
Dalam sehari, agak-agak berapa kali mak-mak menyapu sampah dalam rumah untuk kurangkan habuk yang ada dalam rumah dan ini belum lagi bila anak-anak menyepahkan barang-barang mainan. Sambil membebel, mak-mak kenalah sapu, kalau tak ‘sakit mata’ dibuatnya.
Kalau boleh rumah naklah bersih, tak ada habuk yang boleh membawa masalah kesihatan pula. Jadi, mak-mak yang sangat mementingkan kebersihan, bolehlah berjinak-jinak dengan menanam pokok hidup ini.
Ini antara perkongsian oleh Huda Zainal tentang pokok hidup Snake Plant nie.
“Snake Plant antara pokok hidup yang disenaraikan oleh NASA yang mampu singkirkan toksid dan bahan cemar bawaan udara di dalam rumah.
Yang paling best semenjak ada Snake Plant atas rak. Rak dah kurang berhabuk. Kalau tak dulu setiap hari nak kena lap habuk.
Kurangkan Habuk, Cuba Tanam Pokok Ini
Snake Plant juga antara pokok yang disebut “Hard To Kill”. Sesuai sangatlah untuk yang baru nak berjinak deco rumah dengan pokok hidup. Yang terasa diri tangan panas atau black hand pun boleh cuba tanam Snake Plant.
Kalau tak tau mana nak dapat, pergilah singgah nursery pokok. Sepasu snake plant RM15 dah boleh dapat..
Mana bahagian akar terkeluar potong je .

Bahagian bawah potong menyerong.Senang nak serap air dan nutrien bila dah cucuk dalam tanam..
Jenis pasu berlubang.
Tutup lubang dengan surat khabar..
Masukkan tanah 3/4 penuh.
Daun yang dah potong tadi. Cucuk-cucuk je dalam tanah.
Dah siap cucuk. Bawa masuk dalam rumah. Alas pasu dengan alas. Nak elak kalau terover siram, air tak lah meleleh atas rak tu.
Ikutlah kreativiti tangan masing-masing. Janji cucuk daun tu tak tumbang.
Tapi pokok ni tak siram 2 minggu pun dia boleh hidup lagi.
Snake plant tak suka air banyak. Jadi siram tu sekadar bagi tanah lembap sudahlah.
Selamat mencuba.
MW: Lepas nie, mak-mak yang rasa ‘tangan panas’ tak perlu risau sebab boleh tanam pokok hidup nie.
Sumber: Huda Zainal
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lepak Saja Di Rumah, Ruang Makan Seperti Kafe Hipster Serap Aura Glam & Elegan

Musim PKP ni jadikan ruang makan anda lebih selesa. Bukan saja dapat melepak dengan keluarga tercinta malah anda juga boleh tonjolkan kreativiti anda. Seperti mana Pengasas Youme & Hunny atau lebih selesa disapa Hunny, 37 menerangkan, kediamannya mengambil inspirasi daripada gaya loft di Kota New York.
Setiap ruang mengetengahkan dekorasi unik yang bakal memberi kejutan kepada sesiapa saja yang berkunjung. Suami kesayangan Hunny, Andy Othman, selaku pemilik juga Pengarah Bawang Resources, turut mencurahkan segala idea bagi kediaman mereka berdua. Malah Andy juga berkongsi falsafah moden kontemporari yang diterjemahkan pada kediaman di Ficus Peak 8 ini.
Dari muka pintu masuk utama lagi penulis sudah buat penulis kagum. Pintu kayu besar dengan pemegang besi, sebagai permulaan gambaran cita rasa pemilik. Ia juga menjadi pengenalan awal untuk penulis terus menerokai kediaman pasangan yang memiliki dua putera comel yang diberi nama Adam dan Ayden.

Cita Rasa Golongan Muda
Melangkah masuk kediaman ini ternyata seni hiasan dalaman yang dipilih menepati cita rasa orang muda hari ini. Umpama memasuki sebuah galeri perabot, ternyata pelan terbuka yang dihiasi perabot pada setiap ruang bukan sahaja menonjolkan dekorasi moden kontemporari tetapi juga mencipta suasana mesra dan mewah di dalam kediaman ini.
Ruang terbuka tanpa halangan juga turut membenarkan konsep ini terus mengalir ke dalam ruang lain. Ini dapat dilihat dari ruang tamu, ruang makan dan dapur penuh berkarakter jelas kelihatan. Di antara ruang tamu menuju ke ruang makan di tengah-tengahnya diletakkan sebuah piano yang menyerlahkan aura moden mewah pada dekorasi.
Manakala rak terbuka yang mempamerkan aksesori perhiasan daripada pelbagai material menjadi pemisah antara ruang. Malah dapat dilihat secara keseluruhan reka bentuk dalaman dan gaya yang ditampilkan ini lebih menumpukan pada pendekatan cita rasa pemilik sendiri.

Suasana Moden
Ruang dapur ini melengkapi suasana moden di tingkat bawah. Jelas dilihat pada binaan kaunter dapur daripada perincian batu kuarza berwarna putih gading dipadankan dengan kabinet kayu bertekstur kasar yang menjelaskan rekaan moden kontemporari. Tampil kontras dengan padanan dinding hitam dan perabot rustik yang dijadikan tempat menikmati sarapan. Ini menonjolkan lagi suasana hangat pada keseluruhan ruang. Pulau dapur dan kerusi bar yang diletakkan di tengah-tengah pula menjadikan ruang lebih ini lebih praktikal.
Suasana Lebih Hangat
Berada di sini membuatkan anda berasa seperti di dalam sebuah restoran. Di sini terdapat seni chalk wall yang tertulis pelbagai menu dan dihiasi lampu neon biru. Cahaya dari lampu pendant pelbagai bentuk menjadikan suasana lebih hangat. Penggunaan rona semula jadi menyerlahkan aura glam dan elegan pada ruang ini. Manakala kehadiran meja makan daripada kepingan kayu padu perincian kasar menguatkan lagi konsep moden yang ditampilkan.

Ruang Tangga Imbau Saat-Saat Terindah
Semasa menuju ke tingkat atas satu lagi kejutan yang jarang ada di mana-mana kediaman. Di ruang tangga ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Ruang ini menjadi tempat mengimbau saat-saat terindah Hunny dan Andy bersama keluarga kecilnya itu. Di sinilah diabadikan potret keluarga dalam palet monokrom termasuklah gambar ketika kelahiran anak keduanya.
Minat Andy pada ilustrasi turut diabadikan di sini. Ilustrasi Kota New York dan Kuala Lumpur yang dilukis pada dinding bahagian tangga ini merupakan memori catatan perjalanan hidup dan karier yang dilalui Andy selama 14 tahun tinggal di sana.

Lebih Santai
Menurut Hunny lagi pada sebelah petang kebiasaannya anak-anak akan bermain di kolam renang yang terdapat di kediaman mereka.
“Kami sekeluarga jarang bercuti. Anak-anak pula akan bermain di kolam renang pada sebelah petang. Jadi kebanyakkan waktu santai kami sekeluarga dihabiskan di rumah. Kami sekeluarga lebih selesa duduk di rumah. Anak-anak pun bebas bermain-main. Kolam renang yang direka khas oleh suami saya ini cukup unik dan sesuai dengan keluarga kami yang kecil,” ungkap Hunny menutup bicara. Bagi anda yang mahu melihat lebih banyak lagi gambar-gambar cantik di kediaman ini bolehlah dapatkan majalah Mingguan Wanita di pasaran.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kreatif & Selesa! Wanita Ini Rias Kediaman Idea Bersama Suami, Ubahsuai Ikut Kemampuan

Dek kerana minat Nur Hartini sejak dari remaja suka menghias, lantas apabila memiliki rumah peluang itu tidak dilepaskan begitu saja. Banyak idea yang bermain di minta dan akhirnya wanita ini telah memilih dekorasi berkonsepkan modern tropical.
Jimat Wang Tak Perlu Lepak Di Luar, Dekorasi Ruang Makan Ibarat Di Kafe Hipster
Dekorasi Idaman, Rona Putih & Pastel Mendamaikan Jiwa
“Alhamdulillah, syukur kerana kami berjaya memiliki rumah. Saya seorang yang suka menghias, dulu sebelum berkahwin saya suka menghias rumah keluarga. Mak dan ayah tidak permah menghalang niat saya dan akan biarkan saya mengemas cantik rumah.
“Bila dah ada rumah sendiri, saya jadi cukup teruja. Saya dan suami telah ambil kata sepakat dan memilih dekorasi rumah bertemakan modern tropical. Pemilihan warna turquoise yang diselitkan dengan warna natural kayu, kerana turquoise merupakan warna kegemaran dari zaman bujang hinggalah sekarang. Dalam rumah semuanya kalau boleh saya nak hias dengan warna turquoise. Dan tumbuhan hijau untuk suasana tropical,” ujar Nur Hartini sambil tersenyum.


Perabot Yang Sesuai
Diajukan berapa lama mengambil masa untuk mengubahsuai dekorasi kediamannya, rumah yang telah didiami selama empat tahun ini diubah suai secara berperingkat-peringkat.
“Sepanjang empat tahun kami diami rumah ini, kami ubah suai sedikit demi sedikit. Malah saya dan suami juga gayakan dengan perabot-perabot yang sesuai. Kiranya ubahsuai yang dilakukan hanya minor.
“Memandangkan saya jenis yang suka membaca majalah dekorasi dan juga melayari laman web yang berkaitan dengan dekorasi jadi hanya ruang-ruang yang bersesuai saja kami ubah,” sambungnya.
Ternyata Nur Hartini dan suami bijak menyusu atur perabot mengikut kesesuaian ruangan kediaman mereka.

Jenis kediaman Apartmen tiga bilik ini tampak begitu cukup selesa buat dirinya dan suami. Malah mereka juga bijak mendeko rumah dengan indah sekali. Idea keseluruhan renovasi datangnya dari pasangan suami isteri ini sendiri tanpa melantik konsultan. Sungguh hebat dan kreatif.
Foto: Azfarina Sulaiman
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kediaman Cantik Ikut Bajet Sendiri, Wanita Ini Pilih Konsep Minimalis & Mudah Dibersihkan

Setiap insan pastinya mendambakan keselesaan tatkala pulang ke rumah. Begitu juga dengan personaliti yang juga pemilik kediaman yang bernama Nur Izzati Misran dan suami.
Selepas bertahun-tahun menginap di rumah sewa, akhirnya pasangan ini berjaya menduduki rumah sendiri. Tatkala inilah semua angan-angan untuk menghias rumah direalisasikan.


Pilih Dekorasi Konsep Minimalis
“Saya berasa bersyukur akhirnya impian untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya termakbul. Kami baru beberapa bulan mendiami rumah ini setelah bertahun-tahun menyewa dan merantau di negeri Di Bawah Bayu. Perasaan gembira memang tak terkata sebab sebelum ini agak risau nak mengubah dan menghias lebih-lebih lagi bukan milik sendiri.
“Sebenarnya kami tidak menetapkan tema yang spesifik. Kebanyakan ruang kami ambil kira konsep ringkas, minimalis dan mudah dibersihkan. Kami memberi kebebasan kepada syarikat pereka dalaman yang dilantik iaitu Puan Nur Nazihah dari NZ Design untuk menghasilkan rekaan yang sesuai berdasarkan pilihan kami. Konsep yang kami pilih juga agak ringkas bagi memudahkan kami mengekalkan penjagaan dan kebersihan. Bagi kami, mengekalkan sesuatu yang cantik itu lebih mencaba,” ungkap Nur Izzati mulai bicara.

Ubahsuai Ikut Bajet
Bagi mendapatkan keselesaan Nur Izzati dan suami melakukan pengubahsuaian sebelum menduduki kediaman baru mereka.
“Bagi ubahsuai sebuah rumah mengambil masa dalam sebulan. Ini kerana kerja-kerja pendawaian yang banyak perlu dilakukan terlebih dahulu atas sebab faktor pemaju tidak nenyediakan punca elektrik di rumah kami. Kemudian pembuatan kabinet yang ditempah mengambil masa selama dua minggu barulah syarikat dekorasi dalaman NZ design mulakan kerja-kerja tata rias mereka. Untuk dekorasi dalaman hanya mengambil masa dua hari bagi keseluruhan ruang seperti ruang tamu, ruang keluarga, ruang makan, bilik tidur utama dan bilik anak perempuan kami.
“Bagi ruang tami, kami bahagikan ruang tamu kepada dua iaitu ruangan tetamu dan ruangan keluarga. Ruangan tetamu diletakkan kerusi yang banyak sedikit bagi meraikan tetamu yang hadir. Hiasan dinding seperti bingkai khat dijadikan sebagai penyeri ruangan tamu kami dengan diletakkan bersama lampu sorot berwarna kuning sama ada dari atas mahupun bawah.
“Pencahayaan yang tepat mampu membuatkan dinding utama, selalunya di ruang tamu lebih menarik. Pertambahan aksesori dinding lain seperti cermin sememangnya sinonim dan penting dalam hiasan dalaman kerana ia bukan saja memberi sentuhan elegan tetapi menyerlahkan lagi keluasan rumah secara ilusi.

Tidak Letak Perabot Banyak, Anak Masih Kecil
“Selain itu, ruangan keluarga di tengah adalah ruangan aktiviti kami sekeluarga sama ada menonton televisyen mahupun meluangkan waktu lapang. Jadi kami tidak meletakkan banyak perabot hanya sekadar sebuah sofa yang boleh dialihkan memandangkan anak kami yang masih kecil dan masih lasak memerlukan ruang yang luas untuk bergerak dan bermain.
“Bagi ruang makan pula, kami gunakan meja makan enam kerusi dengan hiasan yang ringkas. Ruang meja makan diletakkan berdekatan dengan dapur untuk memudahkan keluarga kami menjamu selera. Meja itu digunakan untuk makan malam sahaja. Untuk sarapan dan makan ringan kebiasaanya kami gunakan meja kopi di dapur. Ruangan ini diserikan lagi dengan penggunaan pokok hiasan berdaun hijau yang diletakkan di hujung sudut ruang dan hiasan dinding yang menarik
“Ruangan dapur dekorasinya lebih ringkas. Memandangkan suami saya gemar memasak, jadi segala rekaan kabinet dan susun atur ditentukan sendiri oleh suami saya supaya mudah pergerakannya ketika memasak.
“Bilik tidur utama pula kami terapkan susun atur bertemakan seperti di hotel. Tambahan pula meja solek berlampu yang sememangnya menjadi idaman saya. Perasaannya seperti berbulan madu semula.
“Bilik tidur anak pula, disebabkan anak masih kecil, kami mengambil keputusan tidak lagi menyediakan meja belajar tetapi digantikan dengan sudut bacaan. Sudut permainan pula kami pindahkan ke bilik lain yang lebih besar. Tujuannya supaya bilik akan sentiasa nampak kemas dan selesa,” kata Nur Izzati yang merasakan ‘Feature Wall’ dan meja solek paling menarik perhatian dalam ruang rumahnya. Bagi suaminya pula sudah semestinya ruangan dapur dan bilik kerja suami.

Idea Bersama
Ditanya tentang idea untuk mendekorasi kediaman, Nur Izzati menerangkan, mereka suami isteri bergabung dalam merealisasikan idea yang terbaik.
“Kabiasaannya kami akan bincangkan sesuatu idea sebelum direalisasikan. Saya lebih kepada susun atur perabot dan tanaman hiasan manakala suami saya pula lebih kepada teknikal seperti pendawaian dan barangan elektrik,” jelasnya.
Nur Izzati juga menerangkan apabila melihat susun atur rumah kemas dan memenuhi citarasa dia berasa tenang.
“Semestinya menenangkan fikiran. Lebih-lebih lagi apabila pulang dari kerja yang memenatkan, jadi segar semula apabila melihat hiasan rumah yang sejuk mata memandang. Ada juga yang pelik kami sanggup berhabis wang untuk menghias rumah. Namun bagi saya, biarlah alah membeli menang memakai.
“Untuk konsep dekorasi idaman ini, pemihan perabot banyak ditempah khas menggunakan elemen kayu dari gedung perabot terkenal di ibu kota iaitu more design asia, kemudian diserikan dengan elemen aksesori lain dari Ikea, SSF, Couch Design dan sebagainya. Ini kerana banyak pilihan yang menarik boleh didapati di sana,” jawabnya.
Kemas Rumah Pada Hujung Minggu
Setiap kali hujung minggu Nur Izzati akan memperuntukkan masa mengemas rumah bersama suami.
“Kami akan peruntukkan hari minggu untuk mengemas keseluruhan rumah. Rutin yang selalu ditekankan adalah vakum dan mengemop lantai setiap minggu. Anak-anak masih kecil, jadi kena sentiasa pastikan lantai bersih dari sebarang kotoran dan benda-benda kecil,” akhirnya.
Sumber Foto: Koleksi Peribadi Nur Izati.
Baca Disini Juga:
Lelaki Bujang Ini Buktikan Bajet 1K, Dekorasi Flat 2 Bilik Tampak Elegan!
Siti Fairuz Bijak Dekorasi Rumah, Sesuai Dengan Tiga Anak Lelakinya Sedang Membesar & Lasak
SERTAI & DAFTAR SEKARANG KURSUS KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:

Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Jahit Baju Kurung Pesak : https://toko.ideaktiv.com/product/jom-jahit-baju-kurung-buat-duit-jahit-di-rumah/
Cookies Viral : https://toko.ideaktiv.com/product/cookies-viral-buat-sampai-jadi/
Kuih Frozen : https://toko.ideaktiv.com/product/aneka-kuih-frozen/
Roti & Bun : https://toko.ideaktiv.com/product/asas-bakeri/
Untuk pertanyaan hubungi : 0196328758
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram https://t.me/bangkitwanitaMW
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

