Saat digemparkan dengan penyakit kanser yang dialaminya, penyanyi dan pelakon Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali sebagai Elyana sama sekali tidak menyangka begitu ramai peminat dan juga rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaannya itu.
“Ramai yang tampil untuk membantu saya mendapatkan rawatan. Malah ada yang menawarkan diri untuk membawa saya berubat hingga ke China dan menanggung kos rawatan yang berjumlah ratusan ribu dan ada yang hendak bawa saya pergi mengerjakan umrah.
“Malah ada pihak yang bawa balik air zam zam dari Makkah untuk saya dan ada juga yang beri kunyit dari India untuk kaedah rawatan kanser. Selain itu, ramai yang mesej saya secara peribadi cadangkan saya untuk pergi berubat ke tempat-tempat tertentu. Sejujurnya saya bersyukur sangat-sangat, tapi buat masa sekarang ini keadaan tak mengizinkan lagi untuk saya berubat jauh-jauh jadi saya cuba dahulu dengan yang ada di sekeliling saya. Makanya sekarang saya sedang cuba rawatan dengan daun rerama.
“Saya cuba minum setiap hari dan Alhamdulilah nampak perubahan. Kaedah ini saya dapat daripada seorang hamba Allah yang menghubungi saya untuk membantu dengan memberikan saya daun rerama untuk saya minum. Individu tersebut ada nyatakan jika ini terbukti dan berjaya dia pun hendak tolong saya.
“Namun jika ada yang ingin mendapatkan daun ini anda perlu pastikan ia daun yang betul kerana daun rerama ada pelbagai jenis. Pastikan daun rerama yang betul untuk dijadikan penawar untuk kanser. Macam yang sedang saya amalkan ini memang sedang dibuat ujikaji di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan daun ini telah terbukti boleh membantu pesakit kanser,” ujarnya Elyana lagi.
Menurut Elyana juga, kehidupannya kini juga sedikit berubah setelah dia mengumumkan tentang penyakitnya itu kepada umum.
“Dari dahulu hingga kini saya adalah orang yang sama, tapi setelah saya umumkan tentang penyakit yang saya hidapi di GV4 dahulu. Perhatian dan layanan orang sekeliling memang berbeza. Orang lebih perhatikan saya. Orang perhatikan saya sebab mereka sayangkan saya. Jadi saya rasa saya sangat dihargai sekarang ini dan saya tak sangka rakyat Malaysia sangat prihatin. Tapi apa pun saya sangat berterima kasih kepada semua yang mengambil berat tentang diri saya,” katanya.
Melihat kepada perwatakan Elyana, tiada yang menyangka ibu kepada seorang cahaya mata ini menyembunyikan penyakit yang boleh membawa maut. Tapi sikap positif yang ada di dalam dirinya memberikan kekuatan kepada Elyana untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang penggiat seni.
“Pada awalnya mereka semua sangat terkejut dengan pengumuman yang saya buat. Orang sekeliling saya memang tak sangka saya sakit sebab saya tak pernah tunjuk. Bila mereka dapat tahu mereka sedih dan tanya kenapa saya tak beritahu. Peminat saya ni pandai. Sekarang mereka tak tunjuk kesedihan mereka tapi mereka sangat supportive. Biasanya mereka buat ceria depan saya. Apa yang lebih buat saya terharu ada di kalangan peminat saya yang kurang berkemampuan pun turut memberi sumbangan kepada saya. Bagi saya itulah peminat yang sebenar.
“Keluarga saya memang dah lama tahu tapi kawan-kawan hanya segelintir yang tahu. Saya duduk dalam lingkungan orang sekeliling yang menyokong saya secara diam-diam. Mereka tak tunjuk secara depan-depan mungkin mereka sentiasa doakan saya. Ya, saya faham ada ketikanya mereka mungkin serba salah dan tak mahu terlalu menunjukkan reaksi yang sedih depan saya. Walau apa pun keadaan saya, saya tak mahu apa-apa cuma yang saya inginkan adalah doa kalian supaya saya sihat semula seperti dahulu,” ujarnya agar semua mendoakan dia kembali sihat daripada penyakit kanser yang dihidapi.
Mempunyai seorang cahaya mata yang diberi nama Cinta Sumayyah, pastinya hati ibu seperti Elyana berat untuk bercerita perihal penyakit yang dialami kepada si kecil yang baru sahaja berumur tujuh tahun. Mungkin saja Cinta belum mengerti apa yang sedang bondanya alami, tapi bagi Elyana, dia perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku.
“Awal-awal memang cinta tak mengerti tentang apa yang saya alami. Tapi dahulu saya ingat lagi ketika saya jalani rawatan kemoterapi, ketika itu rambut saya memang banyak gugur, dia banyak bertanya apa yang berlaku pada rambut saya.
“Jadi bermula dari itu saya mula beritahu kepadanya bahawa saya sakit. Dia tak tahu sakit apa dan lama-lama saya maklumkan bahawa saya ada kanser. Budak kecil manalah dia tahu kanser tu apa. Jadi saya perlu terangkan kepadanya. Lama-lama dia faham. Tapi yang buatkan saya sedih, setiap kali saya tidur dan Cinta nampak saya terlelap dia pasti akan kejutkan saya kerana ingat saya sudah tiada. Sebab itu kalau malam waktu tidur, Cinta akan pastikan dia tidur terlebih dahulu dari saya kerana dia takut apa-apa berlaku kepada saya,”cerita Elyana.
Kini Cinta sudah memasuki alam persekolahan, anak kecil itu mungkin sudah mengerti apa yang bondanya sedang hadapi. Bagi Elyana waktu berdua untuk mereka berbual amat penting bagi Cinta faham dengan keadaannya itu.
“Saya selalu luangkan waktu berdua dengan Cinta. Port dalam bilik selepas Cinta pulang dari sekolah adalah waktu untuk saya dan dia bercakap atau sebelum kami tidur. Waktu itulah saya akan bermain dengan fikiran dia. Pernah Cinta tanya, kalau suatu hari bonda tak ada siapa akan jaga Cinta? Lalu saya terangkan kepadanya kenapa saya mahu dia membesar jadi anak yang baik, menyenangkan, berdikari dan tak susahkan orang supaya semua orang boleh jaga dia jika apa-apa berlaku kepada saya nanti.
“Saya memang sentiasa berbual dengannya kerana saya tak mahu dia terkejut jika apa-apa kemungkinan yang boleh berlaku kepada saya kelak. Dengan cara itu saya harap dia lebih bersedia dengan keadaan tersebut,” cerita Elyana tentang anaknya, Cinta.
Apabila ditanya tentang keadaan kesihatannya kini kerana saat sesi fotografi diadakan Elyana sedikit pun tidak menunjukkan bahawa dirinya sedang berperang dengan penyakit kanser yang dihidapinya itu.
“Ada hari-hari saya akan rasa letih dan penat sangat, biasanya orang-orang yang rapat dengan saya tahu kalau mereka ajak keluar dan saya diam tu maknanya saya memang tak sihat. Apa yang boleh saya kongsikan, kanser yang saya alami ni bila dah lemah atau demam, keadaan itu akan bertambah teruk dan saya akan bertambah sakit,”ujarnya.
Diajukan pertanyaan apakah faktor yang membuatkan dirinya kuat, jelas Elyana, anaknya adalah sumber kekuatannya untuk meneruskan kehidupan walaupun diri kini seorang pesakit kanser tahap 4.
“Anak adalah pembakar semangat saya untuk teruskan kehidupan. Misi saya sekarang adalah untuk membesarkan anak saya. Saya nak ada untuk setiap momen dalam hidupnya. Saya nak tengok dia membesar, berkahwin dan ada orang yang boleh jaga dia.
“Satu lagi misi saya adalah untuk tolong orang yang sakit seperti saya. Saya nak tunjukkan bahawa sakit ini bukan pengakhirannya. Semua orang boleh sakit bila-bila masa jadi jalanilah kehidupan kita seperti hari-hari biasa dan buat seperti biasa. Saya nak cari penawar selain daripada kemoterapi yang pesakit kanser boleh lakukan untuk sembuh,” ujar Elyana penuh semangat.