Suami Bila Bantu Bereskan Kerja Rumah, Isteri Bahagia, Hati Berbunga-bunga
Suami kalau nak menggembirakan hati isteri, tak perlu pun beri hadiah yang mahal-mahal. Cukup sekadar anda bantu isteri ringankan tugas-tugasnya di rumah. Isteri sendiri tahu kemampuan suami mereka jadi tidak pernah meminta lebih daripada yang termampu.
Alangkah bahagia dan berbunganya hati seorang isteri apabila tugas-tugas di dapur di bereskan oleh si suami. Terasa macam nak lompat bintang.
Ketahuilah wahai para suami, dengan sedikit kudrat yang anda sumbangkan mampu membuatkan si isteri tidur dengan hati berbunga-bunga.
Berikut perkongsian daripada Abdul Muiez Mohammad Ruslee yang merupakan seorang guru, penulis, penyampai Didik TV KPM, Youtuber dan motivator.
Jam 11 malam saya akan segera menutup laptop. Cepat-cepat masuk ke dapur untuk membereskan sinki. Benda wajib yang saya perlu basuh setiap hari ialah, bekas makanan. Ada 7 semuanya termasuk bekal isteri.
Selesai di dapur, saya bersihkan ruang tamu. Kalau bersepah, saya kemas dan kalau perlu vakum saya akan buat.
Kemudian, saya akan keringkan baju yang dibasuh menggunakan dryer. Bila pakai baju sukan, ya memang tak perlu digosok tapi perlu dibasuh.
Kasihan saya melihat dia. Jam 9 lebih, dia sudah masuk tidur. Bangun sebelum jam 5. Masak apa yang patut untuk dibuat bekal anak-anak dan sediakan sarapan.
Setakat ini, tak pernah lagi anak-anak tidak bersarapan sebelum ke sekolah.
Kemudian, sediakan baju untuk semua. Baju sekolah pagi, sekolah petang semua dah disusun dan dimasukkan dalam beg masing-masing. Anak-anak hanya perlu angkat dan masukkan dalam kereta.
Pakaian dalam dryer dikeluarkan, dan dilipat jika perlu. Kalau ada yang perlu digosok seperti tudung anak, dia akan buat. Sekitar jam 5.45 pagi, kami dikerah untuk bangun.
Setiap orang sudah tahu giliran mandi. Habis mandi, pakaian sudah siap tersedia. Termasuklah pakaian saya. Dan begitulah rutinnya setiap hari.
Saya bukanlah suami yang mahu dilihat baik bila membantu isteri. Tidak. Tapi, kalau begitu rutinnya, tegarkah saya pura-pura tidur untuk tidak membuat apa-apa kerja? Tak tergamak weh.
Tak bolehkah bagi duit belanja dekat anak? Perlu ke masakkan bekal? Kami dah buat kira-kira. Kalau tak bawa bekal belanja sekolah mereka bertiga boleh mencecah 400 sebulan.
Kadang-kadang dia merungut juga. Selalu saya tulis pasal diri dia di Facebook. Malu. Macamlah orang lain tak buat.
Saya jawab mudah saja. “Kalau tak suami sendiri yang tulis mengenai isteri, siapa lagi?”
Tak ada doa paling tinggi yang saya minta dekat Allah, melainkan masukkan isteri saya ke dalam syurga. Begitulah.
Sumber: Abdul Muiez Mohammad Ruslee