Sikap Mak Ayah Bertukar Jadi Garang Sebenarnya Sebab Dia LUPA 4 Perkara Ini

Share

Berbaloi ke mak ayah garang pada anak-anak cuma disebabkan mereka buat silap? Kalau baca di dada akhbar, terlalu banyak kes dera pada anak sampai ada yang jadi punca anak meninggal. Tanpa rasa bersalah, ada sesetengah mak ayah menjerit pada anak-anak yang masih kecil depan orang ramai yang kononnya niat nak menegur.

Wahai mak ayah… berubahlah jika anda betul sayang anak dan untuk renungan bersama, baca perkongsian Ustazah Isfadiah ini…

Tegas dan garang sangatlah ketara bezanya. Dalam kamus istilah tegas bererti jelas, terang dan lantang. Manakala garang pula bermakna menyerang dengan buasnya atau marah-marah dengan bengisnya. Mak Ayah tak ada ler sampai garang gitu sekali kan.. Jom kita tengok 4 perkara pencetus garang.

1. Menjerit-jerit

Lupa nak pelankan volume suara, maklum banyak tenaga yang datang dari emosi sebab rasa macam tidak dipercayai atau dikhianati. Apa pun perasaan kita, kawal sebaik mungkin volume suara. Guna nada professional seperti pembaca berita. Suara diorang serius namun mesra walau sedang membaca berita yang lucu. Ingatkan diri sendiri bahawa Allah tegur kita dalam surah al-Hujurat:2 supaya tidak angkat suara melebihi suara nabi. Begitu juga ingatan Allah dalam surah Luqman:19 tentang suara keldai meringkik.

2. Lupa nak tarik nafas dan senyum

Bila rasa tercabar sikit mak ayah akan cepat tarik muka sepatutnya kena tarik nafas dulu. kita fikir kita yang kena kawal anak sebab anak tak faham, anak degil, anak terpengaruh dengan kawan dan sebagainya. Kita lupa bahawa satu-satunya insan yang kita boleh kawal adalah diri sendiri. Bila tak dapat kawal muka kita jadi bengis, masam kelat, kening berkerut, mata jadi bulat besar, hodoh jadi nya!. Apa yang kita pamerkan itulah yang kita dapat. Anak tengok anak jadi takut terciptalah jurang antara mak ayah dan anak, Imam Ghazali pernah berpesan untuk kita lihat wajah kita sendiri di cermin sebagai kaedah kawal diri ketika rasa nak marah-marah.

3. Lupa niat; nak terang atau nak serang

Mak ayah sering lupa kita adalah pembimbing anak, kita bukan hakim yang kena menghukum anak sepanjang masa. Nabi pun ajar kita untuk bimbing anak selama 3 tahun supaya menguasai ibadah solat, nak jadikan solat sebagai budaya diri, 3 tahun adalah tempoh yang panjang dan dalam tempoh yang panjang itulah kita akan ulang, terang, jelaskan, tunjukkan berulangkali. Lepas 3 tahun yang setiap hari 5 kali proses mengulang menerang berlaku pun tak jalan juga barulah dirotan anak itu. Bila kita lupa peranan kita pada anak, hati mudah jengkel dan bosan, mulalah kita rasa anak ni lembap ke, tak faham-faham ke, kita mula bandingkan dengan anak orang lain ataupun bandingkan diri kita dulu-dulu, masa kecik dulu kita cepat faham, cepat patuh dan cepat taat padahal kita perasan je tu, akhirnya dengan anak cepat je nak serang dan mudahnya jadi garang.

4. Lupa anak kita bukan milik kita

Kita sering lupa bahawa Allahlah yang merancang perjalanan hidup kita. Allah sentiasa melihat dan menilai respon kita pada perancanganNya yang kudus itu. Anak-anak kita adalah milik Allah. Allah pinjamkan pada kita untuk kita urus anak sebagaimana yang dikehendaki oleh pemiliknya. Anak kita bukan juga hamba kita, bukan pula sumber kebanggaan mutlak, tetapi dia adalah jambatan dan jalan untuk meraih redha Allah. Anak -anak merupakan asbab untuk capai keredhaan dan kasih sayang Allah.

Semoga Allah sentiasa ingatkan kita yang pelupa ini.

Published by
Nadia