Secara peribadi MW tertarik mengikuti akaun YouTube suri rumah ini kerana terpegun dengan kilauan kualinya dan sifat pembersihnya. S. Pavithra baru berusia 28 tahun merupakan isteri kepada M.Sugu 29. Mereka hidup sederhana di sebuah kuarters ladang kelapa sawit disamping dua orang anak. Apa yang istimewanya, setiap video dimuat naik menyaksikan Sugu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.

Ada satu video itu memaparkan Sugu memasak sejenis ikan yang menurutnya hanya boleh dibeli jika hari gaji sahaja. Sebulan boleh makan sekali atau dua memandangkan harganya sedikit mahal. Sugu memaparkan realiti kehidupan suri rumah yang dekat dihati semua. Dia juga mempunyai hubungan yang baik dengan ibu mertuanya, dan secara berseloroh pernah memaklumkan ibu mertuanya menyayangi dirinya lebih daripada wanita itu menyayangi anak lelakinya sendiri.

Komen-komen di laman YouTube beliau juga rata-rata memuji masakannya, kefasihan beliau bertutur dalam bahasa Melayu, kebersihannya dan hubungan kekeluargaan yang ditonjolkan. Sugu pantas melekat dihati penonton dan tanpa perlu bersusah payah, pengikutnya sahaja sudah mencapai jutaan orang. Musim-musim PKP ni, apa kata mak-mak yang hebat memasak di dapur tu, jadikan Sugu sebagai sumber inspirasi. Disamping dapat berkongsi resepi anda juga dapat menjana pendapatan secara tidak langsung. Tahniah Sugu!


Sepasang suami isteri tidak menyangka perkongsian video memasak pelbagai menu dengan bertutur dalam bahasa Melayu berjaya menambat hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat umur.

S.Pavithra, 28, dan suaminya M.Sugu, 29, yang berjinak-jinak sebagai YouTuber menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ sejak Januari lalu, sudah mempunyai seramai 160,000 pelanggan sekali gus menjadikan mereka sebagai Rakan YouTube.

Pasangan yang tinggal di kuarters ladang kelapa sawit di sini itu juga boleh menarik nafas lega kerana sebagai Rakan YouTube, mereka mampu memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD).

Ads

Pavithra yang mempunyai perwatakan lemah lembut serta petah berbahasa Melayu itu berkata dia mula memuat naik video masakan di YouTube selepas mendapat saranan daripada seorang rakan baik yang juga seorang YouTuber.

Sifatnya Yang Merendah Diri, Pembersih Menjadikan Sugu Dekat Di Hati Malaysia
Antara komen positif yang diterima Sugu

“Menu pertama adalah ikan tilapia bakar dan saya tunjukkan cara-cara memasak dengan mengggunakan bahasa Melayu. Dalam masa empat hari sahaja seramai 5,000 telah mengikut akuan YouTube saya dan selepas itu telah dapat e-mel daripada YouTube untuk menjadi rakan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Pavithra, ibu kepada dua anak yang berasal dari Buntong, Ipoh berkata dia dan suami tidak menyangka ramai yang menonton video memasaknya serta terus melanggan, dan dianggap sebagai dorongan untuk mereka terus menghasilkan bahan lebih menarik.

“Saya pandai cakap bahasa Melayu jadi tidak salah kalau saya buat video memasak dalam bahasa ini. Kalau saya cakap bahasa Tamil tidak semua faham, jadi saya pilih gunakan bahasa Melayu biar semua rakyat Malaysia boleh tengok dan faham.

Ads

“Paling menyeronokkan dan memberi semangat apabila ramai yang memberikan komen positif dan meminta saya teruskan usaha ini. Tidak kurang juga ada yang minta kami tunjukkan cara masak makanan India, ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Sifatnya Yang Merendah Diri, Pembersih Menjadikan Sugu Dekat Di Hati Malaysia
Salah satu resipi yang dikongsikan Sugu, roti puri

Tambah menarik dan teruja apabila ada selebriti tanah air yang bukan sahaja mengikuti akaun YouTube mereka malah turut mencuba resepi itu dan kemudian berkongsi di akaun laman sosial masing-masing sambil menyatakan ia adalah idea ‘Sugu Pavithra’.

Antara yang mencuba resepi ‘Sugu Pavithra’ adalah atlet bina badan negara, Sazali Samad dan YourTuber Jepun ‘IChang RM’ dengan memasak kari ayam.

Pavithra berkata dia dan suami memilih untuk memasak makanan mudah antaranya terung bulat tumis belacan, kuih ketayap dan kangkung tumis dengan bahan digunakan biasanya ada di dapur setiap rumah agar lebih ramai mencuba resepi yang dikongsikan.

Ads

Satu yang menarik mengenai Pavithra, dia tidak memerlukan peralatan yang banyak atau canggih untuk memasak, tapi cukup dengan satu kuali, sudip dan dua periuk termasuk satu periuk untuk memasak nasi.

Malah, untuk merakam aksinya di dapur, Pavithra hanya menggunakan telefon pintar yang diletakkan di atas cawan di tempat kukuh, tapi tetap menghasilkan klip video yang cantik dengan bantuan suaminya.

“Jika suami masak, saya yang banyak bercakap termasuk kenalkan bahan-bahan dan cara-cara kerana suami pemalu,” katanya, memaklumkan tugas menyunting klip video dibuat selepas makan serta dua anaknya tidur.

Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak menganggap diri sebagai selebriti sebaliknya masih Sugu dan Pavithra yang sama, dan meminta orang ramai terus mengikuti serta mencuba resepi yang dikongsikan.

SUMBER :  BERNAMA

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI