Siapa sangka niat ikhlas dan usaha gigih membantu golongan memerlukan sewaktu tinggal di luar negara, wanita yang bernama Sabariah Hussien ini, dikurniakan dengan gelaran Datin Paduka di Istana Istana Bukit Serene, Johor Bahru kelmarin. DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada Puan Sabariah Binti Hussein,71 yang membawa gelaran Datin Paduka.
Tuanku Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda amat berbangga dan kagum dengan kerja-kerja amal yang dilakukan Sabariah, anak kelahiran negeri Johor yang kini menetap di Motreal, Kanada.
“Beliau merupakan contoh insan Islam berperibadi mulia dengan rela hati setiap hari memasak dan membantu menyediakan makanan untuk ratusan insan yang kurang bernasib baik termasuk golongan gelandangan, tanpa mengambilkira (atau menyoal tentang) agama, bangsa atau latarbelakang mereka.
“Usaha dan nilai-nilai murni yang ditunjukkan beliau patut disanjung dan diteladani,” titah Tuanku Sultan Ibrahim.
Puan Sabariah, atau lebih mesra dengan panggilan Sister Sabria, anak kelahiran Wadihana, Johor Bahru merupakan seorang sukarelawan yang kini menetap di Kanada.Beliau melakukan kerja-kerja amal membantu gelandangan serta mereka yang kurang bernasib baik selama lebih 20 tahun di Montreal, Kanada.
Puan Sabariah juga telah menubuhkan Yayasan Sister Sabria dan pusat perlindungan wanita yang digelar “Our Second Home” dan sebahagian besar dana yang diperoleh beliau adalah daripada makanan yang dijual pada hari Jumaat di kawasan masjid di negara itu.
Beliau menetap di Kanada setelah berkahwin dengan suaminya yang merupakan rakyat tempatan selepas menamatkan pelajaran dalam bidang kulinari di Kuala Lumpur.
Sementara itu, pelakon cantik manis Anzalna Nasir,30 ada berkongsi pengalaman manis bersama makcik Sabariah ini didalam laman instagram beliau. Mungkin ramai yang tidak tahu, Anzalna dan keluarga ini pernah tinggal di Kanada, mengikut ayahnya yang menyambung pelajaran disitu. Makcik Sabariah antara kenalan rapat mama dan papa pelakon ini sewaktu mereka di Kanada.
Antara yang dikongsikan oleh pelakon drama Arluna ini;
“Anzalna percaya dengan melakukan perkara baik, berfikiran positif,sering memilih perkataan, perasaan dan tindakan yang baik, kita boleh menambah kebaikan di dunia. Ini dibuktikan oleh kenalan rapat kepada ibu bapa Anzalna ketika kami di Kanada, makcik Sabariah Hussein, sering membantu golongan memerlukan sepanjang hidupnya. Dia telah dikurniakan dengan gelaran Datin Paduka oleh Sultan Johor.”
Anzalna juga mengucapkan tahniah diatas penganugerahan tersebut serta turut mengimbas kembali kenangan manis dia dan adik beradik bersama dengan wanita penuh berinspirasi ini.
“Tahniah Aunty Saby!Waktu tinggal di Kanada, kami adik-beradik rapat dengan aunty Sabi kecuali @nazirahnasir97 sebab dia dalam perut mama. Terus terimbas kembali zaman kanak-kanak naik kuda, pergi perkhemahan dengan Aunty Sabi, makan popia dia yang sedap, gigi patah macam-macam la banyak sangat kenangan manis. #IniYangPatutDibanggaKan #InspiringLady
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Puan Sabariah Hussien diatas kurniaan gelaran dan darjah kebesaran yang diterima. Semoga penganugerahan ini, memberi inspirasi buat wanita lain, agar turut melakukan kerja-kerja amal tanpa rasa jemu.
Sumber Instagram: AnzalnaNasir88 & OfficialSultanIbrahim