Kalau betul nak suami berduit, sikap isteri kenalah elok. Tak menjadikan sebab rezeki tersekat dan memburukkan keadaan sampai hilang sakinah, mawaddah, dan rahmah dalam rumah tangga.
Jadi sebagai isteri, semailah sikap ini demi meningkatkan keberkatan rezeki keluarga yang didapat dari usaha suami. Haaa… sebenarnya inilah amalan-amalan yang boleh dilakukan oleh si isteri untuk menaikkan keberkatan rezeki yang diperolehi suami agar sentiasa lebat.
1. Bahagikan Sumber Rezeki Pada Orang Tua & Mentua
Mungkin ramai yang tak cukup duit setiap bulan, tetapi tolonglah jangan sesekali lupa memberi pada orang tua. Tak pelu banyak, sikit RM50 pun dah lebih dari cukup. Peranan isteri, sila asingkan awal-awal lagi. Sekecil apa pun atau sedikit apa pun, asingkan beberapa nafkah dari suami untuk orang-tua serta mertua. Walau hanya dengan membelikan beras atau keperluan harian yang lain, sedarilah bahawa aspek itu mampu meningkatkan keberkatan rezeki yang didapat. Tutup telinga rapat-rapat serta janganlah pedulikan apabila terima sindiran atau dibanding-bandingkan dengan jumlah yang didapat dari menantu lain yang lebih besar, jangan pernah jadikan hal itu pemusnah niat baik kita. Jauhi juga berfikiran seperti:
Ads
“Jangankan untuk orang-tua, untuk keluarga sendiri pun tak cukup!”
atau…
“Orang tua dan mertua dah berduit!”
2. Ingatkan Suami Untuk Gali Nafkah Keluarga Dari Sumber Yang Halal
Selangkah suami keluar dari pintu rumah, doakan moga rezeki suami mengalir laju. Dan jangan lupa meningatkan suami supaya memberi nafkah kepada keluarga dari rezeki yang halal. Kerana besarnya kepentingan rezeki yang halal demi membentuk sebuah keluarga yang baik dan dirahmati Allah. In shaa Allah anak-anak pun pasti jadi anak yang baik-baik dan dengar cakap ibu ayah.
Ads
3. Elak Kehidupan Yang Boros
Asyik makan luar pun tak sihat dan tak bagus untuk pikat hati pasangan. Masak sendiri di rumah lebih menjimatkan daripada makan di luar atau beli makanan dari luar. Malah isteri juga mampu menghindari keluarga dari amalan boros. Lagi elok sediakan bekal untuk suami agar tidak perlu makan siang di luar pejabat, malah tak adalah anak-anak makan jajan atau makanan ringan. Semoga ikhtiar berhemat serta merubah lifestyle itu dapat menaikkan keberkatan rezeki keluarga.
4. Lakukan Beribadah Bersama
Beribadah serta ketakwaan yang kita kerjakan bukan sahaja mendapat pahala malah mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dorong keluarga untuk melakukan solat berjemaah setiap hari, malah adakan acara ibadah di rumah bersama keluarga seperti berpuasa sunnah Isnin serta Khamis, solat ditengah malam, membaca Al Quran serta yang lain.
Ads
5. Jangan Perang Mulut Dalam Rumah
Kadang bila bergaduh, meleret-leret sampai tak sedar yang anak-anak dah tengok. Ini tak bagus untuk perkembangan anak dan percayalah pertikaian cuma akan menyalutkan kebencian serta menghilangkan keharmonian rumah tangga. Isteri kena menjadi penyejuk dikala suami dalam keadaan stres, bukannya menjadi insan yang menjadi pertikaian yang semakin besar. Sekali pun ada yang tak suka, bawa berbincang. Jangan terus tinggi suara.
Nampaknya tak susah pun jadi isteri yang mendatangkan rezeki buat suami, asal pegang 5 perkara ini pasti kehidupan dalam keluarga makin berkat. Semoga kalian mampu membina kebahagiaan dalam hubungan suami isteri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jika bukan isteri menghulur, maka semua dalam rumah kebulur. Nasib isteri lebih teruk dari seorang hamba! Allahu Akhbar, jauhkanlah nasib seorang wanita bergelar isteri yang diperlakukan seperti hamba dalam bahtera yang dibina.
Hari ini ramai wanita yang berada dalam dilema. Mana tidaknya, rumah tangga yang dibina bersama insan disayangi terpaksa diharungi dengan penuh penderitaan.
Ada yang akui suaminya baik namun dari segi nafkah perbelanjaan harian golongan isteri yang lebih banyak menghulur.
Jika Bukan Isteri Menghulur, Maka Semua Dalam Rumah Kebulur
Penulisan penuh bermakna dan perkongsian manfaat dari Puan Sharifah Zahidah menerusi akaun Facebooknya membuka mata para wanita di luar sana terutama mereka yang masih belum bertemu jodoh agar mencari seorang calon suami yang baik dan bertanggungjawab.
Janganlah hanya mencari lelaki yang baik saja ya, carilah lelaki yang bertanggungjawab. Mudah dan ringkas saja namun hal nafkah biasanya selalu terlepas pandang.
“Ramai wanita berdepan dengan kebuntuan apabila diuji dengan suami yang ‘tidak kecil baiknya, tetapi tidak besar pula jahatnya.’ Ini adalah dilema yang paling banyak wanita hadapi. Teruskan membaca.
Suaminya bukan orang jahat.
Tidak mencaci maki.
Tidak memukul.
Tidak panas baran.
Tidak kaki perempuan, kaki botol atau kaki dadah.
Bahkan ada juga baiknya.
Sesekali atau kerap kali berjemaah di masjid.
Selalu ikut aktiviti-aktiviti agama.
Rajin main dengan anak-anak.
Hormat orang tua.
Suka meneman isteri ke sana ke mari.
Tetapi….
Segala beban nafkah diletakkan di pundak sang isteri.
Kereta rosak isteri kena pergi baiki dan keluarkan wangnya untuk kereta sendiri termasuk kereta suami.
Yuran sekolah anak-anak 100% ditanggung isteri. Suami menambah RM100 setahun sekali.
Yuran pengasuh anak juga sama.
Apatah lagi susu, pampers, baju dan alat pendidikan untuk anak-anak. Semuanya di bahu isteri. Si suami sekadar jadi tukang bawa pergi membeli, tetapi beban kewangan semua di bahu isteri.
Jika bukan isteri yang menghulur. Maka semua dalam rumah akan kebulur.
Ikan, sayur, beras, minyak, rempah ratus. Semuanya isteri perlu siapkan dan sponsor. Ada juga sesekali suami bawa balik telur, tepung dan beras sekampit dua; katanya ’melunaskan nafkah keluarga’ yang belanjanya sekitar RM50 sahaja.
Si suami yang manis dengan senyuman pada anak dan isteri ini fikir; ayam, ikan dan dan daging yang mereka 6 beranak itu nikmati, semuanya turun dari langit.
Belum kira bab perabot dan kelengkapan di rumah, bayaran sewa rumah, bil air, api, elektrik dan internet.
Jika bukan isteri yang membayar, sudah lama mereka bergelap gelita.
Kata suami,
“I tahu you taste tinggi. I support saja apa yang you suka. You beli mesin basuh mana you suka, peti apa you nak. I izinkan you beli ikut selera you..” Sambil tersengih-sengih lagak suami misali.
Bila sampai di kaunter untuk bayaran, suami hilang tanpa bayangan. Terkial-kial isteri sekali lagi keluarkan segala simpanan demi mencukupkan keperluan asas dalam kediaman.
Kemudian isteri sebegini jumpa saya, dan mengadu;
“Puan, suami saya baik Puan. Saya sayang dia. Dia pandai buat lawak. Dia selalu senyum dekat saya dan anak-anak. Tak pernah maki atau pukul saya. Tapi kenapa saya rasa STRESS dan TAK BAHAGIA? Kufurkah saya Puan? Orang lain suami kaki pukul, perompak, lari dari rumah tinggalkan anak bini. Saya ni dah bertuah dah suami tak buat semua tu. Tapi kenapa saya betul-betul hilang bahagia dan rasa terlalu penat menjadi isteri dia… Berdosakah saya?”
Saya tarik nafas panjang.
Dan saya mulakan dengan soalan,
“Dari segi urusan kewangan rumahtangga macam mana? Siapa bayar segala belanja rumah, makan, utilities, sekolah anak-anak, kesihatan, kecemasan, belanja balik kampong semua tu…”
Belum saya habis sebutkan satu persatu dia sudah memintas,
“Saya puan. Saya semuanya tanggung apa juga belanja. Kadang-kadang ada juga dia hulur seratus dua.. Sebab gaji dia lebih kecil dari gaji saya..”
“Gaji lagi kecil dari Puan? Maafkan saya bertanya, berapa kecil tu? Berapa gaji Puan dan berapa gaji dia?”
“Gaji saya RM3500, gaji dia dalam RM2800 macam tu.”
“Beza RM700. Tapi tanggungan semua di bahu Puan atas alasan suami gajinya lebih kecil?” Saya sekadar menduga. Ada bayangan keliru yang nyata di wajahnya.
“Sekarang Puan keliru, apa yang membuatkan hilang sudah senyuman di bibir Puan, tak rasa kebahagiaan tapi sang suami sentiasa tenang dan kelihatan ‘menyenangkan’ di mata Puan? Kalau Puan yang berada di posisi suami Puan sekarang, agak agak Puan bahagia tak?”
Persoalan demi persoalan saya lontarkan untuk dia mencari jawapan.
Akhirnya saya tanya,
“Sebenarnya, puan tahu ke apa yang membuatkan suami sentiasa tersenyum bahagia tapi puan menjeruk rasa dan menderita?” Saya bertanya tanpa berselindung apa-apa lagi.
Tugas saya bila mendengar, adalah membawa dialog kami kepada satu kesimpulan yang membuka mata dan letak duduk perkara bagi mereka yang bercerita.
Bukannya saya yang perlu beri jawapan. Bahkan jawapan itu perlu dicari sendiri oleh sang isteri yang meluahkan.
Masalah ini, dilema ini, bukan seorang dua wanita yang merasa. Tapi sangat ramai dalam kasut yang sama.
Dia rasa dia bahagia sebab suami tak caci tak cela dia. Tak main judi tak makan pil kuda. Tapi dalam masa yang sama, hampir seluruh jiwa raga dia sudah ‘HILANG’ dalam rumahtangga yang dibina. Sedangkan suami bersenang lenang bersuka ria melepaskan segala tanggungjawab di bahu isterinya.
Bahkan lepas beberapa ketika, ada suami yang tiba-tiba perasan,
“Banyak pula wang aku ini.. Boleh ‘menanggung’ seorang isteri lagi nampaknya”
“Banyak pula masa lapang aku ni. Asyik ditinggal isteri yang sibuk bekerja sampai jiwa rasa sunyi. Nampaknya kena cari lagi calon isteri..”
“Banyak lagi tenaga aku ini rupanya. Tiba-tiba rindu suara tangis dan ketawa bayi. Bolehlah tambah bini untuk menambah bayi..”
Dia tak tahu wang yang banyak itu sebab isteri yang melepaskan hak-haknya sebagai isteri demi menyenangkan suami.
Dia tak tahu masa lapang yang banyak sebab dia tak pernah nak bantu isteri dalam hal ehwal rumahtangga walhal keduanya bekerja.
Dia tak tahu tenaga yang banyak bukan sebab dia masih muda perkasa, tapi sebab keringat jantannya yang tak pernah diguna!
Suami makin senang lepas kahwin sebab dibela isteri yang melunaskan serba serbi tentang keluarga. Isteri pula dari anak dara jelita dah bertukar menjadi naga gara-gara keringat dan segala upayanya diperguna untuk membela seorang bayi tua.
Akhirnya, isteri nampak serba tak kena sebab asyik serabut dan hilang sinar di muka. Suami nampak sempurna ala-ala jejaka idaman Malaya sebab selalu tampil kemas bergaya, senyum setiap masa.
Kawan,
Suami yang BAIK dan suami yang BERTANGGUNGJAWAB adalah 2 perkara yang berbeza.
Seorang lelaki boleh jadi suami yang baik tapi langsung tak bertanggungjawab. Seorang lelaki juga boleh jadi suami yang tidak berapa baik tetapi bertanggungjawab.
Kedua ini adalah karakter yang berbeza yang WAJIB dimiliki oleh seorang ketua keluarga.
Suami tidak baik yang bertanggungjawab akan MEMBELI isterinya dengan harta. Dia tabur harta pada isteri, menafkahi secukupnya – tetapi ada perempuan lain, menonton porno, berkata-kata kesat, bermuamalam dengan kelat, meninggalkan solat dan sebagainya. Dia MEMBELI isteri dengan menyempurnakan keperluan materi tetapi dia tetap gagal sebagai seorang ketua keluarga.
Suami baik yang tidak bertanggungjawab pula MEMPERKULI isteri dengan layanan baiknya kepada isteri. Anjing mana tak setia dengan Tuan kan? Itupun belum tentu kesetiaan yang berpanjangan. Hujung usia, diduakan juga sang isteri ’tua.’
Dalam situasi pertama, ramai wanita dilema tapi dia SEDAR sesuatu tidak kena. Tapi situasi kedua, adalah apa yang LEBIH berbahaya kerana wanita ini tidak sedar apa yang dilalui, dek kerana tersorok dengan baiknya perilaku seorang suami menyebabkan dia merasa tiada apa-apa yang salah dalam rumahtangganya.
Sedar-sedar, sosok seorang isteri yang penyayang, isteri yang menjadi penyejuk hati, isteri yang menjadi sumber ketenangan keluarga – semuanya sudah ’HILANG’.
Yang ada dalam rumahtangganya, cumalah seorang suami yang memperkuli isteri dan seorang wanita yang menjadi hamba.
Kawan,
Hamba pun kadangkala lebih mulia dari isteri yang diperguna.
Kenapa?
Sekurang-kurangnya hamba disuruh buat kerja. Tetapi upahnya adalah makan, pakai dan tempat tinggal yang disedia. Dia tak pening memikirkan segalanya.
Isteri yang diperguna?
Sudahlah segalanya dia usahakan dengan tulang 4 keratnya. Makan, pakai dan tempat tinggal pula dia perlu sediakan kepada ‘tuannya’? Segala masalah rumahtangga juga, terbeban atas dirinya untuk diselesaikan.
Rupanya, nasib seorang isteri boleh jadi lebih teruk dari seorang hamba. Inilah isteri yang telah ‘HILANG’ fungsinya dalam rumahtangga.
Yang ada kini, seorang suami kepada suaminya sendiri,” kongsi Sharifah Zahidah.
Kisah yang ingin dikongsi ini bukan masalah rumah tangga saya sebaliknya terjadi kepada emak. Sebagai anak, saya berasa kasihan melihat keadaan dirinya yang selalu bermuram dengan sikap ayah.
Saya anak ketiga dari lima beradik. Kakak sudah berumah tangga manakala abang pula menjadi anggota tentera. Saya masih menuntut di pusat pengajian tinggi sementara dua lagi adik masih bersekolah.
Jadi Satu Masalah Bila Ada Pandangan Orang Luar Pada Ayah
Luarannya, orang sering memandang tinggi kepada ayah kerana sikapnya yang ramah dan sering ringan tulang membantu masyarakat sekitar. Peribadi ayah nampak baik kerana itu paparan luaran yang sering ayah tunjukkan tetapi sebagai anak yang memerhati, saya memang tahu emak sering makan hati dengan sikap mata keranjang ayah.
Pantang melihat wanita lain yang jauh lebih cantik daripada emak, mulalah mulutnya memuji-muji sehingga ayah sedikit pun tidak pernah mempedulikan perasaan emak dan bolehkah emak menerima sikapnya itu. Lebih teruk lagi, dulu pernah ayah sampai ke satu tahap ingin berkahwin tetapi emak dapat menghidunya lebih awal.
Untuk pengetahuan semua, ayah memang ada rupa paras yang menarik. Kerjanya pula sebagai pegawai kerajaan dan ayah memang ada banyak kenalan kerana sikap ramahnya itu. Emak hanyalah seorang suri rumah tangga dan dari dulu menguruskan kami anak beranak.
Emak banyak menguruskan rumah tangga dan hanya bergantung duit dari ayah sahaja untuk belanja seharian. Satu yang saya sedihkan ayah tak kisah berbelanja untuk anak-anaknya tetapi ayah seperti berkira untuk membelikan emak hadiah dan sebagainya. Jarang saya lihat emak tersenyum kerana saya lihat emak lebih banyak makan hati dengan cara ayah.
Bayangkan bila ke majlis kenduri kahwin saudara mara, ayah menjadi tumpuan dan usikan. Kata mereka depan mak, mak beruntung sebab ayah masih kelihatan kacak dan tak nampak tua berbanding usia. Emak hanya tersenyum kelat. Hatinya menderita tetapi tidak ramai yang tahu derita dialaminya. Sesekali bila saya balik, emak seperti mengajak saya berbual dan ketika itulah dia luahkan isi hatinya. Bagaimana ayah melayannya dan sikap ayah yang kerap memandang perempuan.
Sampailah Satu Tahap…
Mulanya saya tidak faham semua ini tetapi bila saya semakin matang, saya faham dengan apa yang emak maksudnya. Saya ingin bertanya, adakah semua lelaki memang begitu? Adakah lelaki memang gatal dan suka memandang wanita lain selain isterinya? Tidak pernahkah ayah melihat kami yang mungkin menerima nasib yang sama kalau semua lelaki sepertinya? Di universiti, saya ada mengenali seorang lelaki dan kami satu pengajian tetapi saya tidak berani mendekati biarpun dia beria-ia menghulurkan salam perkenalan. Saya seakan takut kerana saya tak mahu saya senasib seperti emak!
Baru-baru ini emak menelefon saya, menangis bercerita. Emak dapat tahu bapa ada kenalan wanita dan mereka sudah seperti di peringkat serius untuk berkahwin untuk beberapa bulan lagi. Saya menzahirkan rasa terkejut dengan penerangan emak. Kata emak lagi hubungan bapa sudah benar-benar serius dan bapa pun seperti sudah tidak mempedulikan apa pandangan emak dan sebagainya.
Apa yang saya harus buat dalam hal ini? Biar emak menyuruh saya berjanji tak akan bercerita pada abang dan kakak tetapi saya memang tak boleh bersabar kerana bagi saya ini semua sudah melampau. Kakak memang marah, abang juga begitu. Semuanya tak boleh menerima perangai bapa kerana kami anak-anaknya sudah besar. Bagi kami, bapa hanya pentingkan dirinya sahaja tanpa memikirkan perasaan kami dan emak.
Sejak kisah bapa nak kahwin itu, saya lihat muka emak semakin suram. Emak sudah tak banyak bercakap lagi, mungkin emak terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa dan hanya berserah kepada nasibnya sahaja.
Saya juga tengok ayah seperti tidak senang duduk bila semua orang membangkang hasrat hatinya itu kerana kami merasakan ayah tidak adil pada emak dan anak-anak. Suasana dalam rumah juga semakin sepi, semua adik-adik pun seperti tidak suka kepadanya. Masa berlalu, saya tak pasti adakah ayah akan berkahwin seperti keinginannya? Apa yang harus saya buat? Adakah semua lelaki begitu? Bagaimana untuk saya tenangkan hati emak? Bantulah saya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Lazimnya wanita yang bekerjaya tidak mahu berhenti kerja walaupun telah berkahwin dan memiliki anak. Rata-rata bimbang jika sesuatu berlaku pada suami atau lebih teruk ditinggalkan suami suatu hari nanti. Hingga ke situ fikirannya…
Sebenarnya bagi isteri yang bekerja, betulkan nawaitu untuk apa ada pendapatan sendiri. Jangan kerana takur ditinggalkan suami, mak-mak ambil keputusan untuk teruskan bekerja malahan suami lebih daripada berkemampuan dan anak-anak pula memerlukan perhatian.
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan betulkan niat anda baik-baik:
Baik dan bagus sekiranya isteri itu ada pendapatan bulanan…
Tapi nawaitu untuk ada pendapatan itu bukanlah sebagai persediaan sekiranya ditinggalkan suami…
Ada pendapatan untuk meringankan bebanan suami… Ada pendapatan, untuk perbelanjaan kelengkapan sendiri… Ada pendapatan, untuk dibuat simpanan, untuk beli aset, untuk kegunaan kemudian hari… Ada pendapatan, untuk dihulurkan kepada orang tua sendiri…
Maka, tidak lagi perlu meminta-minta daripada suami untuk kegunaan-kegunaan berikut sebab sudah ada duit sendiri…
Tidak Perlu Buat Persediaan, Allah Ada
Persediaan sekiranya ditinggalkan suami itu tak perlu dibuat oleh seorang isteri bila awak sudah pun buat perkara-perkara di atas. Secara automatiknya, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, maka tiada apa yang awak perlu khuatirkan atau risaukan sebab awak sudah lebih daripada mampu untuk hidup tanpa seorang suami…
Dan bagi yang tiada pendapatan, jangan risau, jangan kelam kabut… Jangan esok terus cari kerja, jangan esok terus nak berniaga…
Allah SWT sudah berjanji bahawa Dia akan mencukupkan sekiranya terjadi sesuatu kepada pasangan awak itu… Maka letak keyakinan anda pada Allah SWT…
Memang langit tak selalunya cerah, tapi selalukah kita berdoa untuk minta hujan turun di tengahari?
Perbaiki nawaitu, “Saya cari duit bukan sebagai persediaan untuk kehilangan suami…”
Insyallah, hidup kita akan baik-baik sahaja…
MW: Sebaiknya mak-mak betulkan niat bekerja untuk apa. Insyallah aturan Allah adalah yang terbaik, jadi bagi yang tak bekerja usah risau.
Nur Afiqah Amran yang juga Pengasas Perfume Paradise mengkagumi semangat pelakon veteran Ku Faridah atau lebih popular dengan panggilan Mak Engku. Wanita yang berusia...