Dekorasi

Siti Fairuz Bijak Dekorasi Rumah, Sesuai Dengan Tiga Anak Lelakinya Sedang Membesar & Lasak

Share

Miliki kediaman yang selesa menjadi impian setiap individu terutamanya buat mereka yang sudah mendirikan rumah tangga. Apatah lagi pasangan yang mempunyai ramai anak. Sudah pasti mereka mahu menduduki mahligai yang bersesuaian dengan jumlah anggota keluarga.

Mereka yang mempunyai anak-anak kecil juga sebenarnya tidak perlu bimbang untuk menghias cantik kediaman mereka. Jika bijak memilih konsep yang bersesuaian pastinya syurga kediaman mampu memberi ketenangan kepada penghuninya.

Begitu juga dengan Siti Fairuz Mohd Zain dan suaminya Nasrullah Noor Badaruddin yang selesa memilih konsep minimalis Scandinavian dalam susun atur perabot di kediaman mereka. Pasangan yang mempunyai tiga cahaya mata, Emir Zafran, Ersyad Zayyan dan Eshal Zaydan begitu teliti dalam menentukan konsep rumah mereka kerana kesemua anak lelaki sedang membesar dan agak lasak.

Sangat bersyukur kini sudah mampu memiliki kediaman sendiri yang terletak di Nilai Impian, Negeri Sembilan sejak Januari 2016.

“Saya sangat bersyukur kerana mampu membeli kediaman sendiri. Apabila sudah ada rumah hati menjadi lega. Tatkal inilah saya dan suami memikirkan untuk menghias rumah dengan konsep yang menjadi idaman kami.

“Kami sama-sama sepakat memilih tema Scandinavian kerana konsepnya yang minimalis. Paling penting amat bersesuaian untuk ibu yang mempunyai tiga orang anak lelaki yang dalam fasa membesar dan lasak seperti saya.

“Tema sebenar gaya Scandinavian yang ringkas dan sederhana memberikan impak kediaman kelihatan lebih aman, tenang dan lapang. Dengan sedikit barang dekorasi dan susun atur yang sesuai sahaja cukup menekankan konsep minimalis tidak perlu sarat dengan perabot.

Warna Pastel Jadi Pilihan

Wanita ini juga menerangkan kebanyakan warna teras yang digunakan adalah warna putih, pastel, dan dia juga hanya tonjolkan sedikit warna merah jambu iaitu warna kegemarannya dalam merias kediaman.

“Saya tidak menggunakan perabot yang banyak di setiap ruang. Tidak mahu ketinggalan dari segi trend kerana konsep dan kelengkapan rumah yang diinspirasikan dari Scandinavian ini kegilaan dan minat kebanyakan wanita bekerjaya mahupun suri rumah dan ibu-ibu muda masa kini.

“Kebanyakan perabot didapati dari Kmart Australia melalui khidmat personal shopper dan juga IKEA sahaja. Idea dekorasi ini sepenuhnya idea saya sendiri kerana suami telah memberikan kepercayaan kepada saya 100 peratus. Sejujurnya idea asal banyak dicedok dari hasil carian di Pinterest.

“Saya juga banyak membuat rujukan dari rakan-rakan Instagram yang mempunyai minat yang sama, kami saling bertukar tukar pandangan,” ujarnya lagi.
Sambung Siti Fairuz lagi dia berasa sangat puas hati dengan dekorasi yang dipilih.

“Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa yang menghabiskan masa sepenuhnya di rumah sudah tentu menjadi kepuasan buat diri sendiri. Saya percaya rumah yang kemas, bersih dan cantik dapat menghasilkan aura yang positif di rumah kita,” katanya.

Ruang makan dan dapur, begitu kemas.

Kemas Rumah Semasa Anak-Anak Ke Sekolah

Ditanya bilakah dia meluangkan masa mengemas rumah, sambil tersenyum dia menerangkan, akan mengemas rumah selepas anak-anak ke sekolah.
“Saya kemas rumah setiap hari terutamanya apabila anak-anak ke sekolah.Saya juga turut tukar dekorasi bergantung kepada trend pada masa itu, kerana barangan-barangan berkonsep Scandinavian yang dijual ibarat cendawan tumbuh jadi ada sahaja barang dekorasi yang ingin dibeli. Apapun bergantung kepada bajet semasa.

“Saya wajib mengemas rumah setiap hari sama seperti rutin suri rumah yang lain. Tiada bahagian spesifik tertentu, kerana saya akan memastikan semua bahagian dikemas rapi dengan sempurna,” ungkap Siti Fairuz akhiri perbualan.

Bilik tidur anak yang cukup selesa.
Published by
Norhayati Binti Suboh