Pernah tak anda mengalami situasi di mana si kecil terbangun tatkala jam menunjukkan pukul 3 atau 4 pagi. Alahai anak mengantuknya ibu, sudahlah tidur agak lewat tadi kerana menguruskan hal rumahtangga yang lain. Keadaan ini biasanya dialami oleh ibu yang mempunyai anak kecil berusia satu hingga dua tahun. Bagi kanak-kanak pada usia sebegini, siang atau malam tiada bezanya.
Malah bukan sesuatu yang pelik jika si kecil anda tidak mahu tidur dan asyik bermain sehingga lewat tengah malam, kemudian esoknya bangun sebelum subuh dan mengajak anda berbual dan bermain-main dengan mereka. Berikut beberapa cara untuk anda dapatkan semula rutin tidur yang sepatutnya buat si kecil anda yang suka berjaga malam.
- Buat jadual dan jadikan ia sebagai rutin. Hal ini sangat membantu anak anda untuk mengenal dan membiasakan diri dengan konsep waktu. Mulakan rutin harian si kecil anda dengan sarapan pada waktu yang sama setiap hari sehiggalah waktu mereka tidur pada waktu malam. Lama-kelamaan mereka akan terbiasa dan rutin tersebut akan membantu mereka untuk tidur tepat pada waktunya.
- Sediakan aktiviti ringan di malam hari seperti bercerita atau membaca buku cerita bersamanya. Cara ini bertujuan untuk merangsang badan anak menjadi lebih tenang dan bersedia untuk tidur pada waktu malam. Anak yang kurang aktif pada waktu siang akan cenderung untuk aktif pada waktu malam. Aktiviti ringan boleh mengajar mereka untuk mengenali perbezaan waktu siang dan malam.
- Siapkan perancangan untuk hari esok. Ketika berbual dengan si kecil sebelum waktu tidur, sebaiknya anda bercerita tentang perancangan untuk mereka pada keesokkan hari. Misalnya, “Esok kita nak buat apa ya? Bangun tidur sayang minum susu lepas tu mandi ya,” dan seterusnya. Jika perlu gunakan gambar agar mereka dapat gambaran apa yang bakal dilalui esk hari.
- Hadkan tidur siang anak. Membataskan waktu tidur siang anak mungkin dapat membantu si kecil untuk tidur lebih nyenyak pada waktu malam. Dengan cara tersebut juga dapat mengajar mereka membezakan tidur siang dan malam. Dua hingga tiga jam tidur pada waktu Siang sudah memadai buat si kecil anda.
- Perkenalkan waktu siang dan malam kepada si kecil dengan cara daripada cerita kartun kegemaran mereka dan daripada buku-buku cerita yang anda bacakan. Pada waktu Siang ajak si kecil melihat awan dan burung-burung, waktu malam pula tunjukkan mereka bintang dan bulan. Dengan cara tersebut mereka akan belajar tentang siang dan malam.
- Biasakan diri mereka dengan rutin yang tepat supaya si kecil tidak keliru dengan konsep yang anda cuba terapkan kepada mereka. Contohnya jika anda membiasakan tidur siang pada pukul 2 petang, sebaiknya kekal pada waktu tersebut dan elakkan waktu tidur tersasar dari jadual yang sepatutnya. Jika sering membuatkan mereka keliru, ia akan mengganggu pemahaman si kecil tentang soal waktu.