Setelah berpisah, mungkin ada pasangan yang telah sah bercerai ingin merujuk kembali atau menyambung hubungan yang telah terputus. Perkara ini kadang-kadang membuatkan wanita terutamanya keliru sama ada untuk menerima atau tidak bekas suami.
Sebelum membuat apa-apa keputusan, fikirkan dahulu sedalamnya. Jangan hanya bersandarkan kepada kasih sayang yang pernah bercambah sebelum ini. Sayang bekas suami biarlah berpada-pada, kalau dia mahukan kita, biarkan dia berusaha lebih untuk dapatkan kita semula.
“Silap saya juga… Saya terima dia semula sebab sayang…”
Tapi dia tidak berubah walaupun diterima semula… Now saya nekad, kali ni saya betul-betul hendak undurkan diri daripada hidup dia sebab dia tetap orang yang sama, yang tak boleh ditegur dan tak boleh dinasihatkan…
Dia tetap seorang yang ego…
Demikianlah luahan seorang pengadu… Bukan seorang dua yang menghadapi perkara yang sama, tapi ramai lagi di luar sana… sudah diterima semula, tapi perangai masih sama…
Ads
Selepas itu dia tanya saya, “Tak akan hendak berpisah lagi encik…”
Saya kata, siapa yang suka berpisah… Apatah lagi jika ianya untuk kali kedua dengan orang yang sama…
Namun apa pilihan yang ada? Kalau mampu makan hati berulam jantung hari-hari, maka silakanlah bertahan selagi mana kesabaran itu masih ada di hati…
Patut Terima Kembali Tak?
Datang pula pengadu kedua… Sudah berpisah, pasangannya pun sudah berkahwin lain… Tiba-tiba pasangannya bercerai dengan yang baru itu, nak berbalik kembali kepada dia… Dia tanya,
Ads
“Patut tak saya terima dia semula…?”
Jangan tanya saya patut atau tak, sebab jauh dalam lubuk hati dia, dia memang hendak terima semula… Selepas itu saya tanya, lamakah dia bercerai dengan pasangan baru dia itu?
“Baru saja, surat cerai pun belum keluar lagi…”
Ads
Dulu, habis madu, sepah dibuang… Now, sepah itu dicari balik untuk dikutip dan diperah sisa-sisa madu yang ada…
Hanya Memberi Nasihat
Saya tak buat keputusan untuk hidup siapa-siapa… Saya hanya akan nasihat, kalau sudah buntu, sudah tak boleh fikir, maka istikharah berkali-kali setiap malam hari… Banyak yang atas dasar sayanglah, pisang berbuah dua kali…
Kalau dia hendak awak semula, biar dia berusaha… Dia tak nak usaha, dia memaksa, dia mengugut, maka dia adalah orang yang sama yang menyebabkan perpisahan antara awak dan dia…
Sayang itu biarlah berpada-pada…
MW: Ingat tu wahai isteri, kalau bekas suami mahukan kita semula… Biarkan mereka berusaha lebih. Jika betul-betul ikhlas, pasti mereka berusaha sebaik mungkin untuk menambat hati wanita yang mereka sayang semula.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia 39 tahun, memiliki sepasang cahaya mata berusia 15 dan 13 tahun. Keduanya belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu. Saya dalam ketakutan kerana seorang lelaki.
Masa Untuk Anak-anak
Saya dan suami sama-sama bekerja swasta dan sibuk. Memandangkan anak-anak tinggal di asrama, jadi tak ada masalah untuk kami balik lewat atau kerja hujung minggu. Setiap tiga minggu kami akan terbang ke Terengganu menjenguk anak-anak.
Terus terang, dengan gaji saya dan suami, kami mampu hidup selesa. Alhamdulillah. Bercuti ke luar negara setahun sekali sudah jadi rutin kami. Itu juga perjanjian antara saya dan suami dengan anak-anak. Ketika ini kami akan luangkan masa untuk bersama mereka memandangkan kami tinggal berjauhan.
Teman Sepejabat
Namun, perkenalan saya dengan seorang pemuda, J, merubah kehidupan saya. Sebenarnya kami satu tempat kerja tapi berlainan jabatan. Sikap saya yang suka menolong yang membuatkan kami rapat. Saya pernah tumpangkan dia balik kerja bila keretanya rosak di parkir pejabat. Kebetulan saya balik lewat dan nampak dia yang sedang memeriksa enjin keretanya.
Dia rasa terhutang budi kerana saya sanggup menghantarnya pulang sedangkan rumah kami berbeza arah. Dia ingin belanja saya makan sebagai tanda ucapan terima kasih dan saya menerimanya. Saya pergi bukan berdua pun, ada teman lain menemani.
Selepas itu, pertemuan demi pertemuan terjadi tapi saya tiada apa-apa perasaan terhadapnya. Saya anggap dia seperti adik kerana dia lebih muda enam tahun daripada saya. Sering kali juga dia bercerita tentang isteri dan dua anaknya. Saya juga begitu.
Cuma daripada awal, dia tak pernah panggil saya ‘kakak’ walau pun saya membahasakan diri saya dengan panggilan itu. Katanya, tak perlu kerana saya nampak lebih muda daripadanya. Malah dia rasa lebih selesa begitu.
Pergi Bercuti Bersama Keluarga
Aidiladha lalu, saya sekeluarga bercuti ke luar negara dan sengaja saya ambil cuti lama kerana kebetulan anak-anak cuti sekolah. Di luar negara, saya tak terlalu berkepit dengan telefon dan hanya sesekali tengok handphone bila di hotel. Ada saya terima whatsapp daripada J yang bertanya bila saya akan balik dan saya beritahu bila tarikh dan masanya. Yang buat saya tak sedap hati bila dia cakap dia rindu saya..tapi tak ambil hati sangat.
Sampai di rumah barulah saya membaca macam-macam whatsapp termasuk daripada J. Saya terperanjat bila dia beritahu dia ada di airport tadi menanti ketibaan saya. Mulanya ingat dia bergurau tapi bila dia tahu di mana saya sekeluarga makan dan saya pakai baju apa, saya naik risau. Katanya, terubat rindu walau pun hanya mampu lihat saya dari jauh! Puan, tiba-tiba rasa takut pula.
Saya minta dia berterus terang kerana tak sedap hati. Dia mengaku bahawa dia dah jatuh cinta dengan saya dan ingin hidup bersama. Tentu saja saya marah kerana kami sama-sama dah berkahwin dan saya hanya anggap dia sebagai adik saja. Tapi dia tak boleh terima dan sanggup berskandal dengan saya. Gila kan?
Selepas itu saya mengelak untuk berjumpa dengan J tapi dia sering kali menghantar whatsapp atau menelefon ke talian pejabat. Saya rasa tak tenteram dan takut. Saya tukar nombor telefon kerana tak nak dia ganggu tapi dia akan telefon ke talian pejabat dan e-mel saya.
Puan, patutkah saya berterus terang dengan suami? Saya juga takut kawan-kawan sepejabat tahu kerana J saban hari akan turun ke jabatan saya. Walau pun hanya memandang saya dari jauh, tapi saya sangat rimas dengan keadaan ini. Saya juga risau dan takut dia makin berani kelak, tak tahu apa dia akan lakukan.
Puan K, KL.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.Perasaan suka, ingin berkawan, ingin berbicara, jika dibaja boleh bertukar menjadi sayang, kasih, cinta, rindu, mabuk angau dan sebagainya dalam diri seseorang jika dia terasa kekosongan dalam dirinya atau perasaan kecewa yang dialaminya.
Pun terdapat beberapa faktor lain yang merangsang dirinya dengan perasaan yang disebutkan di atas kerana nafsu dan emosi yang tidak dikawal dan diurus dengan baik mengikut batasan adat dan agama.
Individu sebegini mudah terlupa kepada realiti kehidupan dan tanggung jawab serta amanah yang dipikul. Malah tidak dapat membezakan mana yang baik, mana yang buruk, mana yang berdosa mana yang pahala…mana yang boleh mengundang murka Allah dan sebaliknya.
Tak Tergoda
Tahniah diucapkan kepada puan kerana tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan untuk terus bersamanya. Puan mengetahui batas dan sempadan dalam budaya dan agama. Tindakan puan menukar nombor telefon bimbit adalah tindakan yang praktikal dan bijak. Sekurang-kurangnya tidak memberi ruang dan peluang kepadanya mengganggu puan melalui telefon bimbit.
Bagi menjawab persoalan yang puan kemukakan sama ada perlu atau tidak untuk memberitahu suami, saya rasa puan sendiri mengenali suami sama ada boleh menerima penjelasan daripada puan atau tidak. Jika suami mempercayai puan, dan kurang dari segi sifat cemburunya, maka mudah puan untuk menjelaskannya.
Jika sebaliknya, puan perlu kebijaksanaan dalam menceritakan apa yang telah berlaku. Puan sendiri yang tahu suami boleh menerima ini atau sebaliknya memburukkan lagi keadaan jika puan memberitahunya.
Sebaiknya biarlah puan sendiri yang menceritakan kepada suami, berbanding jika suami dapat tahu daripada orang lain. Atau lebih buruk, mungkin lelaki itu sanggup berbuat apa sahaja seperti menyamar dan memberitahu suami puan bahawa puan ada hubungan sulit dengan lelaki lain, atau mungkin juga dengannya. Kebarangkalian dan kemungkinan ini boleh berlaku dalam keadaan yang tidak diduga, malah bukan dalam pemikiran rasional kita.
Tindakan Bijak
Tindakan puan menjauhkan diri daripadanya adalah langkah bijak. Seboleh mungkin elakkan daripada bertembung dengannya atau melalui jalan yang biasa dilaluinya. Jika dia sering turun ke jabatan puan, cuba elakkan dari bertembung dengannya. Jauh sekali untuk bertegur sapa. Jaga penampilan dan pakaian puan daripada berhias secara berlebihan.
Jika boleh, pakai tudung yang lebih labuh daripada biasa. Jaga pandangan mata apabila bertembung dengannya. Elakkan daripada memberi sebarang respons dalam apa jua bentuk, sama ada lisan, atau bukan lisan.
Puan mungkin tidak tahu sejauh mana “kegilaannya”. Mungkin dengan cara mengelak dan tidak memberi respons, lama- kelamaan berkemungkinan dia bosan. Jika masih diganggu walaupun puan cuba mengelaknya, beritahu dia bahawa puan akan beritahu isterinya tentang perilaku suaminya. Ini semua perlu ketelitian dalam memberi sebarang respons. Pelbagai insiden mungkin tidak dijangka.
Kawal
Ada orang yang tidak dapat mengawal emosi, minda dan nafsunya. Jika nafsu mengatasi pemikirannya, apa sahaja boleh berlaku. Ilmu hitam tidak mustahil boleh digunakan jika nafsu tidak dikawal dan hilang sebahagian iman daripada dirinya.
Akhir sekali, carilah “pendinding diri” dengan mengamalkan ayat-ayat suci al – Quran. Amalkan doa-doa tertentu yang boleh dicari daripada guru agama. Pada kali ini puan mungkin berjaya, namun puan akan sentiasa terdedah kepada godaan dan pengaruh yang tidak dijangka. Banyakkan berdoa agar puan dilindungi dari sebarang ujian dunia. Wallahualam.
**Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, yang juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam sehari, memang tak akan sunyi bila dengar suara mak-mak. Ada saja yang tak kena di matanya, lebih-lebih lagi bila anak mula buat hal dan buat sepah. Bagi suami pula, bila isteri berleter, tadah saja telinga sebab dia tahu sangat peel isterinya.
Itu bagi suami yang faham isteri berleter pun mungkin ada sebabnya dan bukan sedar suka-suka. Lagi terusk bila leteran itu turut terkena ‘batang hidung’nya.
Masakan tidak, mak-mak rasa yang bersepahnya dalam rumah sangatlah ramai tapi yang tukang bersihnya mak seorang. Mahunya isteri tak berleter.
Walau bagaimanapun, isteri berleter itulah yang menjadi penyeri dalam rumah tangga. Biarpun kadang-kadang pedih telinga nak mendengar.
Tapi jangan terkejut, isteri kerap berleter, tiba-tiba senyap dan hanya uruskan hal dirinya sahaja. Ini, suami kena tahu bahayanya bila isteri mula senyap.
Walau bagaimanapun, tidak semua isteri yang membebel ini suami suka. Mungkin ada pasangan dah buat perjanjian masa awalo-awal kahwin tentang peraturan ‘tidak berleter’.
Awal-awal mungkin mampu bertahan, tapi bila sudah ada anak dan kadanga-kadang ia turut berpunca daripada suami, mahunya isteri bertahan.
Isteri berleter atau banyak cakap bukan suka-suka, itu adalah nasihat ikhlas seorang isteri supaya suami dapat fikir apa yang dikatakan oleh isteri ada beanrnya.
Jangan hairan, bila suatu hari isteri mula senyap dan diam. Mungkin suami rasa seronok sebab tak dengar bebelan dan bebas buat apa sahaja. Hakikatnya, isteri sudah tawar hati. Itu lagi bahaya.
Apa yang dikongsikan oleh Firdaus Shakirin ini patut suami jadikan panduan. Isteri mula tak ambil tahu apa yang dilakukan suami dan tak kisah apa yang suami lakukan. Hati-hati, ada yang tersirat di hati isteri.
Suami Rasa Bebas, Hati-hati!
“Bila isteri dah tak hiraukan lagi kita dengan apa yang kita buat…”
Ada suami seronok, dia seronok sebab dia bebas buat apa saja dan jadi apa saja. Walaupun sudah ada isteri, kehidupan dia tetap dia yang kawal sendiri, atur sendiri.
Dia hidup sepertimana dia nak, tak ada orang yang boleh hentikan dia daripada apa yang dia nak buat.
Mula-mula dia akan annoyed sebab isteri selalu tegur, selalu nasihat, bergaduh, bertengkar mulut asbab isteri nak dia kurangkan atau tinggalkan perkara yang kebiasaan dia buat, ssteri “kacau” dia.
Lama-kelamaan, isteri dah tak tegur, tak nasihat, isteri dah buat tak tahu, dia mula rasa yang dia dah menang pertarungan tu. Malah, dia berjaya buat isteri itu tunduk kepada dia, ikut cara hidup dia.
Akur dengan perbuatan dia.
Benda yang dia tak tahu ialah isteri itu sekarang tengah mengatur hidup dia. Benda yang dia tak tahu ialah isteri tu dah hilang rasa terhadap dia. Apa yang dia tak tahu ialah isteri tu dah bersedia untuk bila-bila masa akan kehilangan dia.
Kemenangan yangg dia kecapi tu adalah sesuatu yang dia akan kesali di kemudian hari. Bila isteri buat tak tahu, itu bukan bermakna isteri itu ok dan bersetuju dengan apa saja yang kita nak buat.
Diam orang perempuan itu lebih bahaya daripada leterannya…
MW: Isteri cakap sebab dia sayang dan bukan untuk suka-suka. Percayalah, apa yang isteri beritahu itu adalah ikhlas untuk orang yangdia sayangi.
Pasang surut dalam rumah tangga biarlah kita yang simpan. Jangan terlalu terbuka berkongsi itu dan ini di media sosial. Tidak semua mengenali kita dan pasangan luar, dalam. Hari ini mungkin kita berbahagia, esok, lusa belum tentu.
Oleh sebab itu setiap kali emosi tak stabil atau marah, jangan luahkan di media sosial. Jauhkan diri buat sementara, sekali kita keluar status negatif orang akan terus menilai. Lebih teruk bila orang cop kita tak bahagia.
Pada hal lumrahlah dalam perkahwinan ada masanya bahagia, ada masanya berselisih faham. Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami baik-baik ya:
Ngeri juga dengar soalan macam tu. Kalau boleh nak doakan jadi betul keadaan tu pun bagus juga. Hahaha.
Kawan-kawan,
Manusia cuma melihat apa yang kita tunjuk. Sama ada kita tunjuk gambar, kita tulis status atau kita bercerita dekat ruangan komen. Itu sahaja tahap penilaian manusia lain terhadap hidup kita.
Fikir Dahulu Sebelum Kongsi
Kalau kita cuma kongsikan kebaikan, maka itu sahajalah yang orang lain akan nampak. Kalau kita selit dengan emosi marah kita, dekat situ orang akan lihat lah marah kita.
Begitulah selalunya. Sebab cuma setakat itu mereka boleh melihat kita.
Jadi, untuk setiap apa yang kita kongsikan, fikirkan dahulu akibat dan kesannya. Tapis apa yang kita nak kongsikan secara umum. Tulis yang bahagia, orang akan nampak bahagia. Muat naik gambar yang gembira, kita akan turut bawa emosi bahagia kepada orang lain.
Sebaiknya Jauhi Media Sosial Ketika Marah
Ingat, jauhi media sosial ketika kita dalam emosi yang tidak stabil. Ketika marah, ketika merajuk, ketika tak puas hati, ketika penat sangat. Waktu-waktu ini, jauhi platform facebook dan semua media sosial.
Sebab kita akan menulis tanpa pertimbangan emosi yang betul.
Sekali sudah tulis status beremosi negatif, orang akan terus menilai. Jadi, hati-hati ya.
Atasi Masalah Dengan Baik-Baik
Berbalik kepada kami suami isteri. Mana ada rumah tangga tak diuji emosi dan hati. Setiap hari kak, setiap masa bang. Kahkah.
Tapi kita atasilah baik baik. Simpan antara kita dan pasangan. Tak perlu cerita ke oranglah hal kita tengah terasa hati semua ni. Biar antara kita dengan dia, dan antara kita dengan Tuhan.
Itu lebih baik.
Menjawab kan? Terima kasih.
Firdaus Mokhtar,
Yang baik-baik aja.
MW: Tak perlu khabarkan pada satu dunia keburukan pasangan kita. Begitu juga kalau bertikam lidah, bermasan muka, lebih baik disimpan dalam hati. Orang luar hanya mampu menilai tanpa memahami. Ya tak?
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...