Suami curang, inilah yang sering kita dengar dan lihat dalam masyarakat sekarang ini. Apa yang membuatkan mereka sanggup menduakan isteri dan apa istimewanya ‘skandal’ yang dikejar-kejar itu.
Peliknya, bila ditanya mengapa suami curang. Alasannya adalah dengan izin Allah. Semuaya ini tak akan berlaku kalau tak bertepuk sebelah tangan.
Sekali suami curang dan mengakui kesilapan, mungkin boleh dimaafkan atas dasar sedar kesilapan diri. Tapi kalau dah berkali-kali dan tidak pernah serik, apa perasan isteri.
Tiada jalan lain selain memohon fasakh dan inilah yang terbaik kalau rumahtangga tidak mampu bertahan lagi. Suami pula janganlah aniaya isteri yang selama ini sentiasa, sanggup susah senang bersama.
Bagi isteri yang sudah cuba selamatkan rumahtangga tapi masih tidak ada jalan penyelesaian, memohon fasakh adalah terbaik dengan alasan suami curang. Tapi, ingat ada juga permohonan ini gagal atas beberapa faktor. Fahami perkongsian daripada khairul Fahmi Ramli, peguam syarie ini
Bkebelakangan ini, banyak pula timbul isu curang. Ada pula orang yang tak arif bab agama cakap lelaki yang curang itu dia lakukan dengan izin Allah. Masuk ke rumah wanita lain itu pun dengan izin Allah.
Ads
Satu fahaman yang nak sandarkan semua atas ketentuan Allah. Manusia tak ada pilihan. Semuanya atas Qada’ & Qadar Allah.
Ingat, manusia ada pilihan untuk berbuat baik atau buruk. Pastinya, curang itu adalah pilihan sendiri individu yang melakukannya.
Peruntukkan Undang-undang.
Suami atau isteri yang curang ini sebenarnya telah MENGANIAYAI pasangannya & berhak untuk memohon Fasakh di Mahkamah Rendah Syariah. Ia terletak di bawah Seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008 iaitu :
“Bahawa suami atau isteri menganiyai isteri atau suaminya, iaitu, berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak.
Namun, seringkali isteri khususnya yang memohon fasakh dengan alasan suami curang contohnya, GAGAL untuk bantu Mahkamah sabitkan perceraian secara fasakh dengan alasan tersebut.
Faktor Kegagalan
Ads
1. Suami tak mengaku
Pengakuan suami di rumah atau di hadapan mana-mana orang sebelum kes fasakh difailkan, tidak akan menjadi bukti yang kuat. Hanya pengakuan dihadapan Hakim sahaja yang boleh diterima. Biasanya, di dalam Mahkamah, jarang ada yang nak mengaku lakukan kesalahan terutamanya hal yang berkaitan dengan curang.
2. Tiada saksi atau saksi dengar cakap sahaja
Bila kita mendakwa suami atau isteri curang, tanpa sebarang saksi yang nampak perbuatan curang itu, sangat sukar untuk mendapatkan fasakh. Tidak diterima kalau saksi tersebut hanya dengar daripada cerita isteri atau suami itu saja. Itulah yang disebut sebagai ‘Saksi Dengar Cakap’. Melainkan kalau ada saksi yang nak datang mengaku sebagai pasangan curang. Siapalah berani nak datang mengaku sebagai teman jenayah, kan?
3. Gambar Whatsapp/Mesej Screenshot
Biasa isteri akan nampak mesej Whatsapp suaminya dengan wanita lain dan kemudian membuat Screenshot. Lalu, gambar screenshot itu dihantar ke nombornya atau emailnya sahaja. Bukan tak boleh diterima, cuma di Mahkamah, bukti asal mesti ditunjukkan iaitu perbualan Whatsapp daripada henset pemiliknya. Jadi, bila waktu bicara, mestilah perbualan itu telah dipadamkan. Terus sahaja rampas dan sita bahan bukti kalau berani.
4. Gambar/Video tak jelas
Bukti gambar perlu jelas. Kalau hanya gambar badan tapi tak ada kepala, itu juga tak dikira jelas. Gambar berseorangan juga tidak mudah dikira sebagai curang. Sebaiknya, video atau gambar yang ada, mesti berduaan dalam keadaan yang tak wajar untuk mereka bergambar. Contohnya, gambar suami peluk wanita lain.
5. Gambar & Video daripada internet dipadam
Ada isteri yang ambil gambar yang dipostkan suaminya dalam media sosial. Masalahnya adalah, bila nak dibuktikan sewaktu bicara, gambar itu dah tak ada di FB, Instagram dan semua tempat yang diperolehi. Jadi, sukar untuk diterima Mahkamah jika bukti asal tidak wujud.
6. Tiada tangkapan & dakwaan kes jenayah
Kalau anda dapat hidu pasangan anda curang sampai ke peringkat lakukan jenayah Khalwat misalnya, tolonglah jangan buat tangkapan sendiri. Anda bukan Polis mahupun Penguatkuasa Agama. Sepatutnya, lapor kepada pihak berkuasa atau ajak Tok Imam kawasan tersebut untuk buat serbuan bersama misalnya. Barulah ada kes jenayah wujud. Kalau tak buat sedemikian, maka sukar nak sabitkan yang pasangan curang ini bersekududukan dalam kes fasakh.
Ads
7. Kisah yang terlalu lama
Kadang ada isteri yang dah terlalu lama pendam, baru nak mohon fasakh atas sebab curang suaminya yang dah terlalu lama. Ada yang kisah curang tu sampai 7 ke 8 tahun lamanya hinggakan suami tu dah kahwin pun dengan wanita tersebut. Kalau nak dakwa isu curang dalam kes fasakh, faktor terlalu lama baru nak mintak cerai ini boleh dianggap sebagai alasan yang dah lapuk. Sebab ada ada kemungkinan anda redha atau telah memaafkan suami anda.
Kesimpulannya,
Curang ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main dalam perkahwinan. Ia akan melibatkan kepada pelanggaran undang-undang keluarga Islam iaitu isteri boleh mohon fasakh jika ia berlaku.
Ingat, dalam perkahwinan, banyak perkara yang perlu dijaga batas pergaulannya. Zaman ini, zaman yang penuh dengan godaan dunia. Kes perceraian juga sangat tinggi di Mahkamah Syariah atas faktor ini. Sebabnya, banyak daripada kita yang membuat pilihan tersebut, bukan ada siapa-siapa yang paksa. Kalau semua benda dikatakan dengan izin Allah, maka manusia berjudi, minum arak, bunuh & segala maksiat kita sandarkan dengan Izin Allah. Masya Allah!
Curang itu pilihan, bukan dengan izin Allah.
Mingguan Wanita : Apa lagi yang tak cukup. Bersyukur dan bahagialah dengan apa yang kita ada. Janganlah aniaya sisteri.
“Kami kahwin suka sama suka, tak ada masalah apa pun. Tapi, mak mentua saya tu macam sengaja cari pasal. Dari awal kahwin, ada saja yang tak kena. Sekarang ni tiba-tiba dia suruh suami ceraikan saya. Tak tau sebab tapi tiap-tiap hari dia telefon suami dan tanyakan bila nak ceraikan saya. Saya dan suami pun dah tak mesra sekarang ni…”
Realitinya, memang ramai wanita yang ‘bermadu ibu mentuanya’ sendiri. Apakah tiada jalan penyelesaian selain bercerai? Mustahil! Janji Allah pasti, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.
Kena Mengalah?
Bukan mudah nak ubah sikap ibu tambah tatkala si ibu tidak lagi bersuami. Jika si ibu masih bersuami dalam erti kata masih ada ayah, si anak dan menantu boleh harapkan bantuan si ayah tegur sikap si ibu. Malangnya, ramai ibu yang masih bersuami tetapi si suami atau ayah tak berani bersuara atau enggan campur tangan dan paling tragis, bila si suami sama ada suami mangsa atau suami kepada si ibu atau bapa mertua mangsa dengan mudah melafazkan: “Tu kan Mak, ikut aje lah, nanti berdosa pula.”
Ya! Seorang anak wajib taat pada ibu kerana redha Allah kepada seorang anak bergantung kepada redha ibu kepada anaknya TETAPI kalau arahan atau larangan ibu menyalahi syariat termasuk meruntuhkan sebuah ikatan perkahwinan tanpa alasan yang munasabah, arahan itu tak perlu dipatuhi dan keengganan itu tidak menjadikan anda anak yang derhaka.
Apa Yang Suami Patut Buat
Perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh pasangan yang berdepan masalah dengan ibu dan mertua sebegini ialah anda dan pasangan perlu faham peranan anda, peranan pasangan dan peranan ibu atau mentua anda juga. Seorang anak lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih besar kepada isteri dan anak-anak berbanding seorang ibu tatkala si ibu bukanlah insan melarat.
Anak perempuan wajib taat pada suami berbanding ibu sendiri tatkala arahan suami tak bertentangan dengan syariat. Tapi, anda perlu lebih kenal sikap sebenar ibu sendiri, ibu mentua yang membuat kekecohan dalam rumah tangga anak dan menantunya adalah ibu mentua yang cemburu dengan kebahagiaan si anak dan menantu kerana dirinya tidak beruntung seperti mereka. Tak percaya? Memang ada ibu yang cemburu pada anak atau menantu sendiri. Dunia akhir zaman, macam-macam boleh terjadi.
Sabar itu memang nak kena lebih. Mana yang boleh diikut lenggoknya, ikutlah sedaya upaya. Mana yang tak boleh, berterus teranglah dengan penuh sopan, jangan sampai menganiayai hak pasanganpula. Kalau masih tak berkesan, boleh gunakan tindakan undang-undang.
Ibu mentua yang halang anak dan menantunya hidup bahagia dalam perkahwinan dikira sebagai orang ketiga yang mengganggu rumah tangga orang lain dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Terdapat tika peruntukan yang boleh digunakan, disesuaikan dengan kes anda.
Tiga peruntukan tersebut dengan tiga jenayah berbeza:
– Pertama ialah kesalahan memujuk lari perempuan bersuami atau membawanya keluar meninggalkan kediaman yang ditentukan oleh suaminya.
– Kedua ialah kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dalam apa cara sekali pun.
– Ketiga ialah kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan. Bagi kesalahan-kesalahan ini, apabila disabitkan boleh didenda antara RM2000 dan tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan selama tempoh antara satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bukan suruh anda kenakan tindakan kepada mentua sendiri tapi memadai perkongsian ini untuk anda tahu.
Moga suami dapat berfikir dan bertindak dengan matang dan rumah tangga anda kembali bahagia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perceraian tak diharamkan dalam Islam sekiranya dengan sebab yang munasabah. Bahkan isteri boleh tuntut cerai, tapi ada beberapa perkara perlu diteliti agar tak jatuh murka Allah terhadapnya.
Dikongsikan penulisan daripada Puan Suzana Ghazali, perunding Psikologi Kekeluargaan & Guaman Syarie, yang juga penulis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.” – hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.
Cerai Tak Haram Dalam Syariat Islam
Persoalannya, apakah sebab yang dikira sebagai munasabah dan tidak munasabah untuk perceraian? Sebelum saya jelaskan dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut, sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa cerai atau talak bukan haram atau dilarang di dalam syariat Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak yakni cerai.” – hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Baihaqi.
Meneliti kedua-dua hadis yang saya kongsikan pada awal perbincangan, tiga perkara utama yang kita boleh ambil pengajaran ialah:
1. Allah SWT tak sukakan perceraian tetapi dihalalkan sebab cerai adalah jalan penyelesaian terakhir dalam menangani masalah dalam perkahwinan;
2.Cerai atau talak dibenarkan menurut syarak hanya jika terdapat alasan munasabah;
3.Perceraian tanpa sebab munasabah menurut syarak masih disabitkan sah berlaku tetapi perlakuan tersebut mengundang dosa hingga diharamkan menjejak syurga malah tidak mampu mencium bau syurga idaman setiap manusia yang mempercayai kewujudan hari pembalasan.
Hikmah Perkahwinan
Bila membicarakan mengenai masalah dalam perkahwinan, kita tidak dapat lari daripada membincangkan mengenai hikmah perkahwinan disyariatkan iaitu untuk suami dan isteri menikmati bahagia malah hikmah paling utama ialah untuk suami dan isteri melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang tersendiri. Kebahagiaan hidup bersuami isteri tidak akan berhasil jika wujud pengabaian dan kegagalan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
Sinonim dengan sifat seorang manusia yang terdedah kepada kesilapan dan kekurangan malah dalam kehidupan hari ini tika ramai yang sengaja gagal dan enggan akui kesilapan, perkahwinan berada bak telur di hujung tanduk; memberikan tekanan kepada individu yang terlibat.
Pastinya masalah jawapannya adalah penyelesaian tetapi penyelesaian takkan wujud jika tiada perubahan malah tiada lagi kepercayaan. Kesannya bukan saja penderitaan tetapi juga dosa kerana ingkar amanah ijab dan kabul perkahwinan. Lantas, bila ada individu tertentu tak kira suami atau isteri berdepan dengan situasi ini, jalan keluar ialah perceraian.
Alasan
Penting untuk difahami, penderitaan atau tiada lagi kepercayaan bukan alasan yang munasabah untuk perceraian. Alasan yang dianggap munasabah dibenarkan bercerai menurut syariat ialah apabila ada pihak yang sengaja gagal atau mengabaikan segala peranan dan tanggungjawab wajib di dalam perkahwinan.
Secara ringkasnya, tanggungjawab seorang suami yang menjadi hak isteri atau isteri-isterinya ialah melayani isteri dengan baik , memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri, bersikap romantik terhadap isteri, bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.
Tanggungjawab isteri yang menjadi hak suaminya pula ialah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormatkan suami dan menyenangkan hati suami. Terdapat dua perkara yang menjadi tanggungjawab bersama suami dan isteri iaitu menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga.
Ingkar
Apabila ada individu yang sengaja ingkar daripada melaksanakan segala tanggungjawab ini walau telah ditegur, didesak dan diasak hingga memberikan tekanan hebat kepada mental menyebabkan wujudnya pertengkaran, permusuhan dan kebencian hingga mengundang dosa kerana masing-masing gagal untuk menghormati hak pasangan, perceraian boleh dipilih sebagai jalan akhir dan ia adalah alasan munasabah. Penting! Perlu ada usaha untuk menyedarkan pasangan yang bersalah atau tersalah. Tanpa usaha, alasan perceraian masih tidak munasabah walau wujud kegagalan dalam pelaksanaan tanggungjawab. Tidak munasabah bererti perceraian boleh berlaku tetapi memberikan anda dosa dan diharamkan menikmati syurga.
Tanggungjawab yang juga penting untuk sama-sama diusahakan oleh kedua suami dan isteri ialah melaksanakan komunikasi yang positif. Malangnya, kebelakangan ini terutama sejak media sosial menjadi pasangan utama, pasangan realiti makin dipinggirkan.
Ingatlah! Perkahwinan bukan semata-mata kata sepakat membuktikan kasih sayang sebaliknya adalah permulaan peranan besar memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Niatkan dengan ikhlas untuk menerima pasangan sebagai amanah daripada-Nya dan berusahalah untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang perlu tanpa mengharapkan toleransi pasangan. Andai berusaha gigih, hasil juga pasti baik, insya-Allah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Golongan ibu perlu tahu untuk menangani bila stres uruskan rumah tangga. Jangan biarkan diri menderita kerana stres, lebih memudaratkan kesannya kepada fungsi harian dan kesihatan fizikal serta mental.
Bila Stres Uruskan Rumah Tangga
Pensyarah Kanan / Kaunselor Berdaftar, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr. Rafidah Aga Mohd Jaladin merungkai persoalan bagaimana cara atau strategi terbaik untuk seseorang itu menguruskan stres.
“ Stres tidak dapat dielakkan dari kefungsian hidup harian. Malah, setiap manusia memerlukan tahap stres yang optimum untuk membuat mereka berfungsi dengan baik sebagai individu.
” Bagaimanapun, stres boleh memudaratkan jika ia tidak diuruskan dengan baik atau dibiarkan tanpa rawatan untuk suatu tempoh masa.
“ Bayangkan anda memegang segelas air selama lima minit, 50 minit, atau lima jam. Apa yang anda rasa apabila melepasi setiap jarak masa?
” Anda mungkin tidak merasakan sebarang ketidakselesaan atau kesukaran jika anda perlu memegang gelas selama lima minit, tetapi apabila anda perlu memegang gelas selama lima jam, anda tentunya akan merasa sakit hati, keliru dan tidak berdaya.”
Strategi Pengurusan Stres
Menurut Dr. Rafidah lagi, terdapat banyak strategi yang kita boleh gunakan untuk menangani stres.
Coon (2003), memberikan beberapa strategi terbaik untuk mengurus stres dan sesetengah daripadanya disenaraikan di bawah:
1-Latihan fizikal
Membuat senaman ringkas seperti senamrobik, Zumba ataupun sekadar streching.
2-Meditasi
Teknik mental yang menenangkan minda dan tubuh.
3-Relaksasi progresif
Kaedah untuk menghasilkan relaksasi yang mendalam pada semua bahagian tubuh, contohnya teknik pernafasan.
4-Imej yang dibimbing
Pembayangan secara sedar imej yang menenangkan, merelakskan atau berguna dalam cara lain.
5-Modifikasi tingkah laku yang tidak efektif
Contoh: mengurangkan, menyusun, mencari keseimbangan, mengenal pasti dan menerima had anda.
6-Dapatkan sokongan sosial
Peristiwa semasa kurang memberikan stres kepada individu yang mendapat sokongan sosial yang baik dari rakan-rakan dan keluarga.
a-Kongsi stres anda dengan orang lain; “no man is an island; no man stands alone”
b- Pendedahan kendiri bagus untuk anda dalam tempoh masa yang panjang. Justeru, kongsikan kisah diri anda dengan orang lain demi kesihatan yang baik.
7-Tulis tentang perasaan anda
8-Elakkan pemikiran yang mengganggu/mengecewakan
9-Pernyataan pengurusan
Menenangkan, kenyataan yang meningkatkan diri yang digunakan untuk menghentikan pemikiran kritik diri seperti:
“Saya hanya akan melakukan satu perkara pada satu masa” (contoh: bersedia untuk situasi yang menekan)
“Relaks, ini tidak menyakitkan saya. Kekal tersusun, fokus kepada tugasan” (contoh: mengkonfrontasi situasi yang menekan).”
Kesimpulannya, menurut Dr. Rafidah, stres bukanlah sesuatu yang memberi kesan negatif semata.
Jika diurus dengan strategi dan teknik yang sesuai maka stres boleh berada pada tahap optimum yang mampu menjadikan seseorang individu lebih produktif dalam menjalankan kefungsian hariannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!