Memang ada benarnya, bila setiap kali suami buat salah namun isteri yag meminta maaf, pastinya ego suami ‘menang’ namun hati-hati rumahtangga boleh hilang serinya. Dalam rumahtangga perlu ada tolak ansur dan jangan malu untuk mengaku salah. Turunkanlah ego masing-masing demi keharmonian suami isteri.
Sehari dua, isteri mungkin boleh hadap…kalau dah sampai berminggu-minggu dia buat macam tu, isteri dah mula rasa lain macam…maka isteri pun minta maaf.
Isteri minta maaf sebab highlight kesalahan suami,isteri minta maaf sebab tegur kesalahan suami, isteri minta maaf sebab dia yang buat suami diam, jadi dingin tak bercakap.
Sebenarnya, inilah yang dinamakan EGO…sendiri salah, tapi sendiri tak nak mengaku. Sendiri salah, sendiri nak protes tak nak bercakap…sendiri salah, sendiri yang buat tak tahu kat isteri dengan harapan, isteri pulak jadi salah dalam hal ni.
Benda ni tak pelik, benda ni normal. Banyak jadi dalam kehidupan rumahtangga pasangan di Malaysia. Modus operandi suami bila salah, bila kantoi, bila menyakiti dan melukai hati isteri adalah dengan tidak bercakap, pulaukan isteri dan layan lebih kurang ja pada isteri smpai si isteri pulak jadi tertekan sehinggalah dia buat pilihan dan keputusan untuk minta maaf.
Ads
Ego menang tapi rumahtangga hilang seri dan silap hari bulan, hilang sekali isteri.Elakkan la ya, tak jatuh hidung dengan minta maaf bila buat salah.
Mingguan Wanita:Sebenarnya tak kira lah siapa pun yang buat salah, baik suami atau isteri, turunkanlah ego dan mengaku kesalahan sendiri. Tak rugi pun meminta maaf pada pasangan demi keharmonian dalam rumahtangga.
Raya kan sebulan! Sepanjang Syawal ini pasti ramai yang ambil kesempatan untuk mengadakan rumah terbuka buat rakan-rakan dan saudara mara. Kata orang, sambil bersilaturahim, boleh juga menambah pahala berkongsi rezeki dengan orang lain.
Bila sebut tentang rumah terbuka, pernahkah anda melihat situasi ini (atau terjadi pada diri sendiri?), si suami sibuk makan itu ini sambil berborak riang dengan rakan taulan. Sebaliknya isteri pula sibuk menguruskan anak-anak sendirian; suap makan anak dan pantau kelakuan anak-anak. Akhirnya diri sendiri pun makan ala kadar saja. Sedih kan bila melihat situasi ini.
foto sekadar hiasan
Tanggungjawab Bersama
Bila dah sepakat nak memenuhi undangan ke rumah terbuka, pasangan suami isteri itu kena faham situasi mereka. Jika memiliki anak-anak yang masih kecil, bermakna tanggungjawab untuk uruskan anak-anak di sana nanti perlu dibahagi sama rata. Kalau anak empat, seeloknya suami jaga dua, dan isteri jaga dua. Tidaklah nanti tanggungjawab terletak di bahu isteri saja.
Prihatin
Walau pun mungkin sudah terbiasa membiarkan isteri yang uruskan anak-anak terutamanya bab menyuap anak makan, apa salahnya suami bersikap lebih prihatin dan bertimbang rasa. Minta isteri dan anak-anak duduk di satu tempat dan suami yang bawakan makanan.
Bukankah itu lebih mudah? Taklah isteri terkejar-kejar, nak pergi ambil makanan dan masa yang sama, mata memandang anak-anak takut anak ke mana-mana pula. Atau suami boleh bantu jaga anak-anak dan isteri ambil makanan. Taklah anak-anak dibiarkan tanpa pengawasan.
Ya, memang teruja bila dapat bersembang dengan rakan-rakan tapi kena ingat tanggungjawab, iaitu anak-anak yang dibawa sama. Lainlah jika anak-anak sudah remaja dan boleh menjaga diri masing-masing.
Bergilir-gilir
Seeloknya, suami isteri kena saling memahami situasi diri mereka bila membawa anak-anak yang masih memerlukan jagaan dan perhatian. Seeloknya, makan secara bergilir-gilir. Bila suami makan, isteri jaga anak-anak dulu sambil beri anak makan. Setelah itu, isteri pula yang makan.
Ketika itu, anak-anak pun dah kenyang, jadi suami hanya perlu jaga saja. Ha..waktu ini, nak sembang dengan kawan-kawan pun boleh juga sebab anak dah kenyang, mungkin mereka dah tak meragam sangat. Lagi afdal, bila suami makan, tolong suapkan isteri sama. Sanggupkah suami? Takkan suap isteri sendiri pun nak malu? Masa bercinta dulu bukan main…
Sama-sama Awasi Anak
Dalam situasi rumah terbuka, tentunya ramai tetamu lain yang diundang, jadi kena sentiasa pantau anak-anak kecil. Selain risau akan keselamatan anak-anak, kita juga tak mahu tuan rumah ‘risau’ dengan kelakuan anak-anak kita yang terlalu bebas ke sana ke sini.
Jadi, seeloknya pantau anak-anak sebaiknya agar tidak berlaku sebarang ‘tragedi di bulan Syawal’. Misalnya merosakkan harta benda tuan rumah dan sebagainya. Mereka memang masih kecil, tapi tugas ibu bapa untuk memantau demi menghindari kejadian tak diingini.
Ada suami yang hanya tahu menyalahkan isteri bila terjadinya sesuatu sedangkan dia sibuk makan dan bersembang saja. Semua anak isteri yang kena kawal dan pantau. Memang tak patut!
Kalau anak-anak jenis lasak:
1. Jangan berlama-lama berada di sesebuah rumah terbuka, kerana semakin lama, ditakuti anak-anak makin hilang kawalan bila rasa bosan.
2. Nama pun budak-budak, walau sudah puas dipesan, dah jumpa kawan-kawan, memang sukar nak kawal mereka. Tapi seeloknya mak ayah sentiasa pantau pergerakan anak-anak agar mereka tak melakukan sesuatu yang keterlaluan. Setakat menumpahkan kuih raya atau minuman ke atas karpet, itu masih ‘biasa’. Tapi kalau sampai masuk ke bilik tidur atau merosakkan harga benda tuan rumah, itu ‘luar biasa’!
Apa Lagi ye…
1. Ibu bapa kena ingat ni! Anak anda, tanggungjawab anda untuk mendidiknya. Kalau anak lasak, anda kena lebih banyak pantau dan tegur anak bila nampak mereka melakukan sesuatu yang tak sepatutnya. Jangan sekadar tegur ala kadar tapi tetap membiarkan anak melasak sana sini. Nanti bila tuan rumah atau orang lain yang tegur, anda pula sentap!
2. Jalan terakhir, kalau anak tak dapat dikawal lagi dan anda pula masih belum makan, cepat-cepat bawa masuk anak ke dalam kereta dan suami atau isteri sila tunggu anak di dalam kereta. Kadangkala anak pun penat juga dan mula buat perangai bila tengok mak ayah mereka asyik lagi berborak hingga mereka rasa bosan.
3. Anak lasak tak bermakna anda tak boleh bawa mereka ke rumah-rumah terbuka, tapi terpulang kepada anda untuk mengawal, mendidik dan mendisiplinkan mereka agar lebih ‘bersopan’ bila berada di rumah orang. Jangan buat rumah orang macam rumah sendiri.
Untuk tuan rumah:
1. Sebagai persediaan, sila pastikan barangan berharga disimpan dahulu sebelum para tetamu tiba, terutama barangan yang mudah rosak. Niat anda adalah untuk mengeratkan silaturahim dan berkongsi rezeki dan bukannya nak tunjuk kemewahan anda kan?
2. Jika rumah penuh dengan pelbagai hiasan kaca dan mahal, seeloknya sediakan khemah makan di luar rumah. Jadi para tetamu tidaklah tertumpu di dalam rumah. Bahkan mungkin ada yang lebih selesa berada di khemah saja kerana memikirkan anak-anak mereka yang lasak. tetamu selesa, anda pun lega.
3. Jika ada bajet lebih, seeloknya adakan aktiviti untuk anak-anak agar anak-anak rasa gembira. Misalnya menjemput ‘clown’ dan sebagainya. Jadi mereka ada aktiviti yang membuatkan mereka seronok. Mak ayah pun boleh berbual ria dengan tuan rumah dan tetamu yang lain bila lihat anak-anak seronok ada aktiviti. Taklah risau anak-anak buat ‘aktiviti’ sendiri nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memang ramai mak-mak zaman sekarang pandai cari duit tepi tetapi kalau isteri bekerja pun suami tetap tak boleh lepas tangan tanggungjawab hulur nafkah ya.
Sekali pun tak berapa nak cukup, suami memang kena usaha untuk dahulukan keperluan isteri. Cukup tak cukup, belakang kira! Dan kalau guna duit isteri tanpa kebenaran dan redanya, tak berkat lah rezeki yang digali. Itu kan hak isteri.
Haaa… sampai tahap tu sekali. Apa pun suami kena faham konsep sebenar kenapa isteri rela bekerja. Nah, hadam sikit apa yang ditulis saudara Firdaus Shakirin ini ya.
Isteri Bekerja Tapi Duit Gajinya Haknya
Isteri bekerja, isteri berniaga itu duit dia, tetap dia yang punya.
Dengan duit yang dia dapat dari gaji bulanan dia, dengan duit yang dia dapat hasil dari perniagaan dia itu lah dia dapat membantu kita, membeli barang keperluan rumah, membayar yuran anak, upah pengasuh, membantu orang tuanya, membeli apa yang diinginkannya dan sebagainya.
Kalau nak harapkan kita sepenuhnya, mungkin dia tak boleh beli apa yang dia nak. Kalau nak harapkan kita sepenuhnya, mungkin dia tak dapat hulur 1 sen pun kepada orang tuanya.
Isteri Ada Target Sendiri
Makanya, jangan di salah gunakan pendapatan isteri untuk kepentingan diri. Dia ada target dia sendiri, dia bekerja untuk apa, dia berniaga untuk apa. Kalau dia bagi sedikit untuk kita guna, alhamdulillah.
Kalau dia bayar bil-bil rumah, alhamdulillah. Kalau dia beli barang dapur, alhamdulillah.
Tapi itu bukan bermakna tanggungjawab kita dah lepas.
“Abang tak payah bagi apa-apa, saya ada duit sendiri, saya beli apa yang patut untuk keluarga kita.”
Sokong Isteri Dan Fahami Keadaannya
Dia bekerja ada sebabnya, dia berniaga ada sebabnya. DIA ADA TARGET DIA. Berlapang dada untuk terima kenapa dia perlu buat semua tu sebab kalau dia nak harapkan kita sepenuhnya, mungkin kita tak mampu nak tolong dia, tak mampu tunaikan apa yang dia nak dan berikan apa yang dia mintak.
Sokong dia, bagi semangat untuk apa yang dia buat. Faham tentang keadaannya dan selagi dia tak mengabaikan keluarga, selagi dia pandai membahagikan masa, maka terimalah apa yang dibuatnya itu dengan berlapang dada.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami isteri yang tidur berasingan boleh melonggarkan kasih sayang antara satu sama lain. Sebenarnya kebiasaan ini mungkin dianggap perkara biasa terutama dalam kalangan pasangan yang sudah berusia namun ia memberikan impak yang besar dalam rumah tangga.
Suami Isteri Tidur Berasingan
Fitrah wanita inginkan selalu dibelai manja oleh suami, manakala fitrah lelaki inginkan dilayan batinnya oleh isteri. Sekiranya, masa bersama terganggu ataupun tidak berlaku, ia pasti menyebabkan kesan kekosongan dalam diri masing-masing dan memungkinkan susulan tindakan yang lebih merosakkan hubungan rumahtangga.
Ustazah Maryam Binti Md. Zin, Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor menjelaskan apa perlunya suami isteri tidur bersama.
Ustazah Maryam Binti Md. Zin, Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor.
Kebiasaan Yang Boleh Longgarkan Kasih Sayang
Dalam jangka panjang, apabila suami isteri tidur berasingan ikatan hubungan akan longgar dan kasih sayang akan sedikit demi sedikit menjadi pudar. Ini berlawanan dengan konsep dan tujuan perkahwinan.
Dalam ajaran agama Islam matlamat perkahwinan adalah untuk mendapat Sakinah (ketenangan), Mawaddah (kasih sayang) danRahmah (rahmat Allah SWT). Kita amat memerlukan generasi yang saling berkasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Jika isu ini tidak diselesaikan di peringkat suami isteri dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada emosi, pemikiran dan tingkah laku anak-anak yang akhirnya tiada erti keluarga bahagia yang boleh memberi jaminan kepada masa depan negara.
Jika Tak Boleh Elak, Ini Syarat Tidur Berasingan
Hukumnya harus bagi suami isteri tidur berasingan. Namun adalah lebih baik dan afdhal suami isteri tidur satu bantal di atas satu tempat tidur di dalam satu bilik. Walaupun tidur berasingan adalah wajib bagi isteri melayan suami pada waktu malam terutamanya hubungan kelamin kerana ada hadith sahih mengenainya.
Cuma Dibenarkan 3 Hari Tidur Asing
Perkahwinan adalah perkongsian hidup. Ini bermakna pasangan berkongsi kasih sayang, berkongsi perasaan, berkongsi masalah, berkongsi pengalaman seharian, berkongsi tempat tinggal, berkongsi anak-anak dan berkongsi aspek lain.
Jika suami isteri tidur berasingan hanya kerana protes perkara kecil sehingga mementingkan diri sendiri, ianya akan mendatangkan konflik rumah tangga. Hidup mementingkan diri tanpa memikirkan keperluan dan keselamatan keluarga adalah sikap yang tidak bertanggungjawab serta perlu dielakkan.
Walau bagaimana pun dalam ajaran Islam salah satu cara untuk mendidik isteri yang tidak taat adalah mengasingkan tempat tidur dengan isteri jika suami telah berbincang dan menasihati isteri untuk taat dengan permintaan suami (yang tidak bercanggah dengan syariat Islam).
Itupun hanya dibenarkan selama 3 hari sahaja. Jika lebih dari 3 hari selepas mengasingkan tidur bersama isteri, suami boleh pergi ke Mahakamah Syariah untuk menuntut isteri kembali taat sebelum mengisytihar isterinya Nusyuz.
Kenapa Suami Isteri Pilih Tidur Berasingan
Pertama: Selisih Faham
Pasangan yang mengalami konflik akan tidur berasingan sebagai tanda protes dan kadangkala ego yang tinggi di antara keduanya ketika menghadapi masalah rumah tangga boleh menjadi salah satu punca.
Masalah rumah tangga tersebut disebabkan oleh pelbagai masalah seperti masalah komunikasi, masalah kewangan, masalah seksual, masalah akhlak dan lain-lain lagi. Akibat daripada itu, pasangan akan merajuk dan tidak memberi perhatian antara satu sama lain.
Kedua: Terlalu Penat Bekerja
Oleh kerana keadaan kewangan keluarga mendesak di samping kehendak sosial yang berlebihan, suami dan isteri berkerja keras untuk menambah pendapatan sehingga tidak mengira waktu siang atau malam.
Akibat keletihan akhirnya pasangan tidak begitu kisah jika tidur berasingan kerana faham masing-masing penat dan letih. Contohnya suami sering pulang lewat malam sedangkan isteri telah tidur terlebih awal.
Suami menonton televisyen sehingga tertidur di ruang menonton. Kesan daripada rutin tersebut boleh menyebabkan pasangan tidak kisah tidur berasingan kerana selesa tidur tanpa diganggu.
Ketiga: Inginkan Privasi
Ia bergantung kepada cara hidup yang diamalkan oleh pasangan. Pasangan yang terdidik sebelum berkahwin mempunyai ruang privasi boleh menjadi salah satu punca tidur berasingan.
Ini kerana mereka telah selesa mempunyai bilik sendiri, cara tersendiri dan meluangkan masa di bilik sendiri walaupun hubungan suami isteri masih tetap berjalan seperti biasa.
Keempat: Suami Atau Isteri Ada Penyakit
Isu penyakit juga boleh jadi salah satu sebab terutamanya suami atau isteri mengalami penyakit penyakit berjangkit, penyakit fizikal (contoh kes suami pernah mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan sakit pinggang, isteri pula tidur lasak sehingga banyak kali tertendang pinggang suami) serta penyakit berkaitan psikologi (perangai dan tingkah laku) dan penyakit psikiatri (emosi dan perasaan).
Isteri Pilih Tidur Dengan Anak Kerana:
*Isteri telah merajuk dengan suami kerana berselisih faham
*Isteri telah terbiasa tidur dengan anak sejak melahirkan anak
*Isteri telah berasa risau dengan keperluan anak di tengah malam (anak mahu susu, mahu buang air kecil, anak demam, dan sebagainya)
*Isteri telah menunaikan permintaan anak untuk tidur bersama kerana berasa takut tidur berseorangan
Fakta Ini Memang Mengejutkan
Menurut Ustazah Maryam, “Belum ada statistik spesifik kepada kes berpisah ranjang. Namun kebiasaanya pasangan yang berpisah ranjang adalah disebabkan konflik rumah tangga yang bermula daripada masalah akhlak yang buruk.”
Berdasarkan statistik Aduan Kekeluargaan di Jabatan Agama Islam Selangor, masalah tertinggi pada tahun 2016 ialah Masalah Akhlak iaitu sebanyak 19,255 aduan.
ADA SEBANYAK 42 JENIS ADUAN DALAM MASALAH AKHLAK DAN YANG PALING TINGGI IALAH SUKA MENYAKITI HATI PASANGAN IAITU SEBANYAK 1,192 ADUAN MENGENAINYA DALAM TAHUN TERSEBUT.
Manakala pada tahun 2017, Masalah Akhlak juga merupakan tertinggi daripada 10 jenis aduan (Masalah Tidak Bertanggungjawab, Masalah Kurang Penghayatan Agama, Masalah Campur Tangan Pihak Ketiga, Masalah Perbezaan Latar Belakang, Masalah Seksual, Masalah Ekonomi, Masalah Komunikasi, Masalah Kerjaya, Masalah Kesihatan dan Masalah Akhlak).
Masalah akhlak mencatatkan jumlah sebanyak 15,440 dan suka menyakiti hati pasangan merupakan aduan tertinggi iaitu sebanyak 973 aduan.
Wah enaknya, Ayam Rendang Terangkat, Rasa Melekat. Beberapa hari saja umat Islam akan menyambut Syawal. Istimewa hari ini, Mak Empal Masak Apa Hari Ini?...