Skandal 1MDB: 36 Hari Kira Wang Tunai & Barang Kemas Dirampas, Bernilai Antara RM900j Hingga RM1.1b – Amar Singh

Share

Rupanya polis terpaksa mengambil masa selama 36 hari untuk mengira dan menilai barang rampasan di kediaman dan premis berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Itu yang didedahkan oleh Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pada sidang akhbar di Bukit Aman, sebentar tadi.

Amar Singh berkata, pemeriksaan dan pengiraan pada 21 Mei lalu sehingga 25 Jun termasuk semasa cuti Hari Raya Aidilfitri. Pengiraan dan pemeriksaan mengambil masa lama kerana jumlah barangan yang dirampas adalah banyak dan memerlukan pengesahan pakar.

“Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.”

“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, sebentar tadi.

12,000 Unit Barang Kemas Dirampas

Pada sidang akhbar itu juga, Amar Singh mendedahkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion. Sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis. Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 unit adalah cincin, 1,400 rantai, gelang tangan 2,100 unit, subang 2,800 unit, kerongsang 1,600 unit dan tiara 14 unit.

“Barang paling berharga adalah seutas rantai emas dengan berlian putih berharga RM6.4 juta,” katanya.

Barang Rampasan Disimpan Di Bank Negara

Amar Singh juga berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel serta Bijan.Beg tangan Hermes saja bernilai kira-kira RM51.3 juta dan paling mahal berharga RM1.6 juta. Selain itu, turut dirampas 234 cermin mata hitam seperti Gucci dan Dior kesemuanya bernilai RM374,000. Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama. Beliau berkata, kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.

Selain itu, Amar Singh juga mengesahkan jumlah rampasan wang tunai pelbagai mata wang di enam premis yang diserbu berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM116.7 juta.

Bagaimanapun, katanya, wang tunai yang dirampas itu tidak dapat dipastikan ia milik UMNO seperti yang didakwa. Amar Singh berkata, sumber atau penyumbang kepada barang-barang yang dirampas sedang dikenal pasti untuk diambil keterangan. Beliau juga mengesahkan polis menemui pelbagai dokumen di premis di Putrajaya dan polis masih menyiasat kaitannya dengan skandal 1MDB.

“Kita akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat untuk diambil keterangan,” katanya.

Pada sidang media 25 Mei lalu, Amir Singh dipetik berkata, 35 daripada 72 beg yang dirampas dari sebuah unit kediaman di Pavillion Residences berkaitan Najib, mengandungi wang ringgit bernilai RM114 juta.

Beliau juga memaklumkan 37 lagi beg dirampas mengandungi wang tunai manakala selebihnya berisi barang kemas dan jam tangan mewah.

Terdahulu, pada 16 dan 17 Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan beberapa serbuan berkaitan 1MDB di dua premis di Putrajaya, empat di Kuala Lumpur dan tiga di Pavilion Residences serta di kediaman Datuk Seri Najib di Langgak Duta, Taman Duta.

Semua rampasan berkenaan adalah berkaitan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Mingguan Wanita mengharapkan semoga penyiasatan dapat dijalankan dengan telus, kebenaran dapat ditegakkan dan dibawa muka pengadilan.

Sumber: Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab