Tidak Meminta Dilayan Seperti Anak
Menantu tidak meminta untuk dilayan seperti anak kandung, tetapi jangan pula melayannya seperti anak tiri…
Kalau salah anak sendiri, mertua sukar untuk mengakui, tetapi dipertahankan dan dipalingkan semula kesalahan itu kepada menantu… Adakah kita seorang ibu bapa yang baik sekiranya kita mempertahankan kesalahan anak kita?
Perbuatan-perbuatan inilah yang menjadikan menantu merasakan dirinya seperti orang luar… Diadu pada mertua supaya mertua boleh menegur dan menasihati anaknya, balik-balik menantu dipersalahkan… Bila cuba mengadu pada pasangan tentang sikap adik- beradik pasangan yang suka cakap belakang, respon pasangan:
“Aku kenal adik-beradik aku, kau jangan masuk campur urusan keluarga aku…”
Pulak?
Jadi, kita hanya berkahwin dengan pasanganlah kan, dan bukan dengan keluarga pasangan sekiranya kita tidak boleh berkata apa-apa langsung… Tidak boleh bagi pendapat dan pandangan walaupun ianya untuk kebaikan…
Bukan senang jadi menantu…pandai-pandailah bawa diri bila sudah masuk dalam keluarga orang dan jadikan sabar sebagai peneman. Dapat mertua yang baik itu rezeki dan rezeki kita tak sama..
Sumber: Firdaus Shakirin
MW: Semoga mak, ayah di luar merupakan menantu atau mertua yang baik dapat sertamenerima kelebihan dan kelemahan sesama kita. Kepada menantu, layani keluarga pasangan seperti keluarga sendiri, Manakala kepada mertua, janganlah membanding-bandingkan menantu kerana setiap orang ada kelebihannya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami tuduh Isteri Mandul, Rupanya Nak Kahwin Janda Sebelah Rumah
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Walau pun ramai yang tuduh saya mandul tapi saya tak kisah asal bukan suami yang kata begitu.
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir? Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah sangat kerana memikirkan mungkin dia ingin rasa seperti anak sendiri. Tapi saya dapat rasakan sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.
.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya. Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangan-Nya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, senantiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini, pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solat malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan hati ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI