Siti Elizad Teruja Jadi Pengacara Mingguan Wanita Talkshow Musim Kedua

Share

Tahniah diucapkan buat Siti Elizad kerana bakal mengacarakan rancangan bual bicara Mingguan Wanita musim kedua.

Menurut Siti Elizad, ditawarkan menjadi pengacara program bual bicara Mingguan Wanita ini membuatkan dirinya sangat teruja.

“ Bila saya dapat tawaran untuk mengacara sesuatu rancangan, saya akan tanya adakah ia formal atau lebih kepada santai. Saya orangnya loud. Saya tidak pandai hidup dalam keadaan formal.  Apabila mengetahui ia dalam keadaan santai dan bertenaga, saya terima dengan hati terbuka. Sudah pastilah saya terima dengan hati excited.”

Pada episod pertama pada Hari Isnin 8 Julai 2019  nanti, Siti Elizad akan digandingkan bersama Erra Fazira. Mereka akan mengendalikan segmen Kesihatan dan Kecantikan. Apakah persediaan Elizad apabila digandingkan dengan Erra Fazira?

“ Sebenarnya kita ada kelebihan sebab saya kenal kak Erra. Kami rapat. Maksud saya, apa yang kami rancang nanti adalah kami akan bercakap cara seperti kakak dan adik berborak setiap hari.

” Perbezaannya mungkin apa yang kami bawa adalah penonton akan nampak bonding kami berdua masa itu. Setiap soalan daripada penonton yang menelefon atau live akan kami jawab cara kami sendiri.”

Apa yang pasti, rancangan selama 5 hari seminggu ini setiap hari akan menampilkan wajah Siti Elizad sebagai pengacara dan setiap episod dia akan bergilir-gilir bersama selebriti dan personaliti yang telah dipilih.

Berehat Daripada Menunggang Motosikal Berkuasa Besar

Sejak mendirikan rumahtangga pada tahun 2015, Siti Elizad sering menerima pertanyaan bilakah dia dan suaminya akan menimang cahaya mata. Akui Elizad beliau masih lagi boleh terima apabila orang tanya bila hendak ada anak.

“ Saya akan jawab, doakan saya. Tetapi bila ada orang pegang perut saya dan tanya bila hendak ada anak sebab you dah ada semua tetapi tidak ada anak? Itu yang buat saya naik hantu. Mungkin Allah tidak bagi rezeki anak lagi. Allah bagi rezeki lain seperti rezeki kerja, kawan-kawan dan happiness.”

Dalam memastikan usahanya untuk mendapatkan anak berhasil, pada tahun ini Elizad dan suaminya mengambil keputusan berehat seketika menunggang motosikal berkuasa besar.

“ Pada tahun lepas saya telah melakukan pembedahan membuang cyst sebanyak dua kali. Doktor menasihatkan saya agar berehat daripada menunggang motosikal kerana gegaran daripada motosikal tidak berapa bagus untuk rahim.”

Bergilir-gilir Dengan Selebriti Dan Personaliti Terkenal

Selama 1 jam bermula dari pukul 11.00 pagi hingga 12 tengah hari, Elizad akan bergandingan dengan empat selebriti popular sebagai hos utama di samping tiga personaliti terkenal setiap hari.

Musim terbaru program bual bicara Mingguan Wanita ini akan menjadi #temansetiapwanita secara eksklusif di saluaran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).

Tema Berbeza Setiap Hari

ISNIN : Kesihatan & Kecantikan (Siti Elizad dan Erra Fazira)

SELASA: Makanan & Travelog (Siti Elizad dan Radin Amir)

RABU : Kisah Masyarakat & Gaya Hidup (Siti Elizad dan Sherry Alhadad)

KHAMIS : Cerita Dalam Kain (Siti Elizad, Erra Fazira & Norman Hakim)

JUMAAT: Motivasi, Inspirasi & Kerohanian (Siti Elizad & Dato’ Fadzilah Kamsah / Prof. Dr Muhaya / Imam Muda Asyraf).

 

 

 

Published by
Julie Roshana