Emosi anak-anak memang akan jadi bom jangka, bila mak ayah salah pendekatan memujuknya. Pantang anak-anak bila barang mereka dirampas tanpa rela. Kadang kita tak perasan, yang tindakan mendesak sebegitu rupanya membentuk karakter pemberontak dalam diri anak.
Nak ambil barang dari tangan anak ada caranya. Bukan main rampas. Inilah yang dikongsikan Muhammad Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Encik Matt (LelakiBurQa) yang berhadapan situasi anaknya yang digelar ‘adik’ yang dah pandai campak barang.
Anak Tengah Seronok Main, Kita Rampas
Patutlah anak saya dah pandai campak barang apabila diminta. Rupanya mak saudara di rumah selalu rampas barang dari tangan dia.
Perasan tak anak sedang seronok bermain kita rampas, terus dia mengamuk dan menangis.
Rupanya cara kita sangat salah. Merampas barang dari tangan mereka akan develop sifat memberontak.
“Dua minggu lepas anak saya main penyapu, kakak datang terus rampas penyapu, marah adik. Apa lagi meragamlah dia. Menjerit sekuat hati marah kakak balik. Kebetulan berlaku depan saya.”
“Saya cakap kakak bagi balik kat adik. Sini Abi tunjuk macam mana cara supaya adik tidak mengamuk.”
Saya pergi kat anak. Saya duduk sama tinggi dengan dia (melutut). Perlahan-lahan saya pegang penyapu. Saya cakap rajinnya Muhammad nak menyapu sampah ya? Sambil saya senyum. Meh sini penyapu Abi ajarkan. Terus anak bagi dengan muka tersenyum.
Setelah itu saya alihkan perhatian dia pergi luar rumah tengok burung, tengok langit, tengok kereta.
Cara pujukan yang ditunjukkan ayah itu menjadi dan berjaya melembutkan hati anak kecilnya. Sebenarnya nak memujuk anak pun ada tekniknya.
4 Cara Paling Berkesan Pujuk Anak Yang Mula Nak Tantrum
1. Eye Contact
Pandang ke dalam matanya dengan ekpresi muka yang tenang apabila bercakap atau untuk arahkan sesuatu.
2. Body Contact
Samakan kedudukkan kita setaraf dengan mereka. Guna sentuhan yang lembut apabila anak sedang meragam. Rapatkan badan kita dengan anak. Pegang bahu dia sambil gosok-gosok di belakang dan terus peluk, sambil bisik di telinga dia, “Abi dan Umi sayang Muhammad, الله sayang Muhammad”
3. Perkenalkan Kepada Anak Kegunaan Sesuatu Barang Tersebut
Bezakan kepada mereka yang mana boleh main dan yang mana tidak boleh main atau sentuh, terutama alatan tajam atau barangan elektronik.
Sebenarnya bagi kanak-kanak semua barang adalah permainan. Jadi,tugas kitalah untuk fahamkan perbezaan barang-barang tersebut. Contohnya penyapu tadi. Setiap hari ketika menyapu cakap kepada anak penyapu ini fungsinya untuk sapu sampah. Bukan untuk main. (sambil ajak anak)
4. Apabila Anak 2 Tahun Main Barang Yang Salah
Jangan kita berteriak dari jauh. Anak pegang gelas dari jauh kita dah jerit. Akhirnya mereka terkejut terus campak gelas ke lantai. Sepatutnya pergi kepada anak dan ambil gelas dengan berhemah.
Sekarang anak saya mula dengar cakap tidak lagi campak barang. Dia nak main HP sekali pun datang minta izin dengan saya. Rupanya sangat mudah untuk wujudkan emosi yang positif dalam jiwa anak-anak kecil ini.
Moga Bermanfaat kepada tuan puan.
Sumber/Foto : Facebook Muhammad Ahmad , wholeparent.com , everythingfordads.com
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jadi Isteri Jaminan Syurga, Mulakan Dengan Projek 5P Untuk Memikat Suami
Satu kerisauan di hati isteri yang paling meresahkan ialah bila suami mula tunjuk tanda-tanda tak sayang. Atau suami mula tak melayan dirinya seperti sebelum-sebelum ini.Sepantas kilat, fikiran isteri buat perbandingan; suami ada orang lainkah? tak cantik lagikah aku di matanya. Walaupun tak payahlah fikir sampai begitu, tapi itulah kepakaran seorang isteri. Sebenarnya isteri boleh tawan kembali hati suami dengan memulakan langkah mengikut kaedah projek 5P yang dikongsikan oleh penulis Nik Mohd Iznan ini.
Berikut antara perkongsian beliau;
P1 – PERIBADI
P yang pertama ialah peribadi. Isteri perlu menunjukkan sifat keperibadian yang unggul. Sifat keperibadian yang tinggi.
Dalam konteks ini, agama adalah penting. Jadikan wanita-wanita yang dijamin syurga sebagai idola. Ikut jejak langkah Siti Khadijah dan Siti Aisyah sebagai contoh serikandi.
Sabda Rasulullah S.A.W. sebagagaimana riwayat oleh Muslim: “Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.”
Banyakkan membaca buku-buku, majalah dan laman web yang berunsur keagamaan. Sentiasa menghadiri majlis ilmu untuk memantapkan lagi ilmu agama. Jaga diri, jaga peribadi, jaga suami, insya-Allah syurga menanti.
P2 – PENAMPILAN
P yang kedua ialah penampilan. Siapa tidak mahu memiliki wajah yang berseri. Putih melepak macam selebriti. Gebu menawan macam roti. Pinggang ramping macam artis terkini.
Ada banyak produk-produk yang lulus KKM di pasaran. Namun jangan tersalah pilih produk. Nanti semakin teruk wajah. Yang penting, badan sentiasa wangi dan wajah berseri dengan senyuman. Jangan kedekut untuk keluarkan belanja bagi membeli pakaian-pakaian yang murah tapi cantik. Untuk suami juga.
Tidak kisahlah macam mana pun. Yang penting, sentiasa menjaga penampilan untuk suami. Urus diri sebaik mungkin. Jaga penampilan, suami sayang!
P3 – PEMAKANAN
P yang ketiga ialah pemakanan. Pemakanan di sini adalah merujuk kepada masakan di rumah. Dalam konteks zaman moden yang serba mencabar ini, ramai suri rumah berkerjaya tidak ada masa untuk memasak. Setiap hari beli lauk di kedai. Impaknya, suami jatuh hati kepada tukang masak di restoran Pattaya.
Tidak pandai masak, tidak ada masalah. Boleh belajar, belajar dan belajar. Balik kampung belajarlah dengan ibu sendiri atau ibu mentua. Malah, boleh buka Youtube belajar masakan. Sentiasa memperbaharui resepi-resepi terkini.
Jangan pernah tanya suami, “Sedap tak?”
Tapi lihat secara psikologi. Kalau makan bertambah, sedaplah itu.
P4 – PEMAKAIAN
P yang keempat ialah pemakaian. Bab penampilan sudah disebut dalam P2. Penampilan juga termasuk dalam pemakaian diri. Fokus pemakaian di sini ialah pemakaian suami. Jaga pakaian suami. Sentiasa bersedia dengan pakaian bergosok. Kotor basuh. Jangan biarkan suami basuh sendiri pakaian. Tapi kalau suami yang jenis ringan tangan tidak ada masalah. Itu tanda sayang.
Ambil tahu saiz kasut suami, saiz seluar, saiz baju, seluar yang macam mana digemari suami dan lain-lain.
Kalau suami tanya pendapat tentang fesyen, jangan jawab acuh tidak acuh. “Baju yang ini dengan yang ini mana cantik?” “Dua-dua cantik.” Wahai kaum hawa, jangan jawab begitu. Ambil masa, dan fikirkan jawapan yang lebih sesuai. “Dua-dua cantik. Tapi yang merah ini lebih menampakkan keberanian abang.” Ha, begitu.
P5 – PENGURUSAN KEWANGAN
P kelima ialah Pengurusan Kewangan. Ada yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Ada yang turut bekerja membantu suami. Malah, ada wanita yang menjawat jawatan sebagai CEO, dengan gaji yang lebih tinggi daripada suami.
Suami suka isteri yang tidak boros, cermat, dan pandai berbelanja. Dengan kata lain, sangat cekap dalam bab-bab pengurusan kewangan. Banyakkan juga membaca buku-buku tentang kewangan dan peluang-peluang pelaburan.
Ini demi masa depan anak-anak juga. Rajin-rajinlah menyimpan. Biar sedikit, yang penting ada juga menyimpan. Suami sangat suka kalau tiba-tiba isteri tiba-tiba mengusulkan begini:
“Abang, jom pergi Langkawi lepas raya. Sayang belanja.”
Sumber: FB Nik Mohamad Iznan via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tinggallah Berasingan Dengan Keluarga. Sebab Menantu Perempuan Banyak Perkara Remeh Nak Dipertikaikan
Setiap wanita berkahwin dengan pasangan yang dicintai, sudah pasti mendambakan keluarga yang bahagia. Sebab itulah, bila berkahwin, pasangan sebolehnya ingin tinggal berasingan, tidak kisahlah permulaan hanya tinggal di rumah sewa sahaja.
Walau bagaimanapun, bukan untuk lari daripada keluarga mentua. Ketahuilah, berkahwin bukan untuk dirinya dan suami tetapi sebolehnya ingin dikelilingi oleh mentua dan ipar duai yang saling memahami. Tinggal berasingan sekurannya tidaklah terdedah kepada perkara yang remeh temeh.
Kadang-kadang, bila tinggal bersama banyak kes yang menyebabkan menantu tidak ‘sebulu’ dengan mentua, hinggakan boleh tercetusnya pergaduhan antara mereka. Mungkin boleh jadi juga punca penceraian suami isteri.
Ini salah satu perkongsian daripada Farizal Radzali tentang perkara ini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Menantu Dan Mentua Patut Tahu Bab Ini Sebelum Tinggal Berasingan
30 Tahun Berkahwin Tinggal Serumah, Jadi Suami Isteri Asing-Asing
Info Lebih Menarik DI SINI
Gaduh Dengan Mentua
Haritu ada klien kes cerai. Menantu perempuan gaduh dengan mak mertua, si suami tak tahan lalu ceraikan isterinya. Iyelah, nak ceraikan mak memang tak boleh la kan. Tak pasal-pasal dapat status anak derhaka pulak nanti. Tapi nak buang 1, maka buanglah isteri.
Mereka dah kahwin 12 tahun, ada 3 anak. Sejak kahwin mereka memang tinggal bersama keluarga lelaki sebab si lelaki adalah anak tunggal. Masa nak balik, si suami sempat cakap:
“kenapa lelaki boleh hidup dalam keluarga mentua tapi perempuan tak boleh? Sebab perempuan cerewet! Semua nak menang,” katanya sambil berlalu pergi meninggalkan pejabat kami dengan riak kesal.
Terfikir jugak. Memang betul apa yang dia kata. Jarang kita dengar menantu lelaki berselisih faham dengan mertuanya kalau tinggal bersama. Tapi selalu kita dengar menantu perempuan berselisih faham dengan mak mertua mahu pun ipar duai jika tinggal bersama. Hmmmm…… Di mana silapnya? Menantukah? Mentuakah? Suamikah? Isterikah? Lelakikah? Atau perempuankah?
Jarang Menantu Lelaki Berselisih Faham
Tapi kalau difikirkan sedalamnya, menantu lelaki nak berselisih faham dengan mentua mengenai apa? Potong bawang salah? Masak nasi lembik sangat? Masakan masin? Kopi tawar? Tak pandai masak, lipat kain, jaga anak, jaga isteri, kemas rumah dan macam-macam lagi.
Tak ada satu pun menantu lelaki terlibat dalam hal ni. Cukuplah andai dia boleh bekerja & menyara hidup anak isteri.
Sedangkan kalau menantu perempuan, terlalu banyak perkara remeh yg nak dipertikaikan. Itu tak betul, ini tak betul. Sentiasa nak menantu tu ikut cara famili suami sedangkan dia dibesarkan dalam keluarga yang lain, yang mungkin dari cara hidup yang tak sama. Nak pula ada ipar duai yang ada perasaan cemburu kerana ada perempuan lain masuk dalam familinya.
Tiada Tolak Ansur
Suami pulak, bila isteri mengadu, marahkan isteri. Dikatakan isteri tak nak bertolak ansur. 12 tahun masih lagi isteri tak bertolak ansur??? Mulalah ungkit.
“Dulu masa belum kahwin, saya dah kata bahawa kita akan tinggal dengan mak saya dan awak setuju. Sekarang kenapa tak boleh pulak?” haaa…… siapa kata lelaki tak pandai mengungkit?
Tapi suami lupa bahawa masa nak kahwin dia pun berjanji takkan abaikan isteri walaupun tinggal dengan maknya?
Bila isteri berselisih faham dengan mak, suami keluar rumah. Lepak dengan kawan. Malas masuk campur dengan harapan nanti ok la tu. Lepas tu kata serba salah, dua-dua pun sayang. Tak tau nak back up siapa. Huh!
Tinggal Berasingan
Sebab tu digalakkan pasangan yang dah berkahwin, tinggallah berasingan dari keluarga. Bukan nak buang keluarga tapi demi menjaga keharmonian keluarga. Biarlah susah, makan nasi dengan kicap je . Takpe, asalkan hati tak susah.
Jika anak tunggal, carilah rumah yang dekat. Ziarahlah ibu bapa selalu. Mula-mula akan ada bunyi sebab sanggup tinggalkan mak ayah lepas kahwin. Lama kelamaan akan ok bergantung kepada bagaimana layanan kita pada mak ayah. Itu lebih baik dari mula-mula manis tapi lama-lama jadi pahit.
Cuba selidik balik kenapa Hawa dicipta? Adalah untuk menemani Adam. Bukan menemani orang lain, bukan menemani anak Adam sekalipun. Perempuan dicipta dengan hati yang halus. Agar hatinya penuh kasih sayang.
Kenapa lelaki boleh kahwin 4 tetapi perempuan tak boleh? Kerana mereka dicipta sebagai pemimpin yang mampu melindungi. Mereka sepatutnya mampu berlaku adil. Tapi perempuan tak mampu lakukan apa yang lelaki mampu kerana ciptaan dan tujuan ciptaan perempuan tak sama.
Jika semua insan faham kenapa setiap ciptaan Tuhan itu begitu dan begini, tiada perkara yang tak boleh diselesaikan. Bahkan poligami pun akan jadi manis. Lelaki pasti senyum kalau cakap begini kan?
Kepada para lelaki, sila baca sejarah.
Sekian….
MW: Tepat sekali, bila kahwin, tinggallah berasingan, tak kisah makan nasi dengan lauk kicap dan telur goreng sekali pun. Yang penting, susah senang harungi bersama.
Sumber: Farizal Radzali
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
DIMADUKAN, DICERAIKAN Wanita Sedarlah KEHILANGAN SUAMI Kecil Berbanding Nikmat Tubuh Badan Allah Pinjamkan
Dimadukan, diceraikan wanita sedarlah kehilangan suami kecil berbanding nikmat tubuh badan Allah pinjamkan. Bila perempuan tawar hati, kebahagiaan rumah tangga akan mula hilang serinya.
Jika hatinya tidak bahagia pastinya akan berasa diri sangat kerdil dan disisihkan. Namun sedarlah bahawa kehilangan suami adalah kecil berbanding dengan nikmat sempurna tubuh badan yang Allah pinjamkan kepada kita.
Insan bernama isteri ini membawa aura tersendiri. Jika dirinya dianiaya dan ditinggalkan di tidak boleh terlalu leka sebaliknya perlu bangkit membuktikan kebolehan diri dan terus kuat mengubah nasib tanpa insan bergelar suami. Semangat dan tekad wanita perlu ditanamkan dalam diri demi anak-anak tersayang. Pastinya mereka tidak akan biarkan anak-anak hidup merempat jika tidak ada suami di sisi.
DIMADUKAN, DICERAIKAN Wanita Sedarlah KEHILANGAN SUAMI Kecil
Seperti mana perkongsian wanita kuat dan juga pempengaruh di media sosial, Puan Dzuriasikim Dzulkefli punya perkongsian yang boleh memberikan manfaat kepada wanita yang berhadapan dengan masalah rumah tangga dan ditinggalkan suami.
WANITA, USAH MENANGIS. BACA 13 LANGKAH UNTUK BANGKIT.
Tidak kira apa status anda, wanita adalah kaum yang lemah lembut hati dan jiwanya serta mudah tersentuh perasaan.
Bertenang dan baca ini:
- SEKIRANYA DIUJI DENGAN PERPISAHAN, DIMADUKAN ATAU APA DALAM RUMAHTANGGA.
PERKARA PERTAMA YANG HARUS ANDA LAKUKAN…
Hitung dan bersyukurlah atas berapa banyak nikmat yang kita masih ada. Walaupun sebaiknya bersyukur ini dilakukan pada setiap hari (di kala senang dan susah), namun ramai yang terlupa untuk melakukannya bukan?
Cuba bayangkan jika pada suatu pagi kita bangun tanpa kedua belah tangan atau kedua belah kaki. (Pejam mata dan bayangkan…).
Atau tanpa nikmat penglihatan kedua belah mata. Bukankah kita akan mula berkata…
“Ya Allah, hamba bermohon kepada Mu Ya Allah. Hamba lupa akan nikmat Mu Ya Allah. Kembalikan kedua belah kaki ku Ya Allah.”.
Kerana saat itu mungkin baru kita akan sedar bahawa kehilangan suami adalah kecil berbanding dengan nikmat sempurna tubuh badan yang Allah pinjamkan kepada kita.
Count every single thing that we still have… Anak-anak di hadapan mata. Pernafasan tanpa bantuan, jantung yang masih berfungsi, malah.. memiliki rambut dan kuku itu pun nikmat!
Jangan lupa akan itu semua.
MasyaAllah tabarakallah.
- INGAT ALLAH
Ingat Allah. Usah menangis keterlaluan siang dan malam. Apa lagi merintih memohon simpati dengan orang lain. Menangis tidak akan dapat merubah nasib kita.
Selalu saat kita terlalu bersedih, kita berasa seolah-olah bahagia tidak akan datang lagi. Dan di saat kita bahagia, kita berasa seolah kita tidak akan menangis semula. Selalu cepat terlupa bahawa bahagia dan derita itu juga pinjaman dari Allah.
Sabar adalah sebaik-baik ubat hati. Dan Allah adalah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu.
Bersangka baik selalu.
- LIHAT MATA ANAK-ANAK
Jika punya anak, usah diabaikan hanya kerana kita berasa kita ini sedang tertekan. Usah kita layan kesedihan kita sehingga kita abaikan tanggungjawab. Anak-anak sangat memerlukan kita. Bangkit dan peluk mereka semua. Biar 10 atau 12 orang anak sekalipun. InsyaAllah akan ada rezeki buat mereka. MasyaAllah, anda kena yakin dengan rezeki Allah. Dia Maha Memberi. Dan Dia memberikan sesuatu dengan sungguh luarbiasa.
- PILIH KAWAN
Pilih dengan siapa anda berkawan. Ada ramai wanita yang tersalah memilih kawan serta memilih jalan yang salah untuk hilangkan derita. Apa lagi ketika mereka dalam keadaan baru berpisah dengan pasangan. Baru putus tunang. Baru ditinggalkan.
Jika hati kita lemah, kita akan mudah terikut dengan rakan-rakan. Pilih kawan-kawan yang positif, membina dan berkualiti. Tidak selalu mengingatkan kita tentang masa silam hingga timbul dendam dan kesedihan. Yang tidak suka menyalahkan orang lain serta menghasut minda kita untuk melakukan perkara yang tidak baik.
“Tapis” rakan termasuk di media sosial.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
- JIKA ADA YANG MENJAUHKAN DIRI
Saat kita susah, itu adalah perkara biasa. Yang luarbiasa adalah ketika rakan dan saudara masih mahu bersama kita ketika susah.
Sahabat Rasulullah Muhammad SAW, Sayyidina Ali Bin Abi Thalib Radiallahu anh. Ilham menuturkan, ketika Sayyidina Ali ditanya salah seorang sahabat terkait siapa yang dimaksud teman-teman dan sahabat Ali.
“Ya Ali kulihat sahabat-sahabatmu begitu setia sehingga banyak sekali, berapakah sahabatmu itu?”.
Sayyidina Ali menjawab,
“Nanti akan kuhitung setelah aku tertimpa musibah.”
Begitulah jawapan Sayyidina Ali.
Letakkan kebergantungan kita hanya kepada Allah. Orang yang meletakkan kebahagiaan diri pada orang lain dan bukan Allah ini akan mudah kecewa. Kasih manusia berubah-ubah. Sedang kasih Allah tanpa syarat. Allah mencintai tanpa ada kenapa dan mengapa.
- BETULKAN NIAT
Betulkan niat dalam diri dan terhadap orang lain. Perlu ada alignment dalam diri dan ini adalah sangat penting dalam hidup. Tidak kira samada dalam urusan perhubungan keluarga, sahabat, perniagaan, pekerjaan atau apa sahaja….
The power of Niat. Sama-sama kita semak dan perbaharui niat setiap hari. Pastikan apa yang ada dalam minda selari dengan mata, lidah dan hati. Jaga mulut dari mengata, jaga hati diri dan hati orang dan jauhi sifat bersangka-sangka, jaga mata agar sentiasa melihat kebaikan dalam setiap perkara. Jadi mata lebah dan bukan mata lalat.
Sebab syaitan memang selalu menggunakan cara halus untuk pesongkan niat kita. Akhirnya pergantungan kita kepada Rabb akan tergelincir sedikit demi sedikit.
- TINGKATKAN DIRI
Cuba baca buku-buku yang boleh memberikan inspirasi dan semangat. Jika tidak mampu untuk membeli buku, cuba buat carian di internet dan baca kisah kejayaan ramai wanita hebat dunia dan bagaimana mereka berjaya bangkit semula dalam hidup. Jika tidak mampu beli data, anda boleh cuba menggunakan wifi percuma yang disediakan di kebanyakan tempat awam. Sentiasa penuhi masa dengan perkara berfaedah dan elakkan dari termenung.
- FORGIVE AND FORGET
Cuba sebaik mungkin untuk lupakan kisah silam. Anda perlu melangkah ke hadapan. Melihat ke belakang tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Cari kekuatan itu and you need to move on.
- APAKAH ANDA PUNYA IMPIAN?
Fikirkan apa cita-cita anda sebelum ini. Inilah masa terbaik untuk anda memenuhi segala impian anda. Cari jalan dan usah sesekali putus asa. Sekiranya ramai yang memburukkan anda kerana bergelar janda, kerana putus tunang, kerana ditinggalkan pasangan, kerana dimadukan… pekakkan telinga sahaja. Jika tiada teman rapat, ingat selalu bahawa kita ada Allah.
Hidup ini biarlah dipuji tak terbang, dihina tak tumbang.
- JADI KUAT!
Cuba kawal minda anda. Letakkan masalah peribadi dalam satu “kotak” berbeza. Sentiasa senyum bila berhadapan dengan orang sekeliling terutama anak-anak. Usah sesekali menyalahkan atau memburukkan orang lain (contohnya bekas pasangan) atas apa yang berlaku. Usah salahkan takdir Allah!
Abu Hurairah ra, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah berfirman,
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
_”Aku sesuai dengan sangkaan hamba pada-Ku.”_
(Muttafaqun ‘alaih)
Seburuk manapun bekas pasangan anda, dia tetap ayah kepada anak-anak anda. Usah heret anak-anak ke dalam emosi. Minda anak-anak yang positif dan ceria akan mempengaruhi keperibadian serta pencapaian akademik mereka.
- CARI REZEKI YANG HALAL
Jika sukar meninggalkan anak untuk keluar bekerja atau mencari rezeki, usahakanlah sesuatu dari rumah sahaja. Ambil upah jahit butang baju pun tidak mengapa. Ada banyak pekerjaan yang boleh dilakukan selagi kita mahu berusaha. Upah yang diperolehi itu nanti bolehlah dibelanjakan sedikit dan simpanlah juga (walau sedikit untuk kecemasan dan untuk mengejar impian yang ada). Susah sedikit tidak mengapa… belajarlah untuk berdikari.
Sabar sedikit. Ianya mungkin akan memakan masa. Orang yang sabar pasti akan memperoleh kemenangan. Bertahanlah. Saya yakin anda boleh!
- JATUH CINTA LAGI
Usah mudah jatuh cinta pula. Belajar dari kesilapan lalu. Jika mahu bernikah lagi, pilihlah pasangan dengan lebih berhati-hati. Sebaiknya anda berikan sedikit ruang untuk diri sendiri. Tingkatkan penjagaan dan kualiti diri. Pastikan anda tampil bersih, berseri, kemas dan rapi walau seteruk manapun kesedihan anda. Utamakan kebahagiaan diri dan anak-anak (jika ada). Ingat, alam perkahwinan tidak sama dengan alam bercinta. Langsung tidak sama seperti dalam kisah Cerekarama atau Sinetron. Usah tersilap langkah untuk kali kedua.
- SABAR, DOA DAN TAHAJJUD
Saya suka ingatkan. Usah putus asa untuk berdoa. Jangan lupa bertahajjud. Sehina manapun kita di mata manusia, hanya Allah sahaja yang menentukan untuk menerima segala amal dan doa kita. Percayalah, tidak akan sia-sia untuk bangun pada setiap malam dan bertahajjud.
Solat Tahajjud adalah solat malam, makna Tahajjud adalah solat yang dikerjakan setelah tidur. Waktunya terbentang mulai setelah Isya’ hingga sebelum Subuh, dengan didahului tidur. Dan waktu paling utamanya adalah di sepertiga malam yang terakhir.
“Dan pada sebagian malam hari, solat tahajud-lah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji”
(QS. Al Isra’: 79).
“Doa di saat tahajud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasaran.”
(Imam Syafie)
Saya terjumpa kedua ayat ini dulu yang membuatkan saya bangkit! Jangan lupa untuk bersihkan hati. Maafkan orang sekeliling. Jangan berdendam. Yakinlah dengan Tuhan. Strong women never give up,” kongsi Dzuriasikim Dzulkefli.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Baca Disini : Bercerai 48 Tahun Lepas, Lelaki KENCING Atas Kubur BEKAS Isteri Setiap Hari
Mingguan Wanita : Kuatnya wanita kerana tekad untuk membesarkan anak-anak kesayangan. Tanpa suami pun insyaAllah wanita boleh berjaya.
Sumber : Facebook Dzuriasikim Dzulkefli
Fazura Pesan Wahai Wanita Sayangi & Hargailah Diri Anda!
Tip Cantik Isteri, Ibu & Selebriti Datin Elvina
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI