Sungguh, kalau ikhlas belanja isteri mesti rezeki yang luar biasa akan Allah kirimkan. Ini berlaku dalam situasi seorang lelaki berstatus ayah, saudara Ahmad Affzan Abdullah, yang mana dia sendiri pun tak sangka dapat rezeki berganda selepas belanja anak-anak dan isterinya.
Belanja Isteri Dan Anak
Satu malam, aku bawa keluarga pergi makan di kedai. Biasanya begitulah bila aku dapat tempahan khat. Beri duit pada Mak dan belanja anak isteri. Maklumlah, aku bukannya bergaji tetap.
Sedang kami membelek menu, anak aku tiba-tiba nak order set yang agak mahal.
“Kita pilih yang lainlah ya. Itu mahallah. Yang lain pun sedap juga,” kata isteri aku memujuk.
Beliau isteri yang baik, selalu menjaga situasi ekonomi kami sekeluarga. Sentiasa urus bajet.
Aku fikir, tak mengapalah. Untuk anak isteri makan ini, aku tak berkira sangat. Aku yakin setiap yang kita nafkahkan, pasti Tuhan akan bagi ganjaran.
“Dia nak yang mana?” aku tanya.
Isteri aku menunjukkan gambar set makanan yang anak aku suka itu.
“Tak apalah. Order je. Sekali sekala.”
Sukalah anak aku dapat makanan yang dia nak. Kami pun makan dengan girang.
Esok pagi, aku dapat mesej Whatsapp.
“Zan, akak nak order khat sempena birthday suami akak.”
Alhamdulillah, aku pun cepat-cepat balas.
“Nak saiz berapa besar kak? Biasanya kalau di rumah, saiz 3×2 kaki dah ok.”
Ads
Selepas buat congakan (agaknya), pelanggan tadi bersetuju untuk tempah saiz 3×3 kaki.
“Ok, nanti kejap lagi akak bank-in duit.”
Tiba-tiba malam itu, beliau mesej lagi.
“Zan, tak jadilah saiz 3×3. Suami akak nak saiz 4×3 kaki pula. Berapa harganya tu?”
Wah, tambah saiz. Pucuk dicita ulam mendatang. Aku pun bagi harga pada beliau. Nampaknya beliau pun macam dah setuju.
Syukur, aku cadang saiz kecil, pelanggan nak yang lebih besar. Jarang juga jumpa begini. Selalunya memang aku cadangkan yang kecil sebab takut pelanggan ada bajet yang terhad.
Malam itu, beliau masukkan deposit ke dalam akaun aku. Alhamdulillah, lega rasanya bila dapat satu lagi tempahan. Macam kau lega dapat gaji bulan-bulan.
Esok pagi, pada pukul 8.27, aku dapat mesej.
“Zan, sorry sorry. Tukar saiz lagi. Kali ni last. Nak saiz 5×4, melintang,” pelanggan yang sama menghantar mesej buat kesekian kalinya.
Ads
“Abang akak kata alang-alang, nak saiz besar terus. Rezeki anak bini awak, Zan.”
Allahu.
Aku teringat set makan yang anak aku suka tempoh hari. Teringat belanja keluarga makan-makan di luar.
Sedikit saja aku korbankan demi kegembiraan anak-anak dan isteri, Tuhan beri balasan dalam bentuk ini. Daripada saiz 3×2 kaki asalnya, pelanggan terus ‘upgrade’ ke saiz 5×4 kaki.
Jangan Berkira Dengan Anak Bini
Kawan-kawan,
Kita ini kadang-kadang terlupa. Untuk diri sendiri, untuk jamu kawan-kawan sekolah, boleh saja kita berbelanja lebih dari biasa.
Tiap malam main futsal, beli PS4, beli rokok, beli gajet, beli segala peralatan untuk hobi kita. Semuanya boleh.
Namun isteri dan anak-anak, makan ala kadar sahaja. Itu pun bercatu.
Berkira.
Ads
Anak nak makan sedap sikit, kita kata jangan membazir. Cari ikan yang paling murah di pasar. Jimat.
Isteri pakai baju yang 10 tahun sudah pun, kita tak mahu tukar baru. Katanya, orang lelaki pakai baju tak tukar-tukar pun, okey saja.
Ya, selalunya dengan isteri dan anak-anak, kita selalu bagi alasan berjimat. Kalau dengan orang lain, boleh pula berbelanja.
Prioriti. Kadang-kadang kita lupa yang mana perlu didahulukan.
Aku tidak kata, setiap hari kena belanja anak isteri makan sedap-sedap atau beli baju banyak-banyak. Tidak. Ikut kemampuan masing-masinglah.
Aku pun bukan selalu makan di luar. Waktu dapat projek besar atau tempahan khat lebih sikit, aku kongsilah kegembiraan itu dengan keluarga.
Bila ‘sejuk’, duduk di rumah makan apa yang ada juga. Waktu perlu berjimat, aku berjimatlah. Jangan pula ada duit, tapi gaya kau ikat perut itu sampai menyiksa keluarga.
Aku juga tidak maksudkan supaya kau boros berbelanja. Asal anak kau nak mainan saja kau terus beli walaupun kau berhutang sana sini. Isteri kau nak gelang emas berkoyan-koyan pun kau sanggup pinjam duit dari along. Ini sudah silap.
Yang aku maksudkan ialah jangan berkira untuk keperluan asas mereka. Makan, minum, selesa tempat tinggal, pendidikan, pakaian, beli ubat. Kalau ada duit lebih, guna untuk keperluan mereka dahulu berbanding orang lain.
Betulkan Mentaliti Dulu
Kemudian kau kena betulkan juga mentaliti. Belanja anak isteri ini bukan tips untuk jadi kaya. Apa yang Tuhan beri balik pada kau, itulah yang terbaik. Niatkan untuk dapat pahala dan reda Tuhan. Mungkin Tuhan tidak balas dengan duit, tapi balas dengan rezeki lain.
Aku cerita ini sebagai contoh yang kau mudah nampak, supaya kita semua sedar yang Tuhan itu Maha Kaya. Dia boleh beri rezeki dari jalan yang tak terduga dan dalam apa jua bentuk sekalipun.
Yang penting jangan berkira dengan ahli keluarga. Dahulukan mereka, insya-Allah banyak ganjaran yang Tuhan akan beri sebagai ganti.
“Dan apa pun yang engkau nafkahkan maka itu dianggap sebagai sedekah bagimu hingga kepada suapan yang engkau berikan ke mulut isterimu.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)
“Tidaklah engkau menafkahkan satu nafkah yang dengannya engkau mengharap wajah Allah kecuali engkau akan diberi pahala dengannya hingga kepada satu suapan yang engkau berikan ke mulut isterimu.” (Hadith riwayat Muslim).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mendidik anak-anak membiasakan mereka menjadi muslimah sejati dengan menutup aurat sejak dari kecil tidak salah. Namun paling penting, kefahaman mereka mengenai pelaksanaan kewajipan menutup aurat dan memakai tudung ini haruslah diterapkan terlebih dahulu.
Selebriti Media Sosial, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali Farah Lee,32 ada berkongsi pendapat mengenai didikan aurat dan pemakaian tudung pada anaknya Maream Esabel, 7. Malah, bekas isteri Ally Iskandar,45 ini juga mengakui dirinya pernah beberapa kali dikecam kerana memiliki prinsip yang berbeza berkaitan hal ini.
Berikut perkongsian tersebut;
Banyak kali aku dikecam, katanya anak umur Maream patut dah diajar untuk pakai tudung. Perlu didik dari kecil kata mereka, “Kalau anak taknak, kena paksa”.
Aku pula, pegang pada prinsip sedikit beda. Mengajar Islam pada kanak-kanak ada turutannya, ikut Baginda;
1. Emosi
2. Kepercayaan
3. Akidah
4. Ibadah
Bukan Kerana Paksaan, Ikutan
Cuma ramai kita, melompat terus ke empat; mengajar syariat tanpa anak itu faham asasnya, tanpa mengerti apa maksudnya, masih bingung kenapa dibuatnya.
Buat kerana tidak faham, buat kerana paksaan, buat kerana ikutan — ia dibuat tapi biasanya tidak kekal. Mujahadah.? Haha. Konsep itu untuk kita, terlalu awal untuk mereka sama sekali.
Maream, budak enam tahun yang masih belum bertudung itu, pantang melihat aku jengah sekejap ke balkoni tanpa tudung pasti dijeritnya, “Ommaaaa.. tudunggg”.
Kadang aku pakai tudung dan baju lengan pendek (sebelum kenakan cardigan), datanglah budak ini sambil “Omma, I still can see your aurat (sambil tujukan pada lengan aku)”.
Bila aku sekadar pakai tudung sarung tanpa anak tudung, pasti matanya fokus kepada anak rambut aku, “Omma, I can see your hair, I think you need your inner”.
Jika aku keluar tanpa bertudung di hadapan lelaki mahram, dia akan terkejut lalu datang dan berbisik “Omma, kenapa tak pakai tudung? Boleh ke kita tak pakai tudung depan uncle kita?”
Waktu kawan perempuan datang ke rumah, “Why aren’t you wearing your socks.?”
Begitulah, my ‘aurat’-guard.
Sekarang, ya budak enam tahun ini masih tidak bertudung, tapi perlahan-lahan semakin segan mengenakan baju tanpa lengan ataupun seluar singkat – tanpa pernah disuruh apatah dipaksa.
Selamat Hari Hijab Sedunia.
Moga kita semua faham erti aurat dan hijab itu apa
MW:Ada benarnya, setuju dengan apa yang Farah Lee ini kongsikan. Anak-anak kecil bukanlah satu kewajipan bagi mereka untuk menutup aurat dan memakai tudung. Sebaiknya biarlah mereka benar-benar faham tentang tuntutan agama terlebih dahulu sejak dari kecil bukan kerana dipaksa mahupun sekadar ikut-ikutan.
Penyondol tak semestinya muda, usia bukan halangan jadi perosak rumah tangga. Dalam masyarakat hari ini, istilah “penyondol” semakin menjadi bualan hangat, terutamanya di media sosial. Istilah ini sering digunakan untuk merujuk kepada individu yang menjadi perampas dalam hubungan orang lain.
Penyondol Tak Semestinya Muda
Walaupun stereotaip sering mengaitkan penyondol dengan individu muda dan menarik, hakikatnya penyondol tidak semestinya muda. Ada juga individu berusia yang terlibat dalam situasi seperti ini, dan fenomena ini memerlukan perhatian lebih mendalam.
Usia Bukan ‘Halangan’ Jadi Perosak Rumah Tangga
Fenomena penyondol berusia bukanlah sesuatu yang asing, tetapi jarang dibincangkan secara terbuka. Mereka mungkin golongan yang sudah matang dan mempunyai pengalaman hidup yang luas.
Keinginan mereka untuk menjadi “penyondol” boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk emosi yang tidak stabil, masalah kewangan, atau keinginan untuk mencari keselesaan emosi yang dirasakan kurang dalam hidup mereka.
Kadangkala, golongan ini terlibat dalam hubungan dengan individu yang lebih muda daripada mereka. Hal ini sering kali dipengaruhi oleh faktor seperti keyakinan diri mereka yang tinggi, daya tarikan intelek, atau kemampuan kewangan yang lebih kukuh.
Faktor Penyumbang
Kesepian dan Kekurangan Perhatian
Sesetengah individu berusia mungkin merasa kesepian akibat perkahwinan yang gagal atau kehilangan pasangan hidup. Situasi ini menyebabkan mereka mencari kebahagiaan dan perhatian dari hubungan baru, walaupun ia melibatkan orang yang sudah berpasangan.
Kekuatan Ekonomi
Ada juga kes di mana penyondol berusia menggunakan kestabilan kewangan mereka untuk menarik perhatian pasangan yang mereka ingini. Dalam keadaan tertentu, daya tarikan material menjadi alat yang efektif bagi mereka.
Krisis Usia Pertengahan (Midlife Crisis)
Pada usia tertentu, sesetengah individu menghadapi krisis identiti dan emosi. Ini boleh membawa kepada keputusan impulsif untuk mencari semula cinta atau kegembiraan dengan cara yang tidak disangka-sangka, termasuk menjadi penyondol.
Impak Terhadap Hubungan
Kehadiran penyondol, tanpa mengira usia, pastinya memberi kesan negatif terhadap hubungan sedia ada. Pasangan yang menjadi mangsa akan mengalami kekecewaan, rasa terkhianati, dan kesakitan emosi yang mendalam.
Dalam konteks keluarga, ia boleh merosakkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa, menjejaskan kepercayaan, dan meninggalkan luka yang sukar untuk sembuh.
Untuk menangani isu ini, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang nilai kesetiaan dan hormat dalam hubungan. Pendidikan mengenai pentingnya menghormati batasan dalam hubungan orang lain perlu diterapkan dalam masyarakat, tanpa mengira usia.
Individu juga harus diajar untuk menghargai hubungan yang mereka miliki dan menangani masalah peribadi mereka dengan cara yang matang tanpa merosakkan kehidupan orang lain.
Penyondol tidak mengenal usia. Sama ada muda atau berusia, tindakan menjadi penyondol bukan sahaja mencerminkan kelemahan peribadi tetapi juga merosakkan keharmonian sosial.
Sebagai masyarakat, kita perlu menanamkan nilai-nilai kesetiaan, hormat, dan tanggungjawab dalam setiap hubungan untuk memastikan kesejahteraan emosi dan sosial kekal terpelihara.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Kita pernah bercinta. Kita pernah melalui jatuh bangun dalam bercinta. Mencari cinta abadi itu adalah menjadi cita-cita. Untuk mengekalkannya, kita pulangkan semuanya semula kepada Allah.
“Selama perjalanan jatuh bangun bercinta itu, akhirnya cinta pada Allah itu sahajalah yang mampu memberi semangat untuk kita mencari cinta yang sebenar.
“Alhamdulillah, Allah telah kurniakan (cinta abadi) saya,” ujar Puan Sri Normala Samsudin,56, mengupas topik Mencari Rahsia Cinta Abadi yang menjadi perbincangan dalam program Mingguan Wanita Talkshow di Astro Prima 105.
Setelah bertemu cinta abadi, isteri kepada Tan Sri Azmi Khalid ini berpendapat untuk mengekalkannya memerlukan diri seseorang itu melakukan banyak perkara.
“Untuk mengekalkan cinta itu, pada peringkat pertama memerlukan usaha-usaha seperti contohnya kita perlu berubah.
“Pada permulaan awalnya sebagai seorang selebriti, kita hidup dalam dunia selebriti. Apabila kita berubah menjadi seorang isteri, niat saya ketika mula-mula jadi seorang isteri adalah berniat untuk jadi isteri yang solehah dan isteri yang baik.
“Saya juga mahu menjadi isteri yang patuh dan menurut pada suami. Alhamdulillah saya dapat apa yang saya impikan dan apa yang saya niatkan itu.
“Untuk mengekalkannya, saya pulang semula kepada Allah. Kita boleh merancang. Kita boleh bercita-cita macam-macam. Tetapi akhirnya kita akan berserah pada Allah juga.”
Pengajaran Daripada Perkahwinan Terdahulu
Perkahwinan terdahulu memberi pengalaman dan pengajaran dalam diri dalamnya.
“Kita pernah melalui usia muda. Waktu ini diri berada dalam keadaan tidak sabar dan tidak berkeruan dalam membuat sebarang keputusan.
“Kadang-kadang mungkin kita menyerah ini kepada takdir, bahawa setiap manusia itu ada kekal dan ada tidak dalam perkahwinan.
“Saya sebenarnya melihat bahawa ini adalah suratan. Kita perlu akur dengan apa yang telah disuratkan kepada kita.
“Di samping itu, saya ingatkan kembali di mana kita perlu pandai mengawal perasaan terutamanya jika diri seorang selebriti. Perubahan selepas menjadi seorang isteri itu amat penting.”
Nasihatnya lagi, jika sesuatu musibah itu berlaku pada diri, kita perlu melihat di mana kelemahan dan kesilapan diri kita sendiri. Pada masa yang sama kita perlu melihat apa yang perlu dilakukan kalau perpisahan itu berlaku.
“Kadang-kadang itu adalah takdir Allah yang mahu menguji kita. Adakah kita kuat dengan ujian itu. Saya memang menyerah semula kepada Allah. Kita mohon dan berdoa pada Allah kerana agar kita diberi cara untuk mengatasi kelemahan ini.”
Ini Cara Puan Sri Normala Pupuk Keharmonian Rumah Tangga
kredit Instagram @normalasamsudinofficial
Cara Puan Sri Normala ini patut dijadikan sebagai panduan buat pasangan suami-isteri di luar sana.
Ujar Puan Sri Normala, seseorang isteri itu boleh merancang dalam rumah tangga dan mengikut sahaja apa yang disukai suami.
“Tetapi yang paling penting dalam rumah tangga adalah sifat kejujuran dan berterus-terang dengan suami. Walau kita hendak ke mana-mana sahaja, perlu beritahu suami. Walau suami tidak pernah bertanya, seseorang isteri itu perlu beritahu suaminya.”
Jelasnya, perkara remeh dan dianggap kecil ini sebenarnya amat penting dalam rumah tangga.
Dalam usia yang sudah matang juga, beliau akuinya kurang sensitif jika dibandingkan ketika usia muda.
“Saya tidak kisah jika suami tidak ingat birthday atau anniversary. Kita kena positifkan diri. Apa yang penting adalah hubungan erat bukannya anniversary dan birthday.
Kita kena rendahkan sikit keinginan kepada sesuatu. Apabila dia lupa, maafkan dia. Tolak ansur itu penting.”
Ingin mengikuti kupasan topik Mencari Rahsia Cinta Abadi ini, bolehlah mengikuti siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow pada pukul 8.00 malam di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD 121.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!