Masa PKP, inilah masa terbaik untuk anak-anak manja ibu dok berkepit dengan mak kesayangan. Kalau tak hanya hujung minggu dapat berjumpa. Itu pun kalau rumah dekat, kalau kerja di bandar, telefon sahaja penghubungnya.
Isteri? Diabaikan dan rimas dengan sifat mengada-ada suami bila ada mak kesayangan di sebelah. Ini ulasan oleh Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat apabila bercakap tentang suami anak manja mak.
Tanggungjawab Anak
Dilema berkahwin dengan suami yang begitu manja dengan ibu. Semasa bercinta, isteri sudah nampak sikapnya yang begitu mengambil berat tentang ibunya. Tetapi, tidaklah terlalu ketara. Anggapan sudah tentu itu tanggungjawab anak pada ibunya.
Namun, selepas berkahwin barulah tahu suaminya itu terlalu manja, hinggakan tiap kali balik ke rumah, mesti suaminya berada di bawah ketiak ibunya. Kadang-kadang, isteri seperti diabaikan dan tidak sedar tentang kehadirannya. Bagaimanakah cara untuk isteri menghadapi situasi ini?
Keadaan suami masih tidak boleh melepaskan dirinya dari bergantung dengan ibu sendiri boleh dikategorikan sebagai mempunyai sindrom Seperation Anxiety Disorder iaitu sindrom anak kecil yang tidak boleh dipisahkan atau takut dipisahkan disebabkan apa yang dia ada dan selesa memilikinya. Keadaan begini akan dilihat juga sebagai Oedipus complex dari segi Theory Sigmund Freud di mana anak itu ingin mengambil tempat bapanya terhadap ibunya sendiri. Kesilapan anak manja ini juga ada kalanya bukanlah salah dirinya sendiri tetapi salah ibu nya juga yang kelihatan tidak mahu melepaskan anaknya untuk diuruskan oleh orang lain, iaitu isterinya.
Kenali Suami Anak Manja Melalui Sikap:
- Setiap perbualan dan keputusan memerlukan tindakan atau penglibatan ibu dan semua keputusan adalah keputusan ibu.
- Setiap masa yang terluang dia akan pulang ke pangkuan ibunya.
- Suami akan mengadu hal apa yang berlaku kepada ibu walaupun ianya hanya perkara kecil.
- Suami akan sering buat perbandingan isteri dengan ibunya dan ibunya adalah yang terbaik baginya dalam apa saja perkara.
- Setiap kali memuji kehebatan ibunya daripada layanan sehinggalah ke masakan dan penjagaan.
- Sering kali mencari ibu nya di dalam semua perkara.
- Menghabiskan masa yang agak lama dengan ibunya.
- Setiap kali gaji dan perbelanjaan rumah akan ditadbirkan oleh ibunya sendiri
Nasihat Terbaik Untuk Suami Dan Isteri
BUAT SUAMI:
- Setiap keputusan, hendaklah berbincang dengan isteri dan bukan dengan ibu. Berenggang dengan ibu bukan bererti berpisah. Ianya bererti menjalankan hidup berkeluarga sendiri. Cara begini si suami dapat menjaga perasaan isteri dan mentadbir keluarganya.
- Si suami perlu juga menjaga perasaan ibu mereka dengan mengatakan bahawa sesuatu keputusan itu adalah keputusan keluarga dan bukan keputusan dirinya sendiri.
- Elakkan daripada melibatkan ibunya dalam kebanyakkan perancangan dan percaturan hidup. Ianya adalah sekadar memberitahu ibunya sahaja.
BUAT ISTERI:
- Perlu banyak bersabar dan hendaklah sering berkomunikasi. Walaupun ianya menyakitkan hati, isteri hendaklah mendorong dan mengingatkan suami bahawa dia telah berkeluarga dan dah tiba masanya untuk suami membuat keputusan sendiri bersama keluarga.
- Jika boleh, si isteri hendaklah menjadi rakan baik ibu mentuanya dan berkongsi perasaannya terhadap suami. Nasihat yang akan diberi kepada isteri adalah nasihat yang sama yang akan di beri pada suami oleh ibunya.
- Isteri tidak boleh memisahkan perasaan anak terhadap ibunya tetapi boleh menggunakan ibu mentuanya sebagai perantaraan.
Cara begini adalah lebih senang dari memusuhi ibu mentua. Isteri pula setiap masa tidak boleh memburuk buruk kan ibu mertuanya di depan suami kerana suami akan bertindak membenci isteri sekiranya ia berlaku. Isteri perlu menggunakan teknik conditioning and dissociate
Kesimpulan:
- Seorang suami, perlu mendahulukan isteri dan berbincang untuk keputusan dan persetujuan isteri.
- Suami tidak boleh membandingkan ibu dengan isterinya sendiri dalam apa jua keadaan termasuk masakan dan layanan.
- Suami harus tahu membezakan antara isteri dan ibu dan kurangkan mengadu hal isteri kepada ibunya.