Suami Baru Belanja Anak Bini, Tiba-tiba Rezeki Masuk!

Share

Sungguh, kalau ikhlas belanja isteri mesti rezeki yang luar biasa akan Allah kirimkan. Ini berlaku dalam situasi seorang lelaki berstatus ayah, saudara Ahmad Affzan Abdullah, yang mana dia sendiri pun tak sangka dapat rezeki berganda selepas belanja anak-anak dan isterinya.

Belanja Isteri Dan Anak

Satu malam, aku bawa keluarga pergi makan di kedai. Biasanya begitulah bila aku dapat tempahan khat. Beri duit pada Mak dan belanja anak isteri. Maklumlah, aku bukannya bergaji tetap.

Sedang kami membelek menu, anak aku tiba-tiba nak order set yang agak mahal.

“Kita pilih yang lainlah ya. Itu mahallah. Yang lain pun sedap juga,” kata isteri aku memujuk.

Beliau isteri yang baik, selalu menjaga situasi ekonomi kami sekeluarga. Sentiasa urus bajet.

Aku fikir, tak mengapalah. Untuk anak isteri makan ini, aku tak berkira sangat. Aku yakin setiap yang kita nafkahkan, pasti Tuhan akan bagi ganjaran.

“Dia nak yang mana?” aku tanya.

Isteri aku menunjukkan gambar set makanan yang anak aku suka itu.

“Tak apalah. Order je. Sekali sekala.”

Sukalah anak aku dapat makanan yang dia nak. Kami pun makan dengan girang.

Esok pagi, aku dapat mesej Whatsapp.

“Zan, akak nak order khat sempena birthday suami akak.”

Alhamdulillah, aku pun cepat-cepat balas.

“Nak saiz berapa besar kak? Biasanya kalau di rumah, saiz 3×2 kaki dah ok.”

Selepas buat congakan (agaknya), pelanggan tadi bersetuju untuk tempah saiz 3×3 kaki.

“Ok, nanti kejap lagi akak bank-in duit.”

Tiba-tiba malam itu, beliau mesej lagi.

“Zan, tak jadilah saiz 3×3. Suami akak nak saiz 4×3 kaki pula. Berapa harganya tu?”

Wah, tambah saiz. Pucuk dicita ulam mendatang. Aku pun bagi harga pada beliau. Nampaknya beliau pun macam dah setuju.

Syukur, aku cadang saiz kecil, pelanggan nak yang lebih besar. Jarang juga jumpa begini. Selalunya memang aku cadangkan yang kecil sebab takut pelanggan ada bajet yang terhad.

Malam itu, beliau masukkan deposit ke dalam akaun aku. Alhamdulillah, lega rasanya bila dapat satu lagi tempahan. Macam kau lega dapat gaji bulan-bulan.

Esok pagi, pada pukul 8.27, aku dapat mesej.

“Zan, sorry sorry. Tukar saiz lagi. Kali ni last. Nak saiz 5×4, melintang,” pelanggan yang sama menghantar mesej buat kesekian kalinya.

“Abang akak kata alang-alang, nak saiz besar terus. Rezeki anak bini awak, Zan.”

Allahu.

Aku teringat set makan yang anak aku suka tempoh hari. Teringat belanja keluarga makan-makan di luar.

Sedikit saja aku korbankan demi kegembiraan anak-anak dan isteri, Tuhan beri balasan dalam bentuk ini. Daripada saiz 3×2 kaki asalnya, pelanggan terus ‘upgrade’ ke saiz 5×4 kaki.

Jangan Berkira Dengan Anak Bini

Kawan-kawan,

Kita ini kadang-kadang terlupa. Untuk diri sendiri, untuk jamu kawan-kawan sekolah, boleh saja kita berbelanja lebih dari biasa.

Tiap malam main futsal, beli PS4, beli rokok, beli gajet, beli segala peralatan untuk hobi kita. Semuanya boleh.

Namun isteri dan anak-anak, makan ala kadar sahaja. Itu pun bercatu.

Berkira.

Anak nak makan sedap sikit, kita kata jangan membazir. Cari ikan yang paling murah di pasar. Jimat.

Isteri pakai baju yang 10 tahun sudah pun, kita tak mahu tukar baru. Katanya, orang lelaki pakai baju tak tukar-tukar pun, okey saja.

Ya, selalunya dengan isteri dan anak-anak, kita selalu bagi alasan berjimat. Kalau dengan orang lain, boleh pula berbelanja.

Prioriti. Kadang-kadang kita lupa yang mana perlu didahulukan.

Aku tidak kata, setiap hari kena belanja anak isteri makan sedap-sedap atau beli baju banyak-banyak. Tidak. Ikut kemampuan masing-masinglah.

Aku pun bukan selalu makan di luar. Waktu dapat projek besar atau tempahan khat lebih sikit, aku kongsilah kegembiraan itu dengan keluarga.

Bila ‘sejuk’, duduk di rumah makan apa yang ada juga. Waktu perlu berjimat, aku berjimatlah. Jangan pula ada duit, tapi gaya kau ikat perut itu sampai menyiksa keluarga.

Aku juga tidak maksudkan supaya kau boros berbelanja. Asal anak kau nak mainan saja kau terus beli walaupun kau berhutang sana sini. Isteri kau nak gelang emas berkoyan-koyan pun kau sanggup pinjam duit dari along. Ini sudah silap.

Yang aku maksudkan ialah jangan berkira untuk keperluan asas mereka. Makan, minum, selesa tempat tinggal, pendidikan, pakaian, beli ubat. Kalau ada duit lebih, guna untuk keperluan mereka dahulu berbanding orang lain.

Betulkan Mentaliti Dulu

Kemudian kau kena betulkan juga mentaliti. Belanja anak isteri ini bukan tips untuk jadi kaya. Apa yang Tuhan beri balik pada kau, itulah yang terbaik. Niatkan untuk dapat pahala dan reda Tuhan. Mungkin Tuhan tidak balas dengan duit, tapi balas dengan rezeki lain.

Aku cerita ini sebagai contoh yang kau mudah nampak, supaya kita semua sedar yang Tuhan itu Maha Kaya. Dia boleh beri rezeki dari jalan yang tak terduga dan dalam apa jua bentuk sekalipun.

Yang penting jangan berkira dengan ahli keluarga. Dahulukan mereka, insya-Allah banyak ganjaran yang Tuhan akan beri sebagai ganti.

“Dan apa pun yang engkau nafkahkan maka itu dianggap sebagai sedekah bagimu hingga kepada suapan yang engkau berikan ke mulut isterimu.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)

“Tidaklah engkau menafkahkan satu nafkah yang dengannya engkau mengharap wajah Allah kecuali engkau akan diberi pahala dengannya hingga kepada satu suapan yang engkau berikan ke mulut isterimu.” (Hadith riwayat Muslim).

Published by
Nadia