Sesungguhnya soal dikurniakan anak, bukan semudah membeli barang di pasar! Itu tuhan punya kuasa.
Jika semudah itu, tentu saja semua orang bahagia memilih anak, mahu berapa orang anak atau mahu berapa orang anak lelaki dan berapa orang anak perempuan. Beli dan bayar.
Bukan semudah itu, segalanya ketentuan Tuhan dan kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan selebihnya berserah kepada Allah SWT.
Jangan dicela mak ayah yang masih belum dikurniakan anak, atau dikomen orang yang memiliki anak perempuan atau lelaki sederet. Jangan!
Ikuti perkongsian Ustaz Hisham ini dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan.
Anak saya yang pertama lahir, lalu dinamakan Nur Aqilah. Begitu terujanya kami menyambut kelahiran anak ini. Kelahiran anak yang semakin mengeratkan simpulan kasih.
Kemudian, lahir pula anak yang kedua. Dinamakan pula Nur Afiqah.
“Dua-dua perempuan ke anaknya?” soalan yang sering diajukan. Kami mengiyakan. Menjawab dengan senyuman.
Berpindah ke daerah lain dan dikurniakan lagi seorang anak. Kami namakan bayi comel yang baunya lebih harum dari minyak wangi yang kami jual dengan nama Nur Afifah. (Bukankah bau bayi adalah bau yang sangat mengasyikkan?).
“Belum ada anak lelaki ya?” Pertanyaan biasa yang sering kami peroleh.
“Kena usaha lagi tu untuk dapatkan anak lelaki.” Begitu antara kata-kata yang kami terima. Kami anggap sahaja kata-kata itu umpama angin lalu. Tidak perlu dikisahkan.
Kemudian lahir pula anak keempat. Sama seperti kakak-kakaknya bertiga. Kami namakan pula Nur Amirah.
Itulah anak-anak kami. Empat puteri yang sangat disayangi. Kelak akan menjadi; empat dara duduk di tepi sungai. Duduk menjerat si ketamlah batu. Manis rupa hai elok perangai. Sukar dipilih yang manalah satu. (Tak perlu nyanyi).
Meski terkadang masih ada lagi yang bertanyakan bila pula hendak menimang anak lelaki.
Tidak ada salahnya mempunyai kesemua anak perempuan. Tidak ada salahnya juga jika anak kita semuanya lelaki. Seorang atau dua orang anak, juga tidak perlu hendak diberat-beratkan dalam perbualan. Tersalah kata, boleh menghiris hati.
Soal dikurniakan anak, bukan seperti membeli barang di pasar. Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Apatah lagi bila berbicara pada kenalan yang masih belum dikurnia cahaya mata.
Kelak dilihat punya hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang. Kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan yang berkocak akan kian mengombak di dalam hati kenalan kita.
“Tak ada anak lelaki ke? Nanti bahagian faraid akan dapat kepada orang lain.” Pernah juga ada yang berkata sedemikian.
Saya hanya memasang wajah tanpa emosi. Tidak sepatutnya kata-kata itu dikeluarkan.
Baca Juga Di Situ:
Punyai 3 Anak Perempuan, Syurga Menanti Mak Ayahnya, SYARAT Didik & Jaga Sebaiknya
Berderet 14 Anak Lelaki, Yang Ke-15 Baru Dapat Anak Perempuan!
Hibah, PEMBERIAN Kasih Sayang Untuk Pasangan, Tak Perlu FARAID Sebab Itu HAK Mutlaknya
“Sekiranya Si Mati, Hanya Meninggalkan Hutang Maka Hutang Tidak Wajib Difaraidkan” Amirul Akmal
Mari sini saya jelaskan tentang faraid. Andaikata saya meninggal dan waris-warisnya seperti ketika ini. Saya ada; ibu, isteri, 4 anak perempuan, 4 saudara kandung lelaki dan 3 saudara kandung perempuan.
Pembahagiannya adalah begini:
Ibu: 44/264
Isteri: 33/264
Setiap seorang anak perempuan: 44/264
Manakala setiap seorang saudara kandung lelaki: 2/264
Dan setiap seorang saudara kandung perempuan: 1/264
Lalu di manakah masalahnya?
Entah mengapa ada yang terlalu memikirkan supaya harta tidak diperoleh oleh adik-beradik. Bukankah adik-beradik itu berkongsi susu ibu yang sama dahulunya.
Menjalani kehidupan susah senang. Mereka bukan orang asing bagi kita. Dengan ihsan yang ada, boleh jadi mereka menarik diri daripada menerima bahagian mereka. Jika mereka hendak menerima, itu adalah hak mereka.
Fahami ilmu faraid, pasti kita akan nampak keindahan hikmah yang tersirat. Betapa perlunya hubungan kekeluargaan yang erat. Tahu siapa kaum kerabat. Menjadikan mesyuarat untuk membentuk muafakat.
Sebelum terlanjur bercerita lebih panjang tentang faraid, saya kembali pulang ke cerita asal. Agar tidak teraba-raba mencari titik muasal.
Kepada anak-anak saya, pernah saya berpesan.
“Kalau ayah meninggal dan belum sempat menjadi wali bagi pernikahan, bapa-bapa saudaralah walinya. Adik-beradik lelaki ayah. Itu kalau memang ditakdirkan ayah tak ada anak lelaki.”
Ia bukan sekadar pesanan biasa. Tetapi saya mahu mengingatkan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan. Kita bukan hidup sekadar dalam keluarga yang kecil tetapi ada hubungkaitnya dengan saudara-mara yang lain.
Hari demi hari dan anak-anak semakin membesar. Dalam tidak sedar, ada yang ketinggiannya sudah hendak mencapai ketinggian saya. Yang dahulunya didodoi, kini sudah berlari ke sana sini.
Kesemuanya dengan sifat yang tersendiri. Tanggungjawab kita bukan lagi hal remeh temeh. Bukan lagi tentang susu dan lampin.
Tidak selamanya anak-anak akan kekal sebagai kanak-kanak. Keperluan emosi, rohani, jasmani perlu difikirkan bersama sebagai suami isteri.
Anak-anak dipantau dan diperhati. Ditegur jika ada yang perlu diperbaiki, jika ada tingkah laku yang tidak sesuai agar tidak menjadi sebati.
Kita mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak kita, dan dalam masa yang sama kepada Allah kita serahkan segalanya. Kerana Allahlah tempat sebaik-baik diletakkan pengharapan.
Terima kasih sudi baca.
Mingguan Wanita : Sebelum mencela orang, letakkan diri dalam kasut mereka. Cuba fahami apa yang mereka rasa, selami perasaan mereka. Anak adalah anugerah dan amanah Allah. Hadirnya anak bersama tanggungjawab. Renung-renungkan.
Sumber : Ustaz Hisham
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita