Kata Cikgu Mohd Fadli Salleh sebelum suami minta isteri berhenti kerja, suami kenalah siapkan duit simpanan untuk isteri dulu.
Ini tidak, gaji isteri yang tampung sebahagian belanjawan keluarga itulah tiba-tiba nak dilenyapkan. Sudahnya, suami tak mampu nak kawal kewangan.
Isteri pula tiba-tiba jadi beban. Akhirnya, isteri itu kau lepaskan. Wahai suami, keputusan realistik dalam sesebuah rumah tangga itu penting sangat. Hadamkan macam mana yang dikatakan realistik dalam membuat keputusan, lagi-lagi bab kewangan rumah tangga.
“Cikgu. Saya menyesal berhenti kerja dulu. Dulu gaji saya dah cecah RM4k. Namun suami suruh berhenti.
Katanya tempat seorang isteri adalah di rumah jaga anak-anak dan makan pakai dia. Sekarang kami bercerai, saya hilang punca pendapatan, suami pula cuai memberi nafkah.
“Memang saya menyesal berhenti kerja dulu.”
Itu luahan seorang ibu tunggal pada aku suatu ketika dahulu. Katanya suaminya tak nak dia kerja.
Kononnya sebab dia mampu tanggung, sedangkan kerja suami biasa-biasa sahaja.
Disamping itu suaminya juga cemburu bila isteri pergi kerja cantik-cantik dan perlu berhubung dengan pelanggan serta rakan sejawat yang lelaki.
Padahal kata isteri, dia cukup menjaga hubungan. Tidak pernah berlebihan, bahkan tidak pernah menumpang kereta rakan sekerja lelaki untuk ke mana-mana.
Masalah mula timbul bila kewangan keluarga tidak stabil. Kehilangan 4k sebulan pasti sangat dirasai. Tambah-tambah bila anak makin ramai.
Bila duit sering tidak cukup, mereka akan bergaduh. Hidup makin sempit dan suaminya pula tidak mahu usaha lebih buat part time ke apa.
Dan akhirnya dia diceraikan.
Aku pernah mendengar seorang kawan pakar kewangan berkata, kita perlu ada duit kecemasan sekurang-kurangnya 6 kali ganda dari gaji kita.
Makna kata, kalau gaji RM4000, kena ada saving bersih RM24,000. Itu simpanan kecemasan yang tidak boleh diusik kata kawan aku.
Jika kita jatuh terduduk, saving itulah untuk kita bermula sesuatu yang baru. Berniaga ke apa ke. Itulah modalnya.
Dalam masa 6 bulan pasti akan jumpa jalan keluar dari masalah kesempitan jika kita serius ingin mengubah hidup.
Paling penting, simpanan kecemasan itu ada.
Ini dah la simpanan kecemasan pun tiada, hutang pula bertimbun-timbun. Memang cari bala!
Jika aku berhak memberi sedikit nasihat pada kalian, ini yang aku ingin sampaikan.
Perancangan kewangan sangat penting. Jangan suruh isteri kita berhenti kerja jika kewangan kita masih tidak stabil. Jika hutang masih keliling pinggang.
Jika income sendiri lebih 20k, dan kau mampu simpan sebulan hingga 10k, relevanlah nak suruh isteri berhenti kerja pun.
Ini gaji sendiri baru 2-3k, dah mula minta isteri berhenti. Saving tiada pula tu. Bahaya bang.
Kalau sebelum ini isteri kalian bekerja namun semua gajinya tidak berusik; semua keperluan keluarga kau support penuh dari hujung kepala sampai hujung kaki termasuk alat solek dia, bayaran kereta dia, bayaran rumah, bil-bil, duit dapur, perbelanjaan melancong, perbelanjaan untuk orang tuanya dan semua macam mampu kau tanggung, bolehlah syorkan isteri berhenti.
Tapi jika semua benda pun sokongan isteri, nak beli pampers anak dan bayar pengasuh pun isteri yang bayarkan, biarlah dia terus membantu kau dengan bekerja.
Kena merancang dengan baik dan bersedia bila minta isteri kita berhenti bekerja. Siapkan duit simpanan untuk dia 30k-50k cash dalam bank, ha boleh la nak suruh dia berhenti kerja pun. Tu pun jangan biar ada hutang keliling pinggang.
Sayang sijil isteri sampai degree, sampai master akhirnya terperuk di rumah sahaja. Sedangkan kemahiran dia diperlukan diluar dan dibayar mahal.
Dan mungkin kalian (suami) yakin kalian takkan pernah akan menceraikan isteri. Namun bolehkah kalian yakin nyawa kalian berkekalan untuk meniti usia senja bersama?
Bagaimana jika nyawa kalian tidak panjang? Bagaimana jika esok lusa kalian dipanggil Tuhan?
Dan bagaimana anak dan isteri kita nak survive tanpa pendapatan, tanpa simpanan dan tanpa pekerjaan?
Perlu fikir banyak benda, perlu kaji dalam-dalam, perlu bersedia untuk hari yang paling teruk dalam hidup.
Jangan buat keputusan yang akhirnya merugikan banyak pihak. Yang akhirnya kita sendiri menyesal tak kesudahan.
#MFS - Simpan untuk waktu kecemasan –
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh