Rimasnya Bila Suami Cemburu Tapi Kalau Tak Cemburu Tu Apa Maknanya…

Share

Sebelum berkahwin, ‘pantang’ telefon berbunyi pasti pasangan akan bertanya. Begitu juga bila awal-awal perkahwinan. Kadang-kadang pasangan boleh rimas dengan perasaan cemburu itu, walhal semua itu hanyalah kawan sahaja dan tiada ada yang lebih daripada itu.

Ini cerita sebelum dan di awal perkahwinan. Hakikatnya, selepas lebih daripada 10 tahun perkahwinan, perasaan cemburu itu semakin hilang. Adakah ini bermakna, pasangan tidak lagi ada perasaan sayang. Atau adakah kerana perkahwinan yang dibina selama berbelas tahun ini tidak ada rasa cinta tetapi lebih kepada kepercayaan pasangan dan tanggungjawab pada keluarga semata-mata. Mengulas lebih lanjut tentang topik ini bersama Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat.

Ada beberapa sebab yang mudah menimbulkan rasa cemburu. Antaranya, bila pasangan kita menunjukkan kasih sayang kepada orang lain, ataupun bila dirasakan kasih sayang pasangan mulai berkurangan kepada kita, sedangkan perhatiannya diberikan kepada orang lain. Cemburu ini baik, malah Rasulullah s.a.w menganggap suami yang tiada rasa cemburu apabila isteri ada hubungan dengan lelaki lain sebagai dayus.

Namun, cemburu yang berlebihan akibat tiada rasa kepercayaan kepada pasangan akan menyebabkan salah faham dan rasa dikongkong serta tidak dihargai. Biasanya, situasi begini tidak membahagiakan, sama ada untuk suami ataupun isteri.

Hilang Rasa Cemburu

Tidak dinafikan kemungkinan hilang rasa cemburu disebabkan berkurangnya kasih sayang terhadap pasangan, tetapi ukuran kasih sayang hubungan suami isteri tidak boleh dinilai dengan cemburu semata-mata.

Secara fitrahnya, manusia biasa akan ada sifat cemburu. Ini boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya kesan trauma emosi, fitrah songsang, ataupun kadang kala ada yang hidup dalam ‘denial’ terhadap diri sendiri.

Ada juga yang boleh menguruskan fitrah mereka dengan baik, sokongan kebijaksanaan untuk mengenepikan rasa cemburu yang ditakuti memberi kesan negatif dalam hubungan. Sebenarnya dalam diri kita tetap ada fitrah rasa cemburu, bergantung bagaimana kita menguruskannya. .

Perlu Ada Rasa Cemburu

Perkahwinan yang sudah menjangkau masa yang lama, perlu ada walaupun tidak sekuat di awal perkahwinan. Rasa cemburu ini lebih stabil apabila kepercayaan kita semakin tinggi tetapi disebabkan penghargaan kepada pasangan kita sebagai pasangan yang terbaik, sudah tentu tetap ada rasa cemburu andainya orang yang kita sayang dan membahagiakan kita berkongsi dengan orang lain.

Walau bagaimanapun, cemburu secara matang dan praktikal pastinya dapat mengenalpasti sempadan yang perlu dicemburui ataupun ditoleransikan. Pengalaman dan kematangan akan menstabilkan rasa cemburu yang berpatutan. Malah, ia mungkin semakin menyusut bagi pasangan yang hidup subur dalam kepercayaan antara satu sama lain.

Tanda-tanda Cemburu

  1. Berlaku perubahan fizikal, emosi dan sikap – Pasangan jadi lesu, diam, tidak sihat kesan daripada perubahan fizikal yang terhasil. Perubahan emosi yang terlalu prejudis, risau berlebihan, membebel.
  2. Perubahan sikap acuh tidak acuh, lebih pendiam, meninggikan suara dan sebagainya.
  3. Bukan Tidak Sayang  – Cemburu adalah salah satu tanda sayang, tetapi tidak bermakna bila tidak cemburu itu tidak sayang. Malah kalau cemburu keterlaluan boleh merimaskan dan mengganggu keharmonian hubungan.

Suami – Bercakap lemah lembut, cakna, ‘sweet’ melayan perasaan isteri, semua ini adalah antara pengorbanan oleh suami bila menyayangi isterinya.

Isteri – Akur setiap kali keputusan suami dengan hormat, tidak melawan, menjaga kecantikan, sentiasa ada bila suami memerlukan, merendah diri dan mengalah walaupun kadang kala tidak berpuas hati, semua ini adalah pengorbanan oleh seorang isteri yang melawan fitrahnya semata-mata untuk membahagiakan suami.

Tip Kekalkan Hubungan Kasih Sayang Suami Isteri

  1. Suami isteri perlu suburkan rasa saling mempercayai. Elakkan prejudis dan suka
    mempersoalkan setiap perkara sehinggakan perkara kecil menjadi isu prejudis.
  2. Jaga kepercayaan pasangan dengan berterus terang agar hubungan kita tidak terganggu dengan hubungan lain yang boleh menimbulkan curiga dan cemburu. Sentiasa utamakan hubungan bersama dalam rumah tangga.
  3. Isteri, elakkan penghormatan kepada lelaki lain. Suami, elakkan keprihatinan kepada wanita lain. Ini mudah menimbulkan rasa cemburu pada pasangan.
  4. Elakkan daripada sikap suka ambil tahu semua perkara kerana mudah menimbulkan salah faham, apatah lagi bila lebih percayakan orang ketiga.
  5. Hargailah pasangan di saat kita merasa bahagia dengannya dan bersabarlah ketika kita berkorban untuk membahagiakannya.
Published by
Nora