Stigma Masyarakat Jejas Bilangan Penderma Organ – DR HASDY HARON

Share

Mayat terseksa dan tidak menghormati jenazah antara stigma masyarakat yang menjadikan angka penderma organ di Malaysia masih kecil bilangannya. Mingguan Wanita Talkshow hari ini membincangkan topik mengenai Derma Organ. Dikendalikan oleh ppengacara Siti Elizad bergandingan dengan selebriti Ashraf Muslim mengupas isu taboo berkenaan pendermaan organ dan salah faham mengenainya. Turut di undang Dr Hasdy Haron dan selebriti Hafiz Hamidun, dua bersaudara iaitu Khairul Shazwan Taib dan adiknya Khairul Shazwali Taib yang terlibat dalam proses transplan buah pinggang berkongsi pandangan mengenai isu ini.

Menurut Dr Hasdy Haron, Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur (HKL) lagi koordinasi pendermaan organ di Malaysia dibahagikan kepada 3 peringkat (3-tier) iaitu koordinasi peringkat hospital, peringkat wilayah dan peringkat kebangsaan.

Satu lagi info menarik mengenai pendermaan organ, seorang penderma organ boleh menyelamatkan sehingga lapan nyawa. Ini berdasarkan organ yang berpotensi didermakan menerusi pemindahan termasuk ginjal, jantung, paru-paru, hati, usus kecil dan pankreas. Tisu pula meliputi mata, injap jantung, tulang, kulit, urat darah (vena) dan tendon.

Proses pendermaan bermula dari pengesanan penderma organ kadaverik (yang telah meninggal dunia) di wad, mendapatkan keizinan bertulis dari waris penderma, penilaian kesesuaian pendermaan, pembedahan pendermaan, pembungkusan organ, penghantaran ke pusat transplan dan akhirnya pembedahan pemindahan organ kepada penerima.

Setiap hospital boleh menjadi hospital penderma organ/ tisu, tetapi hanya beberapa hospital seluruh Malaysia mempunyai kemudahan dan kelengkapan sebagai hospital penerima (pusat transplan):
– Jantung, Injap Jantung dan Paru-paru di Institut Jantung Negara (IJN)
– Buah Pinggang di HKL dan Hospital Selayang
– Hati di Hospital Selayang
– Mata (Kornea) di Hospital Sungai Buloh
– Tulang pada masa kini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

Ustazah Isfadiah juga berkongsi komentar mengenai isu pendermaan organ. Menurutnya Islam tidak menghalang malah menggalakkan pendermaan organ ini. Jika ia bermanfaat kepada individu yang menerima dan membantu penerima untuk kembali sihat daripada penyakit yang dialami, contoh seperti sakit pada hati, buah pinggang dan memerlukan kornea baru daripada penderma. Mudah-mudahan si penderma akan berterusan menerima manfaat dan pahala berpanjangan selagi si penerima memelihara anugerah yang terbaik itu dan melakukan kebaikan.

Ulama telah mengeluarkan fatwa bahawa pemindahan organ manusia yang sudah mati kepada yang hidup yang memerlukannya adalah diharuskan dengan empat syarat:

  • Hendaklah orang yang diambil sebahagian anggotanya telah mengizinkannya sebelum matinya dan dia adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya sebelum kematiannya.
  • Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.
  • Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan lain.
  • Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Selebriti Hafiz Hamidun juga berkongsi cerita, mengenai tindakannya yang menyertai kempen organ sejak lima tahun lalu. Hafiz memaklumkan kepada keluarganya dia akan mendermakan kulit dan kornea kepada mereka yang memerlukan apabila dia sudah meninggal dunia nanti. Besarlah harapan keluarganya memahami dan menghormati keputusannya. Beliau juga mengajak rakyat Malaysia lebih peka dan prihatin dengan usaha menderma organ ini.

Selain itu dua bersaudara, Khairul Shazwan Taib dan adiknya Khairul Shazwali Taib berkongsi kisah mereka berkenaan pendermaan organ. Nak tahu kenapa Shazwan nekad memberikan salah satu organ pentingnya kepada Shazwali…tonton selanjutnya kisah penuh inspirasi mereka dalam Mingguan Wanita TalkShow malam ini.

Bagi yang terlepas wawancara ini, jangan lupa saksikan ulangannya jam 8 malam nanti di Astro Prima 105 dan Prima HD 121. Fahami salah faham yang menjadi isu taboo berkaitan pendermaan organ.

Published by
Mastura Burhanuddin